Malam menjengah tiba setelah beberapa jam sudah melewati gerakan masa. Walaupun malam melabuhkan tirai, kepenatan masih terasa penangan perjalanan yang jauh ini. Sungguhpun ini bukan kali pertama kami menjalankan tugas luar daerah tapi kali ini lebih terasa rumit dari yang biasa.
“ Jemputlah makan Lilah, Ummi..” pelawa Mak Siah kepadaku dan Izzah.
Aku mengangguk perlahan bersama senyuman dengan pelawaan itu. Malam ini kami diminta bermalam di rumah Tok Salim dulu dan esok pagi barulah kami dihantar ke rumah yang disediakan khas untuk kami menginap sepanjang menjalankan tugas.
Aku menarik tangan Izzah yang masih lagi leka melayan karenah kucing peliharaan Tok Salim dan Mak Siah.
Adakah patut bermain dengan kucing?
Eeee… meremang bulu roma rasanya!
Aku bukan apa, memang lapar benar rasanya. Lantaran rasa itulah, aku mempercepatkan langkah menuju ke meja makan di ruang dapur. Aromanya memikat hati. Sungguhpun aku belum pernah merasa langsung masakan kampung tapi kali ini aku sudah tidak lagi ambil peduli.
Aku menahan liur.
Ayam kampung masak kicap, ada nasi lemak, sayur pucuk bersantan dan yang membuatkan liurku semakin kegersangan, sambal Mak Siah!
Aku tanpa lengah lagi menyeduk nasi ke pingganku. Habis semua lauk-pauk kusenduk. Ingin rasanya merasa masakan yang baru dalam hidupku dan sangat baru bagi seleraku.
Aku hampir saja tersedak dan mengalirkan airmata saat menjamah sambal Mak Siah.
Pedas sungguh.
Bagai terbakar lidahku merasa sambal buatannya. Cepat-cepat Mak Siah menghulurkan segelas air. Dengan rakus aku menyambut dan meneguknya sepuasnya.
Tawa Tok Salim kedengaran masuk ke gegendang telingaku berpadu dengan tawa Izzah. Aku sengaja mempamer wajah selamba sedangkan dalam hati terasa betapa kerdil dan bodohnya tingkahku itu di hadapan mereka.
“ Sedaplah Mak Siah walaupun pedas..” aku bersuara untuk mematikan tawa mereka.
Mak Siah masih mengorak senyuman di wajah tuanya.
“ Masakan kampung saja nak..” jawabnya lembut menyentuh segenap ruang pelusuk hati kecilku.
Aku tersenyum kecil. Tidak berniat mahu memberi sebarang ulasan untuk kenyataan itu. Lagipun, ini kali pertama aku merasa masakan ini dan bagiku diawal peringkat permulaan ini, rasanya sudah mula memikat seleraku. Aku harus membiasakan diri makan masakan kampung selama satu bulan ini. Saja nak ambil feel jadi orang kampung!
“ Pagi tadi ada apa ya Mak?” soal Izzah yang sudah mula beramah. Kata Mak Siah, lebih mesra baginya memanggilnya dengan panggilan Mak saja. Lagipun, kami berdua memang sebaya dengan umur anak-anaknya yang berada di bandar. Tambahnya lagi, kami bagaikan mengubat rindu dendamnya terhadap anak-anaknya lantaran mereka hanya pulang pada acara tertentu dan hari raya sahaja.
“ Ada yang meninggal..” khabar Mak Siah tenang.
Aku terkedu. Suram jadinya suasana makan malam rasaku.
“ Kenapa Lilah? Pucat semacam saja rupa kamu Tok lihat?” soal Tok Salim yang masih lagi menyuap sisa makanannya yang tertinggal.
Aku tersenyum kelat memandang Tok Salim.
“ Lilah ni penakut. Pantang sangat dengar soal kematian ini..” khabar Izzah di sebelahku.
Aku mencubit tangannya di balik meja dan menghadiahkannya dengan jelingan.
“ Nak takut apa?”
Aku menelan liur.
“ Ingatlah.. kalau kita takut, banyak benda yang akan mempengaruhi kita..” sambung Tok Salim lagi dengan tekun.
Aku terkebil-kebil memandang mereka.
“ Assalammualaikum…” sapa seseorang di muka pintu.
Bicara kami yang baru saja bermula, terhenti demi saja mendengar sapa salam yang diucap. Bergegas Mak Siah ke dapur menuju ke muka pintu. Mujur saja dia belum lagi memulakan makannya.
“ Eh.. kamu? Masuklah..” pelawa Mak Siah mesra.
Kamu?
Siapa?
Bagai digaru hati ini saat ingin tahu gerangan yang datang. Tidak sabar rasanya mahu melihat tetamu yang berkunjung di malam-malam begini. Tanpa dipelawa berulang kali, seorang lelaki masuk ke dalam dengan sopan. Tersentak seluruh perasaanku terpandangkan dia lagi. Lelaki yang tadinya mempamer pandangan aneh saat pandangan mataku dan matanya bertaut.
Aku menundukkan wajah dan terus menikmati makan malam sedang hatiku berdebar tidak terkata iramanya.
Tanganku disiku. Hampir tersedak lagi aku jadinya dengan tingkah Izzah yang selalu membuatkan aku terkejut. Tambahan lagi aku sedang menikmati makan dengan hati yang dilanda getaran.
“ Jemputlah Syah..” pelawa Tok Salim mesra.
Aku melihat reaksinya dan nyata dia melangkah menuju ke ruang makan. Ruang yang kosong hanya ada di depanku.
Aku menelan liur.
Alamak….
Lantaran rasa kurang senang itulah aku mempercepatkan suapanku dan berlalu ke dapur bersama piringku untuk melarikan diri dari pandangan yang besinar tanda tanya itu.
“ Bawakan piring ya Lilah..” pesan Mak Siah saat dia terpandang aku berlalu ke dapur. Hendak tak hendak, aku mengangguk jua. Pastilah kurang sopan bila aku menolak permintaan itu sedangkan Mak Siah sudah banyak menolong sejak mula menjejakkan kaki kemari lagi.
Aku menghulurkan piring kepada Mak Siah beberapa detik kemudian tapi dia sedang menyuap makanan. Dengan berat hati aku mendekati lelaki muda yang kelihatan warak bernama Syah itu.
Tanganku dan tangannya tersentuh. Sepantas kilat aku menarik tanganku kerana bagaikan ada terkena renjatan elektrik menyalur ke seluruh urat saraf dan nadiku.
“ Maaf..” pintanya dengan serius.
Aku termangu. Dalam sedar dan tidak, bagai terpukau suara itu menusuk ruang hatiku.
Ah!
Tanpa suara aku berlalu. Makin lama aku rasa semakin gila dan hilang rasa.
Mengapa saat anak mata ingin bertaut, dia mengalihkannya?
0 ulasan:
Catat Ulasan