BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 13 September 2011

Bab 3-O.R.K.I.D

Bercucuran airmataku saat akad yang diucap oleh insan yang sudah bergelar suamiku itu diiktiraf sah di sisi para wali dan saksi yang menghadirkan diri ke majlis pernikahanku. Hanya TUHAN saja yang tahu betapa berbaurnya perasaanku saat ini. Aku telah mengkhianati cinta yang kusimpan dan aku jua yang mengkhianati kata hatiku yang enggan menerima insan lain lagi di dalam hidupku.
      Wajarkah aku meneruskan pengorbanan ini demi abah yang nyata benar-benar ingin aku dijaga oleh perwiranya ini?
      Aku duduk dengan resah di bilik pengantin yang sudah dirias indah oleh ibu saudaraku yang juga merupakan adik kepada arwah emak yang memang rapat denganku sejak kecil lagi. Sejak mula majlis lagi, Mak Idah yang menemaniku dan menguruskan diriku. Syukurlah Mak Idah tidak banyak karenah dan membebel dengan responku yang kadang-kadang tidak mahu diarahkan. Kebanyakkan cadangannya kutolak dan banyak jua yang kucanggah. Walaupun perkahwinan ini adalah dirancang tapi kata Mak Idah aku harus berusaha menyerikan hari berbahagiaku ini.
      Di jemariku disarungkan cincin tanda perkahwinan dan tanda aku sudah menjadi isteri kepada Fakrul Dhani. Bergetar hatiku saat memandang insan polos yang sudah banyak menabur jasa kepada keluargaku ini tapi sayangnya hatiku tidak terpikat pada keikhlasannya.
      Aku memejam mata saat bibirnya menyentuh dahiku. Aku ingin menyelami rasa ikhlas di hari pertama menjadi isterinya. Biarlah hadir walau seketika kerana aku ingin insan lain berfikir aku bahagia dengan perkahwinan ini walaupun impian awalku musnah dengan putusnya ikatan pertunanganku dulu. Aku merenung jauh ke dalam anak mata suamiku itu. Sinarnya menerjah jauh ke ruang gelap di dalam hatiku namun sayang, sinarnya belum cukup terang mengembalikan kepiluan hatiku dengan perpisahan lalu.
      “ Terima kasih..” bisiknya di sisiku saat dia dikehendaki duduk rapat di sebelahku di atas katil perkahwinan kami. Aku sengaja memandang jemari yang sudah seram sejuk dengan pendekatan yang dibuatnya walaupun aku sedar aku seharusnya tidak begitu kepadanya.
      Aku bermohon, TUHAN tabahkan hatinya menghadapi sikapku yang dingin ini. Biar tidak terbeban dirinya dengan dosa-dosaku kerana membuatnya berkecil hati.
      Maaf Dhani, bukan niatku melukakan hatimu.
      Aku memandang wajah tenang suamiku di sebelah dengan perasaan kosong. Sayangnya, hatiku tidak ingin melihat dia berkecil hati saja dengan sikapku yang nampak hipokrit dan pentingkan diri. Dengan perasaan berbelah-bagi aku menggapai tangan kirinya dan menggengamnya erat. Meskipun wajahnya nampak terpinga-pinga dengan tingkah mendadakku itu namun aku senang menggaris senyuman paling ikhlas buat dirinya.
      “ Terima kasih juga sebab abang sudi tunaikan permintaan Sara..” bisikku juga di sisinya. Jujur saja, itulah ungkapan paling ikhlas kukatakan padanya sejak menjadi isterinya.
      Hatiku disapa rasa tenang saat terpandang bibirnya menggaris senyuman. Aku sedar, detik ini berulang kali dirakam di balik kamera-kamera itu. Biarlah memori ini tersemat. Kalaupun bukan untuk diriku, biarlah untuk Dhani saja. Memadai benar dia saja yang merasa indahnya ikatan antara kami ini. Meskipun saat itu, aku dan Dhani sudah ditinggalkan berduaan namun aku sengaja membiarkan genggaman tanganku erat menggenggam jemarinya. Sungguhpun detik bersamanya itu mengundang resah pada diriku namun aku masih ingin menikmati detik-detik itu.
      “ Kenapa abang terima lamaran Sara?” soalku setelah lama kami tenggelam dalam suasana pandang-pandang jeling-jeling dan bisu.
      Segaris senyuman tampan tergaris di bibirnya. Aku sengaja membuang pandangan ke arah lain kerana bimbang hatikan terpaut padanya. Meskipun hatiku yang memaksaku membuat keputusan untuk melamar dirinya namun hatiku jua yang mendatangkan ragu kepadaku dengan keputusanku yang sudah kukata padanya.
      “ Perlukah abang ulang ungkapan yang sama?” balasnya perlahan namun anak matanya masih lekat pandangan ke dalam mataku. Keadaan itu membuatkan aku semakin bimbang dengan penerimaan hati yang suatu ketika dulu turut sama mengkhiantiku.
      Aku menarik genggaman tanganku. Sengaja kupindah pandangan mata ke cincin perkahwinan yang sudah tersarung di jemariku. Berulang kali aku mengetap bibir, cuba merangkai ayat sesuai bagi menenggelamkan suasana yang kembali berubah kelam dan sunyi.
      Tanpaku duga, bahuku disentuh perlahan.
      “ Apa lagi yang isteri abang fikirkan?” tanya Dhani perlahan namun menyentuh jauh ke dasar hatiku. Frasa itu indah benar untukku. Tambahan lagi ia diungkapkan oleh perwira abah dan bukan perwiraku. Pastilah janggal benar rasanya.
      Aku menggeleng saja menjawab pertanyaan.
      “ Sara tak fikir apapun..” jawabku senada dengan nada suaranya yang sebelum.
      Akku tersentak bila jemariku menyentuh daguku agar berpaling memandang wajahnya. Aku menurut jua walaupun tidak rela. Raut wajah itu terlalu baik untukku hancur luluhkan perasaannya.
      “ Abang..” panggilku perlahan.
      Biarlah Dhani tahu apa yang kurasa. Keresahan yang menyusahkan hatiku semenjak sah menjadi isterinya. Biarlah dia tahu kalau kalau Dhani ada jawapan mengurangkan gundah ini.
      “ Bolehkah kita teruskan semua ini tanpa cinta?”
      Kulihat Dhani berubah kelat wajahnya. Tapi sedihnya, hatiku benar-benar ingin tahu jawapannya. Walaupun pada pandanganku, dia seperti tidak mempunyai jawapan tapi aku pasrah menunggu. Sentuhannya lambat-lambat dilepas. Aku ternanti-nanti dengan jawapannya. Sayangnya, hanya keluhan saja terdengar. Dia sengaja menjauh dan berdiri dari duduk di sebelahku. Dia kulihat membuka songkoknya dan meletakkan di atas meja solekku. Sementara masih tinggal di kampunglah, aku membeli meja solek yang baru.
      “ Sara masih ingin sambung study?” soal Dhani.
      Aku mengangguk jua walaupun topik yang kubangkitkan sebelum ini tidak disentuhnya langsung.
      “ Kerana niat itukah Sara mahu abang nikahi?”
      Aku tersentak dengan pertanyaan yang tidak terduga itu. Tidak terlintas langsung aku mengambil kesempatan itu kepadanya. Aku hanya ingin menunaikan permintaan abah agar aku tidak berputih mata nanti.
      Tidakkah Dhani sedar, dia telah membuat aku kecil hati?
      Aku menunduk memandang jemari. Sengaja kugigit kuat bibirku agar dapat menahan airmata yang ingin jatuh. Tidakkah Dhani sedar besar benar pengorbanan perasaan yang kulakukan demi melihat abah gembira kerana abah telah memilih dia menjadi wira yang akan menjagaku?
      “ Sara.. abang tak berniat lukakan hati Sara..” pujuk Dhani yang tiba-tiba melutut di hadapanku. Aku yang sedari tadi mencuba menahan tangis, berderai jua airmata. Berulang kali Dhani memujuk tapi aku masih jua menangis. Sudahnya, dia jua yang susah kerana tegar mengusik hatiku yang sebenarnya merasa terkilan kerana bukan dia yang memenangi hatiku tetapi dia yang menjadi suamiku.
      Tidakkah Dhani merasa kasihan padaku?
      “ Sara… abang janji, tak akan buat Sara menangis lagi.. Please sayang, I’m sorry..”
      Aku berusaha jua mematikan tangis kerana tidak mahu dia meruntuhkan benteng pertahanan hatiku ini dengan tingkahnya yang sedikit-sedikit seperti ingin merawat luka di hati. Aku takut hati memperdayaku lagi seperti sebelum ini. Aku bimbang akan ada luka lagi di hatiku. Aku belum bersedia menerima apapun jua rasa yang ingin dikongsinya bersama hatiku meskipun tarafnya mulia sebagai suami.
       Biar masa merubah segalanya.