BAB 18
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Usai menemani Soleha membeli barang
keperluannya, aku memilih untuk terus naik ke bilik dan berehat. Lama benar
kami keluar hari ini sehingga menginjak ke senja hari. Aku pulak tumpang sama
membeli-belah seolah-olah perlu habiskan duit hari ini juga.Ringkasnya, aku
tidak mahu diganggu kerana aku merasa benar-benar penat. Tidak sangka pula
aktiviti kami mencecah ke waktu asar sehingga hampir-hampir kami terbabas dari
menunaikan sembahyang zuhur tadi. Kalaulah abah tahu, habislah kami berdua
terpaksa menadah telinga mendengar ceramah percuma abah.
Aku berbaring lapang di katil bersaiz
sederhana tanpa sempat membuka tudung. Aku mengiring ke kanan bersama telefon
bimbit di kanan. Tidak sempat langsung aku melirik-lirik telefon bimbit tadi
kerana sudah menjadi kebiasaanku tidak memeriksa telefon apabila memilih untuk
keluar bersama keluargaku kerana bagiku keluargalah keutamaanku.
Jariku ligat meluncur di skrin telefon
sambil-sambil aku memeriksa beberapa pesanan yang masuk lewat Aplikasi Whatsapp
yang tidak pernah sunyi itu. Aku tersenyum sendiri saat ternampak
nama‘beh’tertera.
Kirimannya telah sampai 2 jam yang lalu.
Aku menarik senyum lagi.
‘ Sorry, shopping tadi..’
Aku menaip pesanan itu dan membalas
pertanyaannya yang menanyakan kepadaku tentang apa yang aku lakukan.
‘ Lama sgt nak bls’
Aku tergelak kecil.
‘ Tak
kerja? Asyik kacau org’
‘ krja p bimbang tak kna bls tdi’
‘Sorry love’
Aku sengaja membuat begitu untuk memujuknya
kononnya yang sedang merajuk itu.
Azmi!
Selalu saja mengusik rasaku.
‘ Mlm
ni tak ajk mkn mlm drmh syg?’
Aku mengerutkan dahi. Sejak bila pulak dia
berminat untuk makan malam bersama dengan keluargaku itu atau dia sudah rindu
dengan masakan mama yang tiada tandingannya?
‘Rindu mskkn mama?’
‘Tentulh..’
‘Dtglh
kalau tak malu’, balasku selamba saja kerana aku tahu Azmi tidak akan ambil
hati dengan usikanku itu.
‘Hahahha,
knp nak malu. Malu lprlh’
Aku juga tersenyum sendiri.
‘Dhlh, smbg krja. 15 minit berbaki tu.’
‘cpt
sgt halau’
‘Tak
bleh main-main. Nnti tak kaya’
Aku sengaja menulis begitu. Entah
apa-apalah kenyataan yang kuberi itu. seolah-olah mempertikaikan apa yang dia
ada pulak.
‘no offense’, tambahku.
‘terasalh sikit. Mskkn utk beh mlm ni..please sayang’
Aku mengerut dahi seraya bangun dari
berbaring. Agak penat begitu. Aku membetulkan duduk seketika dan terus membuka
tudung. Terasa panas juga kerana tiba-tiba Azmi menulis kalimah ‘beh’ itu.
‘ylh..
lps ni mklumkn mama..’
‘good.
Nnti bleh jdi wife yg baik..’
‘beh
ni, sngja. Dhlh. Jumpa mlm nnti..’, putusku dan kemudiannya meletakkan
telefon bimbit di sebelah lampu tidur. Aku menapak ke bilik mandi sekejap untuk
membersihkan muka dan kemudian keluar semula untuk bertukar pakaian. Aku
menuruni anak tangga dan berselisih dengan mama kemudian yang baru saja keluar
dari ruang tempat kami selalu berkumpul.
Aku tiba-tiba termangu apabila mama mula
mempamer muka hairannya. Pastilah kerana tadi aku sudah menyuruh memaklumkan
kepada Soleha yang aku tidak mahu diganggu dan berkemungkinan juga tidak mahu
ikut serta untuk makan malam.
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
Kemudian aku menggumam.
“ Kenapa Lisa?” soal mama akhirnya.
Aku mendekati mama dan memeluknya manja.
Mama sudah mula mencebik kerana sudah tahu dengan tingkahku yang satu ini. Bila
sudah manja-manja begini, pasti ada yang aku mahu mama lakukan untukku.
“ Mama…” seruku manja.
“ Kenapa?” balas mama.
“ Erm… Azmi nak join makan malam,
boleh tak? Mama masak special sikit…” akhirnya, dengan sedikit berani
aku memaklumkan kepada mama yang wajahnya sudah berseri-seri apabila nama Azmi
disebut.
Berubah ceria wajahnya.
“ Eih, betul ni?”
Aku mengangguk.
“ Maklumkan abah. Lepas tu teman mama di
dapur. Jangan lupa panggil Susi yang mama suruh lapangkan taman dang anti tanah
bunga mama tadi.. Dah lewat ni kalau nak berperang di dapur tu..” pesan mama
sambil-sambil dia melangkah menuju ke dapur.
Nasib
baiklah aku sempat menangkap butir bicara mama.
Kelam-kabut sungguh!
Kerana Azmi pulak tu.
Aku yang baru hendak berpaling, terserempak
pula dengan abah yang sudah menggaris senyuman.
“ Abah dengar. Dahlah pergi teman mama di
dapur..”ujar abah, sebelum sempat aku menyampaikan pesanan mama. Senyuman abah
itu sedikit sukar untuk aku tafsirkan. Namun, aku tidak jua ingin menyangka
andaian lain.
Aku menarik senyuman kelat dan terus
berlalu ke dapur. Kerana Azmi, berubah terus ya mood keluargaku ini. Entah
tahap istimewa manalah Azmi ini pada mereka.
Aku mula menemani mama menghiris bawang dan
membasuh sayur yang sudah sedia dipotong oleh pembantu rumah kami. Segalanya
terlalu segera sedangkan padaku masih awal lagi untuk kami makan malam.
“ Lepas ni, Lisa tolong mama masak nasi
briyani pulak. Tapi, pastikan lepas selesai Lisa tanak nasi biasa ya..” pesan
mama yang masih sibuk tangannya menggaul ayam masak merah yang diiktiraf sangat
istimewa oleh abah dan Soleha.
“Masak apa ni..”soal Soleha yang kebetulan
sudah mula muncul di muka pintu dapur.
“ Ah dik.. mari tolong..” serentak saja aku
dan mama bersuara. Aku dan mama berpandangan dan kemudian melepas tawa bebas.
Susi hanya tersenyum dengan suasana yang kami bangkitkan di dapur.
Soleha menghampiri meja di dapur.
“ Kenapa mama bersungguh-sungguh sediakan
makan malam ni? Makanan berat pulak tu..” soal adikku itu bertubi-tubi.
“ dan… banyak!” tambahnya lagi, belum
sempat mama memasak.
“Tanya kak Lisa..” jawab mama spontan.
Kusempat
mengerling mama yang sudah bergerak ke peti sejuk untuk mengambil buah tomato
pulak.
Aku menghela nafas.
Tak boleh tidak simpan rahsia lah mama ni!
Soleha kemudian menyikuku namun aku hanya
membalas dengan senyuman kecil. Sengaja aku membiarkan dia ternanti-nanti
dengan penjelasanku ini kerana aku memang suka mendera perasaannya yang penasaran
itu.
“ Maaa… cepatlah. Kalau tak, tak mahu lah
adik tolong.. Lagipun, minuman sejuk adik paling best tau…” sambung Soleha pula
dalam nada merungut.
Mama tertawa kecil.
“ Bagi pihak Kak Lisa, mama maklumkan…
makan malam hari ini ada tetamu. Abang Azmi kamulah..” jawab mama, sempat lagi
dia menyelitkan usikkan di situ.
Soleha kemudian tertawa nakal.
“ Betul ni?” soal adikku itu seraya dia
menyikuku yang tadi hanya diam.
Aku mengangguk kemudian.
Dia menjerit kesukaan.
“ Adik.. tak payah nak jerit sangat anak
dara abah oii… Tolong mama dan Kak Lisa kan lebih baik…” tegur abah yang
tiba-tiba masuk ke dapur kerana sekadar ingin memeriksa hasil usaha kami sambil
di tangannya ada segelas air sejuk.
Tawa Soleha kedengaran manja.
Aku hanya mampu menarik muka.
Tidak senang sebenarnya dengan maksud
Soleha kerana tiada lain pastilah dia sudah menyangka Azmi itu istimewa benar
padaku. Soleha selama ini sudah membuat pernyataan bahawa aku hanya akan
membawa teman lelaki pulang untuk bertemu keluarga apabila bagiku dialah yang
terbaik untukku jadikan seseorang yang hidup bersamaku di masa hadapan.
Apakah benar ini yang Soleha sangkakan saat
ini?
“ Muka tu biarlah senyum sikit. Nanti tak
sedap nak hidang pulak..” usik mama yang tiba-tiba ada di sebelahku.
Aku tersentak dengan usikan mama.
Hanya jelingan manja saja yang kumampu
balas. Sebenarnya, aku lain rasa juga tapi aku tidak tahu mengapa aku izinkan
jua rasa itu menguasai suasana.
“ Kak Lisa, ulam mempelam tak nak buat?”
soal Soleha memecah lamunanku.
Aku membalas pandangan.
“ Kalau kulitnya sudah dibuang, bolehlah
Kak Lisa tolong.. tapi bagi perasa saja. Yang lain, adik buatlah..”jawabku
selamba mengusik adikku yang sebenarnya liat apabila disuruh membuat sambal
mempelam itu.
Soleha menarik muka kelat.
“ Lisa dan adik ni kan, kalau tak perang
mulut tu tak sah. Tak baik tau depan rezeki nak mengata atau buat muka begitu
tu..” tegur mama yang sudah duduk berhampiran kami. Susi pembantu rumah kami
itu memang lebih selesa diam kerana dia sudah terbiasa dengan suasana kami. Dia
tidak banyak bersuara dan hanya bercakap bila perlu. Dia rajin dan sangat
komited dengan kerjanya. Kerana itulah, mama dan abah sudah menetapkan dia
bekerja untuk kami sekeluarga sudah lebih 5 tahun perkhidmatannya. Apabila raya
menjelang, dia dibenarkan pulang selama dua minggu. Waktu itulah nanti kami
sibuk macam lipas kudung menerima tetamu apabila ramai keluarga bertandang
hinggakan terkadang abah termasak mencari khidmat pembantu rumah sementara
jadinya.
“ minta maaf maa..” pintaku akhirnya dan
kemudian aku mendengar sama Soleha juga meminta maaf atas keterlanjuran sikap
kami yang nampak sangat kebudak-budakan. Mama sebenarnya tidak suka kami
berkelakuan tidak elok di depan rezeki kerana bimbang kata-kata yang tidak baik
membentuk partikel kurang elok pada makanan. Itu yang selalu mama perkatakan.
Mulanya, naik bingung juga hinggalah aku sendiri menemukan kajian bacaan dan
rajah partikel yang terbentuk pada air yang boleh membentuk molikul yang cantik
saat dikatakan dengan kata-kata yang baik.
Mungkin inilah juga hikmahnya kita perlu
membaca doa sebelum makan. Di samping memohon keberkatan, juga boleh menjaga
tutur kata yang sopan.
Agaknya, itulah juga sebabnya kita dilarang
untuk tidak boleh banyak bercakap ketika makan. Bimbang tidak sengaja terlafaz
kata-kata yang kurang elok sehingga terbentuk partikel dan juga molikul yang
kurang elok yang akhirnya akan masuk ke dalam jasad kita. Kalaulah hasilnya
memberi kesan kepada hati, bagaimana?
Aku dan Solehah akhirnya berpandangan. Tidak
mahu lagi berbalas kata dan hanya terus membantu mama menyediakan makan malam
untuk kami semua dan juga, dia.
Azmi!
1 ulasan:
setia menanti sambungan seterusnya.
Catat Ulasan