BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 31 Mei 2014

O.R.K.I.D BAB 43

Bab 43
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Pandangan mataku dan sepasang mata itu bagai tidak berkelip. Seakan sungguh tersimpan rindu yang membara. Jemariku erat digenggamnya. Tiada kata yang setakat ini terluah antara aku dan dia. Walau langkah antara kami sudah dimulakan, barang-barangku dibawakannya namun tiada kata masih terluah. Seakan bisu menjadi pilihan waktu. Menghanyutkan dua insan yang begitu intim dalam cinta.
          Beginikah dua insan yang merindu tanpa kata?
          Aku lemas dalam lautan bisu itu. Maka aku yang memilih untuk memulakan kata.
          “ Kenapa abang datang tak beritahu?” soalku penuh dengan perasaan ingin tahu.
          Dhani mengorak senyuman.
          “ Ingat tak malam tu ada orang kata dalam padat jadual abang tak ada tembus ke sini?” balas Dhani dengan pertanyaan.
          Aku tersengih lalu mengangguk.
          “ TUHAN dengar bisikan kita sayang. Walau sekadar semua itu lintasan hati kita…” bisiknya dekat di sisiku.
          Aku menjadi kelu. Begitulah selalu. Setiap jawapan Dhani kini yang begitu bersahaja jelas menusuk jauh ke dasar hatiku yang kini terbuka luas ruang untuk dia huni. Selalu tiada balasan mampu kuucap bila dia memaksudkan sesuatu yang tidak kuduga kata-katanya.
          “ Kalaupun jarak yang memisahkan kita, doa akan selalu mendekatkan kita..”
          Aku menghentikan langkah dan menunduk. Begitu syahdu luahannya menyentuh ruang hatiku. Dhani menyentuh tangan kananku dengan erat. Seakan mengajakku memandangnya dan melihat jauh ke dalam anak matanya yang sarat dengan kerinduan.
          “ Tahu tak? Selagimana kita jujur menyayangi seseorang, TUHAN akan perkenankan apa yang kita doakan. Meskipun jarak telah menjauhkan kita, kekuatan doa dan bisikan hati kita yang membuatkan kita tidak pernah jauh..”
          Bibir kuketap kuat. Hampir berguguran airmata yang kini sudah di hujung mata. Kata-katanya sungguh menyentuh hatiku. Dulu, aku rasakan cinta hanya tahu memberiku kesedihan setelah lalui kebahagiaan yang sementara. Namun kini, tika bersama suamiku ini kesedihan lalu dihujani dengan kebahagiaan yang tidak pernah kusangka.
          Inikah cinta yang sesungguhnya?
          Dhani menggengam erat jemariku dan mengajakku menghampiri jambatan sungai yang terkenal berhampiran kota Paris itu.
          Sungai Seine.
          Keindahannya jelas menghanyutkan aku dalam perasaan cinta yang begitu mendalam bersama insan yang aku tinggalkan demi mencapai azam yang tertangguh. Walaupun sinar mentari menyinar garang namun itu tidak memberi apa-apa kesan kepada kami kerana kedinginan salji yang menebal di bumi Perancis ini. Dhani mengajak untuk duduk di bangku yang ada tidak jauh di situ. Namun isterinya ini menolak. Aku lebih memilih untuk duduk dipangkuannya dan memeluk manja lehernya. Jelas kelihatan hembusan dingin nafasnya.
          Aku tersenyum manja.
          “ Sayang dah berat..” adunya dalam usikan.
          Aku sekadar tertawa.
          “ Tahu tak siapa punca ni?” balasku menyahut usikannya.
          Dhani mengangkat bahu. Pantas kupukul manja bahunya kerana respon yang selamba itu. Tidak lama, tawanya dan tawaku berpadu hingga menarik perhatian beberapa orang yang sedang lalu-lalang di situ.
          Aku pantas menekup mulut.
          “Orang pandang kita..” ucapku seakan berbisik.
          “Biarlah…”
          Aku membuat muka geram.
          “ Abang begitu ingin semua orang tahu yang abang sayang dan cintai Sara…”
          Aku mengangkat kening kanan. Menanti dia menyambung kata-kata yang seakan terputus dan tergantung.
          “Bumi Perancis ini menjadi saksi. Sara akan selalu di hati abang walau andai suatu masa nanti Sara sudah tak peduli abang. Sara akan selalu jadi keutamaan abang pada saat Sara begitu memerlukan meski terkadang abang terpaksa akur dengan keadaan kita begini. Yang jauh dan sarat kerinduan…” sambungnya dan kali ini kedengaran begitu dekat di hati.
          Aku mengigit bibir dengan kuat menahan rasa yang pelbagai. Dhani memang sengaja menguji hatiku.
          “ Abangkan pernah berjanji untuk redha dengan apa yang kita lalui..” balasku memandang tepat ke dalam anak matanya.
          Dhani mengangguk.
          “ Kerana janji itulah abang selalu berusaha untuk membahagiakan Sara dengan melakukan apa yang Sara harapkan…”
          Aku sekadar memandangnya.
          “ Hinggalah abang tidak mampu melawan rasa rindu yang begitu ingin memeluk isteri abang ini..” sambungnya sambil mengeratkan pelukan.
          Kehangatan yang begitu kurindu.
          “ Sebab itu agaknya kapal terbang yang abang pandu tersesat ke sini?” bisikku dalam nada mengusik.
          Dhani sekadar menggumam.
          “ Siapa tak rindu dengan isteri yang manja dan suka menggoda abang ni…” balasnya dalam bisikan.
          Aku tertawa.
          “ Sebab itulah abang jemput isteri yang dulu abang hantar kemari…” sambungnya lalu ketawa.
          Aku tersenyum kecil mendengar kata-katanya. Dhani kemudiannya mengajak pulang ke rumah sebelum memilih untuk bertolak lebih awal ke lapangan terbang atau lebih sinonim dalam bahasa Perancisnya Aéroport Paris-Charles de Gaulle.
          Sungguh tidak sabar untukku pulang ke tanah tumpah darahku. Aku memilih untuk berpegangan tangan dengan suamiku.
          “Apa yang menyebabkan Sara tidak sabar pulang?” soal Dhani tanpaku duga.
“ Satu saja..”
Dhani menanti penuh sabar.
“ Shopping barang baby kita…”

Lalu tawaku bebas di situ.