BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Februari 2011

bab 2-selendang biru


Di dalam bilik tidur itu, aku berbaring sepi. Memandang kosong kipas yang sedang berputar perlahan. Hendak kata panas, tak juga. Angin malam dapat kurasakan masuk melalui celah-celah dinding kayu. Izzah pula sudah lama berdengkur. Keletihan benar riaknya. Aku juga yang terkebil-kebil sendiri di tengah malam buta keseorangan. Aku bukan apa. Beginilah keadaanku setiap kali aku menerima persekitaran yang baru. Amat susah untuk lelap meskipun keletihan.
Aku mengiring ke kanan. Sekejap ke kiri. Fikiranku tiba-tiba menerawang teringatkan lelaki yang bernama Syah itu. Tanganku yang tadi tersentuh jemarinya kugenggam. Lama aku berfikir. Makin lama makin membuatkan aku tersengih.
Aku mengetuk kepalaku sendiri. Kebingungan kerana tiba-tiba saja aku bagaikan suka diperlakukan begitu.
“ Eh, kau kenapa?” sergah Izzah tiba-tiba.
Aku yang tadinya berangan sendiri terkejut dengan sergahan itu.
“ Kau ni kan, suka sangat kejutkan oranglah!” marahku sambil memukul tangannya kuat.
Izzah hanya mempamer wajah selamba. Geram pula rasanya melihat reaksinya sebegitu. Bagai orang tak bersalah, dia menarik selimut hingga hampir menutupi seluruh tubuhnya dan menyambung semula tidurnya.
“ Lampu tu, lama lagi tak nak padam?” sempat lagi dia memerliku.
Aku merengus kuat.
“ Kejaplah..” jawabku sedikit keras.
“ Jangan lupa mesej ummi kau..” pesannya lagi lantas hanyut dalam kesayupan suaranya.
Aku hampir saja terlupa untuk memberitahu ummi akan keadaanku yang sudah selamat sampai ke tempat kerja. Aku bergegas mencari telefon bimbitku di dalam tas tangan.
Aik? Mana pula perginya?
Aku menggoyang-goyangkan tubuh Izzah berharap dia akan bangun sekejap untuk memberitahuku keberadaan telefon bimbitku. Susah pula hati ummi nanti apabila sudah lewat benar aku belum lagi memaklumkannya.
“ Kau ni, dalam kereta agaknya..” marah Izzah padaku.
Aku termangu.
Memang padanlah Izzah marah kepadaku kerana aku mengganggu lenanya. Dengan rasa yang sedikit berani dan tidak, aku mencapai kunci kereta dan berlalu keluar untuk menuju ke halaman rumah. Kedinginan angin malam menerjah garang menyapa tubuhku.
Aku memberanikan diri menghampiri kereta.
Jantungku berdegup kencang. Seolah-olah ada seseorang yang sedang berdiri di belakangku. Seram dingin rasanya. Dalam hati tidak henti-henti aku memohon pertolongan. Menyesal juga kerana keluar seorang diri di tengah-tengah malam ini. Manalah tahu ada ha…
“ Assalammualaikum..”
Satu suara kedengaran.
Hantu beri salam?
Aku masih belum menoleh. Takut sekiranya itu hanya gurauan di tengah malam saja. Dari cerita-cerita seram yang kubaca, memang ada gurauan sebegitu di tengah-tengah malam, di kawasan kampung dan ketika bersendirian. Aku tidak mengharapkan ianya terjadi. Tambahan lagi mulutku yang celupar, selalu mengandaikan yang tidak-tidak.
“ Tak jawab salam, berdosa..” sambung suara itu.
Aku menelan liur. Nada itu seperti pernah aku dengar sebelum ini. Lantaran rasa ingin tahu membalut jiwa, aku memberanikan diri berpaling memandang si gerangan yang bersuara.
Hampir tercopot jantungku dari badan saat terpandang dia di hadapanku! Senyuman di bibirnya merungkai sejuta resah yang kurasakan sudah mula menghempas badan menggila di pinggir hatiku.
“ Awak…” hanya itu yang terluah dari bibirku.
Dia senyum lagi.
Aku membuang pandangan.
“ Kenapa tak tidur lagi?” soalnya sopan.
Aku mati kata.
Dia berpeluk tubuh, menanti jawapan.
“ Kenapa tak balik lagi?” soalku pula.
Dia ketawa kecil. Tawanya begitu indah dipandang mataku. Perwatakan yang sederhana, menarik dan bijak. Mungkin dia seorang guru agama. Dari caranya berpakaian, aku yakin dia seorang yang kuat pegangan agama. Untunglah kekasih hatinya, pasti dia dapat membimbing.
Ah.. lain pula yang aku fikir.
“ Saya bermalam di sini..” jawabnya ringkas bersama senyuman.
Aku mengangguk-angguk perlahan. Rasanya, sudah hilang bahan untuk dibincangkan. Lantaran itu, aku mempercepatkan usaha mengambil telefon bimbit di dalam kereta.
Aku sudah berkira-kira mahu kembali masuk ke dalam rumah.
“ Kalau tak keberatan, boleh saya tahu nama saudari?” tanyanya mengetar jiwa.
Aku mematikan langkah. Tanpa berpaling, aku masih berkira-kira mahu memberitahu namaku padanya. Tapi, apa salahnya aku memulakan perkenalan inikan?
“ Siti Noor Khalilah..”

0 ulasan: