BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 5 Disember 2014

BAB 10-SETIA PADA DIA

BAB 10
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “ Maaf.. buat awak lama menunggu..” pintaku kepada Dzul yang sudah lama menantiku di lobi. Aku merasa agak kekok pulak berdiri tidak jauh dari tempatnya duduk itu lantaran dia bagai tidak henti memandangku.
     Aku menggigit bibir.
     “ Tak apalah.. bukan lama mana pun..” balasnya seraya mengajakku berlalu dari situ. Tiada pilihan lain, aku kemudian segera mengatur langkah menyaingi dirinya. Di hadapan pintu hotel, sudah ada kereta menanti. Pantas saja bertukar tangan kunci kereta, dia mempelawa aku masuk sama. Aku hanya menurut kerana aku juga tidak selesa melengahkan waktu.
Dalam kereta mewah itu, aku hanya diam. Bisu dan kaku. Hanya kudengar sesekali bunyi penghawa dingin dan juga bunyi radio yang bernada perlahan. Aku mengambil kesempatan melihat ke luar jendela meskipun kegelapan malam menutupi segala pemandangan yang ada melainkan hanya yang dapat kulihat lampu-lampu jalan dan juga kereta.
     Aku menoleh ke sisi. Memberanikan diri memandang Dzul yang sedang tenang memandu. Dia bagai tidak perasan aku memandangnya sedangkan aku mahu dia memulakan kata dan mengkhabarkan kepadaku kemana arahkah dia mahu membawaku pergi bersamanya di saat ini. Anehnya dia masih begitu. Sendiri dengan fokusnya ketika memandu.
     Aku menghela nafas dan kembali membuang pandangan.
     “ Saya tahu awak begitu ingin tahu tapi kali ini, tunggu dan lihat kemana saya mahu bawa awak pergi..” dia akhirnya bersuara, mematikan tanda tanya yang bersarang di fikiranku.
     “ Tak adalah. Sekurang-kurangnya, taklah sunyi sepi..” jawabku, bersahaja.
     Dia ketawa kecil.
     “ Saya sedar kewujudan awak di sini, Lisa. Di sisi saya..”
     Aku diam, tidak terkata. Lain sekali kenyataan itu kudengar. Namun hanya kubiarkan kata-katanya mati di situ. Aku tidak mahu membiarkan dia bermain kata-kata denganku. Tanpa perasan, kereta yang dipandunya membelok ke simpang kanan. Perlahan bergerak masuk ke sebuah perkarangan villa yang begitu gah. Dengan ramai tetamu yang hadir dan sukar untuk aku katakan.
     “ Kalau awak tidak keberatan bercerita, rumah siapa yang kita kunjungi ini?”
     Dzul mematikan enjin kereta pada saat kereta itu berhenti di sebuah garaj khas. Pintu kereta dibuka sama oleh si penyambut yang ada di situ, dengan pakaian seragam. Aku kekok dengan situasi itu namun tidak juga aku bertanya lebih lanjut. Aku menghampiri Dzul yang sudah setia menantiku di tangga utama.
     “ Siapa ni?” tanyaku sedikit bimbang. Ramai tetamu yang datang membuatkan aku benar-benar tidak selesa dan begitu tertanya-tanya.
     “ jomlah… kita singgah sekejap saja..” ajaknya dan seraya meminta aku berdiri dekat di sebelahnya. Dia mengajakku masuk. Aku sekadar tersenyum bila disapa oleh tetamu yang ada. Kulihat, semuanya tidak sombong dan ramah-ramah belaka. Dzul kemudian berbisik sesuatu mengajakku ke satu tempat. Pantas, aku menurut. Aku diperkenalkan kepada seseorang yang sudah berusia. Namun, masih cantik meskipun wajahnya sudah dimamah usia.
     “ Opah.. Assalammualaikum..” sapa Dzul seraya bersalaman dengan wanita itu. dia kulihat sempat mengucup dahi wanita itu. wanita yang dipanggilnya opah. Tingkahnya itu sedikit sebanyak menyentuh hatiku. Jarang sekali aku melihat adanya anak muda yang melakukan sebegitu. Lantaran dipandang dengan kehairanan, aku pantas menghulur tangan pula kepadanya. Huluranku disambut dan aku ditarik pula ke dalam pelukannya. Pipiku dikucup syahdu.
     Aku terkaku.
     “ dah lama opah tunggu Dzul ke sini bawa teman balik…” ujarnya tiba-tiba yang diselangi dengan ucapan syukur berulang kali. Aku yang tidak mengerti hanya memandang Dzul yang tersengih di sisi.
     Tanganku ditarik opah dan diajaknya mengikut ke meja utama. Aku sekadar menurut meskipun aku tidak ingin mengatakan aku mahu dilakukan begitu. Dzul sekadar menyaingi perlahan langkahku dan opahnya. Opah memintaku duduk di sebelahnya sementara dia ingin naik ke tingkat atas sekejap katanya. Aku hanya mengangguk sebelum aku kembali memandang Dzul di depanku.
     Dia tersenyum seolah-olah tiada sesuatu pun yang memberi kesan padanya.
     “ Opah ni, mama ummi saya..”
     Aku mengangguk tapi bukan itu yang aku mahu dengar.
     “ And.. airmuka awak tu terlalu nampak rasa ingin tahu.. kan..”
     Aku tidak membalas. Jujur saja, kenyataannya benar. Aku mahu tahu kenapa dia memilih untuk membawa aku ke sini.
     “ Maaf Lisa, rasanya ini cara terbaik untuk membuatkan awak tidak berusaha menjauh dari saya..” balas Dzul, terlalu berterus-terang. Menikam sekali pandangannya jauh ke dasar hati.
     Aku menelan liur berkali-kali.
     “ Ayat awak memang tidak susah untuk saya fahami tapi saya tetap tidak faham mengapa awak begitu awal mendera saya begini..” jawabku akhirnya, dengan nada yang tidak berpuas hati. Aku tidak mahu diperlakukan sebegini seolah-olah aku ini tidak ada hak untuk bersuara atau menyatakan persetujuan.
     “ Saya serius kalau saya berkehendak sesuatu..”
     “Tapi sekurang-kurangnya, bawa saya berbincang dulu, Dzul. Bukan dengan begini caranya.” balasku, kali ini agak tinggi nadanya. Tanpa sengaja. Mungkin kerana aku yang tidak berpuas hati dengan caranya. Masalah besarku, kalaupun dia mahu berkawan bukan dengan cara ikat express begini. Dia boleh menyatakan hasrat untuk berkawan dan mungkin akan aku pertimbangkan!
     “ Lisa, saya hanya ajak awak berjumpa dengan opah di hari kesyukuran ulang tahunnya. Tak perlulah awak marah-marah begini..”balas Dzul akhirnya sebelum dia meninggalkan aku untuk pergi ke kelompok tetamu yang lain. Tegang saja airmukanya kulihat saat dia berlalu tanpa menoleh.
     Aku mengeluh.
     Kalau dia berterus-terang kemana dia mahu membawaku pergi, keadaan mungkin tidak begini. Aku bukannya apa. Perkenalan ini usianya masih baru. Aku tidak mahu aku sendiri yang tersilap menilai apa mahunya. Salahkah kalau sekurang-kurangnya dia berterus-terang dulu?
     “ Maaflah, lama opah di atas…”
     Aku tersentak dengan teguran itu lantas aku mengukir senyuman.
     “ Tak makan Lisa?” soal opah mesra. Aku sedikit terkejut kerana rasanya aku belum memperkenalkan lagi namaku kepada opah. Opah mengajakku ke meja makan.
     “ Ikhwan tu banyak bercerita tentang Lisa sejak mula dia datang berkursus di sini. Lama juga dia tidak menjenguk opah di sini sebab keterbatasan masanya bekerja..”
     Aku sekadar mendengar dan tidak mengulas apa-apa. Aku hanya mengambil makanan yang seadanya saja dan kembali ke meja utama. Opah sempat membawakan aku minuman sejuk.
     “ Tak makan sama, opah?” tanyaku, sekadar berbasa-basi. Rasa janggal pula kalau hanya aku yang makan di situ.
     Opah hanya menggeleng dalam senyumannya.
     “ Opah tahu macamana Lisa berkenalan dengan Ikhwan tu..” opah sekali lagi, membuka bicara. Banyak yang opah ceritakan. Katanya, itulah yang dikatakan Dzul kepadanya. Aku terasa lain dengan setiap kenyataan opah. Seolah-olah Dzul memang nekad mahu berkawan denganku.
     “ Kalau Lisa tidak keberatan, berkawanlah dengan Ikhwan dulu…”sambung opah lagi, bagai berharap.
     Aku hanya memandang opah.
     “ Opah.. Lisa rasa, kalau dia benar-benar mahu berkawan.. Lisa mahu dia sendiri suarakan. Lisa tidak suka dari orang tengah.. Lisa bimbang dengan kesungguhannya..” jawabku pula, sedikit teragak-agak.
     Opah ketawa kecil.
     “Ikhwan begitu sebab dia kata, Lisa suka mengelak.. Ikhwan tu, memang suka mengusik. Tapi.. bila hatinya dah berbunga-bunga, haah.. mulalah dia kaku..”
     Aku tersenyum kecil. Spontan saja aku tercari-cari kelibat Dzul yang tadinya berada di balik tetamu yang hadir. Rumah besar sebegini, susahlah rasanya untuk nampak dengan mudah. Usai makan, aku meminta diri untuk mencari Dzul dari opah. Aku rasa bersalah pulak kerana aku berburuk sangka tentang dirinya. Sebelum ini pun, aku juga menyangka yang tidak baik tentang dia. Rupanya, dia lain. Aku kemudian ternampak dia sedang bersembang riang dengan beberapa kumpulan anak muda tidak jauh dari kolam kecil di luar villa itu. Sesekali aku tersenyum kecil mendengar bunyi gelak tawa mereka sebelum ada di antara mereka tersedar akan kehadiranku yang aku sedang memerhati mereka.
     Pandangan Dzul pantas beralih kepadaku. Dia kemudian melambai tangan, sebagai tanda aku perlu dekat ke situ. Aku sekadar tersenyum dan mengangkat tangan. Tidak berniat mahu tumpang sama dia bersembang. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan penolakanku maka dia mengambil keputusan mendekatiku. Gayanya bersahaja. Menarik dan mempesona.
     Aku beristighfar. Tidak patut memikirkan yang tidak-tidak.
     “Kenapa?”
     “ Errm.. awak dah makan tadi?” soalku antara dengar dan tidak, namun pandanganku tidak lari dari kekal memandang wajahnya.
     “ Awak dah?”
     Aku mengangguk tapi dia menggeleng. Dia sengaja membuat muka kasihan, mungkin mahukan perhatianku.
     “ Hish.. tu lah kan. Merajuk..” marahku sedikit.
     Dia ketawa kecil.
     “ Taklah jugak. Cuma, saya nak elak awak bertambah marah..” jawabnya sekadar menyedapkan hati.
     Aku rasa bersalah jadinya.
     “ Maaflah. Saya tak berniat langsung..” pintaku bersungguh-sungguh. Memang benar, aku tidak berniat langsung mahu bertindak begitu cuma didesak oleh rasa tidak berpuas hati dengan caranya.
     “ Jadi.. awak cari saya sampai ke sini sebab nak pujuklah ni?” soal Dzul tanpa kuduga.
     Aku mati kata tapi dia ketawa ceria. Aku menjelingnya dan berniat mahu pergi dari situ. Dzul menyaingi langkahku dalam sisa tawanya.
     “ Lisa.. sorry.. jomlah teman saya makan..” pintanya dalam tawa yang masih bersisa. Aku sengaja beraksi dingin begitu sebab rasa malu jugak kerana tertangkap oleh Dzul sendiri yang sebetulnya aku mencari dia hanya kerana mahu memujuk. Aku yakin dia terasa hati tadi.
     “ Makanlah sendiri..” jawabku, bagai merajuk pula. Aku pantas menghampiri opah dan berdiri di balik opah tanpa memandang Dzul.
     “ Hai.. dah kenapa pulak Ikhwan dengan Lisa ni?” soal opah.
     “ Tu lah opah.. cucu opah tu..” aku mengadu, spontan seolah-olah aku memang sudah biasa dengan keluarga itu. Kedengaran manja sekali cara aku mengadu itu.
     “ Ikhwan?”
     “ Apa?” soalnya semula kepada opah.
     “ Ni, Lisa ni? Kenapa?”
     Dzul ketawa.
     “ dia datang pujuk Wan tadi opah tapi Wan jual mahal. Sebab tu lah Lisa marah tu..”jawab Dzul selamba, mengusik. Mendengar jawapannya itu aku terus memukul lengannya. Reaksi yang aku tidak sangka. Tingkah itu menggambarkan situasi mesra.
     “ Ikhwan, sudahlah.. pergi sana makan..” tegur opah.
     “ Biarlah Lisa teman, opah..” pinta Dzul.
     Opah menggeleng. Opah menarik tanganku untuk ikut sama dia menuju ke arah lain.
     “ Lisa ni opah punya…”
     “ Tapi opah…”
     Aku dan opah terus berlalu meskipun Dzul belum menghabiskan kata-katanya. Aku sempat tersenyum kemenangan melihat Dzul dibuli opah begitu sebelum senyumanku tiba-tiba mati kerana dia sengaja mengenyitkan matanya nakal, yang aku terasa menyentuh hatiku.

     Dzul, jangan main-main!

0 ulasan: