BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 16 Julai 2012

Bab 31 O.R.K.I.D (Ombak rindu kita indah desirannya)


Bab 31
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Pagi yang cerah itu, aku dan Dhani sudah bersiap-siap untuk keluar bersiar-siar. Awal lagi Dhani sudah bercerita tentang betapa seronoknya menikmati suasana hening pagi di bumi Perancis kesayanganku itu. Awalnya, waktu kami tergendala kerana hampir saja lupa mengkhabarkan kepada keluarga kami di tanah air tentang ketibaan kami yang sudah selamat mendarat di sini. Itupun kerana aku tersebut nama Kak Shila sewaktu mengenakan gaun labuh berwarna merah jambu yang kusarung ke tubuhku ini. Lantaran itu, Dhani menanyakan dimana aku mendapat gaun cantik ini. Kerana jawapanku itulah Dhani terus menghubungi
Kak Shila demi memaklumkan kedatangan kami.
Aku sempat berpesan kepada Dhani untuk menyampaikan salam rinduku kepada ibu.
          “ Dah siap?” soal Dhani di balik pintu utama.
Suamiku itu sudah kelihatan segak dengan penampilan kasualnya. Aku bergegas menghampirinya kerana tidak ingin dia menantiku terlalu lama.
          “ Isteri abang ni makin cantik..” usiknya sambil menarik tangan kananku dan digenggamnya erat. Aku sempat mencubit lengannya yang sengaja mengusik aku pagi itu.
          “ Kita dating ya…” balasnya lagi dalam tawa bersisa.
Usai mengunci pintu rumah, kami berjalan beriringan. Betul-betul bagai pasangan baru bercinta. Seisi tempat kami bergandingan, sesekali menoleh kepada kami yang kadang tanpa sedar melepas tawa bahagia itu. Itu pun kerana Dhani yang sengaja menambah jenaka yang entah dari mana dia dapat isi cerita itu. Dhani kemudiannya mencadangkan kami menaiki bas di station Euroline. Mujur saja, stesen ini kurang jauh dari tempat kami bersiar itu kerana rumah sewa kami bukannya jauh dari jalan ke taman. Dengan berpimpinan tangan, aku dan Dhani menaiki bas untuk memulakan langkah melewati bumi Perancis. Pemandangan luar nampak benar-benar indah meskipun kota ini nampak sibuk dengan urusan peribadi masing-masing. Usai lama menikmati perjalanan di dalam bas, kami berdua turun ke satu tempat. Kami berdua memilih untuk berjalan kaki ke Jacques Bonsergent untuk menaiki kereta api dan berhasrat menuju ke Trocadero Metro Station. Impianku ingin menuju ke  ‘Palais De Chaillot’. Di sini, kami merakamkan beberapa keeping gambar kenang-kenangan bersama.
          Aku benar-benar bahagia dan terasa disayangi Dhani. Dhani kemudiannya membawaku menuju ke menara yang menjadi kegilaanku itu. Dengan tawa bahagia, aku bersahaja setuju dengan usulannya membawaku ke menara Eiffel ini.
          Ya Allah… indah benar ciptaannya!
Aku berjalan perlahan di sekitar menara itu dengan rasa bahagia yang terlalu. Sesekali aku sentuh binaannya dan seakan-akan bermimpi. Aku terus memandang Dhani. Aku benar-benar sayang padanya dan lantas aku terus menghadiahkan ciuman di pipi suamiku itu.
          “ Sara sayang abang!” ucapku sambil memeluknya erat.
Ah… biarlah banyak mata memandang. Lagipun, yang kupeluk ini suamiku. Aku tidak ingin menanti kesempatan lain untuk aku menzahirkan betapa aku bahagia menjadi isterinya. Bukan kerana Dhani membawaku ke sini tapi kerana dia telah sedaya upayanya membahagiakanku.
Tidakkah itu mengharukan hati?
Kemudian Dhani mengajakku melewati beberapa bangunan setelah mengambil masa yang lama berada di sisi menara Eiffel itu. Aku dan Dhani memilih berjalan melewati beberapa buah bangunan. Dhani yang sememangnya pernah ke bumi ini tidak kekok menjadi pemandu pelancong khas untuk isterinya ini. Di antara bangunan yang mencuri pandanganku ialah bangunan Institute De France berhadapanan dengan patung ilmuan Perancis Condorcet. Di seberangnya pula sungai ada Musee Du Lourve. Nama-namanya saja membuatkan lidah susah untuk menyebut. Sesekali tawa Dhani singgah pada pendengaranku kerana aku selalu saja tersalah sebut nama-nama itu.
“ Belum penat yang?” soal Dhani saat kami beriringan meneruskan perjalanan.
Aku mengerlingnya sekilas. Jujur saja, aku bukannya tidak penat tapi aku gembira benar dengan perjalanan kami ini.
“ Penat tapi Sara happy..” balasku manja.
Dhani tersenyum.
“ Best?”
Aku mengangguk cepat. Tidak menunggu lama soalan itu berlalu bersama angin lalu. Aku tidak memikirkan soal lapar kerana semasa di menara Eiffel tadi, kami sempat mengisi perut di tingkat pertengahan.
Kini, kami mengambil masa berehat di bangku yang bertentangan dengan Seine River. Meski hari melewati ke senja namun aku dan Dhani masih bersemangat melewati bumi Perancis dan aku benar-benar suka melihat rona langit yang sudah berubah itu.
Aku melentokkan kepala ke bahu suamiku yang tersayang ini. Sesungguhnya, membara rasa kasihku padanya. Degup jantungnya berdetak sempurna. Jari-jemari kami bertaut erat.
Ah… bahagianya!
“ Baby abang okay tak?” soal Dhani dalam bisikan. Suaranya benar-benar membuai hatiku. Mungkin kerana pengaruh suasana kota yang dipanggil Kota Cinta ini telah merasuk seluruh jiwaku.
“ Dia okay..” balasku perlahan tanpa memandang. Aku hanya ingin menikmati waktu berdua-duaan begini tanpa suara dan tanpa bicara. Senja ini banyak mengukir memori romantis antara aku dan Dhani. Kadang-kadang angin yang membelai, menyapa kami menambah keindahan waktu bersama.
“ Sara…”
Aku menggumam di sisinya.
“ Bila Sara mendaftar esok, Sara jangan terlalu aktif ya..” pesannya perlahan.
Aku mendongak memandang suamiku yang berkata-kata itu.
“ Insya Allah bang.. Sara tahu apa yang abang maksudkan. Impian Sara memang nak belajar di sini. Sara nak bawa balik ijazah dari Kota Cinta ni..” balasku bersahaja bersama senyuman.
“ Bagus!” pujinya seraya mencubit pipi kananku.
Aku mula menarik muka dengan tingkahnya itu. Dhani kalau dia sudah mencubit, bukan biasa saja rasanya. Sakit yang tak terkata. Geram benar dia pada isterinya ini.
“Abang ni..” rungutku dengan manja.
Dhani mengukir senyuman manis. Dia kemudiannya mengajakku untuk bergandingan lagi bersamanya melewati beberapa tempat sebelum Dhani membuat keputusan untuk pulang semula ke rumah sewa kami.
Aku yang sememangnya merasa letih tetap tidak menolak.

0 ulasan: