BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 19 Februari 2011

cerpen (2)

Aku, Adam dan erti pertemuan di bulan Sya’aban. _ Hani Zaidah  
      
Hujan yang turun dengan lebat malam itu, sedikit mengganggu ketenanganku. Ditambah lagi dengan bunyi guruh dan bayangan kilat, sungguh berbuku rasa takut dalam diriku. Aku menghitung hari-hari di bulan Sya’aban yang tidak lama lagi akan memanggil Ramadhan untuk menggantikannya. Memasang angan-angan untuk berpuasa penuh sebulan jikaku diberi kesempatan. Mengharap akan diberi ruang berjumpa malam Lailatul Qadr. Asalnya, niat di hati mahu meneruskan kerja yang sudah lama bertangguh. Hari yang semakin berganti bukannya mahu memberiku ruang apatah lagi peluang.
Oh TUHAN! Laporan kemajuan pelajar sepatutnya dihantar minggu depan! Ia harus disahkan lagi dengan tandatangan pengetua. Tambahan pula, hujung minggu depan adalah hari menandatangani rekod kemajuan pelajar. Kenapalah cikgu yang seorang ini macam tak ada profession langsung! Hatiku merungut sendiri. Dalam keadaan yang takut-takut dan resah itu, mataku sempat terlelap.
        Pagi yang cerah untuk jiwa yang resah! Semua kerjaku belum selesai! Aku bergegas bersiap untuk pergi ke sekolah. Hari ini ada perbarisan pagi dan sebagai guru bahagian bahasa, aku seharusnya sudah terpacak di kawasan lapang sekolah!
        Sewaktu tiba, pelajar-pelajar sudah berbaris. Sempat juga aku dijeling oleh Cikgu Saerah, cikgu bahagian hal ehwal pelajar itu. Aku hanya tersengih. Aku tahu. Pasti dia yang sudah ambil alih tugasku yang terpaksa menjadi pengacara bagi perbarisan pagi itu. Pengetua sedang memberi ucapan dan nasihat kepada pelajar. Macam-macam yang disampaikannya. Itulah, inilah, begitulah dan beginilah. Kadang-kadang, kami yang sebagai guru ini pun rasa tertekan. Apatah lagi pelajar-pelajar. Namun, setakat ini aku belum pernah mendengar lagi rungutan dari para pelajar kami. Entahlah. Walaupun aku guru bahagian hal ehwal pelajar dan disiplin, aku bukannya terlalu berpegang pada segala peranan yang harus aku jalankan. Aku tidak mahu mereka tertekan dengan pengawasan disiplin yang aku rasa terlalu melampau itu. Sungguh!  Niatku pun bukannya mahu memberi muka kepada para pelajar tapi aku juga pernah merasa jadi pelajar dan aku juga pernah bersekolah di tempat aku mengajar sekarang! Makanya, aku lebih bersikap easy going.
Aku mendekati Cikgu Saerah dalam senyuman.Para pelajar sudah diarahkan masuk ke dalam kelas masing-masing. Maknanya, aku telah lewat datang! Aku hanya dihadiahkan dengan cubitan halus. Aku tersengih nakal.
“Maaflah, lewat..” pintaku lalu ketawa. Tapi, aku hanya dihadiahkan dengan jelingan. Aku tahu, Cikgu Saerah bukannya marah betul padaku. Paling kurang pun, tengahari nanti aku mesti belanja makan!
“Tahu tak? Ada cikgu baru masuk hari ini..” khabarnya tiba-tiba. Aku berpaling memandangnya. Hatiku tertanya-tanya. Cikgu baru? Patutlah pengetua bersungguh-sungguh semalam menyuruh aku mengemas meja kosong di hadapanku dalam bilik guru itu. Rupanya ada guru baru!
“Dan..sepatutnya awak yang perkenalkan dia depan semua warga sekolah hari ini..” sambungnya dalam nada sindiran. Aku hanya tersengih. Aku bersyukur kerana terselamat dari tugasan hari itu.
“Okeylah tu.. Sempena bulan Sya’aban hendak menjelang Ramadhan ini, ada baiknya awak ambil  berkahnya..”usikku sambil tertawa kecil.
“Tambah pahala..” usikku lagi.
Cikgu Saerah mula membebel hinggalah masuk ke bilik guru. Tidak kurang macam bertih jagung celotehnya. Memang layaklah dia menjawat sebagai guru. Aku hanya antara mendengar dan tidak, meski sesekali dia menghempas halus lenganku untuk mengambil perhatianku. Sebenarnya aku sedang cuba mengingati sama ada aku sudah membawa keluar rekod kemajuan pelajar-pelajarku yang kusimpan dalam kereta ataupun tidak.Puasku selongkar almari kecil berhampiran mejaku itu tapi tidak kutemui.
        Sah! Memang tertinggal di dalam kereta.
Aku melepaskan keluhan berat. Rasanya malas hendak menuju ke tempat letak kereta memandangkan tempat kumeletakkan kereta agak jauh dari hari-hari biasa. Dengan perasaan malas itu jugalah aku keluar dari bilik guru menuju ke situ. Aku harus menyiapkan rekod itu. Aku takut kesuntukkan masa kerana pagi ini ada sesi ceramah akan diadakan di dalam dewan. Masa inilah yang sepatutnya aku bijak mengambil kesempatan menyiapkan rekod sebelum majlis berlangsung.Mujur jugalah kelas pagiku tiada.
Setibanya, aku terus menekan punat alarm. Mataku sempat melihat sebuah kereta Mercedes CLK 200 berwarna merah di sebelah keretaku. Entah bila kereta itu ada pun aku tidak perasan.
Tanpa lengah, 20 buah buku rekod kemajuan pelajar yang hendak dibawa ke bilik guru itu kukeluarkan.
        “ Hendak saya tolong?” sapa seseorang membuatkan aku terkejut kecil. Habis berguguran buku-buku yang kupegang kesan dari teguran itu. Aku memandang yang empunya suara. Lama mataku menikam wajahnya. Boleh tahan!
        Aku mempercepatkan diri mengemaskan buku-buku yang jatuh kerna tidak tahan lama-lama di situ. Tambahan lagi matahari sudah mula menyinari bahangnya. Dia turut sama menolongku mengutip buku-buku yang berjatuhan itu. Tidak semena-mena tangannya tersentuh jemariku. Bagaikan kejutan elektrik,sekali lagi buku-buku itu terjatuh. Aku bagaikan tersihir dengan keadaan yang tidak sengaja itu. Aku mengetap bibir. Takut terkesan keresahan itu di wajahku. Aku dengan pantas mengutip sebahagian buku yang tertinggal. Hanya membiarkan sebahagian lagi ada padanya meski gerangan yang menegurku itu belum memperkenalkan dirinya. Aku cepat-cepat bangun dan terus memulakan langkah.
        “ Ustazah Maisara?” panggilnya.
Langkahku terhenti. Perasaan hairan menerjah ke ruang hatiku. Macamana agaknya dia tahu namaku itu? Lagi pula, aku tidak memakai ‘tag’ nama. Aku berpaling memandangnya berharap akan terjawab pertanyaan itu.
        “ Adam..” perkenalnya kepadaku.
Adam? Otakku ligat memikirkan nama itu. Aku dan dia jalan beriringan menuju semula ke bilik guru meski tiada jawapanku dari perkenalan itu. Seraut wajah,suara dan senyuman itu sepertinya pernah hadir satu ketika dalam kenangan yang telah lama kusisihkan.
        Di dalam bilik guru itu aku hanya memandang ustaz yang memperkenalkan dirinya sebagai Adam itu kerana dia sebenarnya yang duduk di meja hadapanku. Sesekali aku hanya berbalas senyuman bila pandangan kami singgah sebagai tanda terima kasih atas pertolongannya tadi. Dia mula menyibukkan diri mengemas buku-bukunya dan segala keperluan mengajarnya. Aku hanya buat-buat tidak nampak dengan menenggelamkan diri di balik timbunan buku-buku rekod kemajuan pelajar.
        Sekeping kertas berlipat disorongnya perlahan kepadaku. Konsentrasiku jadinya terganggu. Aku mengangkat wajah menghadirkan pertanyaan untuk maksud huluran sekeping helaian kertas itu. Dia mengisyaratkan untukku membukanya. Aku tidak membantah lantaran hati benar-benar ingin tahu isinya.

Ustaz.. saya suka ustaz walaupun baru pertama kali melihat ustaz..
Yang mengharap balasan,
Student 6D
Aku tersentak. Seawal ini dia sudah ada peminat misteri? Tawaku lepas di dalam hati. Aku memandangnya kembali untuk mencari makna huluran itu sekali lagi. Untuk apa dia menunjukkanku? Dia mengisyaratkan agarku membaca muka surat belakang.
Kenapa si cantik depan kita ini tak terdengar suaranya menjawab semua pertanyaan?
Aku menggigit bibir. Lambat-lambat kertas itu kukembalikan semula. Terasaku degupan jantung semakin kencang. Memang kuperasan sedari tadi dia giat mengusikku. Kemesraan dan keramahannya jelas tergambar dan kerana itu dia amat disenangi semua guru di dalam ruangan itu dan mudah benar baginya menyesuaikan diri dengan mereka. Terlalu cepat ceritanya merubah suasana ceria dengan gelak tawa guru-guru di situ. Akan tetapi, aku lebih senang mendiamkan diri dari memberi tindak balas terhadap usikannya. Mungkin kerana itulah, dia lebih suka meneruskan niatnya mengusik hinggaku mengeluarkan suara. Akhirnya aku mengalah. Saat dia mendengar aku menyahut, dia mengukir senyum nakal. Seolah-olah bangga dengan kemenangan yang diperolehinya itu. Katanya,egoku hujung hati saja. Sekali usik,berguguranlah ia. Itu kisahku tiga tahun dulu. Semuanya kucatat padat di dalam diariku.
Sesungguhnya, sikapnya benar-benar kontras dariku. Kerana itulah,aku mengambil keputusan membiarkan dirinya melafazkan akad nikah untuk menzahirkanku sebagai pemilik hatinya setahun yang lalu. Aku merelakan hati memilihnya kerana Adam memahamiku sepenuhnya. Dia adalah pemimpin keluargaku. Melahirkan semangat memuliakan agama secara lahiriah di balik sikapnya yang agak gila-gila itu. Pertemuan di bulan Sya’aban itu dilimpahi berkah. Aku dan Adam hidup bahagia. Tambahan pula, kami akan menimang cahaya mata lambang kesungguhan ikatan antara kami. Usai solatnya, akan terselit namaku dalam doanya berharap akan ikatan kami selalu dalam redhaNYA. Katanya semalam, Hawa diciptakan dari rusuk Adam dekat di sisi untuk dilindungi dan dekat di hati untuk dicintai. Katanya lagi Adam Ikmal inilah yang akan selalu ada di sisi Hawa Maisara untuk melindungi dan selalu di sisi untuk mencintai. Makanya,hatiku enggan berhenti mencintanya.

0 ulasan: