BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 17 Disember 2011

bab 22- O.R.K.I.D

Bab 22
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Hari demi hari berganti dengan perlahan namun aku senang melaluinya dengan tenang dan bahagia. Walaupun aku sudah disahkan mengandung, namun syukur Alhamdulilah, aku tidak mengalami alahan apa-apa. Masalahku saja, selera besar dan banyak keinginan untuk makan menu yang bermacam-macam. Aku kesian benar kepada ibu yang benar-benar berusaha memenuhi keinginanku. Bukannya aku tidak menolak apapun tapi Kak Shila yang memberitahunya kepada ibu tentang seleraku itu. Patutlah Kak Shila sengaja membawa aku bersembang-sembang kosong. Sambil itu dia menyelitkan pertanyaan mengenai itu juga.
      Kalau aku katakan kepada Kak Shila, aku ingin makan durian merah pulak bagaimana pula?
      Aku tersenyum sendiri.
      Bagai terhidu sudah aromanya kalau-kalau ibu ada membuat pengat keladi campur dengan durian itu. Hari berubah senja. Tentu ada minum petang hari ini.
      Ah.. sekejap lagilah aku turun ke dapur.
      Aku memandang diriku ke dalam cermin. Kuletak telapak tangan ke atas perutku. Di sini tersimpan anugerah Allah, amanahNya kepada aku dan suamiku. Bolehkah nanti aku menjadi mama yang terbaik untuk anakku ini? Mulai saat ini aku nekad. Aku ingin merubah diri yang masih tersadai jalan buntu. Aku ingin kembali ke masa kini yang penuh bahagia. Aku ingin keluar dari belenggu kenangan lalu yang memilukan.
      Aku mengira hari, menanti Dhani pulang semula. Lagi dua hari, 48 jam, 2880 minit dan 172800 saat. Lamanya detik ini berlalu untuk menemukan aku dengan suamiku ini. Baru aku terasa resah bila berjauhan dengannya.
      Apa lagi kalau aku berangkat ke Paris dan berjauhan lagi dengannya dalam tempoh yang terlalu lama pula. Pasti aku akan kerinduan padanya.
      Inikah yang Dhani rasa bila berjauhan dariku?
      Tiba-tiba aku terasa pedih di perut. lagaknya seperti ingin diisi lagi. Sedangkan aku baru saja habis makan dalam kuantiti yang banyak. Kerana si kecil di dalam rahim inikah, makanya aku merasa begitu?
      Aku mencapai telefon bimbit.
      ‘ Sara lapar lagi’
      Tulisku dan lantas aku menghantar aduanku itu kepada suamiku. Pastilah mulai hari ini, peti simpanan mesej Dhani akan penuh olehku pula. Aku menunggu dengan resah.
      Kenapa lama benar Dhani membalas? Tidak seperti selalu pula? Aku mengira detik, menanti dia membalas pesanan dariku seperti yang sudah-sudah jika aku membalas pesanan yang dikirimnya.
Seminit berlalu.
Aku menanti lagi.
Dua minit berlalu.
Belum ada juga.
3 minit berlalu.
Belum sampai-sampainya.
      Aaahh… kemana Dhani ni? Hati kecilku rasa tersiksa dan ingin menangis, lama menanti khabar darinya.
      ‘ abang mana? Lama benar nak reply mesej sayang’
Tambahku lagi, menghantar pesanan baru. Sengaja kuubah kata ganti nama diri untuk memancing dirinya, mempedulikan diriku yang kini gelisah.
Bagaimana mungkin sedrastik ini aku berubah pula?
Rasa teronta bila dia tidak membalas mesej. Walaupun hal ini nampak kecil saja tapi terlalu menyiksakan perasaanku. Aku mula membuat muka. Kalau lama lagi Dhani membalas pesananku ini, aku nekad untuk melayan rajuk. Biar dia rasakan bagaimana caranya membeli hatiku yang terasa sensitif akhir-akhir ini.
Teet teet teet!
Aku bergegas membuka pesanan dari suamiku itu.
‘ Sara turun sekarang, Kak Shila tunggu tu..’ balasnya kemudian membuatkan aku semakin rasa senang dimanjanya begitu. Tanpa membalas pesanannya aku terus menuruni anak tangga. Aku nampak Kak Shila sedang duduk di bilik rehat bersama ibu sambil memangku Hafizy. Pasti Hafizah, anaknya yang seorang itu bersama abang Anuar. Aku tidak berapa rapat dengan anak-anak Kak Shila kerana mereka dijaga pada waktu pagi oleh keluarga abang Anuar. Kalau berselisih dengan mereka, mereka lebih senang menyapaku dan bersalam saja kecuali Hafizy. Hanya dia yang mahu dipangkuku. Itu pun perlu diumpan dengan makanan. Kanak-kanak kecil itu suka dimanja.
“ Mai.. sini..” panggil ibu ketika dia terpandang aku yang baru menuruni anak tangga.
Pandanganku dengan pandangan Kak Shila bertembung. Senyuman tergaris di wajah cantiknya itu. Aku pantas mendekati ibu dan duduk di sebelahnya. Aku ternampak makanan di atas meja.
Cucur pisang panas-panas!
Aku tersengih saat terpandang Kak shila yang sedang tersenyum nakal.
“ Tiba-tiba saja ibu teringin nak buat cucur untuk menantu ibu yang seorang ini…” ibu berkata di sebelahku sambil menghulurkan kepadaku secawan teh tarik panas. Aku menyambut dengan gembira dan senang. Memang aku benar-benar rasa disayang oleh keluarga mertuaku ini. Hingga aku dapat rasakan, kesedihan makin lama makin hilang, terhakis dari jiwa ini. Aku bahagia dalam kelompok kecil ini tetapi kami ada kasih-sayang yang besar untuk dikongsi bersama. 

Jumaat, 16 Disember 2011

bab 21- O.R.K.I.D

Bab 21
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      “ Hah Mai.. ada teringin nak makan apa-apa?” soal ibu yang tiba-tiba saja ada menjengukku sebaik saja aku pulang ke rumah setelah membuat pemeriksaan tadi. Pertanyaan ibu yang kedengaran itu membuatkan aku tertanya-tanya.
      Seisi rumah sudah tahukah?
      Kak Shila mempelawa aku menuju ke bilik makan. Sengihannya semakin melebar, mengusik aku yang nampak terpinga-pinga dengan situasi itu. Makanan tengahari sudah banyak terhidang dan membuka seleraku dengan sepenuhnya.
      Aku menggosok-gosok telapak tanganku seraya menelan air liur yang nampak benar ingin menjamah menu yang terhidang. Berkobar-kobar keinginanku untuk melayan selera yang tiba-tiba saja menjadi-jadi.
      Siapa yang tak kecur liur melihat menu ini terhidang?
      Ada sambal mangga, ikan tenggiri masak lemak cili api, nasi tomato, sate, daging tumis, sup tulang dan sayur campur kegemaranku.
      “ Wah.. terima kasih ibu..” ucapku saat ibu berdiri di sebelahku sambil menyentuh bahuku.
      Pandanganku berpadu pada ayah yang pada awalnya membaca surat khabar. Ayah memang pendiam tapi aku tahu hatinya baik. Memang ayah hanya akan menyapaku bila berselisih dan ketika di meja makan.
      Kulihat ayah menggaris senyuman.
      “ Dah boleh makan?” soalku tidak sabar.
      Mereka semua tertawa mendengar permintaanku itu. Aku sekadar tersenyum kelat dengan reaksi keluarga mertuaku ini. Abang Anuar yang duduk di sebelah ayah juga turut ketawa.
      “ Dhani dah tahu?” soal Abang Anuar.
      Aku mengerutkan dahi. Soalan itu maksudnya apa? Sudahlah perut berkeroncong minta dipenuhi, mereka melengahkan waktu makanku lagi lantas membuatkan aku malas untuk memikirkan maksud pertanyaan itu.
      “ Pasal ‘orang baru’” sambung ayah pula, yang masih berkias-kias. Lama aku memikirkan maksud pertanyaan mereka hinggalah aku termalu sendiri saat menyedari maksud mereka. Pantas aku menggeleng.
      “ Lepas makanlah Mai mesej abang…” balasku dan tanpa sabar aku terus menyambut sepiring nasi yang dihulur ibu. Aku menyenduk ke semua menu ke dalam pingganku itu dan menikmatinya dengan bahagia. Tidak cukup sekali aku meminta tambah. Aku senang dimanja ibu begini.
      Seronok benar!
      Lama benar aku menghabiskan makan tengahariku sebelum aku terpaksa beredar ke bilik kerna Kak Shila merungut tentang Dhani yang tidak henti-henti menghantar mesej kepada Kak Shila, bertanyakanku.
      Aku duduk di birai katil bersama telefon bimbitku. Rasa geram juga dengan tingkah Dhani yang tidak sabar-sabar. Kuterkejut kecil melihat lebih dari 15 mesej yang belum dibuka tertera di atas skrin.
      ‘ Mana sayang ni?’
      Aku mencebik.
      ‘ Lamalah.. abang risau’
      Aku tersenyum kecil.
      ‘ Balaslah yang…’
      Aku melepaskan tawa kecil. Mesejnya yang lain mencuit hatiku juga. Banyak benar pesanan yang dihantarnya sehinggakan aku naik pening membacanya.
      ‘ call Sara kalau abang tak busy’
      Aku membalas pesanannya dan terus berbaring. Tidak sampai beberapa minit, panggilan sudah masuk. Aku sengaja melengahkan masa menjawab kerana ingin mengusik suamiku itu.
      Nakalkan?
      “ abang..” sapaku perlahan dalam nada manja. Saat ini aku terbayang sudah wajah Dhani yang pasti resah bila mendengar aku begitu. Hatiku berdebar-debar sama untuk mengkhabarkan kepadanya mengenai diriku yang kini bakal menjadi ibu kepada anaknya.
      “ Sara…” balas Dhani yang kedengarannya seperti ingin menegur aku untuk terus tidak berkata dalam nada itu.
      Aku ketawa kecil.
      “ Lamanya balas mesej..”
      “ Sara makan..”
      Dhani menggumam. Pasti bakal ayah kepada anakku ini sedang memendam rasa merajuk kepadaku.
      “ Abang… terima kasih..” aku mula berkias, untuk membeli jiwanya yang dilanda rajuk itu.
      “ Untuk apa tu? Bukankah Sara layak dapat semua kasih abang?” balas Dhani bersahaja.
      Aku ketawa manja.
      “ Dah sedia tak jadi daddy untuk anak Sara?” soalku manja.
      Lama Dhani diam sebelum dia kudengar menjerit kecil.
      “ Alhamdulilah.. abang nak jadi ayah eh?” tanya lagi dengan gembira. Kedengaran bahagia walaupun dia jauh dari sisiku.
      Aku tersenyum sendiri.
      “ Kalau nak tahu jawapannya pasti, Sara tunggu abang pulang semula di sisi Sara…”
      “ Ala… lama lagilah…” rengeknya pula.
      “ Tapi.. janji dengan Sara, abang tak akan pulang selagi kerja abang belum habis…” tegurku seraya memberi amaran akan tingkahnya yang satu itu.
      Dhani mula membebel. Jangan buat kerja berat-beratlah. Banyak berehatlah. Minta ibu tolonglah. Pesan pada Kak Shila dan yang paling menyedihkan, aku sudah tidak dibenarkan memandu pula.
      “ Yelah boss…” aku mengalah.
      Mungkin kerna Dhani benar-benar sayang padaku.
      Kan?

Khamis, 15 Disember 2011

bab 20- O.R.K.I.D

Bab 20
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Aku terasa dahiku disentuh. Panahan matahari dari jendela menikam terus ke mataku membuatkan perlahan-lahan aku membuka mata. Kepalaku terasa berat benar. Suara ibu dan Kak Shila berpadu dan kedengaran risau.
      “ Kenapa boleh demam ni?” soal ibu yang sedang berusaha membantuku bangun.
      Aku sekadar mengangkat bahu. Kak shila yang sedang duduk di hujung katil sekadar memandangku tanpa suara. Pasti dia sedang membuat telahannya sendiri.
      “ Kalau Dhani tahu, mesti dia marah..” sambung Kak Shila perlahan. Kedengaran berkias tapi aku akui, aku bersalah.
      Aku menggigit bibir. Rasa bersalah pun ada kerana membuat seisi keluarga susah hati.
      “ Larat tak ni?” soal Kak Shila.
      Aku menggeleng.
Ada airmata yang ingin jatuh. Tiba-tiba rasa sayu pula melihat kesungguhan mereka yang nampak risau dengan diriku. Kebahagiaan mana lagi yang kucari melihat aku yang sudah memiliki keluarga yang penyayang begini? Tanganku ditarik perlahan oleh Kak Shila. Dia sempat menghulurkan tudung untukku gunakan.
“ Akak bawa Mai ke hospital..” ajak Kak shila.
Aku tidak membantah. Aku tidak ingin bertikam lidah kerana aku tiada upaya lagi. Terasa lelahku memikirkan sesuatu yang tiada jalan penyelesaiannya ini. Susahnya aku. Salahnya aku. Silap sendiri yang memilih jalan hidup yang rumit sebagai satu arah. Lantas aku mengangguk kerana tidak mahu kakak iparku itu menunggu jawapanku terlalu lama sepertimana aku menyiksa perasaan adiknya dengan kedegilan hati ini memberi hati.
“ Mai..” panggil Kak Shila di sebelahku yang kini tenang memandu. Aku yang memejam mata kembali memandangnya. Tiada kata yang ingin kuucap selain menanti dia meneruskan bicaranya.
“ Dhani mesej akak ni..” khabarnya perlahan sambil menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku.
Aku mengeluh. Dalam keadaan yang lemah itu aku menyambut jua.
“ Sekejap lagi dia call..”
Belum lama Kak Shila menghabiskan kata-katanya, panggilan Dhani sudah masuk.
Ah.. pasti suamiku ini akan bertambah risau.
“ Assalammualaikum?” sapaku lemah.
Salamku dijawab tergesa-gesa.
“ Dah jumpa doktor?” soal Dhani risau.
Aku mengetap bibir. hatiku tersentuh dengan tingkahnya itu. Masih di negeri orang tetapi Dhani terkenangkan aku sudah yang jauh dari sisinya.
On the way..” balasku perlahan, mendatar dan seakan ingin menangis. Tiba-tiba saja aku ingin disayang dan dibelai Dhani saat ini.
“ Teruk tak? Kalau ya, abang balik malam ni..”
Aku tersentak mendengar khabarnya itu. Sampai begitu sekalikah dalamnya kasihnya terhadapku? Hingga sanggup meninggalkan tugas demiku?
“ Tak apalah.. bukan teruk sangat…” sanggahku bersungguh-sungguh. Aku tidak mahu dia mengulangi perbuatannya yang sama seperti minggu lalu. Kalau ibu dan ayah tahu alasan sebenar Dhani pulang lebih awal dari tempoh yang sepatutnya, aku juga yang akan segan.
“ Lagi tiga hari abang balik, Sara okey?” tanyanya lagi inginkan kepastian.
Aku ketawa kecil.
“ Okey.. Kak shilakan ada..” pujukku seraya Kak Shila juga mengiakan di sebelahku.
“ Ni yang buat abang tak ada mood nak kerja ni..”
Aku tersenyum kecil.
“ Abang janganlah.. Sara okey. Sara janji akan buat laporan pada abang setiap waktu..” sambungku lagi dan kali ini aku menabur janji pula.
“ Setiap satu jam!” arahnya tegas.
Aku merengek.
“ 3 jamlah..” aku meminta diskaun pada suamiku.
“ 30 minit..” sanggahnya.
Aku mengalah.
“ Okey, every satu jam..”
“ Janji?”
“Yes…”
“Jangan mungkiri…”
Aku ketawa kecil.
“ Insya Allah…” janjiku sebelum aku mematikan panggilan kerana aku dan Kak shila sudah sampai ke hospital. Aku beriringan dengan Kak Shila menuju ke kaunter pendaftaran sebelum kami disuruh menunggu di luar bilik doktor Suraya.
“ Dhani marah?” soal Kak Shila ketika kami sedang menunggu itu.
Aku mengangguk.
“ Mulanya…”
Kak Shila ketawa kecil.
“ Mesti ibu pun kena pesan ni..” balas Kak Shila.
Aku tersengih mendengar. Aku bukan tidak tahu cara Dhani menjagaku. Kalau dia tidak ada di sisiku, ibu yang akan menjadi penggantinya. Dhani buat aku terasa lebih dihargai dan disayangi.
“ Jomlah..” ajak Kak Shila setelah namaku dipanggil untuk menemui doktor perempuan itu. Aku diam ketika diperiksa. Walaupun doktor itu bertanya banyak, mempersoalkan caraku makan dan apa yang aku lakukan semalam, aku tetap diam. Aku memang tidak suka disoal banyak bertalu-talu tanpa menunggu aku menjawab. Sudahnya, kesemua pertanyaan itu tidak akan aku jawab dan akan tergantung tanpa penjelasan.
“ Dah berapa hari tak period?”
Aku tersentak dengan soalan itu. Aku sempat memandang Kak Shila yang sudah menggaris senyuman nakal di depanku. Aku mengerutkan dahi memikirkan kitaran haidku. Kalau tak silap, sudah seminggu lewat.
Doktor suraya tersenyum melihat kebingunganku.
“ Tahniah.. awak bakal jadi ibu…”
Wajahku terasa berseri mendengar khabar yang menggembirakan itu. Kak Shila di depanku sudah terjerit kecil. Bermacam nasihat yang diberikan doktor itu sehinggalah melarangku untuk tidak keluar malam lagi. Itu pun kerana Kak Shila yang bercerita kepada doktor itu. Katanya, aku begitu kerana rindu kepada suamiku.
“ Kerja apa?” soal doktor itu lagi ketika jururawatnya memimpin aku untuk duduk di sofa pulak.
“ Adik saya itu kerjanya memandu. Di awan biru..” usik Kak Shila bila dilihatnya aku tidak menjawab pertanyaannya.
Aku menjeling Kak Shila.
“ Selalu kena tinggallah ni?” usik doktor itu pula.
Aku tersenyum saja mendengar usikan Kak Shila dan doktor itu. Aku diberi vitamin pula dan ubat untuk melegakan demamku. Aku berterima kasih kepada doktor itu sebelum aku dan Kak Shila meninggalkannya.
Kak Shila di sisiku tersengih.
“ Habislah Mai lepas ni..”
Aku mengangkat kening, menginginkan Kak Shila melengkapkan kata-katanya.
“ Sekarang dah ada baby. Jangankan buat laporan setiap satu jam, mungkin lepas ni.. setiap lima minit Mai kena hantar mesej pada adik akak tu..” balas Kak Shila lantas tertawa.
Aku di sebelahnya hanya mampu menggaru kepala.

bab 19- O.R.K.I.D

Bab 19
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Terkulat-kulat aku di situ mendengar ungkapan Kak Shila. Aku hanya melihat Kak Shila melenggang meninggalkanku sendiri setelah lama dilihatnya aku tidak membalas kata-katanya. Mungkin sudah lelah dia memujukku dengan kata-katanya yang bagaiku dengar saja tapi tidakku beri sebarang jawapan.
      Ya Allah.
      Aku sendiri tidak tahu kenapa keras benar hatiku ini untuk menerima huluran salam cinta suamiku. Kalau setakat menunaikan tanggungjawabku sebagai isteri saja, tidak cukupkah buat Dhani? Perlukah lagi aku memberikan hati ini kepadanya?
      Dhani.. maafkanlah aku kerana belum bersedia menerima kehadiran kasihmu dalam hatiku. Hati ini masih takut pada kisah lalu. Sakit benar rasanya dilukakan sebegitu kejam walau sesungguhnya aku tidak sepatutnya menghukum dirimu atas kesalahan orang lain. Tetapi, bagaimana lagi caranya aku memujuk hatiku?
      Di situ aku menangis lagi.
      Dhani terlalu baik untuk aku lukakan dan penantian yang ditunggunya itu aku takut akan sia-sia jadinya. Jujur saja aku akui, hatiku masih menyayangi Fahrin walau dalam benar dia menghiris hatiku. Bukan kerana aku masih menginginkan dia tetapi perasaan ini belum bersedia untuk berhenti mencintainya.
      Ya TUHAN.. bukankah aku bodoh, mengharap kepada insan yang banyak memberi airmata kepadaku? Berbakul-bakul sumpah seranahku di dalam hati saat mengenang cara Fahrin yang seakan menghina harga diriku saat dia melafazkan niat untuk berhenti mencintaiku.
      Kenapa mengambil aku sebagai kekasih tapi tidak berniat untuk menjagaku seumur hidup?
Orang lain sekalipun, beradalah sekali dalam situasiku. Aku kehilangan insan yang kusayang berturut-turut dan kesedihan yang kurasakan berganda-ganda tetapi Dhani datang membawa sinar senyuman lagi di wajahku. Kenapa berat benar aku memberikan kesempatan menjadi pendampingku yang sebenar?
      Aku merenung langit itu. Suamiku menjadikan jalan di awangan itu sebagai tempatnya bertugas. Selalu jauh dariku. Setiap kali Dhani pergi jauh, aku terasa kehilangan. Apabila Dhani di sisi, aku terasa lengkap saja. Kenapa begini jadinya?
      Mungkin keputusanku untuk menjauhkan diri sementara dari Dhani keputusan yang baik? Untuk menilai sejauh mana sudah perasaanku wujud untuk suamiku itu. Aku punya alasan menjauh dengan mempercepatkan proses pergi ke Paris.
      Kalau aku beri Dhani peluang, mahukah dia menjaga hati ini dengan sebaiknya?
      Aku mengeluh.
Lama di situ, aku masih jua tidak menemui jawapan pasti. Pantas aku berniat untuk masuk ke dalam rumah semula kerana aku mula merasa tidak sedap badan. Mungkin angin malam yang menyebabkan dinginnya sampai ke tulang. Sedangku berlalu untuk menaiki anak tangga, telefon di sisi dinding menuju ke ruang rehat pula bernyanyi. Lantaran tidak ingin ada yang sedar aku masih berjaga, pantas aku memilih untuk mengangkatnya.
“ Sara?” soal si pemanggil setelah aku bersuara memberi salam.
Dhani rupanya.
Aku menggumam.
“ Kenapa tak balas mesej abang?” tanyanya serius.
Tiada berbaur usikan seperti selalu.
Berjauh hatikah sudah suamiku itu?
“ Sara ambil angin..” balasku perlahan seraya duduk di atas kerusi berhampiran. Gagang telefon wireless itu kubawa bersama.
“ Sara.. Dah tengah malam ni, kenapa keluar lagi?” soal Dhani pula, kali ini macam orang marah. Membuatkan perasaan merajuk mula singgah ke pinggir hatiku.
Mataku berkaca lagi jadinya.
“ Abang marah Sara?”
Dhani terdiam. Salahkah kalau dia risau pada isterinya itu?
“ Abang tak marah sayang..” suara Dhani kali ini berubah lembut dan bernada memujuk.
“ Sara teringat abang, sebab tu Sara keluar. Sara tak mahu ibu dan ayah nampak nangis dalam rumah sebab ingat abang..” luahku dalam suara yang mendatar. Aku sengaja membuat pengakuan itu kerana memang benar aku sedang teringatkan dia.
Tawa kecil Dhani kedengaran.
“ Abangkan dah hantar mesej. Itu tanda abang teringat sayanglah tu..” sambung Dhani dengan bahagia.
Aku mengetap bibir.
Teringatku padanya bukan kerana rindu tetapi kerana rasa bersalahku membuatkan suamiku menagih kasih pada isteri sendiri.
“ Sara rasa dingin..” aduku kemudian dan memang itu yang aku rasa sekarang. Kepalaku tiba-tiba saja berdenyut-denyut dan mencengkam. Berpinar-pinar rasanya penglihatanku.
“ Sara demam?”
“Tak..”
“ Mesti sebab Sara berembun di luar..” balas Dhani lagi, kali ini seakan menegur aku pula kerana terlalu mengikut perasaan yang ingin keluar di tengah malam.
“ Entahlah.. Sara nak tidur. Abang jaga diri..” sudahku kemudian sebelum menamatkan panggilan bersama suamiku. Walaupun aku sempat mendengar Dhani merungut dan membebel dengan bermacam-macam pesanan tapi mood aku hilang untuk melayannya berbicara. Selepas mengembalikan gagang, aku terus menaiki anak tangga dan masuk ke bilik. Di atas katil, aku mula berbaring.
Badan tiba-tiba terasa panas tetapi dingin. Aku mematikan penghawa dingin kerana berketar-ketar sudah bibir menahan sejuk. Aku terus menarik selimut sehingga ke dada.
Aku memejam mata.
Tanpa kusedar, airmata berlinang lagi di hujung mata.

bab 18- O.R.K.I.D

Bab 18
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Sepanjang cuti Dhani, kami banyak menghabiskan waktu bersama. Pulang ke rumah dan bermalam di rumah kami. Ada kesempatan pula, pasti kami akan singgah jua ke rumah ibu. Aku senang berdampingan dengan Dhani kerana dia tidak terlalu memaksa untuk aku memberikan jawapan hatiku kepadanya walaupun bening matanya nampak seakan-akan ingin tahu isi hatiku. Detik itu tidak berpanjangan kerana Dhani perlu pergi bertugas lagi di langit biru. Seperti hari yang sudah-sudah, Dhani menyuruh aku bermalam di rumah keluarganya kerana bimbang akan keselamatanku katanya.
Petang tadi aku yang menghantar suamiku itu ke lapangan terbang. Bagai terasa, separuh dari jiwaku pergi bersamanya. Katanya, sejak berkahwin denganku dia terasa malas untuk membawa kereta sendiri ke tempat kerjanya. Tambahan lagi, sia-sia saja kereta kesayangannya itu berhujan berpanas menanti detiknya kembali semula ke tanah air. Lantas malam ini aku rasa sunyi tanpa tawa dan juga gurauan dari suamiku itu.
Rindukah aku?
Aku tersenyum sendiri mengenang dia. Lagak nakalnya yang suka memelukku curi-curi. Tingkahnya yang sengaja mengujiku dengan renungannya dan banyak lagi.
Anehnya.. aku bagai terhidu-hidu wangiannya pula saat ini.
Ah…
      “ Terkenang cik abang?” soal Kak Shila yang tiba-tiba saja datang menyapaku yang sedang leka duduk di buaian. Aku terus berpaling demi saja mendengar suara Kak Shila. Aku menggaris senyuman dan mempelawa Kak Shila untuk duduk bersamaku di buaian yang menghiasi taman di luar rumah ini. Dia memilih untuk duduk bertentangan denganku. Masing-masing antara kami membisu jadinya.
      “ Tak dingin?” soal Kak Shila setelah agak lama diam dan saling melayan perasaan.
      Aku menggeleng.
      “ Saja ambil angin malam..” balasku perlahan.
      Kak Shila yang kupandang, hanya mengangguk-angguk. Kalau dilihat pada garis wajahnya, Kak Shila seakan-akan ingin berbicara lebih denganku. Itupun, kalau aku tidak tersalah faham.
      “ Rindu Dhani?” tekanya lagi.
      Aku tersengih.
      Kalau kata tidak rindu, mustahil juga sebab memang aku sedang teringat kepada suamiku itu saat ini. Mesti sekarang mesej yang dihantarnya kepadaku sudah lebih dari sepuluh. Aku sengaja meninggalkan telefon bimbitku di bilik dan bersantai di luar rumah sendirian meskipun aku sedar waktu hampir ke tengah malam.
      “ Kakak nampak Mai dari jendela atas. Hairan juga sebab dah tengah malam ni Mai masih di luar lagi. Angin malam tak baik untuk kesihatan. Kalau Mai demam, nanti Dhani susah hati..” sambung kakak iparku itu lagi dengan panjang lebar. Kakak iparku ini manis. Ada lesung pipit di pipinya. Wajahnya asli melayu, berbeza dengan Dhani.
      “ Mai diam saja, kenapa?” paksa Kak Shila lagi.
      Aku mengeluh.
      Perlukah aku minta pandangan pada kakak iparku tentang apa yang kurasa dan pendam yang berkaitan dengan Dhani? Aku sedar, aku tidak mampu menanggung segala sendiri.
      “ Kak.. akak tahukan Mai dah tak ada tempat mengadu..” akhirnya aku bersuara tapi kali ini dengan mukadimah yang pasti akan membuatkan Kak Shila tertanya-tanya. Aku sengaja melengahkan masa, memandang ke langit gelap yang kini hilang seri tanpa cahaya bintang.
      “ Boleh tak kita bicara hati ke hati?” tanyaku dan kali ini dalam nada suara yang mendatar.
      Kak Shila ketawa kecil. Menampakkan baris giginya yang cantik.
      “ Mai kan adik akak jugak.. ceritalah..” pujuknya.
      Aku menghela nafas berat sebelum menyambung bicara. Biarlah Kak Shila membantuku kali ini. Bicara hati perempuan bersama perempuan.
      “ Kak.. Dhani loves me very much..” luahku.
      Kak Shila yang ada di depanku tiba-tiba ketawa. Tingkahnya itu membuatkan aku hairan.
      “ Okeylah tu. Akak ingatkan masalah apa..” balas Kak Shila dalam tawa yang masih bersisa lagi.
      “ Tapi, hati Mai takut nak terima cinta Dhani…” luahku akhirnya dalam kepayahan.
      Kak Shila membalas pandanganku dengan penuh kasihnya. Aku berharap benar Kak Shila ada alasan yang bernas untuk meleraikan fikiranku yang semakin kusut ini.
      “ Mai.. kenapa takut pada kesungguhan Dhani?”
      Aku tidak menjawab. Detik itu, hanya tangisanku sahaja sebagai jawapan. Aku lelah pada perasaanku sendiri yang nyatanya seperti masih ragu pada kesungguhan Dhani. Jujur saja, sejauh ini aku tidak terasa walau sedikit pun Dhani menyakiti hatiku. Dia berusaha benar membuat aku bahagia dan tersenyum setiap kali bersamanya.
      Kulihat Kak Shila menghampiriku dan duduk di sebelahku pula. Dia menyentuh bahuku dan mengesat airmataku yang jatuh ke pipi.
      Aku mengetap bibir menahan tangis dari terus menitis lagi.
      “ Kalau pasal cinta Mai belum ada, perasaan boleh dipupuk Mai.. Boleh ambil waktu tapi beri Dhani peluang. Kalau cinta di hati Mai bukan kepunyaan Dhani, pendamkan saja. Semai cinta baru…”
      Aku menarik nafas. Satu persatu kata-kata Kak Shila masuk ke fikiranku.
      “ Akak kata begini bukan sebab Dhani tu adik akak tapi sebab, akak pernah dalam situasi Mai ni.. Merasa hati patah dan merana. Akak pernah bertunang tapi tak kesampaian.. walaupun cara perpisahan Mai dan akak berbeza tapi akak rasakan kepedihan itu juga. Hari ini, Mai boleh lihatkan betapa bahagianya akak hidup bersama abang anuar..”
      Aku mengangguk saja mengiakan kata-kata kakak iparku itu kerana aku juga mengetahui serba sedikit latar belakang keluarga Dhani kerana Dhani ingin aku mengenali keluarganya dengan lebih dekat lagi. Memang benar apa yang dikatakan Kak Shila kerana aku nampak dan melihatnya dengan mataku sendiri. Memang dia bahagia dan nampak tidak lagi hanyut dengan kekecewaan.
      " Kita akan nampak bodoh Mai kalau masih berharap pada sesuatu yang bukan milik kita lagi.. sia-sia saja.."
aku tidak mampu melawan kata-katanya. Aku dapat rasakan bahawa aku bodoh benar menyimpan perasaan untuk bekas tunanganku yang masih mendapat tempat di hatiku itu. entah kuasa apa yang Fahrin gunakan hingga cintanya memberi kesan luka yang dalam kepada hatiku. kenangan yang dikongsikannya amat pahit untukku telan.
      “ Tuhan memang akan pertemukan kita dengan orang yang salah sebelum kita ditemukan dengan insan yang lebih tahu menghargai kita..”
      Aku termangu dengan kata-kata itu.
      “ Tapi, janganlah salahkan takdir. Kita manusia perlu tabah hadapi hari mendatang dengan lebih dewasa..”
      Aku tidak menyanggah walau sepatah pun.
      “ Pohonlah kepada Allah.. semoga hati Mai akan terbuka untuk suami..”

Selasa, 13 Disember 2011

bab 17- O.R.K.I.D

Bab 17
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Aku memandang diriku ke dalam cermin. Rasa gelisah mula terasa saat terpandang kesan berwarna merah di leherku.
Ini semua angkara Dhani.
Dia mengambil kesempatan menghadiahkanku ‘love bite’nya di leherku ini. Nasib baiklah aku mengenakan tudung, kalau tidak pasti seisi rumah akan dapat mengesan kehadirannya di situ.
Aku mengigit bibir.
Best?” usik Dhani yang baru sahaja keluar dari bilik mandi. Dia sudah nampak segar dan wangi menghiasi ruang kamar.
Aku mencebiknya dengan geram dan menjelingnya. Rasa malas mahu melayan kenakalannya yang semakin menjadi-jadi itu. Lantaran itu, aku memilih untuk membersihkan diri dan bersiap untuk mengajak suamiku itu menikmati makan malam di restoran kesayanganku. Mungkin Dhani belum pernah pergi ke tempat itu.
Aku pantas mengambil tuala yang tersangkut di penyidaian yang tergantung di dinding dan berlalu menuju ke bilik mandi. Aku membersihkan diri dalam tempoh yang lama. Beberapa lama kemudian dari detik itu, aku keluar semula.
Kelibat Dhani sudah hilang. Kemungkinan besar dia sudah turun ke bawah. Aku sempat mengerling jam di dinding itu. Baru menuju ke angka lapan malam. Masih awal lagi untuk aku menghabiskan waktu malam ini bersama Dhani, suamiku itu.
Malam itu mengenakan gaun labuh berwarna merah jambu dan tudung warna serona. Kusolek sedikit wajahku dan kugaris gincu di bibirku. Kuriaskan pipiku dengan pewarna merah jambu dan kusembur minyak wangi kegemaranku ke seluruh tubuhku.
Aku memandang diriku ke dalam cermin. Penampilan yang cukup istimewa untuk suamiku yang terlalu kacak sebagai juruterbang itu. Aku mengambil beg tangan di atas meja kecil dan bergegas menuju ke muka pintu. Belum sempatku memulas tombolnya, Dhani sudah terlebih dahului melakukannya.
“ Lama sangatlah isteri abang ni bila…” kata-kata suamiku itu terhenti di situ dan matanya tidak berkelip.
Aku terkejut kecil dengan kehadirannya namun hairan kenapa dia mati kata di hadapanku.
“ Abang okey?” soalku.
Dhani masih enggan bersuara.
Aku menyentuh tangan kanannya dan dia nampak terpinga-pinga. Dia menggeleng kemudian dalam resah.
“ Abang kurang sihat?” tanyaku lagi dan kali ini, sekali lagi aku meletakkan tanganku di dahinya.
Tidak panas.
Dhani menarik tanganku yang menyentuh dahinya dan menggenggamnya erat.
“ abang berat hati nak keluar dengan Sara..” balasnya.
Aku tersentak.
“ Kenapa?” soalku berjauh hati.
Aku benar-benar ingin meluangkan waktu bersamanya demi menghargai kebaikannya yang telah mencuba sedaya-upayanya merealisasikan impianku untuk pergi ke Paris.
Salahkah?
“ Sara cantik sangat. Abang takut banyak orang pandang…” jawabnya bersahaja dan mengundang perasaan geram di lubuk hatiku. Pantas saja aku mencubit pinggangnya dan dia tertawa.
Dia sengaja memainkan emosiku malam-malam begini. Kalau aku benar-benar melayan rajuk, pandailah Dhani nanti.
“ Jomlah..” ajakku sambil menarik tangannya untuk beriringan denganku. Kami tercari-cari bayangan ibu dan ayah di bilik rehat tapi mereka tiada.
“ Bapak dan ibu udah keluar..” khabar Kak Suri dengan tiba-tiba bersama loghat indonesianya.
Aku mengangguk-angguk. Memang patutlah bayangan mereka tidak kelihatan. Kak Shila dan keluarga pulak sudah pasti pulang ke keluarga sebelah abang Anuar pula sebab semalam dia sempat bercerita tentang itu kepadaku. Demi tidak membuang masa, aku terus menuju keluar rumah dan menghampiri kereta Dhani.
Dhani sudah bersedia di tempat pemanduannya. Niat di hati awalnya, aku yang teringin untuk memandu malam ini tapi melihat Dhani terlebih dahulu mengambil tugas itu, aku mematikan hasrat. Aku terus memasuki kereta dan duduk tenang di sebelahnya.
Aku memandangnya.
“ Yes?” soal suamiku.
Aku berdehem, membetulkan nada suara.
“ May I Drive?”
Kening di dahi suamiku itu terangkat. Mungkin dia hairan dengan pertanyaanku itu tapi aku memang perlu jadi pemandu malam itu.
Bukankah aku yang ingin membawanya ke tempat istimewa itu?
Dhani kemudiannya mengangguk dan kami bertukar posisi.
“ Better drive safely..” pesannya di sisiku.
Aku menjeling.
Dhani seolah-olah meragui kebolehanku memandu kereta dengan cermat. Mentang-mentanglah dia memandu kapal terbang di udara.
“ Sara jangan fikir lain, abang caring okey..” sambungnya lagi, seakan-akan tahu apa yang tersirat di dalam fikiranku.
Aku sekadar mengangkat bahu. Malas mahu mengubah mood bahagia malam ini. Aku memulakan pemanduan kemudian dengan berhati-hati. Jalan raya malam ini lenggang sahaja. Mungkin banyak yang pulang bercuti ke kampung lantaran esok cuti sekolah penggal kedua akan bermula.
“ Lama lagi?” tanya Dhani.
Aku mengangguk.
“ Abang sabarlah..” balasku.
“ Dah lapar..” adunya lagi.
Aku menjelingnya yang sengaja menjadi manja pulak malam ini. Memang ketara benar Dhani ingin mengambil perhatianku lebih untuknya hari ini.
Aku membelok kereta ke simpang kanan dan restoran kesayanganku pun nampak. Senibina yang nampak ala-ala kampung ini yang membuatkan aku terpikat. Tambahan lagi masakan makanan lautnya membuatkan aku semakin terngiang-ngiang rasanya di lidahku.
Aku memarkirkan kereta di tempat selalu. Memang kebetulan kosong pulak malam itu.
“ Jom..” ajakku kepada suamiku yang nampak teruja melihat sekelilingnya.
“ Tak tahu pulak ada restoran ni di simpang jalan ni..” kata Dhani sambil jalan beriringan, berpimpin tangan bersamaku.
“ Mana nak tahu kalau abang lebih banyak memandu di udara..” balasku selamba.
Dhani menjelingku. Bukan niatku untuk membuat lawak tapi aku memang sengaja ingin mengusiknya. Kami memasuki restoran yang kebetulan juga malam itu tidak ramai pengunjungnya. Kami dipelawa untuk menikmati makan malam di bilik privasi pulak malam itu dan aku memang merasa beruntung dilayan begitu. Bukan apa. Selalunya, aku tidak berpeluang untuk makan di bilik privasi itu. Istimewanya bilik privasi, ia tertutup dan jika berkeinginan untuk makan bersama latar muzik pilihan juga pihak restoran akan tunaikan.
Candle light dinner pun boleh!
Dan, itulah yang aku inginkan malam ini. Berduaan bersama suamiku.
“ abang orderlah..” pelawaku setelah kami sama-sama duduk di bilik privasi itu.
Dhani meneliti satu persatu menu yang ada.
“ Banyak pun tak kisah?” soal Dhani di balik buku menu itu.
“ Okey.. Tak apa..”
Pelayan restoran itu mencatat sesuatu di kertasnya, mengambil pesanan Dhani.
“ Saya, seperti selalu..” ujarku berkias sedangkan aku sudah merancang sesuatu dari awal, sebelum tiba ke sini.
Bukan susah. Guna telefon saja dan semuanya boleh diselesaikan dengan mudah.
Malam itu, bilik privasi ini dihias dengan sebuah piano. Pemainnya juga ada di situ.
“ Boleh request lagu, yang?” soal Dhani.
Aku mengangguk.
“ Love melody, please…”
Pemain piano itu mengangguk dan Dhani kembali memandangku. Kali ini, lebih kepada merenung pulak. Ini yang membuatkan aku segan bila berduaan dengan Dhani. Aktivitinya yang satu ini membuatkan aku resah dan tidak tentu arah selalu.
I love you, Sara..” ungkapnya penuh perasaan.
Aku mengalihkan anak mata ke ruang lain. Bibir kuketap dengan kuat, cuba mengawal perasaan yang tidak tenang pada renungannya. Dhani benar-benar sengaja mengusik hatiku. Aku bersyukur momen itu tidak berpanjangan kerana pesanan kami pun tiba pada detik yang tepat sekali.
Jujur saja, aku belum bersedia membalas ungkapan itu.
Aku memerhatikan menu yang tiba dengan hairan pula. Satu persatu bertentangan dengan yang kuinginkan.
Kenapa menu lain dari yang kupesan dari dalam telefon pula?
“ Err.. excuse me..” panggilku pada pembantu yang menjadi pelayan restoran itu.
“ Tak apalah yang. Ini pun abang suka..” halang Dhani dan membenarkan pembantu itu berlalu.
Aku menghela nafas.
Rasa tidak berpuas hati pula jadinya. Lain yang aku rancang, lain pula jadinya. Mahu tidak mahu aku harus menuruti jua kerana aku tidak mahu merosakkan suasana makan malam kami.
Aku menikmati kek coklet itu tanpa memandang Dhani. Nampak sangat, aku melayan rajuk pula dan Dhani tidak berniat nampaknya untuk memujuk aku. Kalau Dhani perasan, mungkin dia nampak perubahan pada wajahku yang nampak memendam rasa itu.
Dalam keadaan itu mataku terpaku pada sesuatu yang nampak berkilau berhampiran hiasan coklet pada kekku itu. Lantaran tidak ingin terlalu ingin bertanda tanya makanya aku terus mengambilnya.
Sebentuk cincin emas putih!
Aku memandang Dhani.
“ Ini kepunyaan orang lainlah bang..” khabarku dan aku yakin menu ini bukan untuk kami.
Dhani hanya mempamer wajah selamba dan meneruskan makan pulak tanpa mempedulikan kata-kataku.
Eish!
“ Sayang..” panggil Dhani.
Aku menjeling.
Its actually, especially for you..”
Aku mengerutkan dahi. Hairan dengan kata-kata Dhani.
why me? Ini bukan yang Sara order..” sanggahku bersungguh-sungguh.
Dhani ketawa kecil.
“ Janji jangan marah abang?”
Aku mengangkat bahu saja. Tidak bersedia berjanji dengannya. Kalau Dhani punya alasan pada pernyataannya, mungkin aku akan pertimbangkan permintaannya.
“ Masa Sara mandi tadi, abang check senarai panggilan Sara. Abang nampak list restoranku dan abang call. Abang tanya Sara nak buat apa. Semua yang Sara buat abang tahu. So, abang tukarlah plan Sara to my surprise pulak…” panjang lebar Dhani memberi penjelasan.
Pertama kali fikir penerangannya itu, aku rasa nak marah saja pada dia tapi fikir untuk kali kedua pula, cara Dhani ini menyentuh hatiku.
Namun aku tidak berniat memberi sebarang komen. Mungkin kerana kebisuanku itulah Dhani berdiri mendekatiku pula. Tangan kananku yang masih memegang kemas cincin itu diraihnya termasuk cincin itu juga.
Dia menunduk sedikit dan menyarungkan cincin itu ke jari manis kananku.
“ Ini hadiah abang buat Sara..”
Aku tidak berkutik. Aku yang sebenarnya ingin membuat sesuatu kepadanya tapi alih-alih dia yang melaksanakannya kepadaku pula.
Be a part of my life, Sara..” bisiknya dalam nada yang sangat perlahan, seakan merayu, seakan memujuk.
Aku menunduk dengan mata yang berkaca.
Permintaan Dhani terlalu besar untuk hati kecil ini tunaikan.