BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 15 Disember 2011

bab 19- O.R.K.I.D

Bab 19
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Terkulat-kulat aku di situ mendengar ungkapan Kak Shila. Aku hanya melihat Kak Shila melenggang meninggalkanku sendiri setelah lama dilihatnya aku tidak membalas kata-katanya. Mungkin sudah lelah dia memujukku dengan kata-katanya yang bagaiku dengar saja tapi tidakku beri sebarang jawapan.
      Ya Allah.
      Aku sendiri tidak tahu kenapa keras benar hatiku ini untuk menerima huluran salam cinta suamiku. Kalau setakat menunaikan tanggungjawabku sebagai isteri saja, tidak cukupkah buat Dhani? Perlukah lagi aku memberikan hati ini kepadanya?
      Dhani.. maafkanlah aku kerana belum bersedia menerima kehadiran kasihmu dalam hatiku. Hati ini masih takut pada kisah lalu. Sakit benar rasanya dilukakan sebegitu kejam walau sesungguhnya aku tidak sepatutnya menghukum dirimu atas kesalahan orang lain. Tetapi, bagaimana lagi caranya aku memujuk hatiku?
      Di situ aku menangis lagi.
      Dhani terlalu baik untuk aku lukakan dan penantian yang ditunggunya itu aku takut akan sia-sia jadinya. Jujur saja aku akui, hatiku masih menyayangi Fahrin walau dalam benar dia menghiris hatiku. Bukan kerana aku masih menginginkan dia tetapi perasaan ini belum bersedia untuk berhenti mencintainya.
      Ya TUHAN.. bukankah aku bodoh, mengharap kepada insan yang banyak memberi airmata kepadaku? Berbakul-bakul sumpah seranahku di dalam hati saat mengenang cara Fahrin yang seakan menghina harga diriku saat dia melafazkan niat untuk berhenti mencintaiku.
      Kenapa mengambil aku sebagai kekasih tapi tidak berniat untuk menjagaku seumur hidup?
Orang lain sekalipun, beradalah sekali dalam situasiku. Aku kehilangan insan yang kusayang berturut-turut dan kesedihan yang kurasakan berganda-ganda tetapi Dhani datang membawa sinar senyuman lagi di wajahku. Kenapa berat benar aku memberikan kesempatan menjadi pendampingku yang sebenar?
      Aku merenung langit itu. Suamiku menjadikan jalan di awangan itu sebagai tempatnya bertugas. Selalu jauh dariku. Setiap kali Dhani pergi jauh, aku terasa kehilangan. Apabila Dhani di sisi, aku terasa lengkap saja. Kenapa begini jadinya?
      Mungkin keputusanku untuk menjauhkan diri sementara dari Dhani keputusan yang baik? Untuk menilai sejauh mana sudah perasaanku wujud untuk suamiku itu. Aku punya alasan menjauh dengan mempercepatkan proses pergi ke Paris.
      Kalau aku beri Dhani peluang, mahukah dia menjaga hati ini dengan sebaiknya?
      Aku mengeluh.
Lama di situ, aku masih jua tidak menemui jawapan pasti. Pantas aku berniat untuk masuk ke dalam rumah semula kerana aku mula merasa tidak sedap badan. Mungkin angin malam yang menyebabkan dinginnya sampai ke tulang. Sedangku berlalu untuk menaiki anak tangga, telefon di sisi dinding menuju ke ruang rehat pula bernyanyi. Lantaran tidak ingin ada yang sedar aku masih berjaga, pantas aku memilih untuk mengangkatnya.
“ Sara?” soal si pemanggil setelah aku bersuara memberi salam.
Dhani rupanya.
Aku menggumam.
“ Kenapa tak balas mesej abang?” tanyanya serius.
Tiada berbaur usikan seperti selalu.
Berjauh hatikah sudah suamiku itu?
“ Sara ambil angin..” balasku perlahan seraya duduk di atas kerusi berhampiran. Gagang telefon wireless itu kubawa bersama.
“ Sara.. Dah tengah malam ni, kenapa keluar lagi?” soal Dhani pula, kali ini macam orang marah. Membuatkan perasaan merajuk mula singgah ke pinggir hatiku.
Mataku berkaca lagi jadinya.
“ Abang marah Sara?”
Dhani terdiam. Salahkah kalau dia risau pada isterinya itu?
“ Abang tak marah sayang..” suara Dhani kali ini berubah lembut dan bernada memujuk.
“ Sara teringat abang, sebab tu Sara keluar. Sara tak mahu ibu dan ayah nampak nangis dalam rumah sebab ingat abang..” luahku dalam suara yang mendatar. Aku sengaja membuat pengakuan itu kerana memang benar aku sedang teringatkan dia.
Tawa kecil Dhani kedengaran.
“ Abangkan dah hantar mesej. Itu tanda abang teringat sayanglah tu..” sambung Dhani dengan bahagia.
Aku mengetap bibir.
Teringatku padanya bukan kerana rindu tetapi kerana rasa bersalahku membuatkan suamiku menagih kasih pada isteri sendiri.
“ Sara rasa dingin..” aduku kemudian dan memang itu yang aku rasa sekarang. Kepalaku tiba-tiba saja berdenyut-denyut dan mencengkam. Berpinar-pinar rasanya penglihatanku.
“ Sara demam?”
“Tak..”
“ Mesti sebab Sara berembun di luar..” balas Dhani lagi, kali ini seakan menegur aku pula kerana terlalu mengikut perasaan yang ingin keluar di tengah malam.
“ Entahlah.. Sara nak tidur. Abang jaga diri..” sudahku kemudian sebelum menamatkan panggilan bersama suamiku. Walaupun aku sempat mendengar Dhani merungut dan membebel dengan bermacam-macam pesanan tapi mood aku hilang untuk melayannya berbicara. Selepas mengembalikan gagang, aku terus menaiki anak tangga dan masuk ke bilik. Di atas katil, aku mula berbaring.
Badan tiba-tiba terasa panas tetapi dingin. Aku mematikan penghawa dingin kerana berketar-ketar sudah bibir menahan sejuk. Aku terus menarik selimut sehingga ke dada.
Aku memejam mata.
Tanpa kusedar, airmata berlinang lagi di hujung mata.

0 ulasan: