BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 28 Mei 2015

BAB 22- SETIA PADA DIA

BAB 22
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

Loceng dari telefon bimbitku berbunyi nyaring pagi itu. aku pulak masih liat untuk bangun kerana masih di ingatan bahawa aku dalam mood cuti. Waktu subuh hampir ke penghujungnya, melabuh tirai malam dan mengajak siang datang. Pasti membawa harapan dan impian baru lagi.Malam yang singkat kurasakan atau mungkin kerana aku yang lewat tidur lantaran terlalu melayan perasaan.
     Aku menggeliat sepenuhnya sebelum aku mencapai telefon bimbitku yang kuletakkan di tepi lampu tidur. Sengaja aku bangun waktu subuh ini untuk menyediakan makan pagi Azmi lantaran dia yang bermalam di rumah. Aku bimbang kalau-kalau abah sudah ke dapur bersama mama dan aku pulak yang lewat turun. Pasti nantinya abah akan berceramah percuma kerana aku tidak menyediakan minum tetamu kami itu.
     Betapa abah mengajar kami untuk sentiasa mengutamakan tetamu. Mama pun dulu selalu menegaskan agar aku terbiasa dengan suasana bangun awal dan singgah ke dapur. Nanti apabila sudah mendirikan rumahtangga, bukan lagi menjadi masalah yang besar untuk selalu menjaga makan dan minum suami.
Mengingat akan keadaan itu, bingkas aku bangun dan segera menuju ke bilik air. Aku menggosok gigi dan muka dan berlalu keluar kemudian untuk mengenakan jubah. Aku belum berniat untuk mandi lagi. Tambahan pulak masih ada sisa cuti yang masih berbaki. Usai yakin dengan penampilan diri, aku segera keluar dan menuruni anak tangga.
     Alamak!
     Suara mama sudah kedengaran bercerita bersama Susi. Aku berjalan perlahan-lahan agar kedatanganku tidak disedari mereka berdua.
Seolah-olah sedang mengintai mama pula!
Nasib baik abah tidak ada.   
     “ Nasi lemak dan mee goreng tu simpan depan yaa…” suara mama kedengaran jelas, berpesan kepada Susi.
     Susi yang mengiyakan arahan mama kulihat menuju ke muka pintu. Aku berpura-pura seperti baru menapak di situ dan berdehem. Aku sempat tersenyum ketika berselisih dengan Susi sebelum aku mendekati mama yang sedang mengacau minuman panas yang dibuatnya.
     Banyak sangat menu sarapan hari ini. Cukup dengan kuih-muih macam hidangan hari raya pula!   
“Sejarah ni subuh-subuh dah ke dapur waktu cuti..” perli mama dengan tiba-tiba dengan senyuman nakalnya.
     Aku menarik muka.
     “Sepatutnya mama syukurilah anak mama yang seorang ni jenguk dapur..”
     Mama ketawa kecil.
     “Lisa kan paling susah nak sediakan sarapan..”peringat mama.
     Aku menarik kerusi yang ada.
     “Memanglah maa.. tapi mama pun tahu alasan Lisa, kan..” jawabku.
     Mama mengangguk.
     “Sebab Lisa belum kahwin inilah kena biasakan diri. Nanti, tak lah susah untuk Lisa..” tambah mama lagi.
     Aku diam berfikir.
     “Dahlah, angkat minuman panas ni ke meja makan depan. Abah dan Azmi dah nak sarapan tu…”
     Aku tersentak.
     Menelan liur berulang kali.
     “Nasib baik abah belum singgah ke dapur lagi. Kalau tak, alamatlah Lisa kena ceramah free dari abah..” sambung mama lagi bagai mengerti dengan kegelisahanku itu.
     Aku sekadar tersenyum kelat. Aku menyambut teko yang mama hulurkan dan berkira-kira untuk berlalu. Di meja makan aku tertemu pandang dengan Azmi yang mengekori abah.
     Aku terpegun seketika saat tertangkap pandangan dengan penampilannya bersama uniform tenteranya yang lengkap. Tidak sangka bestfriendku itu seorang perwira harapan bangsa.
     Dia nampak menawan dan gagah dengan gayanya yang tersendiri! aku suka dengan dia yang begini kerana bagiku dia nampak seperti ingin melindungi.
     Ah hati.. jangan nak bagai-bagai!
     Aku berdehem setelah Azmi duduk tidak jauh dariku. Abah pula kulihat berlalu ke dapur. Mungkin dia ingin mengajak mama ke ruang makan dulu sebelum makan bersama. Sudah menjadi kebiasaan abah begitu.
     Romantic hingga akhir usia!
     “abah kejutkan tadi?” soalku membuka bicara seraya menuangkan minuman panasnya.
     Dia mengangguk seraya menyambut minuman panas itu.
     “Uncle pelawa jemaah sama..”
     Hatiku tersentuh.
     “Kenapa tak join?”
     Aku tersentak dengan soalannya. Terasa sedikit malu kerana aku memang jarang sekali bercerita tentang hal period kepada lelaki, lebih-lebih lagi yang rapat denganku. Kalaupun abah yang mempersoalkan soal ibadah sembahyangku sekalipun aku masih teragak-agak mengaku dalam period.
     “Ohh.. dah tau dah…” Azmi menambah. Membuat kesimpulan sendiri dengan kebisuanku. Hanya aku tidak membalas kata-katanya apabila nadanya yang berbaur usikan itu. Aku lebih senang memilih untuk menyediakan pinggannya pula. Kalau dilayan benar, nanti dia yang terlewat pergi bekerja.
     “Hari ke berapa, yang?”usik Azmi.
     Aku memukul lengannya spontan. Nakal betul soalannya. Dia pula selamba saja ketawa dengan usikan itu.
“Yalah.. senang kita set tarikh nanti..”
“Pagi-pagi lagi dah kacau orangkan..” tegurku.
“Okay apa.. senyum ceria di awal pagi..”
Aku mencebik.
“Yang senyum ceria tu kau, bukan aku… sebab senanglah gelak sakan tentang aku, kan…”
“Eh.. tumpanglah sama. Bukan susah pun.. senyum. Dapat sedekah pulak tu..” jawabnya lagi, masih tidak mahu mengalah.
Aku menjeling.
Kemudian gurauan kami terhenti apabila abah dan mama sudah kembali ke meja makan. Aku duduk berhadapan dengan Azmi kali ini kerana abah sudah duduk di sebelah Azmi.
     “Soleha dah jalan, ma?” soal abah.
     “A’aah.. awal Soleha pergi tadi..”jawab mama yang sedang menyendukkan nasi lemak ke pinggan abah. Begitulah mama yang sentiasa mengasihi abah. Meskipun sudah meningkat usia keduanya, kemesraan yang mereka tunjukkan sangat aku kagumi.
     “ Kalau Lisa tak silap, Soleha ada kelas ganti hari ni bah..”
     Abah mengangguk lagi.
     Azmi sudah memulakan sarapannya. Abah dan mama juga begitu. Scenario pagi yang abah dan mama selalu tunjuk pada aku dan Soleha jika dia ada, itulah kasih sayang mereka yang sentiasa mekar dan ada.
     Boleh jadi kasih mereka tersemai setiap hari.
     Bagaimanakah boleh jadi?
     Mohonku suatu hari nanti, aku akan miliki pendamping seperti abah. Bersifat pelindung dan menyayangi apa adanya. Tegas pada urusan akhirat dan agama dan begitu prihatin pada kebajikan anak-anaknya.
     “tak pergi kerja hari ini Lisa?” soal abah tiba-tiba membuatkan aku terpinga-pinga. Segera aku menggeleng memberikan jawapan kepada abah.
     “Lama Lisa cuti kali ni?”
     “Tak jugak bah..”
     “ Kenapa?”
     “ Tunggu confirmation lagi lah lepas ni sebab kalau Lisa tak silap baca teks mesej semalam, hari esok atau lusa jabatan akan menerima lawatan..”
     “Dari menteri pendidikan?”
     Aku mengangguk.
     “Hmm.. mesti ada kerja urgent lah nanti Lisa kena buatkan?”
     Azmi memandangku.
Dia bagai menanti jawapan dari persoalan abah.
     Aku mengangguk saja mengiakan kerana memang benar aku akan menjadi sasaran utama untuk menyiapkan kerja-kerja mereka yang selalu di saat-saat akhir. Lebih-lebih lagi terpaksa mengemaskinikan perkembang kokurikulum pelajar di setiap daerah. Lebih parah lagi, aku yang selalu jadi mangsa membuat tayangan slide untuk pembentang hasil perkembangan yang dibuat.
     “Kalau jadi, memang Lisa kerja sampai tengah malam lah ni kan..” mama menyampuk pula.
     “Agaknya maa.. susah nak agak..”
     Abah menghirup kopinya.
     “Ni lah Lisa, Azmi.. kerja yang selalu dibebankan kepadanya.. susahlah nanti kalau dah kahwin nanti, kan..” abah mula menyimpul kata.
     Aku tersentak.
Tidak menyangka dengan kata-kata abah itu kerana bagiku aku memang sangat komited dengan kerja yang diamanahkan. Terutama sekali, yang di saat-saat akhir diberikan.
     “Dah memang minatnya dari dulukan, uncle..”
     Abah sekadar mengangguk.
     Kemudian kami masing-masing diam.
     “Uncle, auntie.. Minta diri dulu. Terima kasih untuk dua hari ini yaa..” pinta Azmi kemudian memecah kebisuan yang hanya sekejap. Dia sempat bersalaman sebelum mama mengisyaratkan aku untuk menghantar Azmi hingga ke muka pinta.
     Aku sempat menarik muka sebelum mama memberi amaran ingin mengadu kepada abah tentang sikapku yang seperti ingin menolak. Aku senang mengusik mama yang kadang geram dengan nakal dan manjaku.
     “Thanks untuk semua.. okay..” Azmi berkata ketika dia sudah menapak keluar rumah dan mengenakan kasutnya.
     Aku mengangguk saja.
     “Kalau sayang jadi pergi pejabat, jangan lewat balik.. kebelakangan ni kan musim hujan lebat..”
     Aku menggumam saja.
     Dia terpaku di depanku dengan tiba-tiba. Seperti ingin mengatakan sesuatu yang menerbitkan debar di dada.
     “Tak nak salam abang?”
     “Beh!”
     Tidak terjawabku dengan usikan nakalnya, sebelum akhirnya dia meminta diri dan hilang dari pandanganku.
     Tawa Azmi memecah suasana.
Aah.. dia ni!
     Aku menghantarnya dengan pandangan mata.

Doaku, TUHAN jaga dia.

0 ulasan: