Bab 7
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Pusara itu kupandang sepi tanpa makna. Hadirin yang menghadiri pengebumian abah sudah beransur pulang sedangkan aku masih termangu di situ bersama airmata yang sudah kekeringan. Puas aku menangisi pemergian abah sedangkan aku sepatutnya tidak begitu. Aku terasa seperti jasad abah masih ada di sampingku.
Bahuku disentuh perlahan.
Aku mengesat airmata yang kesekian kali mengalir lagi. Dengan berat hati aku bangkit dari situ, bersama semangat yang sudah hancur luluh bersemadi sama di pusara itu.
Aku memandang suamiku yang segak berbaju cara melayu gelap itu. Wajah nampak tenang tapi aku tidak mampu menjadi kuat sepertinya. Kini aku hanya ada dia.
Benarkah dia boleh menjadi perwira dalam hidupku pula?
Tanpaku duga, Dhani menarik aku ke dalam pelukannya.
“ Pusara abah jadi saksinya. Abang akan jaga Sara walaupun abang tidak mendapat tempat di hati Sara..” ikrarnya menyentuh hatiku membuatkan aku kehilangan kata.
Aku tidak berdaya menangis lagi. Kalau benar Dhani maksudkannya, bawaku keluar dari kesedihan ini dan hadirkan bahagia dalam hidupku. Aku menuruti langkahnya pulang ke rumah dengan lemah saja. Aku sedar di perkuburan tadi aku terpandang Fahrin dan keluarganya. Dia seperti ingin berbicara kepadaku tapi aku ingin menjaga hati mertuaku dan juga hati Dhani. Makanya aku senang menafikan kehadirannya.
Aku melangkah masuk ke dalam rumah dengan longlai dan aku terus melangkah lemah, duduk di ruang tamu. Aku memejam mata walaupun aku mendengar Dhani memanggil namaku berulangkali.
“ Sayang okey tak ni?” soal Dhani yang tiba-tiba saja sudah melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku sempat mengerlingnya saja namun, aku masih lagi berdiam.
Dia mengucup pipiku. Pantas saja mataku terbuka. Dia menggaris senyuman tapi aku menjelingnya.
“ Janganlah buat abang susah hati..” pinta Dhani perlahan kepadaku. Aku mengeluh. Bukan niatku begitu tapi apa yang berlaku terlalu sukar untukku terima dengan terbuka.
Aku bukan setabah yang dia bayangkan sedang hatiku sudah tercalar dengan cinta yang tidak kesampaian inikan pula dengan perihal kehilangan abah.
“ Maafkan Sara…” pintaku padanya seraya memeluknya dengan erat. Aku ingin berlindung di balik kegagahan suamiku ini.
“ Sara tak salah pun..”
Aku tidak bersuara.
“ Apa yang terjadi ini, semoga akan ada hikmahnya..”
Aku sekadar menjadi pendengar suamiku berceloteh. Biarlah nasihatnya menyentuh ke dasar hatiku kalau itu membuat hatiku tenang tanpa kesedihan mengenang ketiadaan abah.
“ Sara dah tak ada siapa-siapa..” aduku perlahan sambil membalas pandangan suamiku itu. Aku ingin meluahkan apa yang kurasa tapi aku bukan ingin meminta simpati darinya.
“ Abangkan ada..”
Aku terkedu.
Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana lagi caranya meneruskan hidup dengan suamiku ini. Kehilangan abah membuatkan aku kehilangan punca melakar jalan hidup dan merungkai keputusan. Sedangkan aku belum kenal pada suamiku ini apatah lagi ingin bertahan meneruskan perjalanan perkahwinan ini.
Aku merenggangkan pelukan.
“ Takkan abang nak stay di sini selamanya..”
Dhani mencubit pipiku.
“ Abang akan bawa Sara kemana pun abang pergi..”
Aku mengetap bibir.
“ Jadi, kita akan tinggalkan rumah abah ni?” soalku perlahan. Pastilah akan tinggal kosong tanpa bayang lagi. Pasti juga kenangan kami sekeluarga juga akan terkubur di sini.
“ Sara ada pilihan lain?”
Aku termangu lantas menggeleng kemudian. Aku bangkit dari tempatku duduk dan beralih ke jendela. Aku memandang langit mendung yang mula melakar di kaki langit. Sesekali angin menyapa dan aku terleka. Daun-daun usang semakin banyak berguguran menyembah bumi. Hela nafas suamiku dekat di telinga. Itu tandanya dia ada di sisi.
“ Sara fikir apa?” soalnya perlahan.
Dagunya sengaja diletak di bahu kananku dan tangannya memeluk erat pinggangku. Kalau aku luahkan segala yang ada di lubuk hati ini, mahukah Dhani mendengar dan menerimanya dengan redha? Tahukah Dhani aku ingin dia menjadi teman hidupku hanya kerana desakan abah yang benar-benar ingin aku menjadi isteri Dhani? Tidakkah nanti Dhani merasa aku melukainya pula dan aku akan tinggal sendiri lagi? Hati ini ingin berbicara. Sayangnya, aku tidak tahu mereka mukadimahnya. Aku ingin sekali memberi ruang hati ini untuk dirinya,tapi sayangnya aku keberatan. Aku ingin memberi waktu kepadanya memiliki hatiku tapi sayang aku takut dia lelah menunggu.
Aku menolak tangannya dari terus memelukku. Aku berpaling memandangnya dengan perasaan berbaur.
Kurang apa suamiku ini padaku?
Tiada.
Dia ada rupa. Senyumannya saja kadangkala dalam diam aku sendiri terpesona. Sekali saja dia berbisik dalam suara gemersik, hatiku berdebar dengan irama yang tidak teratur. Ketawanya.. bersahaja tapi mengundang gundah di hati. Perasaan ini aku alami saat dekat di sisinya. Berusaha keras aku menyembunyikan semuanya kerana aku tidak mahu Dhani tahu gelora di hatiku.
“ Lama Sara renung abang..”
Aku tersentak pantas menunduk. Rasa malu bila tertangkap begitu. Lantas kudengar dia tertawa nakal. Dengan selamba aku memukul bahunya dalam rajuk.
“ Tahu malu..” usiknya bersahaja. Aku membalas usikannya dengan jelingan.
“ Sara..” gemersik suaranya memanggilku.
Aku terdiam. Membalas renungan matanya yang sarat dengan kasih sayang tapi tertanya-tanyaku jua jadinya.
Untuk akukah sayangnya itu?
“ Masuklah ke dalam hidup abang, Sara..”
0 ulasan:
Catat Ulasan