BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 25 September 2011

Bab 6- O.R.K.I.D

Bab 6
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Senja itu aku habiskan sisa-sisanya dengan melawat pokok-pokok bunga yang dijaga abah sejak ibu tiada. Dulu, akulah yang paling rajin menemani abah menjaganya. Kini, aku sudah berubah. Sama seperti bebunga yang makin hari makin layu dimamah hari-hari mendatang. Aku sedar di balik rumah tidak jauh dari rumah kami itu, ada sepasang mata yang masih mengintaiku. Aku kenal dia siapa dan aku tahu kenapa dia begitu.
Itulah Fahrin.
Rumahnya hanya beberapa minit saja dari rumahku dan aku pasti kalau Dhani ada, pasti dia akan berwajah tegang lagi dan pasti dia akan merajuk lagi.
“ Sayang buat apa?” suara Dhani mula kedengaran saat aku sibuk menyiram pokok-pokok bunga yang memekar itu. Aku memandangnya sekilas sebelum menyambung semula kerja-kerjaku.
      “ Ni jaga bunga abah..” balasku.
      “ Boleh abang tolong?” soalnya lagi seraya mengambil hos yang ada di tanganku tanpa menunggu jawapanku.
      Aku sekadar mengangkat bahu saja dengan tingkah suamiku itu.
      “ Sayang..” panggil Dhani lagi.
      Aku menggumam.
      “ Sini dekat dengan abang kejap..” pintanya walaupun di tangannya masih sibuk menyiram lebihan bunga yang belum diberi air lagi.
      “ Kenapa?” soalku ingin tahu benar. Hairan benar dengan caranya itu. Sempat juga Dhani menarik lenganku untuk berdiri dekat dengannya.
      “ Kenapa agaknya orang tu asyik pandang ke sini?” bisiknya perlahan namun jelas sekali pada pendengaranku. Aku bagai kehilangan suara untuk menjawab soalan itu kerana pasti nanti jawapanku akan mengubah moodnya nanti.
      “ Abang kenal dia kan?”
      Aku menggigit bibirku dengan kuat. Perlukah aku jawab sedangkan Dhani sendiri boleh mengagak gerangan yang sedari tadi mengintai aku itu. Aku sebenarnya tidak menyangka kepulangannya ke kampung pada hari pernikahanku. Aku terkejut benar akan keberadaannya dan sekali lagi aku terkejut bila mengetahui bahawa dia tidak jadi meneruskan perkahwinan dengan gadis pujaannya.
      “ Kenapa dia asyik pandang isteri abang?”
      Aku mengeluh. Dhani nampaknya mula lagi dengan sikapnya yang selalu ingin mencari perhatianku.
      “ Abah mana?” soalku cuba mengalih pertanyaannya kepada soalan yang lain. Tanpa menunggu jawapannya aku menuju ke satu sudut untuk menutup pili air yang dibiarkan mencurah-curah kerana konsentrasi Dhani tidak lagi pada kerjaku tetapi pada insan yang selalu mencuri pandang pada isterinya ini.
      “ Sayang..” panggilnya mengharapkan jawapan dariku.
      Aku menghela nafas berat.
      “ Sara tahu abang kenal dia, kan..” tebakku kerana aku bingung dengan tingkahnya yang nampaknya selalu memaksa aku berterus-terang.
      Dhani mengangguk tapi wajahnya sudah berubah.
      “ Bekas tunang Sara..”
      Aku diam.
Menanti dia meneruskan kata.
Dhani nampaknya ingin memulakannya lagi. Sepatutnya Dhani sedar. Meskipun aku belum bersedia menerima dia dalam hidupku tapi dia harus tahu bahawa aku tidak akan kembali semula kepada insan yang sudah membuang aku ke dalam hidupnya sekalipun dia menginginkan aku kembali lagi bersamanya.
      Aku mendekati suamiku yang selalu menyimpan curiga padaku itu. Aku merenung jauh ke dalam anak matanya yang seakan menagih sesuatu dariku yang sukar untukku beri padanya.
      Hati.
      Aku menarik kedua belah tangannya dan sengaja kubawa ke pinggangku, mengharap dia akan memelukku. Aku sempat mengerling dari ekor mataku gerangan Fahrin yang sudah berginjak jauh dari tempatnya. Mungkin dia sudah masuk ke dalam rumah.
      Aku ketawa kecil di dalam hati.
      “ Boleh tak abang rasakan yang Sara hanya kepunyaan abang?” soalku sambil memeluk lehernya dengan manja.
      Dhani tidak menjawab tapi renungan matanya seolah berbicara.
      “ Sara.. hati Sara bukan milik abangkan…”
      Aku tersentak dengan pertanyaan itu. Aku pantas mematikan senyuman dan menunduk. Terlalu berat sekali untukku menidakkannya kerana sememangnya dia belum lagi meraih tempat di dalam hatiku. Tapi aku tidak ingin dia merasakan aku jauh darinya.
      “ Kita bincang soal ini nanti..” balasku selamba sedang wajah suamiku sudah berubah kecewa.
      Aku menarik tangannya dan menggengam erat.
      “ Dah senja sangat.. Lagipun, ini kampunglah bang.. Ramai orang pandang kita..” sambungku berharap Dhani akan faham dengan maksudku.
      Dhani menggaris senyuman nakal.
      “ Kalau kita bukan di kampung?”
      Aku mengetap bibir lalu menjelingnya.
      “ Abang jangan nak mengada-ngada.. Jom masuk..” arahku sambil menarik tangannya mengekoriku langkahku memasuki rumah. Aku tercari-cari kelibat abah hinggalah akhirnya aku terpaksa bertanya pada suamiku itu.
      “ Abang nampak abah tak?” tanyaku serius.
      Dhani mengangkat bahu.
      “ Seingat abang, sejak makan tengahari tadi abah terperap di bilik saja..” balasnya pula.
      Aku mendengus.
      “ Jom teman Sara jumpa abah..” ajakku sambil menarik tangan suamiku itu menuju ke bilik tidur abah. Sudah pastilah menjadi sesuatu yang ganjil bila abah asyik terperap saja. Selalunya, abah akan duduk di kerusi malasnya sambil membaca surat khabar ataupun menonton televisyen di ruang tamu. Itulah yang selalu kulihat abah lakukan setiap kali aku kembali ke kampung.
      Aku memulas tombol pintu apabila abah tidak bersuara saatku berulangkali menyerunya. Gundah sudah di hati ini tapi aku cuba menidakkan yang tidak baik itu pergi menjauh. Aku terpandang abah sedang berbaring di katilnya.
      Mustahil benar kalau abah tidur di senja begini.
      Aku melepaskan tangan Dhani dan menghampiri abah. Wajah abah nampak tenang saja tapi mencurigakanku. Aku menggoyangkan tubuh abah tapi tiada reaksi langsung.
      “Abah..” panggilku lagi. Sayangnya, abah tidak bergerak. Dia seperti tidur nyenyak benar, kelihatan letih sedangkan abah tidak banyak membuat kerja apapun sepanjang hari tadi. Cara abah ini menakutkanku tapi aku tidak mahum meneka sesuatu yang buruk menimpa abah pula.
      Aku menyentuh wajah abah dengan perasaan berdebar-debar.
      Masya Allah, sejuk!
      Tidak mungkin abah…
      “ Abang…”
      Dhani tidak bersuara.
Dia sama sepertiku, tidak ingin menyangka sesuatu yang buruk berlaku tapi apa daya. Aku dan Dhani tidak mampu menebak apa yang terjadi.
      “ Abah dah tak ada?” soalku dalam suara tertahan lalu memandang kepada suamiku yang nampak termangu itu.
Aku seperti tidak percaya dengan hakikat itu sedangkan pagi tadi aku masih nampak senyuman abah. Kali ini abah sudah terbujur kaku, pucat dan tidak bernyawa dalam tidur senjanya.
      Aku terasa ingin meraung kepada dunia agar tidak mengambil abah dari sisiku. Aku tidak ingin abah pergi tanpa melihat aku bahagia. Kepalaku terasa amat berat sedang airmataku terlalu deras mengalir.
      Beginikah suratan takdir?
      “ Sabarlah sayang..” suara Dhani kedengaran perlahan memujuk namun nadanya meruntun pilu di hatiku. Suara itu kedengaran mendatar kerana aku tahu, Dhani juga sedang menahan airmata.
      Kenapa sepantas ini abah pergi?
      Aku hanya mampu memandang Dhani menutupi seluruh tubuh abah dengan kain, sebagai tanda abah sudah tidak lagi bernafas di bumi TUHAN ini.
      Aku bertambah terseksa melihat keadaan itu.
      Aku memandang Dhani dengan mata yang sudah berkaca. Jiwaku sudah meraung hebat. Pilunya membakar jiwa. Tega sekali abah meninggalkan aku sendiri di dunia ini.
      Aku terjelopok di situ tanpa tanda. Yang aku tahu, aku terbeban. Dunia seperti tidak adil lagi padaku. Pandanganku perlahan berubah kelam hinggalah ia berubah kabur dan akhirnya gelap.
      Aku juga ingin menyusuli abah.

3 ulasan:

evy berkata...

kesian SAra...sedihnya...

Tanpa Nama berkata...

masih ada sambungan x???? teruja sgt nak mengetahui apa yg akan t'jadi...

Tanpa Nama berkata...

Ka, Please continue the story... ;)