BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 16 Julai 2012

Bab 32 O.R.K.I.D (Ombak rindu kita indah desirannya)


Bab 32
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

Sungguh benar aku tidak menyangka. Akhirnya, aku sampai jua memijak kaki ke universiti yang sudah Dhani pohonkan untukku sambung semula pengajian di Perancis ini.
Dhani sememangnya telah mendaftarkan untukku di Campus France sebagai agensi yang mengadakan promosi pengajian di seluruh dunia dan akhirnya, aku ditempatkan di universiti yang tersergam indah ini.
Aku menjejak kaki di Bandar Besancon, Perancis dan didaftarkan oleh suamiku itu di Faculte des Lettres et Sciences du Langage dalam bidang perguruan Bahasa Perancis.
Universite Franche Comtois (UFC).
Meskipun aku pada asalnya tidak berminat dalam bidang perguruan namun atas nasihat suamiku itu, aku menerima dengan rela jua.
Biarlah begini.
Susah payah Dhani menguruskan segalanya untukku. Tidak salah kiranya aku mengikut kemahuannya pula. Aku tidak tahu kenapa Dhani memilih Bandar Besancon ini. Namun, yang pasti Dhani kata bandar ini ialah sebuah bandar yang banyak nilai sejarah. Antaranya, sebuah pusat khazanah sejarah UNESCO yang dikenali sebagai Citadelle. Tambahan lagi, penduduk di sini baik-baik belaka dan sangat peramah serta mesra. Soal tempat makan, itu bukan masalah antara aku dan Dhani. Terlalu banyak tempat yang boleh menghidangkan makanan halal.
Yang penting, ada duit!
Memang sangat banyak restoran yang menghidangkan makanan halal. Kedai kebab ada dan kalau teringin makan tom yam, ada kedai PUM atau dikenali sebagai restoran makanan Thai. Yang pasti, aku sedang berduaan bersama Dhani ketika ini menikmati makan tengahari setelah sesi mendaftar selesai.
“ Sedaplah..” pujiku sambil menghirup kuah Tom Yam yang membuatkan aku kecur liur itu. Aku memang boleh dikatakan hantu Tom Yam kerana aku memang suka masakan ini.
Dhani tertawa nakal.
“ Lama-lama, gemuklah isteri abang ni..” usiknya yang baru saja habis menikmati makanan yang dipesannya.
Aku menjelingnya demi menyahut usikan suamiku itu.
“ Nak dengar cerita pasal Bandar Besancon ni lagi?” soal Dhani.
Aku mengangguk. Sebenarnya, banyak sudah yang Dhani ceritakan tentang bandar ini. Segala info yang dikongsikannya bersamaku adalah hasil kekuatan ingatannya yang pernah melancong ke sini semasa dia bertugas beberapa tahun yang lalu. Dhani terus bercerita sambil kami santai-santai di restoran PUM ini. Kata suamiku, sekiranya aku teringin untuk makan nasi briyani, ada restoran TAJ MAHAL. Sekiranya aku ingin mencuba makan makanan tempatan Perancis, dia boleh membawaku ke restoran yang menghidangkan ‘ Plat Franc Comtois’ yang dihidang bersama keju.
Memang banyak kedai asia di bumi ini.
Aku menghirup jus oren yang hampir habis. Seronok benar aku mendengar Dhani bercerita.
“ So, sebelum start kuliah ni.. Nak dating lagi?” soal Dhani.
Aku tanpa membuang sedikit waktu, terus mengangguk. Bila lagi masanya aku hendak berdua-duaan kerana Dhani akan berangkat pulang semula kerana dia dipanggil bertugas lantaran tidak banyak pemandu kapal terbang yang akan menerbangkan ke negara-negara lain. Dek kerana itulah, percutian Dhani menjadi singkat.
Usai membayar di kaunter, aku berpegangan tangan bersama Dhani keluar dari restoran itu. Aku sungguh kenyang. Mujur saja bayi yang kukandung ini tidak membuat pelbagai ragam. Mungkin juga kerana dia masih kecil.
“ Banyak eh tempat menarik di sini?” soalku sambil memeluk lengannya. Hari-hari kupandang, Dhani nampak kian menawan. Kadang-kadang, aku perasan ada mata-mata yang memandang di sekeliling yang mengerling pada suamiku itu. Jujur saja, aku bukan cemburu cuma aku bangga, handsome juga perwira pilihan abah ni.
“ Banyak sangat.. Sayang larat lagi tak ni?” balas Dhani menjawab pertanyaan dan sempat dia mengusikku.
Aku ketawa kecil.
“Sara kan dah tambah energy…” balasku tidak mahu mengalah. Sudah sememangnya betul kenyataan yang aku sampaikan itu kerana aku dan dia baru saja habis menikmati juadah.
“ Yelah.. abang tahu..” sambungnya perlahan bagai memujuk seraya menarik pinggangku untuk dekat padanya. Tindakan di luar jangkaanku itu mengundang rasa malu padaku. Bukan apa, kerana ada beberapa insan yang melihat dan tersenyum pada tindakan nakal suamiku itu sungguhpun niatnya ingin menzahirkan rasa sayangnya padaku. Dek menutup malu, aku mencubit pinggang suamiku itu.
Dhani pula, sekadar tertawa.
Dia memang suka mengusikku begitu. Pasti hari-hari selepas ini, aku akan rinduinya.
“ Sebenarnya, tak banyaklah Sara tempat menarik di sini..” Dhani mula bercerita.
Katanya, hanya banyak bangunan lama yang sudah berusia lebih kurang 100 tahun. Tinggalan lama yang menjadi pilihan Dhani ialah Pont Battant yang menghubungkan kawasan Hors Boucles.
Aku terpegun tanpa suara.
Struktur binaan bangunan ini sangat sempurna meskipun sudah terlalu berusia.
“ Hebatlah..” pujiku dengan suara perlahan.
Dhani sekadar mengangguk.
Dia kemudian mempelawaku untuk merakam gambar bersama. Katanya untuk dibawanya pulang bersama nanti.
Aduhai Dhani… memang suka benar dia mengusikku!

0 ulasan: