BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 12 Julai 2012


Bab 6
Aku, isterimu…
“ Demi Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”

‘ Ummi Auni… Maaf!’
Pesanan itu kuterima lewat jam 11 malam.
Aku sempat melepaskan keluhan. Itu pesanan datangnya dari ustaz muda itu. Aku tidak berniat mahu membalas pesanan yang tiba itu meskipun sekeping hatiku tidak ingin mencipta sengketa. Entah kenapa, hatiku gundah berbagai rasa. Walaupun aku sedar, aku dan dia belum pun merasa apa-apa perasaan aneh namun jujur saja aku katakan, aku benar-benar terasa hati dengan kata-katanya. Seolah-olah aku ini terlalu kerdil untuk bergandingan dengannya.
Kalaupun dia terluka kerana pengkhianatan bekas isterinya, wajarkah aku yang terkena tempiasnya?
Aku sesungguhnya tidak tahu dari mana mula dan bagaimana mengakhirinya.
Aku datang ke situ hanya untuk menghantar anaknya pulang. Aku tidak terniat sekalipun untuk mencipta atau mendengar sebarang pertelingkahan atau menimbulkannya sekali. Apatah lagi mahu campur tangan urusan peribadi mereka.
Itu bukan tujuanku.
Kenapa begini jadinya?
Saat-saatku bermonolog sendiri itulah aku terkejut kecil saat terpandang nombor panggilan masuk terpampang di skrin kaca telefon bimbitku.
Aku melepaskan keluhan berat.
Jujur saja, aku tidak bersedia menjawab dan menerima sebarang panggilan. Terutamanya dari ustaz muda itu. Bukan senang mengembalikan rasa tenang di hati. Kalau melafaz maaf semudah itu melembutkan hati yang terasa, cubalah lafazkannya berulang kali agar dapat kusimpan rasa lain menggantikan rasa terkilan dengan kata-katanya itu.
Aku ingin jernihkan keadaan dan kembali meneutralkan rasa di hati ini seandainya ungkapan maaf itu benar-benar ada kuasa!
Kenapa aku seperti tidak redha dengan ujian ini?
Ya Allah…. Ampunkan dosaku.
Aku tahu memaafkan kesalahan orang itu sifat yang baik tapi aku tidak setabah itu saat ini.
Aku meratap dalam kelam malam yang gelap. Sinar baru yang ingin datang dalam hayatku tiba-tiba pergi lagi. Kali ini, memoriku mengenang kisah luka yang bertahun kucuba lenyapkan dari diari kehidupanku. Tiada siapapun yang tahu, aku yang sebenarnya memendam rasa kecewa di hati.
Tidak abah dan tidak jua ummi.
Cuma… aku hanya ada Allah tempatku mengadu.

2 ulasan:

My Beadz World berkata...

Tahniah baru terjumpa blog ni sy baca dr mula hingga akhir....gaya penulisan yang ringkas dah tidak memuakkan tahniah skali lagi:-) keep on writing:-)

My Beadz World berkata...

Tahniah baru terjumpa blog ni sy baca dr mula hingga akhir....gaya penulisan yang ringkas dah tidak memuakkan tahniah skali lagi:-) keep on writing:-)