BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 9 Disember 2014

bab 49- O.R.K.I.D

Bab 49
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Dua bulan itu berlalu sungguh pantas. Syukur Alhamdulilah, di akhir kali pertemuan itu, berakhir sengketaku bersama Fahrin. Entahlah. Kali terakhir aku tahu, dia bercerita yang dia mahu ke Paris lagi untuk berkursus sekaligus bercuti mengubati hati. Itu pesannya kepada Dhani sebelum dia berangkat pergi. Terlalu jujur sekali kenyataan namun aku bersyukur, Dhani tidak terasa hati. Aku tahu, Dhani memang seorang yang begitu memahami. Dia bertanggungjawab dan dia memang seorang yang begitu berfikiran terbuka.
     Di sisi jendela, di senja itu aku melihat suamiku yang sedang membersihkan kereta dan jua keretaku. Rajin suamiku itu. Selepasnya pulang bertugas semalam, dia mengkhabarkanku bahawa dia telah memohon cuti untuk tempoh yang lama. Mungkin sebulan lebih katanya memandangkan dia selama bertugas jarang sekali bercuti. Cuma di usia awal perkahwinan dulu, dia suka ponteng dan memberikan alasan untuk pulang hanya kerana projeknya memikat aku.
     Aku tersenyum sendiri.
     “ Yang.. jomlah sini.. teman abang…” jerit Dhani dari bawah, mengajakku sama menemaninya yang sedang ber-ia membersihkan kereta kami itu. Sebenarnya, keretaku itu adalah hadiah ulangtahunku pada minggu lepas. Terkejut juga dengan hadiah besar itu walaupun aku sekadar bergurau dengannya pada saat dia menanyakan kepadaku apakah hadiah yang aku mahu darinya. Aku pun selamba saja menyatakan sebuah kereta mewah. Alih-alih, dia menghadiahkan aku Mercedes SLK 200 berwarna merah jambu.
     “ Dah senjalah.. tak baik keluar..” balasku dengan nada yang kira-kira Dhani boleh mendengarnya. Dia membuat muka manja yang kononnya dia merajuk.
Aku tergelak kecil.
     “ Abang cepatlah siapkan kerja abang tu, Sara tunggu di bilik makan..” pesanku sebelum aku berlalu dari jendela itu dan keluar dari bilik untuk menuju ke tingkat bawah. Begitu berhati-hati aku menuruni anak tangga kerana aku memang sudah sarat. Cuma, aku suka bergerak aktif walaupun sudah berulang kali ditegur. Aku cuma tidak mahu banyak duduk kerana aku terasa sengal di bahagian belakang. Sekurang-kurang bergerak sedikit membolehkan aku merasa selesa.
Aku kemudian memasuki dapur. Masakan memang sudah siap kusediakan kerana aku hanya masuk ke bilik untuk mandi setelah semua urusan dapur selesai. Hari ini moodku memang cukup baik. Aku sengaja memasak istimewa untuk suamiku itu kerana hari ini adalah hari memperingati mulanya aku cinta kepadanya. Mungkin Dhani tidak tahu atau tidak pernah menganggap ia penting, namun bagiku inilah saat dan detik penyerahan hati yang aku pertaruhkan untuk dia jaga dengan sebaiknya. Alhamdulilah, Dhani begitu bersungguh menjagaku. Sambil menyediakan makan malam itu, aku sempat juga tersenyum sendiri apabila terkenangkan segala sikap nakal suamiku, sikap romantic dan juga rasa kasihnya yang menebal dan membara itu. Sukar dijangka kalau dia melakukan sesuatu untukku ataupun untuk keluarga kami.
Semuanya dia rancang begitu sempurna!
     “ Waah.. apa ada ni?” soal Dhani yang tiba-tiba muncul di pintu dapur. Dia kulihat berpeluh-peluh setelah dia selesai membersihkan kereta kami di luar.
Aku mula menarik muka.
     “ okay-okay. Abang pergi mandi lah nii..” sambung Dhani, walaupun aku belum menyatakan apa-apa. Dia berlalu kemudian meskipun aku belum menjawab pertanyaannya. Dhani memang memahami aku yang tidak suka kalau dia dalam keadaan berpeluh. Pasti dia akan segera berlalu. Dia memang selalu aku mengutamakan apa yang kumahu. Memang dia begitu mengotakan janji, untuk selalu bawakan aku bahagia.
     Aku tiba-tiba diketuk sayu.
     Dhani sudah lakukan segalanya buatku. Kadang aku tertanya-tanya sendiri. Sudah cukupkah apa yang aku lakukan buat suamiku itu? Dhani telah mengajarku untuk mencintai semula. Dia mengajarku untuk terus memekarkan rasa sayang pada yang hak. Dia telah memberikan aku kasih sayang sebuah keluarga.
Segalanya dia.
Aku memegang dadaku sendiri. Terkesan dengan hal itu dengan tiba-tiba. Moodku selalu berubah-rubah. Mungkin juga kerna terbawa dengan rasa cinta yang terlalu dek hari istimewa ini. Suasanaku itu tiba-tiba saja terganggu dengan bunyi loceng di pintu utama. Aku mengesat hujung mata yang hampir menjatuhkan airmataku. Aku bergerak perlahan menuju ke pintu utama. Aku memang dapat menjangkakan siapa yang datang. Pastilah keluarga Dhani yang juga keluargaku. Aku baru terkenang kalau di hujung minggu ini, mereka akan singgah berkunjung. Memang rezeki merekalah ni dan kebetulan juga aku memasak lebih dari biasa.
     “ Dhani mana?” tanya Kak Shila kepadaku setelah dia menapak masuk ke dalam rumah. Aku memberitahunya bahawa dia sedang bersiap-siap mandi di tingkat atas. Huluran salam ibu dan bapa kusambut. Mereka jua bertanyakan soalan yang sama. Kak shila yang akhirnya membantuku menjawab soalan itu. mereka kupinta menunggu di ruang tamu sementara aku ingin berkira-kira mahu berlalu ke dapur meneruskan kerjaku.
     “Eh dah sarat ni, Mai..” ucap Kak Shila dan memegang bahuku seraya menemaniku menuju ke dapur. Katanya, dia mahu sama membantuku. Tidak lama selepas itu, ibu pulak yang masuk. Ibu pun juga berkata dia mahu membantuku. Dia bimbang dengan aku yang masih aktif itu. Aku bukannya apa. Takkanlah mentang-mentang mengandung tu mesti duduk dan makan saja. Naiklah badan nanti. Bukannya aku tidak mahu menerima teguran atau nasihat, Cuma aku juga mahu meraih pahala demi apa yang aku lakukan untuk suami dan keluarga. Usai beberapa lama, semua sudah bersedia menunggu di meja makan. Yang menghairankan, suamiku itu lama benar di atas.
     “ Lama sangatlah adik akak ni bersiap di atas tu, Mai..” Kak Shila mula memberi pandangan. Aku sekadar tersenyum. Aku tidak ada sebarang ulasan untuk hal itu. Aku juga hairan. Entah apasajalah yang diusahakannya di atas itu. mungkin juga dia ambil kesempatan membersihkan bilik mandi sekaligus atau dia memang tidak perasan dengan kehadiran keluarganya di bawah.
     “ Mai rasa, Mai naik dululah ya..” pintaku kepada semua.
Mereka semua mengangguk. Aku terasa bersalah pulak membiarkan mereka semua tertunggu-tunggu didepan meja makan. Nasiblah anak-anak Kak Shila sibuk di ruang tamu. Kalau tidak, mungkin sudah buat muka kerana menunggu lama.
Aku memulas tombol pintu dengan perlahan.
Sunyi.
     “ Abang…” panggilku perlahan seraya menapak masuk. Masih tiada sahutan. Aku mengerutkan dahi. Kemana pulak suamiku ini? Bunyi pancuran air juga tiada di bilik mandi itu. kemudian aku menuju ke bilik pakaian pula. Masih sama, sunyi dan tiada bayangannya.
Aku menggumam.
Mungkin juga dia sudah turun dan mungkin dia sedang berada di ruang tamu bersama dengan anak-anak Kak Shila. Kemudian aku mengambil keputusan untuk turun semula. Terasa penat itu memang sudah ada. Hanya aku masih mahu menggagahkan diri.
Ada-ada saja suamiku ini!
Aku tersentak saat terpandang dia sudah duduk di depan meja makan dan bergelak sakan dengan keluargaku itu. aku yang ada di depan pintu bilik makan, mula menarik muka. Tahu-tahu saja dia sudah muncul di situ.
     “ Eh, sayang kemana?” tanya Dhani seraya dia menghampiriku. Dia menarik tanganku dan membawaku duduk di sebelahnya. Aku tidak menjawab pertanyaan itu dan hanya duduk diam di sebelahnya. Dhani mula meminta ayah untuk membaca doa makan sedang kami yang lainnya menadah tangan.
Alhamdulilah, keluarga kami terbiasa dengan hal ini. Mudah-mudahan juga nanti, keluarga kecilku mengutamakan RABB dalam apapun jua.
     Rasa rajukku sedikit terhakis saat melihat masing-maisng berselera menikmati hidangan juadah makan malam itu. Abang ipar dan suamiku pula, seakan berlumba-lumba menghabiskan asam pedasku. Masing-masing tidak terkata. Untuk anak-anak Kak Shila, mereka telah kuhidangkan spaghetti. Mereka memang suka makan makanan western berbanding kami, lidah melayu. Itu yang Dhani suka mengusik anak-anak buahnya. Habis makan malam, mereka berehat sebentar dan hampir jam 10 malam, mereka meminta diri untuk pulang.
“ Ingat semua nak bermalam di sini..” ucapku di depan muka pintu ketika sudah bersalaman.
“ tak adalah.. masing-masing belum cuti ni. Anak-anak saja yang cuti…” balas Kak Shila.
“ Yalah Mai.. ibu pun nasib ada teman dengan budak-budak ni. Ibu tak sabar nak tunggu yang ni juga..” sambung ibu sambil mengusap perutku.
Aku tersenyum kecil.
“ Ibu doakanlah nanti senang Mai hadapi semua..” pintaku seraya menghulur tangan bersalaman dengannya. Aku memeluk ibu dengan erat kerana aku juga rasa sayang kepadanya.
“ Kamu Dhani, jaga elok-elok isteri kamu tu. Dah sarat ayah tengok…” pesan ayah kepada Dhani yang sedang berdiri tenang di sisiku.
“ Insya Allah yah,. Ibu. Semua pun tahu Maisara ni segalanya buat Dhani..”balas Dhani sambil melirik kepadaku.
Aku sekadar menjeling.
“ Mesti jawapannya loyar buruk, kan Mai..” balas Kak Shila.
Aku tergelak kecil.
“ Eh.. tu ikrar Dhanilah, Kak.. Dan keluarga Dhani ni menjadi saksinya..”
Aku tersentuh dengan ucapannya itu meskipun dia hanya bersahaja mengatakannya.
“ Ahh.. sudahlah.. Malu nanti Mai kau usik..” luah Kak Shila akhirnya dan dia mengikuti langkah mereka yang lainnya menuju ke kereta masing-masing. Kami sempat melambai mereka sebelum pintu utama kembali ditutup.  Aku sudah berkira-kira mahu kembali ke dapur semula untuk memastikan semuanya sudah dikemas dengan baik sebelum aku naik untuk berehat kerana aku memang sudah terasa penat.
Namun, langkahku mati saat Dhani memelukku dari belakang. Dia meletakkan dagunya di bahu kananku dan memeluk erat. Aku diam dan tidak berkata apa.
     “ I’m sorry sebab buat semua orang tunggu lama…”
Aku tidak membalas. Aku menarik perlahan tangannya untuk tidak mengeratkan pelukan. Aku bukan marah atau terasa hati Cuma aku terasa senak apabila begitu. Aku berpaling dan menghadapnya.
“ Sara loves you..” aku mengungkap kata.
Dhani tersenyum.
“Abang tahu…”jawabnya. Dia menuntunku ke ruang tamu. Dia menunjukkan sesuatu di atas meja. Ada beberapa kotak hadiah di situ. Aku memandangnya dengan pandangan tidak percaya. Aku tidak tahu entah bila dia sudah sediakan semuanya.
“ Ni semua dari family kita…” khabar Dhani kepadaku. Perlahan dan hanya berbisik di sisi. Aku terbawa-bawa suasana dan rasa cinta ketika itu. frasa ‘family kita’ itu terlalu indah. Dhani tidak pernah tidak menyentuh hatiku dan benar-benar dia memaksudkan aku ini kepunyaannya dan segala punyanya adalah milikku jua.
“ untuk apa?” soalku, memandang tepat ke anak matanya. Aku tiba-tiba terasa sayu dan terharu. Mereka suka limpahiku aku dengan kasih sayang yang tidak terduga.
“ Hari ini hari istimewa Sarakan.. Hari memperingati Sara mula nekadkan diri untuk memilih dan sayang kepada abang. Abang tak boleh abaikan dan lupakan hari ini sebab hari inilah yang menentukan kebahagiaan kita..” balasnya.
Aku mengetap bibir.
“ dan semua family juga tahu..” sambungnya nakal dan tertawa kecil. Aku pantas memukul lengannya.
“ kenapalah selalu surprise Sara ni tak menjadi..” aku merungut dan sudah mula menarik muka manja.
Dhani ketawa.
“ Kalau Sara nak tahu kenapa…, sebab abang sedikit pun tak pernah alih pandangan dari Sara. Abang ambil tahu semua yang sayang abang lakukan sebab semua tentang Sara buat abang sayang sesungguhnya. Abang telah berjanji kepada TUHAN untuk lindungi tulang rusuk yang hilang ini…” jawab Dhani akhirnya, bersungguh-sungguh.
Aku pantas memeluknya.
“ Abang… janganlah berkata lagi.. Biar Sara rasakan cinta abang..” balasku, dalam pelukan itu.
Dhani membalas pelukanku. Dia hanya ketawa.
“ Erm.. tak ada special untuk abang?” soalnya.
Aku mendongak, memandangnya.
“ Makan malam yang sedap saja..” jawabku selamba.
Dhani menarik muka.
“ Mesti sayang ada siapkan sesuatu..” balasnya tidak berpuas hati.
Aku tergelak kecil.
“ Tak ada…”
“ mustahil..”
“ Kenapa pulak?” soalku, seraya melepaskan pelukan dan duduk di sofa tidak jauh di situ. Aku terasa lenguh kerana berdiri terlalu lama. Dhani juga duduk di sebelahku. Aku melentokkan kepala di bahu kirinya seraya memeluk manja lengannya. Sebenarnya, aku ada membelikannya hadiah. Itupun biasa saja tapi amat bermakna dariku buatnya. Hanya aku masih belum mahu memberinya saat itu kerana aku hanya mahu duduk dan berdua-duaan dengannya.
“ yang..”
Aku menggumam.
Hela nafas Dhani terdengar. Dia memain jemariku.
“ Thanks for today… untuk makan malam..”
“ Tanggungjawab Sara tu bang.. Apalah sangat dibandingkan dengan apa yang sudah abang buat untuk Sara..” balasku tenang.
“ Kasihan tau.. dengan sarat ni..”
“Tak apalah.. lagi besar ganjaran Sara dapat dari TUHAN..” jawabku.
“ Yalah.. Mudahan ALLAH berkati isteri abang setiap masa…”
Aku mengaminkan.
“ Yang..” panggilnya lagi.
Aku pantas menolehnya di sisi.
“ abang.. malam ni Sara hanya nak kita duduk berdua, bersama tapi tanpa berkata apa. Hanya ambil masa untuk berduaan.. boleh tak begini?”
Dhani tersenyum.
“ Kadang isteri abang ni, manjanya tak terjangkakan..”
Aku tersengih.
“ Nak bermanja dengan siapa lagi kalau bukan dengan pilot handsome Sara ni…”
“ Abang handsome?”
“ yalah..”
“ betul?”
“ yaaa.. betul..”
“ berapa percentagenya?”
“ 101%”
“ Kenapa ada 1 di hujung tu..”
“Sukati Saralah nak bagi peratus begitu…”
Dhani ketawa.
“ tu pada pandangan Sara, lah… tak tahu macamana orang lain..” tambahku dengan bersahaja.
“ orang lain belum puji lagi..”
“orang lain tak boleh puji sebab bila mereka puji, bukan dapat pahala..”
“ Eleh… jealous lah tu..”
“mana ada..”
“ yelah tu. Nada suara dah berubah..”
Aku mencubit lengannya. Tawa Dhani kedengaran lepas bebas. Kemesraan itu menerbitkan rasa yang akan kucuba abadikannya, hingga saat terakhir. Hingga akhir usia.
Aku dan dia.
Aku dan suamiku.
Aku dan hidupku.
Doaku kepadaMU, TUHAN.. cinta antara kami jangan lenyapkan. Jangan kurangkan.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Best.. Suka tgk dhani & Sara dh brbaik.. Xsabar nk tggu smbungannya

anor berkata...

lepas rindu dpt baca sambungan
orkid ni...dh habis ke masih
ada sambungannya. kalau ada
cptlah sambung ye... best sgt.