BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 15 Disember 2011

bab 20- O.R.K.I.D

Bab 20
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Aku terasa dahiku disentuh. Panahan matahari dari jendela menikam terus ke mataku membuatkan perlahan-lahan aku membuka mata. Kepalaku terasa berat benar. Suara ibu dan Kak Shila berpadu dan kedengaran risau.
      “ Kenapa boleh demam ni?” soal ibu yang sedang berusaha membantuku bangun.
      Aku sekadar mengangkat bahu. Kak shila yang sedang duduk di hujung katil sekadar memandangku tanpa suara. Pasti dia sedang membuat telahannya sendiri.
      “ Kalau Dhani tahu, mesti dia marah..” sambung Kak Shila perlahan. Kedengaran berkias tapi aku akui, aku bersalah.
      Aku menggigit bibir. Rasa bersalah pun ada kerana membuat seisi keluarga susah hati.
      “ Larat tak ni?” soal Kak Shila.
      Aku menggeleng.
Ada airmata yang ingin jatuh. Tiba-tiba rasa sayu pula melihat kesungguhan mereka yang nampak risau dengan diriku. Kebahagiaan mana lagi yang kucari melihat aku yang sudah memiliki keluarga yang penyayang begini? Tanganku ditarik perlahan oleh Kak Shila. Dia sempat menghulurkan tudung untukku gunakan.
“ Akak bawa Mai ke hospital..” ajak Kak shila.
Aku tidak membantah. Aku tidak ingin bertikam lidah kerana aku tiada upaya lagi. Terasa lelahku memikirkan sesuatu yang tiada jalan penyelesaiannya ini. Susahnya aku. Salahnya aku. Silap sendiri yang memilih jalan hidup yang rumit sebagai satu arah. Lantas aku mengangguk kerana tidak mahu kakak iparku itu menunggu jawapanku terlalu lama sepertimana aku menyiksa perasaan adiknya dengan kedegilan hati ini memberi hati.
“ Mai..” panggil Kak Shila di sebelahku yang kini tenang memandu. Aku yang memejam mata kembali memandangnya. Tiada kata yang ingin kuucap selain menanti dia meneruskan bicaranya.
“ Dhani mesej akak ni..” khabarnya perlahan sambil menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku.
Aku mengeluh. Dalam keadaan yang lemah itu aku menyambut jua.
“ Sekejap lagi dia call..”
Belum lama Kak Shila menghabiskan kata-katanya, panggilan Dhani sudah masuk.
Ah.. pasti suamiku ini akan bertambah risau.
“ Assalammualaikum?” sapaku lemah.
Salamku dijawab tergesa-gesa.
“ Dah jumpa doktor?” soal Dhani risau.
Aku mengetap bibir. hatiku tersentuh dengan tingkahnya itu. Masih di negeri orang tetapi Dhani terkenangkan aku sudah yang jauh dari sisinya.
On the way..” balasku perlahan, mendatar dan seakan ingin menangis. Tiba-tiba saja aku ingin disayang dan dibelai Dhani saat ini.
“ Teruk tak? Kalau ya, abang balik malam ni..”
Aku tersentak mendengar khabarnya itu. Sampai begitu sekalikah dalamnya kasihnya terhadapku? Hingga sanggup meninggalkan tugas demiku?
“ Tak apalah.. bukan teruk sangat…” sanggahku bersungguh-sungguh. Aku tidak mahu dia mengulangi perbuatannya yang sama seperti minggu lalu. Kalau ibu dan ayah tahu alasan sebenar Dhani pulang lebih awal dari tempoh yang sepatutnya, aku juga yang akan segan.
“ Lagi tiga hari abang balik, Sara okey?” tanyanya lagi inginkan kepastian.
Aku ketawa kecil.
“ Okey.. Kak shilakan ada..” pujukku seraya Kak Shila juga mengiakan di sebelahku.
“ Ni yang buat abang tak ada mood nak kerja ni..”
Aku tersenyum kecil.
“ Abang janganlah.. Sara okey. Sara janji akan buat laporan pada abang setiap waktu..” sambungku lagi dan kali ini aku menabur janji pula.
“ Setiap satu jam!” arahnya tegas.
Aku merengek.
“ 3 jamlah..” aku meminta diskaun pada suamiku.
“ 30 minit..” sanggahnya.
Aku mengalah.
“ Okey, every satu jam..”
“ Janji?”
“Yes…”
“Jangan mungkiri…”
Aku ketawa kecil.
“ Insya Allah…” janjiku sebelum aku mematikan panggilan kerana aku dan Kak shila sudah sampai ke hospital. Aku beriringan dengan Kak Shila menuju ke kaunter pendaftaran sebelum kami disuruh menunggu di luar bilik doktor Suraya.
“ Dhani marah?” soal Kak Shila ketika kami sedang menunggu itu.
Aku mengangguk.
“ Mulanya…”
Kak Shila ketawa kecil.
“ Mesti ibu pun kena pesan ni..” balas Kak Shila.
Aku tersengih mendengar. Aku bukan tidak tahu cara Dhani menjagaku. Kalau dia tidak ada di sisiku, ibu yang akan menjadi penggantinya. Dhani buat aku terasa lebih dihargai dan disayangi.
“ Jomlah..” ajak Kak Shila setelah namaku dipanggil untuk menemui doktor perempuan itu. Aku diam ketika diperiksa. Walaupun doktor itu bertanya banyak, mempersoalkan caraku makan dan apa yang aku lakukan semalam, aku tetap diam. Aku memang tidak suka disoal banyak bertalu-talu tanpa menunggu aku menjawab. Sudahnya, kesemua pertanyaan itu tidak akan aku jawab dan akan tergantung tanpa penjelasan.
“ Dah berapa hari tak period?”
Aku tersentak dengan soalan itu. Aku sempat memandang Kak Shila yang sudah menggaris senyuman nakal di depanku. Aku mengerutkan dahi memikirkan kitaran haidku. Kalau tak silap, sudah seminggu lewat.
Doktor suraya tersenyum melihat kebingunganku.
“ Tahniah.. awak bakal jadi ibu…”
Wajahku terasa berseri mendengar khabar yang menggembirakan itu. Kak Shila di depanku sudah terjerit kecil. Bermacam nasihat yang diberikan doktor itu sehinggalah melarangku untuk tidak keluar malam lagi. Itu pun kerana Kak Shila yang bercerita kepada doktor itu. Katanya, aku begitu kerana rindu kepada suamiku.
“ Kerja apa?” soal doktor itu lagi ketika jururawatnya memimpin aku untuk duduk di sofa pulak.
“ Adik saya itu kerjanya memandu. Di awan biru..” usik Kak Shila bila dilihatnya aku tidak menjawab pertanyaannya.
Aku menjeling Kak Shila.
“ Selalu kena tinggallah ni?” usik doktor itu pula.
Aku tersenyum saja mendengar usikan Kak Shila dan doktor itu. Aku diberi vitamin pula dan ubat untuk melegakan demamku. Aku berterima kasih kepada doktor itu sebelum aku dan Kak Shila meninggalkannya.
Kak Shila di sisiku tersengih.
“ Habislah Mai lepas ni..”
Aku mengangkat kening, menginginkan Kak Shila melengkapkan kata-katanya.
“ Sekarang dah ada baby. Jangankan buat laporan setiap satu jam, mungkin lepas ni.. setiap lima minit Mai kena hantar mesej pada adik akak tu..” balas Kak Shila lantas tertawa.
Aku di sebelahnya hanya mampu menggaru kepala.

2 ulasan:

amira aihara berkata...

huaaaaaa...bestnta hehe

Tanpa Nama berkata...

harap harap mereka berdua bahagia :) good job cik writer :)