BAB 9
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Pili air perlahan-lahan kututup. Aku
melangkah keluar semula setelah siap membersihkan diri. Terasa penat setelah
hampir seharian penuh dengan aktiviti meskipun masanya berbagi-bagi. Usai
mengenakan pakaian, aku mengambil sejadah yang kusangkutkan di dalam almari.
Sudah hampir lewat Asar dan masuk Maghrib pula. Lepas Maghrib nanti aku telah
berjanji untuk keluar dengan Dzul. Aku tiada pilihan lain selain dari bersetuju
apabila dengan beraninya dia bertanyakan semula hal itu di depan Ustazah
Latifah tadi semasa lawatan ke sekolah. Menjadi hairanku pulak kerana aku lebih
memilih untuk menjaga airmukanya daripada kemahuanku sendiri. Sudah terlajak
setuju, aku jadi berkata-kata sendiri dengan tindakanku memilih untuk bersetuju
itu pulak.
Aku mendengus. Aah.. mengadulah kepada
Allah.
Niat solat kupasang. Dengan rendah hati dan
rasa kehambaan, aku menunaikan tanggungjawab dan hak muslim. Aku mengambil masa
untuk tunduk sujud di hadapan yang Esa. Kudulukan solat Asar dan kemudian
kunanti masuk waktu Maghrib. Bimbang terlepas pula kalau aku tidak mengambil
kesempatan solat di awal waktu. Di akhir doa, aku menangis. Sesungguhnya aku
lelah dengan apa yang aku hadapi sehingga ke hari ini. Aku lemah dan hilang daya.
Entah apa sebenarnya yang menggamit sayu di hatiku sehingga rapuhnya semangat
yang kubawa hingga ke hari ini.
Ya TUHAN, aku keliru dalam langkah meneruskan hidupku.
Bayangan lalu kembali menghentam hati dan jiwa ragaku. Betapa ingin aku
berusaha kembali mencari bahagia, tapi sayang jiwaku merana dengan janji-janji
yang telah dimeterai bersama. Salahkah aku ingin kembali mencari bahagia?
Aku meraup muka dengan kedua belah tanganku.
Mengaminkan pengaduanku kepada ALLAH agar diringankan sedikit rasa yang membebani
hatiku. Jauh manapun aku pergi, bayangan bekas tunanganku tidak pernah tinggal
dan jauh.
Aku beristighfar bersama hati yang lara.
Aku mahu menjadi tabah dan kuat. Aku tidak mahu menjadi mangsa cinta yang tidak
kesampaian dan janji yang telah dinodai. Penat sudah kumelihat orang lain hidup
bahagia sedang aku masih termangu dengan kenangan itu.sambil masih berteleku di
sejadah, aku diam memikirkan sesuatu. Apalah agaknya yang akan aku lakukan bila
berdepan sendiri dengan Dzul itu nanti. Aku kemudian terdengar laungan azan
dari radio yang kupasang tidak jauh dari meja solek. Terus aku bangkit bersedia
untuk menunaikan fardhu yang satu itu.Rasanya sebagai hamba, sudah menjadi
kewajipan mengutamakan yang utama.Malahan aku lebih percaya apabila kita mendulukan
Allah, Allah jua akan mendulukan urusan kita nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan