Epilog
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
Terkejutnya aku bukan kepalang. Khabar yang dibawakan doktor muda itu seakan hampir menggelapkan seluruh isi duniaku yang asalnya berwarna pelangi. Tanpa segan silu aku melepaskan tangis hiba di situ. Aku seolah-olah lupa pada insan sekeliling yang memandangku. Aku seolah-olah lupa pada takdir Allah yang ingin menguji hambaNya.
Kuatkah sudah aku melalui detik sebegini?
Bahuku disentuh perlahan.
Aku enggan memandang kepadanya kerana aku tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan terkilan.
“ Mungkin abang tak sengaja sembunyikan sakitnya..” pujuk Syahmi sambil mencuba mengajakku untuk berlalu dari situ.
Sungguh!
Aku benar-benar tidak mampu berkata apa-apa lagi saat ini. Apa pun yang terlintas pada pendengaranku seolah-olah menjadi sepintas angin lalu.
“ Apa fungsi saya sebagai isteri kalau dia sengaja buat saya susah hati sendiri?” marahku dalam tangisan.
Ya TUHAN.. bagaimanakah caranya menyayangiku?
“ Hani, janganlah sedih begini..”
Aku masih lagi tersedu.
“ Bagitahu saya Syahmi, bagaimana harus saya tidak merasa sedih?” soalku terkilan. Detik itu aku merasakan kebahagiaanku diragut.
“ Hani.. abang Zarul sakit biasa saja..” pujuk Syahmi tapi kali ini nadanya kedengaran keras.
Aku menggigit bibir, menahan tangis dari terus jatuh.
Syahmi menggeleng-geleng bersama senyuman.
“ Doktor sudah buat andaian..”
Aku menanti Syahmi meneruskan kata. Debar di hati usah ditanya. Hatiku dipagut hairan juga dengan senyumannya yang nampak lain.
“ Maksudnya?”
Syahmi ketawa kecil.
“ Abang Zarul tu demam panas sebab lain..”
“ Sebab apa?”
“ Doktor kata, kemungkinan Hani dan abang Zarul akan terima kehadiran ‘orang baru’..”
Aku terkejut kecil. Aku cuba mengingat tempoh putaran haidku. Sememangnya sudah lewat tiga minggu.
“ Tapi.. saya tak alah apa-apa pun..” sanggahku bersungguh-sungguh.
Syahmi ketawa kecil.
“ Apa kata kita buat pemeriksaan..” cadang Syahmi pula dengan tiba-tiba.
Aku kebingungan lagi. Masih berkira-kira mahu menurutinya. Hatiku masih ingin menafikannya kerana sebelum ini, dua heroku itu aku merasa alah yang teruk sepanjang mengandungkan mereka.
“ Jom..” ajak Syahmi lagi, seperti memaksaku menuruti kemahuannya. Mahu tak mahu, aku mengikuti jua langkahnya dan meninggalkan Zarul berehat di ruangan itu seperti yang dikehendaki doktor yang inginkan Zarul berehat di situ untuk beberapa jam.
Syahmi menolak bagiku pintu doktor wanita di bahagian sakit puan di hospital yang sama. Dengan kekok aku memasukinya dan menghampiri doktor itu. Syahmi menunggu aku di luar katanya agar memberikan aku keselesaan berbincang dengan doktor itu.
“ Saya nak buat check up saja..” ucapku teragak-agak.
Doktor Siti itu tersenyum ramah.
“ Encik Syahmi telah maklumkan kepada saya..” balas doktor itu dengan mesra sambil memintaku berbaring seketika. Segala peralatannya lengkap di depan mataku. Aku semakin berdebar-debar. Dari membuat pemeriksaan tekanan darah, gerakan jantung hinggalah akhirnya aku disuruh bangun semula, hatiku berdebar saja. Di tambah lagi dengan senyuman doktor Siti nampak lain.
“ so, Puan Hani.. dah lama tak datang haidkan?”
Aku mengangguk.
“ Tahniah.. awak mengandung..”
Aku hampir tidak percaya dengan kata-kata itu meskipun ia kedengaran indah dan menerujakanku.
“ Masih baru lagi..” tambah doktor Siti.
Aku sekadar tersengih saja. Setelah puas dinasihatnya, akhirnya dia memberikanku banyak vitamin untuk menampung kekuatan tubuhku kerana tenagaku berkurangan sejak akhir-akhir ini.
“ Kalau rezeki lagi, berkemungkinan kembar..” usik doktor Siti yang sudah berkira-kira mahu menghantarku ke muka pintu.
“ Kembar lagi?”
Doktor Siti ketawa kecil. Reaksinya itu cukup menjawab pertanyaanku yang kedengaran ringkas benar itu.
Aku sempat mengucapkan salam sebelum melangkah meninggalkannya. Dalam langkah, fikiranku bercelaru benar.
Apa yang patut aku sampaikan kepada Zarul?
Andaianku berbagai-bagai jadinya. Kalau sebab aku mengandung dan Zarul pula yang mendapat alahnya, memang nasiblah dia. Lama-kelamaan, aku tersenyum jua. Ini bermaksud, kebahagiaanku akan bertambah lagi. Tersedar akan hakikat itu, aku bergegas menuju ke bilik rawatan yang menempatkan suamiku itu. Aku pantas meluru untuk memeluknya yang sudah sedar dari tidurnya itu.
Kepalaku diusapnya perlahan dan dikucupnya dahiku.
“ Abang dah okey?” soalku penuh kasih sayang.
Zarul lebih senang mengangguk.
“ Abang buat Hani takut..”
Dahinya berkerut mendengar luahanku itu. Mungkin dia kurang faham dengan maksudku yang sebenarnya.
“ Hani takut abang akan tinggalkan Hani dan anak-anak..” sambungku dengan suara agak mendatar. Seperti ingin sekali lagi menghamburkan rasa sayu yang kusimpan sebelum ini.
Zarul hanya menggeleng-geleng.
“ Abang dah janji.. untuk buat Hani bahagia..” balasnya bersahaja, seperti dulu-dulu saat cinta antara kami hangat membara.
“ Thanks…” ucapku sambil mencium pipinya kemudian.
“ Abang yang patut ucapkan terima kasih…” balas Zarul bersama senyum pesonanya.
Aku sekadar menjelingnya manja.
“ Jangan marah-marah lagi ya..”
Aku tidak menjawab.
“ Jangan ada airmata lagi..” bisiknya di sisiku, melahirkan rasa bahagia yang terlalu hebat di hatiku.
Benarkah ini kerana cintanya padaku dan cintaku padanya yang menzahirkan bahagia yang sesungguhnya?
Cinta.. kalau benar kaupunya kuasa, warnakan duniaku dengan indah seri pelangimu.
Sekian…
2 ulasan:
Best!!! Dah suspen dah ingatkan Zarul sakit semula... rupe2nya.. dia pulak yg tanggung alahan...:-)
Suker endingnya happy... thanks Hani...
tahnia...bestt!!!cukup rasa ceritanya heee...
Catat Ulasan