BAB 15
SETIA PADA DIA
“Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
“Azmi dah balik, Lisa?”
Langkahku
yang pada mulanya mahu menaiki anak tangga, terhenti dek terdengar suara abah
yang kulihat baru keluar dari bilik tempat kami menonton televisyen. Aku terus
berpaling, menghadap abah. Aku menjawab pertanyaan abah dengan anggukan. Abah
sempat melihat jam di dinding sebelum abah melambai tangan memintaku dekat
kepadanya. Aku dengan debar menurut. Bimbang juga kerana apabila abah sudah
menunggu sebegitu dan memanggil sebegitu, sudah pasti abah mahu membicarakan
sesuatu.
Tentang Azmikah?
Abah memintaku duduk bertentangan dengannya di bilik
rehat pula, tidak jauh dengan tangga menuju ke tingkat atas. Senyuman abah,
meleraikan sedikit rasa bimbangku. Tapi, itu belum cukup untuk meluruh rasa
gemuruh.
“ Lisa.. abah nak kita bincang ni.. soal hati ke
hati..” abah membuka bicara. Perlahan tapi begitu jelas maksudnya.
Aku menunduk.
Tanganku habis kugenggam erat, sebagai usaha untuk
menyimpan resah. Aku bimbang dengan perkara yang akan abah bangkitkan. Pasti
serius benar kerana jarang sekali abah mengajak bicara sebegini tanpa mama
sekali.
Apa agaknya yang mahu abah fokus kali ini?
“ Dah lama kenal Azmi?”
Aku mengangguk.
Sesekali aku melarikan pandangan dari memandang anak
mata abah kerana aku bimbang abah meneka sesuatu yang lain nantinya.
“ Berapa lama?”
Aku diam, menghitung-hitung tempoh kawanku dengan
Azmi.
“ Hampir 7 tahun bah..”
Abah kudengar
menghela nafas.
“ Kenapa bah? Abah tak suka Lisa berkawan dengan
Azmi?” soalku.
Abah tersenyum.
“ Bukan macam tu.. abah cuma nak tahu sejauh mana
kawan Lisa dengan Azmi tu..”
Aku menelan liur.
Abah ada sangkaan dan andaian yang lain tak ni?
“ Setakat ni, abah senang dengan Azmi..”
Aku mengigit bibir.
Cepat benar abah membuat kesimpulan dan penilaian
tentang Azmi sedang dengan ‘dia’ dulu abah ambil tempoh yang lama.
Inikah namanya maksudnya, ‘dipandang seseorang
itu dari pandangan mata hati? Maka, di situlah akan nampak keikhlasan dan
kejujuran seseorang?’
Aku jadi gundah dengan kenyataan abah.
“ Abah faham kalau Lisa perlukan masa.. Cuma abah tak
mahu, Lisa paksakan diri dan beri harapan..”
Aku memandang abah.
“ Lisa dan Azmi belum fikir jauh lagi bah. Lagipun, Lisa
dan Azmi kawan. Kawan karib. Kawan akrab. Bestfriend.. abah fahamkan maksud
Lisa..” jawabku, mengharap pengertian abah.
Abah mengangguk.
“ Maksud abah, kalau sekalipun Azmi bukan orangnya,
sesiapapun yang nantinya anak abah pilih..” tambah abah lagi, melengkapkan
butir bicaranya yang bagiku tadi membawa bayangan keraguan.
“ Abah, Lisa dan Azmi tu kawan baik saja, bah.. macam
Lisa dan Jihah tu.. Cuma bezanya, dia lelaki…” luahku akhirnya. Sedikit
perlahan, memohon sama abah mengerti dengan apa yang aku sampaikan.
Abah tersenyum kecil.
Dia kemudian berdiri dan memilih untuk duduk di
sebelahku. Abah mengusap kepalaku perlahan, seolah-olah masih dia membayangkan
akulah anak perempuannya yang masih lagi kecil. Belaian tangan abahku itu
membawa rasa kasih yang mendalam, mengalir sama melalui urat nadi, terhenti di
hati.
“ Abah tak mahu, anak abah terluka lagi…” luah abah
akhirnya, terdengar sayu dan mendatar. Aku terbawa lagi rasa yang menyeksa
batinku selama ini.
Aku menunduk lemah.
“Abah.. Lisa memang rasakan sekeping hati Lisa ini
berkecai hancur dan tidak mungkin kembali seperti dulu.. Bagaimana lagi cara
Lisa untuk menyayangi orang lain kalau abah mahu Lisa teruskan hidup ini untuk
cari insan yang boleh jaga Lisa?” luahku bersama esak tangis. Lama kupendam
semuanya, sendiri kerana aku tidak tahu bagaimana meluahkan dan kepada siapa
harusku bercerita. Aku tahu maksud abah mengajakku bicara dari hati ke hati ini
untuk ber’kawan’ lagi dengan lebih serius dan cuba memberi ruang di hati untuk
teruskan kehidupan dan bukannya terus menunggu.
Abah menggengam erat tangan kananku.
“ Lisa.. abah tahu Lisa terluka benar dengan kisah
tu,.. Cuma, Lisa perlu percaya dengan takdir Allah..”
“ Lisa bertahan selama ini bah, tapi Lisa belum boleh
beri ruang untuk yang lain..”
“Lisa.. dengar cakap abah ni..” abah meneruskan kata
sambil dia menyentuh daguku untuk memandangnya. Sisa airmata yang ada, dikesatnya
perlahan.
“ Abah percaya semuanya ada hikmah. Abah mahu Lisa
fikirkan..Pernah tak Allah biarkan siang berlalu tanpa malam? DIA biarkan hujan
pergi tanpa panas? Pernah tak ALLAH biarkan susah itu tanpa digantikannya
dengan yang senang?”
Aku mengetap bibir dengan kuat menahan tangis. Aku
cuba mendengar nasihat abah, membawa jauh meresap ke dalam hati ini.
“Pernah tak, Lisa?”
Aku menggeleng.
“ Allah pasti sudah rencanakan yang terbaik buat
hambaNYA. Lagipun, Allah tidak zalimi kita…”
Aku mengangguk.
Aku memang sedar dengan maksud abah. Aku faham dan aku
tahu apa yang ingin disampaikannya.
“ Ingatlah Lisa.. Yang baik untuk Lisa, akan
kekal…”tambah abah lagi.
Dia menepuk perlahan bahuku.
Abah minta aku menyudahkan tangis dan jangan berfikir
berat lagi tentang kehidupan ini. Kata abah, usaha cari hikmah sendiri. Tidak
lama lepas itu, abah berlalu pergi dan sempat berpesan untuk aku pergi berehat.
Aku membiarkan abah berlalu pergi sebelum aku melangkah sama untuk naik ke
tingkat atas. Aku bawa bersama pesanan dan nasihat abah. Semuanya ligat bermain
di fikiranku. Membawa rasa yang berat dan sukar untukku rungkai sendiri. Aku
memulas tombol pintu dengan perlahan. Menutupnya dengan perlahan dan berlalu
menuju ke katilku dengan perlahan. Aku mematikan suis utama dan terus
berbaring. Aku mengiring ke kanan dan memandang sepi cahaya lampu tidurku. Aku
mengesat sisa airmata yang masih ada. Aku terpandang telefon bimbitku di atas
meja lampu itu dan terusku capai. Dalam fikiranku hanya ada, Azmi.
Aku pantas mendial nombor telefonnya. Lama aku
menunggu deringannya sebelum ia berjawab. Suaranya kedengaran jelas di hujung
talian. Aku mengawal suara agar tidak ketara.
“ Dah sampai?”
Dia menggumam. Bukan kerana Azmi malas untuk menerima
perbualan atau panggilan lewat malam sebegini cuma dia hairan dengan nada suara
gadis yang menelefonnya itu.
Suara ‘Eisy lain.
Bukan ceria seperti tadi.
Yang dia tahu, sejak dia tinggalkan ‘Eisy, dia bukan
dalam keadaan sebegini. Bagi Azmi, pasti ‘Eisy menahan rasa yang lain.
Lebih-lebih lagi, dia bukannya bertanya melalui pesanan di Whatsapp seperti
selalu tapi lebih kepada memilih untuk menelefon dirinya.
“ Sayang okay?”
Aku mengetap bibir dan kemudian, aku memejam mata. Aku
tiada jawapan untuk soalan itu.
“ ‘Eisy…”
Aku masih diam.
“ kau menangis lagi?” soalnya.
Kali ini lain nadanya. Seperti dia tidak berpuas hati.
Pasti dia rasa aku masih memikirkan tentang ‘dia’ yang sudah matikan rasa di
hatiku ini.
“ Berapa kali nak kena tegur dan pesan ni?” soalnya,
sedikit keras dan tidak menjaga perasaanku biar seketika. Mendengar tegurannya
itu, aku tanpa dapat menahan terus melepas tangis lagi. Esak tangis yang
kurasa, mengalir sama membawa rasa kepiluan.
Azmi tersentap hebat.
Dia tidak bermaksud mahu menambah luka di hati ‘Eisy
apatah lagi mahu membuatnya menangis. Cuma dia tiada pilihan kerana ‘Eisy tidak
mahu faham dan berusaha keras untuk pulihkan hati dan jiwa raganya untuk
kembali memilih dan mencinta yang hak saja.
“ Sayang.. so sorry…” pintanya bersungguh. Aku
dengar dengan jelas suaranya dan aku cuba mengawal tangis dan rasa kecewa.
Sebenarnya aku hanya mahukan teman yang mengerti rasaku. Aku hanya mahu teman yang
ada untukku bawa bersama rasa duka tanpa menambahnya.
Mahukah Azmi menjadi orang itu?
“ Beh.. boleh tak, kita sepanjang masa begini? Tanpa
suara.. tanpa bicara.. aku hanya mahu rasa kau ada..” aku akhirnya bersuara
dalam suara yang sayu, mencengkam kuat di ruang jiwa.
Azmi tidak menjawab. Hanya sekadar menggumam. Dia rasa
bersalah sebetulnya. Mungkin ‘Eisy mahukan teman yang faham akan apa yang dia
rasa. Mungkin ‘Eisy harapkan teman yang mahu rasai apa yang dia rasai.
“ Kenapa boleh nangis ni, budak?” soal Azmi, membawa
sama suasana mengusik.
Aku tersenyum kecil.
Tersentuh dengan usikan nakalnya yang bersahaja itu.
meluruhkan perlahan-lahan rasa sedih yang menggila sebelum ini.
“ Abahlah tadi.. bawa aku talk heart to heart..”
“ abah sentuh tentang ‘dia’?”
Aku menggeleng.
“ Bukan..”
“ Habis tu?”
“ adalah juga cuma aku terbawa rasa beban berat
saja..” tambahku lagi.
Azmi menghela nafas.
“ Abah cakap tentang kau jugak..” beritahuku,
lambat-lambat.
“ Eih? Pasal apa?” soalnya, mungkin terkejut dengan
kenyataanku.
Aku tergelak kecil.
“ abah judge kau.. dengan pandangan mata
hati..” balasku mengusiknya. Entahlah dari mana entah aku dapat statement tentang
memandang dengan pandangan mata hati yang kini jadi tagline gurauan
pulak antara aku dan dia.
Dia tergelak sakan dengan balasanku.
“ Abah kau lagi pandang aku dengan mata hati, takkan
kau tak…” jawab Azmi selamba.
Aku tergelak.
“ Kau nak aku pandang macam tu?”
Azmi pulak ketawa.
Aku menggumam.
“ Kita jangan merepek boleh tak?”
Azmi hanya ketawa mendengar aku yang sudah mula
marah-marah manja dan hampir mahu membebel itu. katanya, sudah dia agak yang
pasti aku nanti hujungnya aku mula mempertikaikan apa yang jadi topic perbualan
kami.
“ Entah apa bahasa kau guna tu, aku dah meremang gila
tau..”
Aku tergelak dengan balasannya. Akhirnya dia mengaku
jua yang dia tidak selesa dengan ungkapan sebegitu. Tanpa kuduga saat itu,
pintu di ketuk. Suara abah kedengaran dari luar, menegur aku supaya jangan terlalu
kuat ketawa waktu itu. Aku sempat memohon maaf sebelum kembali meneruskan
perbualan.
“ kau selalukan.. aku jugak yang kena marah dengan
abah…” marahku pulak kepada Azmi yang menjadi punca aku ditegur abah kerana
membuat bising di tengah malam.
“ Abah takkan marah kalau dia tahu kau on the phone
dengan aku ni..”
Aku mencebik.
“ Kau ingat, kau dah dapat beli hati abah tu?”
Dia ketawa nakal.
“ Hati anak dia pun aku dapat tawan dah lebih 7 tahun,
takkan abahnya tak…”
Aku terlopong dengan jawapan selambanya.
“ amboi, ayat tu.. selambanya..”
Azmi tergelak.
“ betul apa…”
“ tak!”
“ sebab?”
“ suka hati akulah nak iyakan atau tidak!” tambahku,
tidak mahu mengalah dengannya.
“ Tapi, betulkan.. dah 7 tahun kita kenal..”
Aku menggumam.
“ tempoh yang cukup lama ‘Eisy untuk aku kenal kau
siapa.. dan sikap serta sifat kau bagaimana.. satu tempoh yang cukup-cukup lama
untuk aku rakamkan banyak tentang kau.. tentang kita…”
Aku terdiam dengan luahannya yang tiba-tiba sudah
berubah nada menjadi serius dan tidak lagi berbunyi gurauan seperti sebelumnya.
Aku menelan liur, masih ternanti-nanti dia meneruskan kata. Aku bimbang dia
mahu mengheret aku ke suasana yang aku tidak mahu lemas di dalamnya.
“ kau kira, kita ni dah cukup kenal dan memahami tak?”
Aku diam memikir seketika.
“ Sejauh ini, kau memang memahami aku, Azmi.. sebab
itu aku perlukan kau setiap masa.. kau tahu apa yang aku rasa dan kau tahu cara
ringankan beban yang kurasa.. dengan begitu saja..” jelasku dengan jujur.
Tanpa selindung dan tanpa ada yang kusembunyikan lagi.
“ Kau rasa, persahabatan kita ini boleh kekal sampai
akhir nanti?”
“ kenapa tidak?”
Azmi tertawa kecil.
“ kau mahu aku terus ada untuk kau?”
“ mestilah.. sampai mati.. sampai akhir nanti…”
balasku bersungguh-sungguh. Aku selesa benar dia selalu ada buatku.
“ Kalau begitu, kau mesti dengar nasihat aku ‘Eisy..”
“ maksud kau?”
“ buang sedih kau. Buang kenangan yang menyakitkan
kau. Pandang depan ‘Eisy. Jangan duduk lagi dalam kenangan lama. Kenangan itu
tidak bawakan kau kebahagiaan lagi walau berapa lama pun kau tunggu.. Kau
takkan dapat sesuatu yang bukan kepunyaan kau lagi..”
Aku mengetap bibir.
Terasa bagai duri setiap kata-kata Azmi menikam jauh
ke dasar hati ini.
“ Beh.. aku telah cuba.. berulangkali. Semua ini
bukannya mudah pun untuk aku lalui..”jawabku dengan nada manja.
“ Sayang, kalau gagal… cuba lagi. Gagal, terus
usahakan lagi. Sampai saat nanti, kau akan percaya ada bahagia lagi…”
Aku menghela nafas berat. Aku selalu berdoa agar
ringan rasa kecewa yang masih bersisa ini. Aku juga selalu minta agar
dilenyapkan ‘dia’ dari menjadi penghuni jiwa raga. Aku juga selalu memohon agar
dikembalikan rasa biasa di hati ini untuk yang lain mencuba dan kembali memberi
rasa bahagia.
Belum mencubakah aku selama ini?
1 ulasan:
Bagaimanakah kesudahan nya semoga bersatu keduanya
Catat Ulasan