BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 31 Mei 2015

BAB 23- SETIA PADA DIA

BAB 23
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Aku menghela nafas berat.
     Tekaan abah menjadi kenyataan apabila aku dipaksa juga untuk masuk ke pejabat hari ini lantaran perlu menyiapkan banyak kerja yang dihendaki serta-merta. Rasa hendak menangis pun ada kerana masih banyak lagi yang belum dikemaskinikan dan masih ada beberapa dokumen lagi yang perlu disemak.
     “Maaf ya ‘Eisy. Kebetulan juga banyak yang cuti minggu ini. Akak harap sangat boleh kita siapkan hari ini jugaa..”Puan Zalikha mula berkata yang duduk di sebelahku.
     Aku hanya mampu menggaris senyuman saja kerana ternyata memang aku penat kerana hampir seharian aku menghadap laptop saja. Aku lebih selesa menggunakan harta peribadiku kerana aku sudah terbiasa dengan fungsinya. Bolehlah aku melakukan tugasan dengan lancar.
     “ Lepas ni nanti, kalau ‘Eisy nak pergi solat, pergilah yaa..”
     “Cuti..” jawabku ringkas namun masih mampu tergelak kecil.
     Puan Zalikha mengangguk-angguk.
     “Taka pa ya malam ni sampai siap kita stay?” tanyanya, inginkan kepastian yang entah kali ke berapa dia mengatakannya kepadaku. Katanya, dia rasa bersalah kerana terpaksa memanggilku untuk ke pejabat sedangkan cutiku masih berbaki lagi beberapa hari. Puan Zalikha juga menawarkanku akan diganti cuti hari ini dengan 3 hari extra cuti.
     Rezeki rehatkan diri.
     Alhamdulilah. Aku hanya rela dan redhakan saja. Siapa tahu nanti aku dipermudahkan atas urusan yang lain. Malas hendak berfikir banyak dan membantah atas arahan ketua, aku lebih senang mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Ringkasnya, masih ada 7 orang yang tinggal bertungkus-lumus di pejabat menyiapkan tugasan akhir ini dengan daya yang ada. Meriahnya, makan kami tetap terjaga kerana sememangnya sudah dipesan oleh Puan Zalikha untuk bekal kami hari ini. Tidak sangka juga hingga meniti ke senja hari sudah dan kami masih ada tugasan berbaki belum tersentuh.
     Aku bersandar seketika di kerusiku setelah Puan Zalikha meninggalkanku sekejap, katanya. Mungkin dia ingin memeriksa rakan yang lain dengan tugasan yang sudah diagih-agihkannya untuk kami siapkan hari ini.
     Aaa.. penat jelas terasa!
     Terdetik terus fikiranku untuk mengambil telefon bimbit dan mencuri sedikit masa untuk melihat pesanan yang ada. Rupanya ada miscalled dari mama 5 minit yang lalu.
     Sudah pasti mama bimbang dengan kelewatanku. Mama sudah terbiasa begitu walaupun aku ini sudah melewati usia remaja. Bagi mama, aku anak kecilnya. Hinggakan mama selalu mengatakan yang aku ini will always be her little girl.
     Mama memang tabah dengan kasih sayang yang dia berikan kepada kami dua beradik. Mama yang garangnya bererti pengasih dan ingin mendidik kami untuk menjadi dewasa yang berguna. Walau kadang mama mengusik kami dengan macam-macam kisah, adakalanya dia serius bagai hinggakan kalau dikenang semula, kami mampu tergelak sakan.
     Mama tu bukan sesuai pun saat dia serius!
     “Assalammualaiku maa..” sapaku, saat salam di hujung talian bersahut.
     “Lama lagi Lisa?”
     Aku menggumam.
     “Insya Allah jam 9 lebih paling lewatlah maa..”
     “Hmm.. okaylah. Jangan kerja lebih sangat..”
     “okay darling..” balasku manja.
     “Darling konon, Azmi nak letak mana?”
     “mama ni..” aku sudah mula manja-manja. Terasa segan pun ada dengan gurauan mama.
     Tawa mama kedengaran di hujung talian.
     “Yalah.. betulkan..”
     “Entah..” rajukku, menjeruk rasa. Malas aku hendak membalas lagi apatah lagi ingin menegaskan tentang keakraban aku dan Azmi. Puas sudah kuberterus-terang. Mungkin hanya mereka yang berharap ada kelainan pada keakraban kami itu.
     Tok tok tok!
     “Maaa.. nanti lagi Lisa call.. kerja banyak lagi ni..” ucapku, menyudah bicara bersama mama lantaran aku mendengar bunyi ketukan di pintu bilikku. Aku segera memutuskan dengan salam kepada mama sebelum aku memberi arahan untuk membenarkan masuk menemuiku.
     Oh, Husni rupanya!
     “Ustazah Mukleesa.., boleh masuk ni?” soalnya sekadar berbasa-basi. Mungkin dia rasa segan kerana mengganggu perbualanku tadi.
     Aku mengangguk bersama senyuman.
     “Kenapa Husni?” soalku, kepada rakan pejabatku yang baik hati dan peramah ini. Dia sebenarnya ditugaskan di bahagian penyusunan penilaian peperiksaan. Selalu saja dia diarahkan untuk mengemaskinikan peratus pencapaian pelajar di semua daerah setiap 3 bulan sekali. Berat sebenarnya tugasan Husni ini. Sesuailah juga dengan kudratnya sebagai seorang lelaki dan bertepatan jua dengan kelulusan yang dia ada.
     “Sebenarnya nak minta tolong ustazah periksa bahasa arab saya untuk sebagai title ni. Guna khidmat google saja sebab dah berhabuk bahasa arab saya..” bicaranya panjang lebar kepadaku dengan sedikit jenaka di situ.
     “Insya Allah lah ya sebab saya pun tak lah macam kamus At-tulab..” selorohku pula.
     Dia juga tertawa kecil sambil meletakkan beberapa helai kertas yang sudah penuh dengan cetakan jawi dan melayu. Kamus At-tulab ini sangat popular digunakan untuk pelajar-pelajar yang mengambil jurusan agama yang menggunakan bahasa arab sebagai bahasa pengantar. Sempat dia berpesan bahawa dia memerlukannya dengan segera sebelum dia kembali meminta izin untuk keluar dan meninggalkan aku sendiri menyiapkan tugasan yang bersisa di bilikku.
     Aku menghela nafas berat.
     Kadang kuragui juga keikhlasanku untuk sudi menyiapkan semua tugasan saat akhir ini kerana ada sebahagian rakan yang memilih yang masih bujang untuk menyelesaikan. Seolah-olah hanya mereka yang tahu penat dan memiliki keluarga. Mentang-mentanglah kami ini ada yang masih hidup solo, dijadikan sasaran utama pulak sehingga dipesan untuk bertugas lewat malam. Lantaran rasa hormatlah kami diamkan saja. Malas juga kami hendak mempertikaikan melainkan memilih untuk memendam dan menjeruk rasa. Aku meneliti kemudian isi kertas yang diberikan. Melilau mata membaca kesemuanya sehingga akhirnya aku mengambil pen merah untuk membetulkan qawaid(kaedah) yang kurang tepat. Terimbau pula masa praktik mengajar dan mengajar dulu. Rindu pulak untuk menanda buku pelajar yang kebanyakkannya menggunakan pen merah. Puas memerah otak dengan jawapan pelajar yang kadang boleh menguji kesabaran seorang pendidik. Apa daya sudah tanggungjawab untuk membetulkan yang salah.
     Hmmmm..
     Syukur jugalah aku kerana tidak banyak yang perlu dibetulkan. Husni itu pun kadang jangan tidak menjalankan pesanan Puan Zalikha saja yang selalu meminta aku memeriksa sebelum dicetak rasmi. Husni itu bagiku lebih hebat ilmunya daripadaku. Ringkasnya, dia hanya merendah diri saja dengan apa yang ada. Beruntunglah nanti jika dia memimpin keluarga yang dibinanya. Pasti nanti bijak-bijak belaka. Bermula dari muka surat pertama, aku terus memeriksa dengan berhati-hati kerana tidak mahu berlaku kesilapan lantaran ia benar-benar perlu diselesaikan segera. Usai memeriksa, aku kembali menyerahkan kepada Husni yang sudah menunggu di mejanya di luar dan menyambut dengan ucapan terima kasih.
     Aku sekadar tersenyum saja sebelum aku berlalu menuju ke pantry untuk membuat secawan Nescafe panas. Memang sesuai minum di waktu dingin begini. Tambahan lagi hari baru saja mulai dituruni hujan. Mungkin bermula maghrib ini hingga ke lewat malam. Harap-haraplah tidak selebat mana kerana masih banyak lagi yang hendak aku siapkan. Kalau hingga lewat malam, mana mungkin aku mahu abah yang menjemputku walaupun sememangnya itu masih tanggungjawab abah untuk anak perempuannya.
     “Puan Mukhlisa..”sapa Sufiyah yang sudah ada di sebelahku.
     “Ya?”
     “Nescafe saja?” soalnya.
     Aku mengangguk.
     “ Kalau ustazah nak, kita order pizzalah yaa.. lapar betul ni. Banyak sangat kerja kitakan..” adunya kemudian yang tangannya sibuk menyediakan minumannya jua. Sempat juga dia mencadangkan pengalas perut. Mungkin kerana kantin pejabat yang sudah ditutup kerana waktu pun menjangkau ke angka 7 malam sudah.
     “Boleh juga. Pesanlah..” jawabku yang sudah duduk di sofa yang  disediakan tidak jauh dari situ. Sufiyah mengangguk dan mula membuat pesanan melalui panggilan telefon. Dia juga turut sama duduk di sebelahku. Sufiyah ini rakan pejabatku dibahagian kertas peperiksaan. Dia sebenarnya seniorku Cuma dia lebih menghormati aku kerana jawatanku di sini. Puas sudahku minta dia memanggil namaku saja tapi dia tetap juga memanggil aku dengan gelaran ‘puan’ yang bagiku kedengaran seperti sudah berumur.
     “Bukan sebetulnya ustazah masih bercuti ni?” soalnya memecah kesunyian. Kami sengaja mahu berehat sekejap sebelum menyambung tugasan yang setia menunggu kami.
     “Biasalah..” balasku ringkas. Rasanya cukup memberi jawapan mengapa aku perlu turut-serta hari ini walaupun aku masih lagi bercuti sebenarnya.
     Sufiyah mengeluh.
     “Suka sangat last minute. Kelam-kabut kita jadinya..”rungutnya lagi.
     Aku tergelak kecil.
     “ Nak buat macamanakan..”
     Dia sekadar mengangkat bahu.
     “Tapi yang tak puas hatinya, hanya kita-kita saja yang kena siapkan hingga lewat. Yang lain lepas tangan..” tambahnya lagi dengan muncung sedepanya.
     Aku memukul lengannya perlahan.
     “Dahlah Sufiyah. Nanti pahala kurang. Kita harapkan sajalah di masa akan datang, segala kesulitan kita akan dipermudahkan Allah. Kalau kita dizalimi, Allah lebih layak menghukum. Kita redha sajalah, yaa..” balasku memujuk, bagai berceramah pun ada.
     Sufiyah tergelak.
     “Ni yang suka duduk sembang dengan ustazah ni. Boleh sejuk hati..”pujinya bersahaja.
     “Biasa saja pun. Kira sekaligus pujuk diri sendiri..” sahutku. Usai minum itu, kami kembali ke meja masing-masing sambil-sambil menanti pizza yang kami order datang. Tidak terasa bertungkus-lumus kami mengerjakan tugasan itu dan akhirnya, siap juga semuanya hampir ke pukul 11 malam. Aku melangkah keluar untuk melihat hasil kerja yang lain.mereka masing-masing sudah berkemas.
     “Ustazah, kerja kita semua dah selesaikan?” soal Husni.
     Aku mengangguk.    
     “Jomlah kita sama-sama turun ke basement..” ajak Sufiyah kepadaku yang kelihatan termangu pula. aku mengiyakan saja dan kembali ke bilik untuk mengambil beg tangan dan juga beg laptopku. Bersegera kami menuju ke lif setelah segala peralatan eletrik kami matikan suisnya.
     “Tak pernah-pernah kita kerja lebih sampai lewat ni, kan?”Saiful memecah kebisuan. Dia sempat juga meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan bahagian pentadbiran kerana membiarkan kami saja yang menyiapkan. Terkadang lelah juga aku mendengar aduan mereka namun aku hanya mendengar sahaja. Mereka begitu selesa begitu kerana aku bagaikan pihak atasan yang mengerti keadaan mereka. Aku seperti mereka kerana aku juga merasakan hal yang sama. Itu lantaran aku yang masih junior lagi tetapi sudah menjawat jawatan penting. Sebab itulah terlebih kepercayaan pula kepadaku sehingga hampir sebahagian tugasan diserahkan bulat-bulat kepadaku.
     Ting!
     Lif berhenti di tingkat lantai bawah. Kami masing-masing beriringan menuju ke kereta sebelum aku berpisah setelah semua masuk ke dalam kereta. Rakan pejabat lelaki mengutamakan kami yang perempuan pergi dulu dari parking basement itu sebelum mereka mengikut di belakang. Begitulah yang baiknya dan prihatin sebahagian rakan pejabatku yang lain. Kami masing-masing berpisah di jalan utama dengan suasana malam yang sudah pekat, dingin dan hujan yang masih renyai-renyai.
Aku terus fokus dalam pemanduan sehinggalah hatiku diamuk resah apabila jalan utama menuju ke rumah ditimpa hujan yang maha lebat. Sedaya upaya aku memujuk keberanian untuk melalui jalan itu namun hampa. Cermin depan bagaikan berkabus dek hujan yang turun lebat itu. sesanggupnya aku memandu hanya 20 km/h saja. Hendak tak hendak aku berhenti di bahu jalan. Kalau dikira-kira, sudah boleh sampai ke rumah dalam 7-10 minit lagi melalui jalan ini tapi aku tidak sanggup kerana merasa takut pun ada. Ditambah lagi dengan kilat dan bunyi petir.
     Aku beristighfar di dalam hati.
     Hanya mampu bersandar kebuntuan.
     Bagaimana lagi caranya hendak pulang?
Keluhanku kedengaran. Aku mencapai telefon bimbit dan ingin memaklumkan kepada mama bahawa aku mungkin akan lewat sampai ke rumah lantaran aku memilih untuk berhenti dulu di bahu jalan. Walaupun lebuhraya itu diterangi lampu-lampu jalan namun itu belum cukup melerai keresahan meredahi malam.
     Mataku ternampak mesej dari Azmi.
     Tiba-tiba saja akal inginkan pertolongannya darinya namun masih jua kuteragak-agak. Lagipun sudah jauh malam. Bimbang kalau-kalau dia sudah tidur. Tambahan lagi esok dia akan bekerja. Tetapi, masih mahu mencuba nasib.
     Aku menanti talian dengan debar dan segan. Bercampur-baur rasaku saat ini. Lama telefon bordering sebelum gemersik suaranya kedengaran di hujung talian.
     “Kenapa ‘Eisy?” tanyanya segera namun suaranya seperti orang baru bangun tidur.
     Aku mengigit bibir. terasa bersalah pun ada tapi memikirkan aku semakin takut dengan keadaan cuaca yang semakin memburuk, aku teruskan juga niat meminta tolong kepadanya.
     “Err.. aku berhenti di bahu jalan ni. Takut nak drive sampai rumah sebab hujan lebat sangat..” aduku perlahan, mengharap benar dia akan memahami maksudku.
     Bingkas Azmi bangun dari tempatnya berbaring mendengar keadaan ‘Eisy di tengah-tengah malam begini dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
     “Tengah malam ni?”
     Aku mengiyakan.
     “Dimana?”
     “Hampir bus stop sebelum jalan utama ke rumah.. tak boleh nampak lagi sebab tu nak minta kau hantarkan balik..”jawabku dan mengharapkan dia memahami.
     “Kenapa lewat sangat balik? Dah tahu hari hujan lebat ni. Sekurang-kurangnya maklumkanlah abah atau mama..”sambungnya lagi tapi kali ini menegur kealpaanku tentang perihal keselamatan sebenarnya. Namun, aku terasa hati. Aku mahu dia saat ini bukan untuk meruntuhkan rasa.
     “Tak nak tolong tak apalah. Terima kasih..” balasku dan terus menutup talian. Tidak sanggup menerima tegurannya dengan terbuka sedangkan apa yang disampaikannya itu merupakan kenyataan yang perlu aku terima.
     Yang aku rasa, secara tiba-tiba diundang sebak dan sedih yang melampau.
     Tiba-tiba saja aku menangis semahuku.
     Salahkah aku mahukan perhatian?

0 ulasan: