BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 17 Disember 2011

bab 22- O.R.K.I.D

Bab 22
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Hari demi hari berganti dengan perlahan namun aku senang melaluinya dengan tenang dan bahagia. Walaupun aku sudah disahkan mengandung, namun syukur Alhamdulilah, aku tidak mengalami alahan apa-apa. Masalahku saja, selera besar dan banyak keinginan untuk makan menu yang bermacam-macam. Aku kesian benar kepada ibu yang benar-benar berusaha memenuhi keinginanku. Bukannya aku tidak menolak apapun tapi Kak Shila yang memberitahunya kepada ibu tentang seleraku itu. Patutlah Kak Shila sengaja membawa aku bersembang-sembang kosong. Sambil itu dia menyelitkan pertanyaan mengenai itu juga.
      Kalau aku katakan kepada Kak Shila, aku ingin makan durian merah pulak bagaimana pula?
      Aku tersenyum sendiri.
      Bagai terhidu sudah aromanya kalau-kalau ibu ada membuat pengat keladi campur dengan durian itu. Hari berubah senja. Tentu ada minum petang hari ini.
      Ah.. sekejap lagilah aku turun ke dapur.
      Aku memandang diriku ke dalam cermin. Kuletak telapak tangan ke atas perutku. Di sini tersimpan anugerah Allah, amanahNya kepada aku dan suamiku. Bolehkah nanti aku menjadi mama yang terbaik untuk anakku ini? Mulai saat ini aku nekad. Aku ingin merubah diri yang masih tersadai jalan buntu. Aku ingin kembali ke masa kini yang penuh bahagia. Aku ingin keluar dari belenggu kenangan lalu yang memilukan.
      Aku mengira hari, menanti Dhani pulang semula. Lagi dua hari, 48 jam, 2880 minit dan 172800 saat. Lamanya detik ini berlalu untuk menemukan aku dengan suamiku ini. Baru aku terasa resah bila berjauhan dengannya.
      Apa lagi kalau aku berangkat ke Paris dan berjauhan lagi dengannya dalam tempoh yang terlalu lama pula. Pasti aku akan kerinduan padanya.
      Inikah yang Dhani rasa bila berjauhan dariku?
      Tiba-tiba aku terasa pedih di perut. lagaknya seperti ingin diisi lagi. Sedangkan aku baru saja habis makan dalam kuantiti yang banyak. Kerana si kecil di dalam rahim inikah, makanya aku merasa begitu?
      Aku mencapai telefon bimbit.
      ‘ Sara lapar lagi’
      Tulisku dan lantas aku menghantar aduanku itu kepada suamiku. Pastilah mulai hari ini, peti simpanan mesej Dhani akan penuh olehku pula. Aku menunggu dengan resah.
      Kenapa lama benar Dhani membalas? Tidak seperti selalu pula? Aku mengira detik, menanti dia membalas pesanan dariku seperti yang sudah-sudah jika aku membalas pesanan yang dikirimnya.
Seminit berlalu.
Aku menanti lagi.
Dua minit berlalu.
Belum ada juga.
3 minit berlalu.
Belum sampai-sampainya.
      Aaahh… kemana Dhani ni? Hati kecilku rasa tersiksa dan ingin menangis, lama menanti khabar darinya.
      ‘ abang mana? Lama benar nak reply mesej sayang’
Tambahku lagi, menghantar pesanan baru. Sengaja kuubah kata ganti nama diri untuk memancing dirinya, mempedulikan diriku yang kini gelisah.
Bagaimana mungkin sedrastik ini aku berubah pula?
Rasa teronta bila dia tidak membalas mesej. Walaupun hal ini nampak kecil saja tapi terlalu menyiksakan perasaanku. Aku mula membuat muka. Kalau lama lagi Dhani membalas pesananku ini, aku nekad untuk melayan rajuk. Biar dia rasakan bagaimana caranya membeli hatiku yang terasa sensitif akhir-akhir ini.
Teet teet teet!
Aku bergegas membuka pesanan dari suamiku itu.
‘ Sara turun sekarang, Kak Shila tunggu tu..’ balasnya kemudian membuatkan aku semakin rasa senang dimanjanya begitu. Tanpa membalas pesanannya aku terus menuruni anak tangga. Aku nampak Kak Shila sedang duduk di bilik rehat bersama ibu sambil memangku Hafizy. Pasti Hafizah, anaknya yang seorang itu bersama abang Anuar. Aku tidak berapa rapat dengan anak-anak Kak Shila kerana mereka dijaga pada waktu pagi oleh keluarga abang Anuar. Kalau berselisih dengan mereka, mereka lebih senang menyapaku dan bersalam saja kecuali Hafizy. Hanya dia yang mahu dipangkuku. Itu pun perlu diumpan dengan makanan. Kanak-kanak kecil itu suka dimanja.
“ Mai.. sini..” panggil ibu ketika dia terpandang aku yang baru menuruni anak tangga.
Pandanganku dengan pandangan Kak Shila bertembung. Senyuman tergaris di wajah cantiknya itu. Aku pantas mendekati ibu dan duduk di sebelahnya. Aku ternampak makanan di atas meja.
Cucur pisang panas-panas!
Aku tersengih saat terpandang Kak shila yang sedang tersenyum nakal.
“ Tiba-tiba saja ibu teringin nak buat cucur untuk menantu ibu yang seorang ini…” ibu berkata di sebelahku sambil menghulurkan kepadaku secawan teh tarik panas. Aku menyambut dengan gembira dan senang. Memang aku benar-benar rasa disayang oleh keluarga mertuaku ini. Hingga aku dapat rasakan, kesedihan makin lama makin hilang, terhakis dari jiwa ini. Aku bahagia dalam kelompok kecil ini tetapi kami ada kasih-sayang yang besar untuk dikongsi bersama. 

1 ulasan:

cactaceous opuntia berkata...

untungla dpt mak mentua n kak ipar yg baik...=)