BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 31 Oktober 2014

SETIA PADA DIA-BAB 4

BAB 4
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

Jam di dinding menuju ke angka 5. Sudah semakin senja rupanya hari ini. Aku bersandar tenang di kerusi empukku. Alhamdulilah, sedikit sebanyak dapat juga aku menyiapkan beberapa tugasan petang yang singkat ini. Aku bukannya apa. Aku tidak mahu bersusah dan berebut menyiapkan kerja pulak apabila balik dari kursus nanti. Pastilah nanti agenda kursus dan seminar itu bukannya sedikit lantaran diselangi dengan bermacam-macam aktiviti. Namun, bagiku pulak aku senang untuk tidak mengikuti semua aktiviti yang dianjurkan. Kadang kalau yang terlalu santai itu seperti ada BBQ di tepi pantai atau minum di pinggir sungai, aku akan menolak untuk tidak hadir dan hanya memilih untuk berehat di hotel saja. Lagi pula, aku bukannya peramah benar boleh bergaul dengan sesiapa saja rakan setugas yang datang dari daerah dan bandar yang lain.
          “ Belum nak balik lagi Lisa?” soal Puan Zalikha ketika dia melintas di depan bilikku. Aku sengaja merenggangkan pintu bilikku kerana terlalu dingin penghawa yang ada di bilikku itu.
          “ Insya Allah, sekejap lagilah puan..” balasku sopan namun masih duduk di kerusiku.
          Puan Zalikha mengangguk.
          “ sebelum saya balik, ni nak ambil chance ucapkan selamat pergi untuk esok.. Semoga semua urusan Lisa di sana mudah..” pesan Puan Zalikha kepadaku sebelum dia meminta diri untuk pulang.
          Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Begitulah Puan Zalikha. Pengarah tertinggi di tempatku bekerja. Puan Zalikha, walaupun berpangkat besar di pejabat ini, dia tidak sombong ataupun angkuh dengan pekerja bawahannya. Katanya, kita sesama manusia memang sama. Di mata manusia mungkin berlainan tetapi pada Allah semuanya adalah sama. Yang hanya membezakan adalah keimanan dan ketaqwaan manusia itu sendiri.
          Aku tersenyum kecil mengingatkan kata-kata Puan Zalikha itu. Begitulah sikap ketua yang amat aku senangi. Masa mula melangkah ke pejabat ini dan mendapat jawatan agak tinggi bagi pendatang baru seperti aku ini, sememangnya mencabar emosiku. Ini kerana kebanyakkan kakitangan yang ada di bawahku ada di antaranya senior-senior ketikaku menuntut di universiti dulu. Pada mulanya, banyak yang memandang dan menerimaku dengan tidak berpuas hati kerana dulu itu aku terlalu muda untuk memegang jawatan Pengarah Kokurikulum Agama I. Memang aku akui, aku tidak punya pengalaman namun aku rasa tidak salah kalau mereka mahu memberiku tunjuk ajar walaupun berbeza pangkat dan jawatan. Mungkin juga kerana aku yang mudah ditegur dan menerima teguran itu yang membuatkan kebanyakkan mereka mula senang denganku.
          Aku tersengih.
          Perasan sendiri!
          Sungguh sudah lebih 4 tahun aku bekerja di Jabatan Agama Islam ini. Asalnya bidangku memang di bidang perguruan tapi disebabkan aku begitu ingin mencari pekerjaan dengan cepat waktu itu, hendak tak hendak aku mencuba nasib juga dengan menghantar permohonan ke mari. Mungkin memang rezekiku sudah menjadi sebahagiaan dari pejabat ini. Alasanku itu dulu kerana aku tidak mahu mewarisi empayar peniagaan abah yang sibuknya saat itu mengalahkan menteri.
          Aku tertawa sendiri. Mama yang memberi istilah itu kepada abah.
          Click!
          Aku tersentak dengan bunyi deringan ringkas itu. Dengan segera aku mengambil telefon bimbit yang kuletak di atas fail berwarna hitam itu.
          -Mama-
          Aku menekan nama itu.
          ‘ Blum blik lagi Lisa?’
          Aku membalas pertanyaan mama.
          ‘ Kjp.. dah nak kemas ni’
          ‘Ok’
          Aku tersenyum membaca teks yang dikirim mama itu. Begitulah mamaku. Sudah besar begini pun mama masih lagi mencari aku dimana dan sedang berbuat apa. Kata mama, selagi dia masih hidup selagi itulah dia akan mengambil sibuk dengan hal anak-anaknya. Aku pulak hanya tertawa nakal mendengar kata-katanya. Sebetulnya maksud mama itu mengambil berat tapi sengaja diucapkannya mengambil sibuk demi menutupi rasa kasih yang sebenarnya kepada kami yang suka menyakat mama.
          Aku dan Soleha. Sekepala bila mengusik mama. Jarang juga kalau kami join sekaki mengusik abah sebab abah kami itu kadang dia serius. Akan tetapi, bila mood gila-gilanya datang, boleh pengsan kerana terlalu banyak ketawa.
          Aku menjeling jam di tanganku. Hampir ke pukul enam. Hari pun sudah memanggil senja. Aku bergegas mengemas barang yang perlu aku bawa pulang sementara fail tugasan yang lain kubawa ke luar dan kusimpan di tempat penyimpanan fail berhampiran dengan tempat buku-buku rujukan. Kususun kemas mengikut kod dan hari yang diperlukan. Kemudian aku kembali semula ke bilikku untuk mengambil beg dan juga kunci kereta. Beberapa kali aku berselisih dengan beberapa rakan di situ dan hanya saling berbalas senyuman. Aku menuruni anak tangga kerana lif sudah penuh. Apalah sangat kalau hanya dua tingkat. Ini saja peluang untuk aku bersenam ringkas kerana aku dibebani dengan kesibukan kerja apabila di waktu-waktu persekolah sudah menghampiri ke penghujung. Terlalu banyak kami perlu menyiapkan kurikulum yang baru dan juga membuat perkembangan serta penggubalan semula kurikulum yang lama kepada yang baru. Setiap tahun, laporan yang diterima dari sekolah-sekolah berbeza. Ada yang perlu dikekalkan dan ada juga yang perlu diteliti. Ada masanya aku terpaksa turun ke sekolah untuk membuat penilaian dan kajian. Kadang selama seminggu dan kadang selama sebulan untuk melihat sendiri perkembangan dan permasalahan yang timbul sebelum kami mengambil tindakan lanjut.
Aku menuju ke tempat letak kereta beratap.
          Speciality untuk pegawai di sini. Alhamdulilah, rezeki juga. Aku menghidupkan enjin kereta Mazda 6 berwarna ungu muda. Ia bergerak perlahan di awalnya sebelum ia membelah dengan kelajuan di senja yang semakin memerah.

0 ulasan: