BAB 12
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Senja itu merakam sebuah kenangan. Telah
sampai ke hari penghabisan dan yang terakhir seminar dan kursus pendek yang
diadakan. Usai pembentangan terakhir dilakukan semalam, hari ini jadi
penamatnya. Acara makan petang diselangi dengan persembahan tausyeh dari
kanak-kanak berasrama penuh yang disertakan dengan penyampaian sijil
penghargaan kepada semua peserta. Hairan juga cara penutup kali ini. Lain dari
aturcara kursus sebelum ini. Walaubagaimanapun, ia memang menarik dan cukup padat
dengan pengisian. Pastilah tempat ini akan terus mengusik kenanganku untuk
tahun-tahun mendatang.
Usai
acara di petang itu, aku bersalaman dengan ustazah Latifah sebelum berpisah.
Banyak yang dipesannya kepadaku sebelum dia meminta diri untuk pulang. Pesanan
yang susah untuk aku lupa ialah bilamana dia berpesan kepadaku untuk kahwin
cepat-cepat. Aku hanya sekadar tergelak kecil dengan pesanan itu. Pastilah selepas ini susah untuk bertemu
dengan ustazah lagi. Walaupun kami satu daerah, sukarnya meluangkan masa
bersama kerana keterbatasan waktu yang lebih banyak di tempat kerja.
Aku juga
sempat bersalaman dengan peserta perempuan yang lain dan sempat juga merakam
beberapa gambar sebelum aku meminta diri untuk beredar untuk kembali semula ke
bilik hotel.
Di penghujung pintu utama, aku terserampak
dengan Dzul. Selama acara tadi, dia hilang dan tidak kelihatan. Mungkin dia
baru mahu masuk ke bilik persidangan itu atau dia ada urusan lain.
Senyumannya bermain di bibir.
“ Acara dah habis?” tanyanya kepadaku
sambil matanya melilau melihat ke dalam bilik persidangan itu.
“ A’aah.. adalah dalam lima minit yang
lalu. Awak tak masuk tadi?” balasku yang dituruti dengan soalan jua. Pastilah
menghairankan apabila dia seperti tidak tahu isi acara penutup tadi.
“ Tak, sebab ada urusan penting..”
Aku sekadar mengangguk-angguk dan
berkira-kira untuk berlalu.
“ Kemana?” halang Dzul di depanku.
Aku memberi isyarat menunjuk ke atas.
“ Kenapa?”
“Packing lah.. dah nak balik pun
ni..” jawabku bersahaja. Dia kulihat mengetap bibir. Seperti dia mahu
mengatakan sesuatu dan aku menunggu.
“ Nak kata apa? Katalah..” akhirnya aku
bersuara memberinya ruang kerana dia kelihatan sedikit teragak-agak.
“ Flight pukul berapa?”
“ Esok jam 9 pagi..”
Dia mengangguk-angguk. Dia kemudian
memberikanku ruang untuk berlalu. Aku yang dalam kehairanan dengan pertanyaan
tergantung itu sekadar berlalu saja. Namun, fikiran masih mahu membuat
kesimpulan. Aku menekan punat lif dan masuk ke dalamnya setelah terbuka. Di
dalam lif itu aku masih lagi memikirkan tingkah Dzul yang bagaikan tidak selesa
itu.
Ting!
Aku terganggu dek bunyi lif yang menandakan
aku sudah sampai ke tingkat bilikku. Aku menapak keluar dan segera menuju ke
bilik. Aku lihat ada pekerja hotel ternanti-nanti di depan pintu bilikku.
Rasanya, belum masanya kami daftar keluar lagi dari hotel ini ataupun aku
memang tidak membenarkan room service masuk.
“ Kenapa?” soalku pertama, saat berdiri
dekat pekerja lelaki itu.
“ Maaf cik, saya sekadar ingin menyampaikan
pesanan..” balasnya sopan dengan senyuman. Dia menghulurkan kepadaku satu kotak
bersaiz sederhana. Dia memintaku menurunkan tanda tangan pada sekeping kertas
dan kemudian dia meminta diri. Aku sempat mengucapkan terima kasih dan membawa
bersama kotak kecil itu masuk ke dalam bilikku. Aku terus melabuhkan duduk di
hujung katil dan mula membuka bungkusan kecil berwarna merah pekat itu.
Sebuah telefon bimbit.
Siapalah agaknya yang memberikan aku benda mahal sebegini?
Hatiku mula dipagut resah. Aku mula tercari-cari sesuatu yang berkemungkinan
ada nota kecil terselit. Aku mengeluarkan telefon bimbit berwarna merah jambu
itu dan ternampak sekeping nota yang terselit. Aku membuka nota kecil itu
dengan debar.
‘Lisa, ini untuk
awak. Semoga kita mudah berhubungan nanti. Mohon nombor ni hanya untuk kita
berdua..’
Dzul.
Aku mengetap bibir.
Dzul ini terlalu susah kuduga. Ini benda pertama aku
dapat kerana sudi berteman dengannya. Kalaulah hari-hari mendatang, bagaimana?
Adakah dia mahu membeli jiwaku dan hatiku dengan material sebegini? Terasa
ditusuk hati ini. Seolah dia beranggapan aku tidak ikhlas ingin berteman pulak.
Atau, akukah lagi yang bersalah-sangka?
Aku menekan punat on di telefon itu. sekitar beberapa
saat ada pesanan aku terima dari Aplikasi Whatsapp yang sudah diset dengan
lebih awal. Aku segera membukanya. Pesanan dari contact icon hati.
Aku mengerutkan dahi.
Ni sengaja ni!
‘ Dzul ni..’
Aku tersentak. Pesanan itu menghantar pengenalan dari
si pengirim. Sebegitu jauh Dzul ingin memanjangkan perhubungan teman yang
terlalu baru dengan perkara-perkara yang kukira-kira boleh mengusik hati ini.
‘Kenapa beri dari orang?’
Aku cuba membalas pesanan yang dikirim. Agak lama
kumenunggu pesanan berbalas sehingga statusnya berubah online.
‘ segan.. nanti awak tolak..’
Aku tersenyum kecil. Dia seperti boleh meneka aku akan
lakukan begitu. Namun, pastilah benar kerana aku bukan mudah menerima pemberian
orang yang berkemungkinan ada maksud lain. Bukan aku mahu berburuk sangka
apabila diberi hadiah atau sebagainya cuma aku hanya sekadar mahu berhati-hati.
Aku bimbang ada termakan budi dan sebagainya.
‘ harap sudi terima..’
Aku menggumam. Aku memujuk hati untuk terima saja
pemberian ini demi untuk aku menjaga hatinya. Lagipun, aku boleh anggap ini
rezeki yang bagaikan durian runtuh ni! Dalam pada aku berkata-kata sendiri itu,
telefon bimbitku bernada. Aku pantas mencapai telefon bimbitku di dalam beg
tangan dan segera menjawab. Salam diucap dan aku menjawab.
“ Lisa, esok nak minta jemput di airport tak?”
tanya abah di corong telefon. Pastilah esok mereka akan menungguku di lapangan
terbang untuk menyambut kepulanganku. Keluargaku memang begitu. Walaupun kadang
aku pergi atas urusan tugas, mereka tetap mementingkan kebajikan dan
keselesaanku.
“ Boleh jugak bah…” jawabku sopan. Kami bila berbicara
dengan abah jarang sekali dengan nada manja kerana abah seorang yang serius
namun tidaklah garang. Cuma wajah abah itu selalu menerbitkan rasa hormat kepadaku
dan juga adikku, Soleha.
“ Sebenarnya esok abah ada urusan pentinglah Lisa..”
khabar abah kepadaku dan suaranya sedikit bimbang.
“ alaaa..”
Abah tertawa mendengar aku begitu.
“ esok kalau sempat abah datang tepat masa.. kalau
sebaliknya,Lisa tunggu sajalah ya. Mungkin dalam 30 minit lewat..” tambah abah
lagi.
“ bolehlah abah.. jangan tak ambil sudah,..”balasku
mengusik abah. Abah pula menambah yang dia pasti akan tunaikan sedayanya. Cuma
abah pinta, sebagai anak aku harus memahami keutamaan abah. Mungkin kali ini
abah benar-benar ada urusan yang lebih utama. Sebenarnya, aku tidaklah berkira
sangat sebab mama pun memang sudah terbiasa mendidik kami untuk saling
bertolak-ansur dan mengutamakan urusan yang lebih utama keluarga. Aku sempat
berpesan kepada abah untuk sampaikan salam kepada mama. Kata abah, kalau aku
ingin bersembang lebih lama perlu segera call mama sebab mama waktu itu
sedang bersiap untuk keluar membeli belah bersama Soleha.
“ ala mama tu… kenapa tak tunggu Lisa balik?”
“ Laa. Esokkan dah nak balik. Bukan tak jumpa langsung..”
balas abah lagi.
Aku di sini menarik muka.
“Yalah.. jumpa esok ya bah..”
“ Ya.. insya Allah. Kalau abah lambat, tunggu abah.
Kalau hal tak dapat elak, esok abah minta tolong siapa-siapa ambil Lisa..”
Aku sekadar mengangguk. Aku tidak juga mahu menjadi
beban kepada siapa-siapapun. Kalau harus menunggu, aku akan tunggu. Lama
manalah sangat. aku boleh menunggu selagi aku boleh tunggu. Salam abah, penutup
bicaraku dan abah. Kemudian, aku terus terkenang untuk mengemas semula semua
barang-barang yang ada. Pasti esok banyak barang hendak dibawa ke airport. Salah
satu yang aku kadang malas dengan situasi sebegini ialah aku terpaksa mengemas
sendiri. Kalau di rumah, pastilah Soleha yang akan tolong aku mengemas. Sebab
itulah aku lebih selesa membiarkan pakaian masih terbiar dalam bagasi dari aku
menyusunnya ke dalam almari yang disediakan.
Uniknya aku, kan?
Aku tergelak sendiri dengan sikapku yang satu ini.
Pastilah nanti bila diketahui bakal suami, aku akan kelam-kabut pula. Sebab
itulah waktu sebegini aku sedang memperbaiki diri dan mencuba menjadi seperti
mana-mana perempuan yang tak menang tangan dalam bab-bab yang kecil sebegini.
Dulu masa zaman muda-muda remaja, aku jenis tidak suka mengikuti apa yang mama cakap.
Mama pesan buat begini, aku sekadar mengangguk. Kadang aku selamba saja
menjawab, belum masanya belajar. Hah.. sekarang sudah masanya, aku pulak jadi
kekok. Inilah sepatutnya yang tepat dengan peribahasa sediakan payung sebelum
hujan. Sayangnya aku, sudah kuyup baru nak membeli payung.
Aku kemudian terus mula mengemas. Aku makin lama makin
macam-macam nantinya yang aku fikirkan. Kadang senyum sendiri. Detik itu aku
mula terasa sudah tidak sabar mahu balik ke rumah. Sungguh rindu dengan masakan
mama, dengan bau rumah dan pastinya dengan bilikku.
Dan mungkin juga, rindu pada Azmi.
‘ Azmi… banyak aku nak kongsikan dengan kau!’
Hatiku, berkata sendiri.
Naluriku, ternanti-nanti dan tercari-cari Azmi.
0 ulasan:
Catat Ulasan