BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 31 Oktober 2014

SETIA PADA DIA-BAB 5

BAB 5
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

          “ Kenapa datang tak bagitau dulu?” soalku sedikit tidak berpuas hati setelah masuk ke dalam kereta Azmi. Aku terpaksa bersiap tergesa-gesa demi menjaga hati abah supaya tidak terus menegur kerana sikapku yang bagai membuatkan tetamu tertunggu-tunggu pulak.
          Azmi di sisiku hanya diam sambil dia memasang tali pinggang kaledar. Dia sempat mengerling kepadaku sebelum dia mengangkat tangan ke arah abah yang masih menunggu di depan pintu. Keretanya bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah.
          “ Kenapa?” soalnya kemudian.
          “ abah tegurlah tadi sebab buat kau tertunggu-tunggu di luar. Abah tak suka kami anak-anaknya membuatkan tetamu begitu..” jawabku perlahan. Terguris hati sebenarnya walaupun aku tahu aku tidak bersalah apatah lagi memang bermaksud membuat tetamu begitu.
          “ Sorrylah. Tak sempat nak teks..”
          “ Janjilah. Lain kali tak buat lagi..” balasku serius sebelum aku membuang pandangan ke luar cermin. Suasana antara kami jadi dingin.
          “ Sayang, I’m sorry.. please…”
          Aku mencebik.
          “ Eeiii, meluatnya cara kau ni…”
          Azmi ketawa nakal.
          “ Hah.. tahu pun. Kalau tak suka cara aku pujuk janganlah buat muka macam tu.. bukannya cantik sangat pun muka rajuk kau tu..”
          Aku menjelingnya.
          “ Tadi abah kata apa?” soalku.
          “ Bila nak masuk meminang..” balasnya selamba.
          Aku mendengus.
          “ Kau ni kan. Loyar buruk. Orang tanya betul lah ni..” jawabku tidak mahu mengalah.
          Azmi menoleh kepadaku sekejap sebelum dia kembali memandang ke depan.
          “ tak tanya apa pun. Abah kau tanya nama aku dan aku kerja dimana. Berapa lama kenal kau dan kita nak kemana..” jawab Azmi lebar.
          Aku menelan liur. Alamat aku akan disoal-siasat abahlah balik nanti. Yang hanya tahu wujudnya Azmi dalam hidupku ialah Soleha. Mama juga tidak tahu. Aku tidak berniat bercerita tentang dia kerana Azmi bukan selalu muncul di hadapanku. Cuma bezanya, kali ini dia memilih untuk rapat dengan cara selalu bertemu selain dari berhubungan melalui laman maya.
          “ Kenapa?” tanyanya seakan pelik.
          Aku sekadar menggeleng dan tersenyum.
          “ Erm… by the way nanti kalau ajak date sila maklumkan 2-3 jam sebelum jam nak jemput ya…”
          Azmi ketawa.
          “ Aku dapat agak dah bagaimana kau bergegas bersiap tadi..” usik Azmi. Aku naik geram dengan jawapannya itu.
          “ yalah. Tahu pun. Tak sempat aku nak pilih baju yang sesuai pulak. Sekali sekala nak juga melaram. Takkan kau saja yang nak kena tayang muka macho..” balasku sinis.
          “ ‘Eisy, kau dah cukup menarik okay. Jangan nak membebel panjang..” tegur Azmi.
          Aku mencebik.
          “ Sekurang-kurangnya kau perlu biasakan diri bersiap dengan tempoh yang singkat.. nanti kalau ada kecemasan, macamana?”
          “ Kalau nak bergegas sangat, aku tak pakai macam ni. Aku sarung jubah dan tudung express saja..”
          “ laa.. kenapa tak guna tu tadi?”
          “ Kau nak aku kena marah dengan mama?”
          Azmi menoleh lagi.
          “ Kenapa pulak?” tanyanya kehairanan.
          “ Mama kata tu simple sangat…”
          Azmi mengangguk-angguk.
          “ ni pun dah cantik, apa.. Nanti kalau kau kena tackle, aku juga yang kena buat muka. Yalahkan.. nak back up…” tambah Azmi.
          Aku memukul lengannya.
          “ ‘Eisy! Akukan tengah drive ni…”
          “ Buat lagilah lawak sewel kau tu..” marahku.
          Azmi ketawa nakal. Suka benar dia mengusikku. Kalau tak buat aku sampai jadi geram, itu bukan Azmi sebenarnya. Dalam kami berbual kosong itu, kereta Azmi berhenti di sebuah kompleks.
          “ hai.. dalam banyak-banyak kedai kopi, sini juga kau pilih?” soalku sambil melepaskan tali pinggang kaledar.
          “ Kenapa?” soal Azmi seraya dia mematikan enjin kereta.
          Aku menggeleng.
          Coffee Bean and Tea Leaf.
          Kami sama-sama keluar dan berjalan beriringan menuju ke pintu utama.
          “ Sebelum kita singgah ke sini, aku nak ajak kau tengok wayang…” Azmi sempat bersuara, menyatakan tujuannya membawaku kemari.
          “ Cerita apa?”
          “ Kau nak cerita hantu atau kisah cinta?”
          Aku tergelak.
          “ Cepatlah bagi keputusan..” desaknya.
          Tawa kecil Azmi terdengar.
          “ Kau nak buat apa dengan aku?” soalku mengusik tapi bagai mengugutnya pula.
          Aku menggumam. Masih memikirkan apa yang aku inginkan.
          “ Erm.. terpulang kau lah. Kau yang ajak, baik kau rancang baik-baik date ni..” putusku akhirnya untuk mengelakkan lebih lama menunggu.
          Azmi tersengih.
          “ Okay.. since kau dah bagi green light, aku anggaplah malam ni as a one night date..” balasnya nakal.
          Aku terdiam. Penghujung ayatnya memanggil debar di hati meskipun ia sekadar usikan.
          “ Up to you then..”
          Azmi mengangguk.
Langkah kami berdua terhenti di hadapan escalator. Azmi menarik tangan kananku dan menggengamnya erat. Bagai terkena renjatan eletrik, menusuk ke dalam nadiku.
          Aku menunduk. Berbaur pelbagai rasa. Tiba di tingkat atas, dia melepaskannya. Tanpa ulasan. Tanpa apa-apa penjelasan. Seakan semuanya tidak berbekas atau terkesan padanya.
          Kami hanya kawan, monologku sendiri.
          Sepatutnya bukan mesra begini.
          “ Pilihlah. Cerita apa?” bisik Azmi di sebelahku, dekat dan mendebarkan. Mungkin kerana suasana bising di kaunter cinema itu yang membuatkannya begitu. Kami masih lagi mengambil giliran untuk membeli tiket wayang. Mungkin kerana begitu ramai pengunjung di situ yang membuatkan akhirnya Azmi memintaku keluar dari barisan dan mencadangkan agar aku menunggunya di kedai yang menjual beg tangan.
          Aku hanya mengangguk dan berlalu meninggalkan dia. Meskipun mataku liar melihat beg-beg yang terpamer di situ tapi fikiranku melayang jauh. Bagai dibebani dengan sesuatu yang sukar untuk aku jelaskan. Agak lama aku begitu sebelum lenganku dicuit.
          Aku menoleh di sisi.
          “ Cerita apa?”
          “ Action movie..”
          Aku menarik muka.
          “ Alaa… tu cerita kau tu..” balasku.
          “ Laa.. tadi kita tanya nak apa, kau nak juga aku pilihkan…”
          Aku sekadar tersenyum.
          “ yalah.. aku test kau saja. Bukan nak protes pun…” jawabku selamba, mengusiknya.
          Azmi kaku di situ.
          “ kalau kau tak nak, kita tukar cerita..” cadangnya dan seakan berlalu. Aku spontan menarik tangannya walaupun niatku tidak ada.
          “ Aku okaylah.. kau ni..” tahanku. Menjelaskan maksud yang aku tidak membantah dengan apapun jua yang dipilihnya waktu itu.
          Anehnya, Azmi membalas genggaman tanganku.
          “ Jomlah. Show sekejap lagi…” ajaknya, membawaku keluar dari ruangan itu dan aku tidak membantah. Kami diarahkan masuk ke cinema 3 dan ditunjukkan tempat duduk.
          Pandainya dia pilih tempat duduk.
          Di tengah!
          “ Kau okay cerita ni?” soalnya lagi sebelum wayang bermula.
          Aku mengangguk seraya menunjukkan isyarat ibu jari kanan kepadanya.
          “ Sekali-sekali ikut kau, tak apakan..” balasku perlahan dengan senyuman.
          Azmi membalas pandangan.
“Hah.. bagus. Kalau isteri ni, dah dapat pahala sebab menyenangkan suami..” balasnya pulak dalam usikan.
Well…” balasku, menjawab usikannya.
Dia tersenyum juga dengan jawapanku. Satu senyuman yang tidak lagi mengusik tapi seakan menghargai apa yang aku lakukan. Sesuatu yang sukar untuk aku jelaskan. Banyak perubahan Azmi yang aku perasan kebelakangan ini. Sejak kami bertemu kelmarin. Mungkin kerana perubahan itu diiringi dengan peredaran masa. Aku dan Azmi semakin dewasa. Tiada lagi cara kebudak-budakan yang aku nampak. Dia mahu bertolak ansur walaupun kadang menimbulkan pertelingkahan antara aku dan dia. Itu kerana aku dan dia sudah terbiasa bercanggah pendapat. Seperti kata Najihah, kali ini sudah wujud persefahaman. Teringat akan Najihah, aku pantas mengambil telefon bimbit. Aku ingin menghantar mesej kepada Najihah untuk memaklumkan dia yang aku sedang menonton wayang bersama Azmi. Pastilah Najihah kali ini akan banyak berceloteh.
          “ Mesej siapa?”
          Aku menoleh.
          “ Najihah..” balasku.
          Dia mengangguk.
          “ Sampaikan salam..”
          Aku pulak yang mengangguk. Aku kembali menambah pesanan untuk Najihah sebelum aku mengalihkan pandang ke skrin yang besar. Masih lagi iklan ditayangkan. Aku sesekali menoleh ke sisi. Melihat Azmi sibuk menekan-nekan suatu di telefon bimbitnya.
          “ Kenapa?” soalku kerana sesekali kulihat dia tersenyum sendiri.
          “ Duty commander cari..”
          “ kau tak bagitahu kau keluar?”
          “Dah..”
          “ habis tu?”
          “ Ada kawan ternampak aku tadi. Aku yang tak perasan. Dia tanya aku keluar dengan siapa..” jelasnya sambil melihatkan teks yang datang di ruang group di Whatsappnya.
          Aku tergelak kecil.
          “ habis tu.. kau jawab apa?”
          “ Aku cakaplah girlfriend..”
          Aku menjeling.
          “ Yalah.. kaukan girlfriend forever..”
          Aku sekadar tersenyum mendengar jawapannya. Aku senang mendengarnya kerana aku yakin antara aku dan dia tidak ada apa-apa. Azmi kemudian mencuit lenganku.
          “Kenapa?”
          “ mereka nak berkenalan..”
          Aku menggeleng.
          “ tak naklah..” balasku.
          “ Aku pun tak izinkan. Aku nak hide kau dari sesiapapun kawan lelaki aku..”
          Aku memberi isyarat ibu jari kanan.
          “ macam tu lah beh aku..”
          Azmi menjeling. Kemudian dia tanpaku duga mendekatkan diri di sisi. Dia menunjukkan kepadaku pesanan Najihah.
          “ yang.. Jihah pesan ni.. tengok..”
          Mataku lekat ke screen telefon bimbitnya. Walaupun pesanan nakal Najihah menjadi topik tapi fokus utamaku ialah wallpaper di Whatsappnya.
          Gambar aku dan Azmi ketika birthday itu!
          “ Jihah ni.. tak sudah-sudahlah..” sahutku, sengaja membuang rasa lain yang singgah di hati.
          “ Yalah.. macamlah aku tak hantar kau balik nanti..” tambah Azmi lagi bagaikan tidak berpuas hati bilamana Najihah menghantar pesanan agar Azmi tidak lupa menghantarku balik ke rumah nanti dan tidak dibenarkannya dating lama-lama. Aku mengisyaratkan Azmi untuk mengalih fokusnya pada screen kerana wayang sudah bermula.
          300 rise of an Empire.
          Wah.. aku suka cerita ni sebab aku suka kisah berkaitan dengan sejarah sesebuah negara dan bagaimana pahlawan-pahlawan yang ada cuba untuk mempertahankan negara. Lagipun, ini memang kena dengan jiwa Azmi sebab dia adalah seorang tentera. Dia ditugaskan di bahagian Jabatan Agama. Ini pun mungkin kerana dia bekas pelajar lepasan arab dulu. Samalah jurusan kami walaupun laluan kami tidak sama. Alih-alih, hujungnya tetap masuk ke bahagian agama-agama juga. Cuma, kami agak gila-gila sikit. Masih nakal dan bersahaja tapi Alhamdulilah, ajar tetap tidak tersasar. Cuma, yalahkan. Manusia mana yang tidak melakukan kesilapan. Sengaja atau tidak, itu saja masalahnya. Kalau iman tahap kuat, pasti begitu menjaga batas. Kalau sedang-sedang saja, itu memang perlu difikirkan berulang kali.
          Azmi sesekali menyikuku.
          Aku memandangnya. Sengihan nakalnya mengusik hatiku. Mungkin kerana babak romantic yang ada di dalam cerita itu yang membuatkannya mengusikku. Sesekali bila tiba pahlawannya beraksi, aku menutup mata dan kadang-kadang menunduk.
          “ Eh.. tengoklah. Rugi…” bisiknya di sisi, kerana memang bila di dalam cinema, semua pelanggan diharapkan untuk tidak bercakap dengan suara yang besar.
          “ Tak mahu. Geli.. boleh muntah macam ni..” balasku. Juga berbisik. Aku benar-benar tidak sanggup melihat apabila aksi pahlawan dengan selamba saja memenggal kepala lawan tanpa belas kasihan. Darah memercik sehingga membuatkan aku mual pula. Azmi pula biasa-biasa saja. Memang jiwa lelaki. Baginya semua itu hanya perkara kecil. Nasib akulah dapat kawan jiwa tentera ni. Lebih 2 jam kami menyaksikan kisah itu hinggalah akhirnya screen berubah gelap menandakan cerita sudah berakhir. Azmi mengajakku berdiri untuk beredar dari situ. Dia menarik tangan kananku dan meminta aku yang berada di depan. Dia mahu aku bergerak dulu dan dia di belakangku. Mungkin dia ingin menjagaku dari gangguan anak-anak muda yang sedari tadi aku perasan asyik mengerling aku sejak wayang itu mula ditayangkan.
          “ Mereka ganggu tak tadi?” soal Azmi apabila kami sudah lepas keluar dari wayang itu. Serius dan sedikit bimbang di wajahnya.
          Aku hanya mengangkat bahu.
          “ Abah kau pesan suruh jaga kau baik-baik..” luahnya.
          Aku mengangguk.
          “ Okaylah beh.. biasa saja pun..” balasku, mencuba memujuk hatinya agar tidak terlalu bimbang. Lagipun, biasalah anak-anak muda suka mengusik. Bukan mereka benar-benar maksudkannya pun. Tambahan pula, aku rasanya bukan seusia mereka kalau mereka mahu cuba tackle aku pun.
          Dia hanya diam. Tanganku pula masih digenggamnya. Mungkin dia masih belum berniat untuk melepaskannya lagi kerana tanpa diduga, anak-anak muda yang tadi duduk sebaris dengan kami itu ada di depan pulak.
          “ Apa pandang-pandang? Ni isteri abang, tau!” gertak Azmi dengan tiba-tiba kepada beberapa anak muda itu. Mereka terus bergegas berlalu selepas ditegur Azmi begitu.
          Aku mencubit lengannya.
          “ Nakal kau ni..” tegurku.
          Azmi tidak berkutik. Hanya diam dan tidak memandangku. Dia terus maju berlalu dan tidak beriringan denganku. Lantas aku berusaha menyaingi langkahnya.
          Lengannya kutarik.
          “ Beh, terima kasih..” akhirnya aku memujuk. Aku memang hargai dengan apa yang dia buat. Mungkin dia ingin menjaga benar akan diriku atas amanah yang abah pesan padanya.
          Dia menghentikan langkah. Membiarkan aku berdiri separa dengan langkahnya. Kemudian dia bergerak dan mengajakku ke coffee bean.
          “ Pure double chocolates, kan?” soalnya sebelum dia berlalu menuju ke kaunter dan memintaku hanya menunggunya di depan pintu utama café itu. Hanya lebih kurang 10 minit menunggu dan kemudian dia mengajak menuju ke kereta. Di kereta aku memandang jam di dashboard keretanya.
          Sudah ke pukul 10.30 malam.
          “ Nak makan malam tak?” tanyanya kepadaku setelah kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan kompleks itu. Aku menghirup minuman yang dibelinya untukku sebelum kumemilih untuk menjawab pertanyaannya.
          “Kalau kau nak makan, aku temankan..”
          “ Kau tak?”
          Aku menggeleng.
          “Diet?”
          Aku tergelak kecil.
          “Tak jugak. Bila jumpa kau, aku kenyang dengan tiba-tiba..” jawabku mengusik.
          Azmi tertawa.
          “ Cepatlah.. nak tak?”
          “Terpulanglah..” jawabku akhirnya walaupun sebenarnya aku bimbang. Esok aku akan berangkat pergi ke Sabah tapi malam ini aku sempat pulak berdating dengan cik abang ni. Kalau nak kata aku nak balik, keberatan pulak.
          “ Okay.. aku nak bawa kau ke tempat yang aku suka. Taklah restoran mahal.. gerai biasa saja…” balasnya lagi. Sedikit perlahan suaranya bila menyebut jenis tempat yang ingin aku ikut sama.
          “ tak apa.. aku pun segan sangat kalau kau ajak ke restoran eksklusif..” jawabku akhirnya. Aku tidak mahu dia beranggapan bahawa aku tidak suka kalau diajaknya ke gerai biasa.
          “ kau ni kan.. walaupun kita dah masing-masing ada kerjaya, aku masih ‘Eisy yang dulu. Yang suka sederhana dan tak demand apapun…” balasku. Memberi penjelasan sebenar kepadanya.
          “ Kalau bab hantaran, harga masih sama?” usik Azmi.
          Aku terlopong dengan soalan selambanya itu.
          “ Kalau kau, harga naik lagilah. Sebabkan, barang semua dah naik. Itu naik, ini naik. So, harga aku pun naiklah jugak..”
          Azmi ketawa.
          “ Alamat lama lagilah aku berpeluang nak pinang kau ni…”
          Aku menjeling.
          “ by the way, dah lama sangat aku nak tanya ni. Kenapa kau suka sangat minum PDC tu ya?” tanyanya. PDC tu sebenarnya ringkasan untuk Pure Double Chocolates.
          “ Sedap. Kau nak rasa?” jawabku sambil menyuakan minuman itu kepadanya. Bukan berniat nak berkongsi benar pun.
          “ Boleh juga..” selamba dia membalas dan mengambil minumanku itu. Aku sekadar terdiam dan tidak berkutik lagi. Tidak menyangka benar dengan tingkahnya itu.
          “ a’aah.. betul lah..”
          Aku menyambut kembali huluran minuman itu. Bercampur baur perasaanku. Terusik lagi dengan tingkah Azmi. Pelbagai soalan bermain di mindaku. Hanya aku tidak mampu menceritakannya.
          “ Ni lah tempatnya…”
          Aku melihat gerai yang dimaksudkannya. Begitu teruja sekali aku jadinya. Gerai ini sudah lama aku tidak kunjunginya. Kali terakhir seingatku sewaktu aku masuk ke tahun 1 uni dulu. Bukan kerana tidak berkesempatan tapi kerana aku tiada teman yang mahu ke sana. Mungkin kerana tempatnya yang agak sepi dan di pinggiran anak sungai itu. Tambahan lagi, aku suka dengan suasana di pinggir laut. Boleh layan perasaan sementara menanti menu yang dipesan sampai.
          “ Kau suka?” soal Azmi selagi saat kami sama melangkah ke situ.
          Aku mengangguk.
          “ kau jangan anggap aku high taste lah, Mi. aku biasa-biasa saja pun..” balasku lagi. Cuba meyakinkan dia yang aku memang tidak ada apapapa protes pun dengan apa jua pilihannya.
          “ Inikan one night date kita..” peringatku lagi, cuba mengusiknya agak tidak kekok. Kami memilih tempat duduk berhampiran dengan tempat memesan. Lewat sebegini pun masih ramai pelanggan yang datang. Mungkin kerana masakannya yang meruntun rasa ini agaknya yang menyebabkan tidak pernah putus pelanggan datang.
          “ kau nak apa?”
          Aku mengangkat bahu.
          “ Aku pesankan untuk kau ya..” cadangnya.
          Aku mengangguk. Kulihat Azmi berlalu meninggalkan aku sendiri. Dia beratur sekejap sebelum tiba gilirannya. Dia sempat memandang kembali kepadaku sebelum pandangannya dan pandanganku bertamu. Segaris senyuman itu mengusik naluri. Azmi makin lama makin menyentuh hatiku.
          Kenapalah dengan kawan lelakiku ini?
          Atau, mungkin aku yang tercari-cari dengan perhatian seorang lelaki yang dulunya ada melindungiku dan menyayangiku. Helaan nafas berat kulepaskan. Aku merenung jemariku yang dulu pernah tersarung cincin sebuah ikatan. Cincin itu sudah tiada. Azmi tidak mengembalikannya kepadaku. Sengaja dia begitu kerana dia bersungguh benar memaksa aku melupakan kisah duka. Mungkin secara zahir, dia boleh usahakan. Namun, batinku? Hatiku dan rasaku pulak, bagaimana? Bukan sesenang berkata. Tindakan yang menyukarkan aku. Bukannya aku tidak pernah mencuba. Akan tetapi, aku makin hari makin hilang daya. Kadang aku menangis sendiri kerana sudah terlalu lama berlagak kuat hadapi semuanya. Aku menangis kerana sudah terlalu lama aku bertahan. Dari tangisan itu, luluh bersama sekeping hati.
          Lara dan kecewa.
          Sekiranya TUHAN beri aku peluang untuk kembali menyayangi, aku akan perjuangkan rasa itu. Tidak lagi mahu kalah dengan permainan hati. Takdir nasib aku yang perlu ubah. Masalahku pulak, aku tiada berdaya.
          “ berat fikir?” sapa Azmi dengan tiba-tiba yang duduk di depanku. Aku sekadar diam dan tidak mengulas apa-apa. Lama kami diam.
          “ Beh, jangan duduk depan. Sini…” pintaku seraya mengarahkan untuk duduk di sebelahku.
          “ Kenapa?” tanyanya, namun dia menurut jua.
          “ Seganlah kalau kau duduk depan dan tengok aku makan..”
          Tawa Azmi meletus.
          “ Kau ni, sejak bila pulak tergolong bab insan segan segala ni?”
          Aku menjeling.

          “ Manusia berubah dan menjadi dewasa, seiring waktu…”, kata-kataku hanya tergantung di situ. Azmi pun kilihat tidak lagi mahu meneruskan perbincangan apabila makanan sudah tiba untuk kami.

0 ulasan: