Bab 18
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Sepanjang cuti Dhani, kami banyak menghabiskan waktu bersama. Pulang ke rumah dan bermalam di rumah kami. Ada kesempatan pula, pasti kami akan singgah jua ke rumah ibu. Aku senang berdampingan dengan Dhani kerana dia tidak terlalu memaksa untuk aku memberikan jawapan hatiku kepadanya walaupun bening matanya nampak seakan-akan ingin tahu isi hatiku. Detik itu tidak berpanjangan kerana Dhani perlu pergi bertugas lagi di langit biru. Seperti hari yang sudah-sudah, Dhani menyuruh aku bermalam di rumah keluarganya kerana bimbang akan keselamatanku katanya.
Petang tadi aku yang menghantar suamiku itu ke lapangan terbang. Bagai terasa, separuh dari jiwaku pergi bersamanya. Katanya, sejak berkahwin denganku dia terasa malas untuk membawa kereta sendiri ke tempat kerjanya. Tambahan lagi, sia-sia saja kereta kesayangannya itu berhujan berpanas menanti detiknya kembali semula ke tanah air. Lantas malam ini aku rasa sunyi tanpa tawa dan juga gurauan dari suamiku itu.
Rindukah aku?
Aku tersenyum sendiri mengenang dia. Lagak nakalnya yang suka memelukku curi-curi. Tingkahnya yang sengaja mengujiku dengan renungannya dan banyak lagi.
Anehnya.. aku bagai terhidu-hidu wangiannya pula saat ini.
Ah…
“ Terkenang cik abang?” soal Kak Shila yang tiba-tiba saja datang menyapaku yang sedang leka duduk di buaian. Aku terus berpaling demi saja mendengar suara Kak Shila. Aku menggaris senyuman dan mempelawa Kak Shila untuk duduk bersamaku di buaian yang menghiasi taman di luar rumah ini. Dia memilih untuk duduk bertentangan denganku. Masing-masing antara kami membisu jadinya.
“ Tak dingin?” soal Kak Shila setelah agak lama diam dan saling melayan perasaan.
Aku menggeleng.
“ Saja ambil angin malam..” balasku perlahan.
Kak Shila yang kupandang, hanya mengangguk-angguk. Kalau dilihat pada garis wajahnya, Kak Shila seakan-akan ingin berbicara lebih denganku. Itupun, kalau aku tidak tersalah faham.
“ Rindu Dhani?” tekanya lagi.
Aku tersengih.
Kalau kata tidak rindu, mustahil juga sebab memang aku sedang teringat kepada suamiku itu saat ini. Mesti sekarang mesej yang dihantarnya kepadaku sudah lebih dari sepuluh. Aku sengaja meninggalkan telefon bimbitku di bilik dan bersantai di luar rumah sendirian meskipun aku sedar waktu hampir ke tengah malam.
“ Kakak nampak Mai dari jendela atas. Hairan juga sebab dah tengah malam ni Mai masih di luar lagi. Angin malam tak baik untuk kesihatan. Kalau Mai demam, nanti Dhani susah hati..” sambung kakak iparku itu lagi dengan panjang lebar. Kakak iparku ini manis. Ada lesung pipit di pipinya. Wajahnya asli melayu, berbeza dengan Dhani.
“ Mai diam saja, kenapa?” paksa Kak Shila lagi.
Aku mengeluh.
Perlukah aku minta pandangan pada kakak iparku tentang apa yang kurasa dan pendam yang berkaitan dengan Dhani? Aku sedar, aku tidak mampu menanggung segala sendiri.
“ Kak.. akak tahukan Mai dah tak ada tempat mengadu..” akhirnya aku bersuara tapi kali ini dengan mukadimah yang pasti akan membuatkan Kak Shila tertanya-tanya. Aku sengaja melengahkan masa, memandang ke langit gelap yang kini hilang seri tanpa cahaya bintang.
“ Boleh tak kita bicara hati ke hati?” tanyaku dan kali ini dalam nada suara yang mendatar.
Kak Shila ketawa kecil. Menampakkan baris giginya yang cantik.
“ Mai kan adik akak jugak.. ceritalah..” pujuknya.
Aku menghela nafas berat sebelum menyambung bicara. Biarlah Kak Shila membantuku kali ini. Bicara hati perempuan bersama perempuan.
“ Kak.. Dhani loves me very much..” luahku.
Kak Shila yang ada di depanku tiba-tiba ketawa. Tingkahnya itu membuatkan aku hairan.
“ Okeylah tu. Akak ingatkan masalah apa..” balas Kak Shila dalam tawa yang masih bersisa lagi.
“ Tapi, hati Mai takut nak terima cinta Dhani…” luahku akhirnya dalam kepayahan.
Kak Shila membalas pandanganku dengan penuh kasihnya. Aku berharap benar Kak Shila ada alasan yang bernas untuk meleraikan fikiranku yang semakin kusut ini.
“ Mai.. kenapa takut pada kesungguhan Dhani?”
Aku tidak menjawab. Detik itu, hanya tangisanku sahaja sebagai jawapan. Aku lelah pada perasaanku sendiri yang nyatanya seperti masih ragu pada kesungguhan Dhani. Jujur saja, sejauh ini aku tidak terasa walau sedikit pun Dhani menyakiti hatiku. Dia berusaha benar membuat aku bahagia dan tersenyum setiap kali bersamanya.
Kulihat Kak Shila menghampiriku dan duduk di sebelahku pula. Dia menyentuh bahuku dan mengesat airmataku yang jatuh ke pipi.
Aku mengetap bibir menahan tangis dari terus menitis lagi.
“ Kalau pasal cinta Mai belum ada, perasaan boleh dipupuk Mai.. Boleh ambil waktu tapi beri Dhani peluang. Kalau cinta di hati Mai bukan kepunyaan Dhani, pendamkan saja. Semai cinta baru…”
Aku menarik nafas. Satu persatu kata-kata Kak Shila masuk ke fikiranku.
“ Akak kata begini bukan sebab Dhani tu adik akak tapi sebab, akak pernah dalam situasi Mai ni.. Merasa hati patah dan merana. Akak pernah bertunang tapi tak kesampaian.. walaupun cara perpisahan Mai dan akak berbeza tapi akak rasakan kepedihan itu juga. Hari ini, Mai boleh lihatkan betapa bahagianya akak hidup bersama abang anuar..”
Aku mengangguk saja mengiakan kata-kata kakak iparku itu kerana aku juga mengetahui serba sedikit latar belakang keluarga Dhani kerana Dhani ingin aku mengenali keluarganya dengan lebih dekat lagi. Memang benar apa yang dikatakan Kak Shila kerana aku nampak dan melihatnya dengan mataku sendiri. Memang dia bahagia dan nampak tidak lagi hanyut dengan kekecewaan.
" Kita akan nampak bodoh Mai kalau masih berharap pada sesuatu yang bukan milik kita lagi.. sia-sia saja.."
aku tidak mampu melawan kata-katanya. Aku dapat rasakan bahawa aku bodoh benar menyimpan perasaan untuk bekas tunanganku yang masih mendapat tempat di hatiku itu. entah kuasa apa yang Fahrin gunakan hingga cintanya memberi kesan luka yang dalam kepada hatiku. kenangan yang dikongsikannya amat pahit untukku telan.
" Kita akan nampak bodoh Mai kalau masih berharap pada sesuatu yang bukan milik kita lagi.. sia-sia saja.."
aku tidak mampu melawan kata-katanya. Aku dapat rasakan bahawa aku bodoh benar menyimpan perasaan untuk bekas tunanganku yang masih mendapat tempat di hatiku itu. entah kuasa apa yang Fahrin gunakan hingga cintanya memberi kesan luka yang dalam kepada hatiku. kenangan yang dikongsikannya amat pahit untukku telan.
“ Tuhan memang akan pertemukan kita dengan orang yang salah sebelum kita ditemukan dengan insan yang lebih tahu menghargai kita..”
Aku termangu dengan kata-kata itu.
“ Tapi, janganlah salahkan takdir. Kita manusia perlu tabah hadapi hari mendatang dengan lebih dewasa..”
Aku tidak menyanggah walau sepatah pun.
“ Pohonlah kepada Allah.. semoga hati Mai akan terbuka untuk suami..”
1 ulasan:
Lembutla hati maisara ye
Catat Ulasan