BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 20 Mei 2015

BAB 14- SETIA PADA DIA

BAB 14
SETIA PADA DIA

“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Hari itu, segalanya berlalu dengan pantas. Siang yang tadinya cerah, kini berubah lantaran hadir gelap bersama malam pula. Malam menjadi menarik dan cantik dengan simbahan cahaya bulan walaupun tiada angin malam membawa sebuah kedamaian. Aku dan Azmi duduk diam di tepi kolam ikan kecil milik abah di luar rumah. Hampir seharian Azmi berada di rumah bersama dengan keluarga kecilku. Dia sembang bersama abah. Dia lepak bersama Soleha dengan video games. Dia sesekali mengusik mama di luar rumah dan malam ini, baru aku berpeluang bersamanya, berdua dan sendiri. Pasti banyak yang dilakukannya di sini.
Di tempat aku membesar ini.
Pasti juga dia sudah menempah tempat istimewa di hati keluargaku kerana sepanjang ini, belum ada yang negative tentang dia yang sampai ke pendengaranku.
Di petang tadi, aku memilih untuk berehat dan tidur kerana aku merasa penat yang luar biasa. Mungkin kerana aku tidak cukup rehat dan tidur yang tidak teratur. Aku pun tidak menyangka, dia memilih untuk menunggu lama di sini. Aku fikir, dia mahu mengambil masa pulang sebelum kembali ke sini. Ternyata, aku tersilap. Dia masih boleh membawa diri dalam kelompok keluarga kecilku ini walaupun tanpa aku bersama.
     Aku duduk bertentangan dengannya. Dia membalas pandanganku tanpa kata sebelum aku memilih untuk membuang pandangan ke tempat lain. Suasana sunyi itu menggamit sunyi juga. Sepi dan tidak berpunya.
     “ Dah seharian di sini.. tak penat?” soalku memula bicara di malam itu.
     Azmi menghela nafas.
     “ Best apa..”
     Aku tergelak kecil.
     “ lagipun, semua orang terima kehadiran aku di sini apa adanya…”
     Aku tersenyum.
Aku berpuas hati dengan pernyataannya kerana itu merupakan pujian darinya buat keluargaku. Pastilah dia menerima tempat dalam keluarga ini kerana aku tahu abah dan mama pasti sudah membuat kesimpulan bahwa Azmi ini istimewa padaku. Aku kemudian menolak perlahan kotak yang sederhana besar di atas meja itu kepadanya.
     Dia memberi isyarat menanyakan benda apakah yang kuhulur itu.
     “ Well, ole ole untuk kau lah…”
     Azmi tergelak. 
Mukanya ceria menerima pemberianku itu. Bersinar dan memberikan maksud dia senang dengan caraku itu.
     “ Ini bukti aku tak lupakan kau walaupun aku jauh, tau..” tambahku, dengan muka-muka yang bersungguh-sungguh demi meyakinkan Azmi. Aku sengaja begitu kerana aku tidak mahu dia berfikir aku melupakan kawan baik yang dekat di jiwaku. Sayangnya, caraku itu dianggap manja pada Azmi. Aku sekadar tergelak kecil dengan rumusannya itu.
     “ Kenapa mesti jam? Kenapa ada pink ni?” soalnya bertalu-talu setelah dia membuka kotak kecil itu. wajahnya melukis sedikit rasa tidak berpuas hati.
     “ Saja pilih pink, putih dan hitam ni.. gabungan warna ni menarik apa..”
     “ Menarik tu hitam dan putih. Pink, tak tersenarai..”
     “ ala.. setakat nombor saja pun. Pinknya ada glitter pun.. itu sekadar untuk attract pandangan saja..” balasku, masih tidak berpuas hati. Aku sedikit terasa bila dia mengkritik pemberianku. Aku tahu dia tidak suka dengan warna merah jambu. Mungkin juga silapku kerana memberi sesuatu yang tidak dia sukai. Memang wajarlah aku dikomen sebegitu. Hanya, aku suka dengan hasil cipta jam tangan itu.
     “ Kalau tak suka, kembalikan.. Nanti aku ganti dengan yang lain..” balasku akhirnya.
Nada sudah berubah, kecewa dan seakan patah hati pula dengan kejujuran Azmi mempertikaikan pemberianku kepadanya ini.
     Azmi memandangku.
Di wajahnya tergambar rasa serba-salah. Walau aku tahu, aku memang patut pun terima ketidakpuasan hatinya kerana aku beri sesuatu yang dia tidak suka. Cuma, warna itu hanya sedikit. Jam tangan itu menarik padaku.
     “ Minta balik, buruk siku..” ucapnya, dalam jenaka.
     Lawaknya tidak kusambut.
Aku hanya diam dan tidak bersuara. Aku membiarkan dia menguasai suasana.
Azmi akhirnya mengeluh.
     “ Aku beri ni sebab aku suka. Salahkah aku beri sesuatu yang aku suka?” soalku.
Serius sekali suaraku dan aku benar-benar terasa hati. Entah kenapa, aku tiba-tiba pulak terasa sensitive malam itu. Sebelum Azmi membalas kata-kata, mama di muka pintu utama pula memanggilku untuk mengambil minuman yang sudah disediakannya untuk kami di luar. Katanya, ada sudah di atas meja. Kalau aku mahu, bawa keluar untuk bersama Azmi, pesannya sebelum mama menghilang masuk semula ke dalam rumah. Aku kemudian berdiri untuk masuk ke dalam rumah sekejap demi menuruti arahan mama kerana, untuk menghormati tetamu.
Tanganku ditarik.
Menghentikan langkah dan degup nadiku seketika. Azmi berdiri hampir di sisiku. Wajahnya, suka untuk aku fahami maksud pandangan itu.
“‘Eisy, aku tak maksud nak perlekehkan pemberian kau ni.. Maafkan aku..”
Aku menolak tangannya dengan senyuman yang entah ikhlas entah tidak kerana aku tidak selesa. Aku rasa bersalah pulak kerana Azmi membuat kesimpulan seperti aku merajuk pulak sedang aku mahu masuk ke dalam rumah sementara saja untuk membawa keluar minuman yang disediakan mama.
Dia mengeratkan genggaman pulak.
“ err beh, aku masuk ni sebab nak bawa minuman kita keluar..”
Pantas Azmi melepaskan tanganku.
Dia tergelak sakan mendengar kata-kataku sebelum aku memukul lengannya kerana aku bimbang tawanya akan membuatkan siapa-siapa di dalam rumah keluar pulak nantinya.
“ Aku ingat kau merajuk..”
“ Kalaupun aku merajuk, aku bukan suka cara kau pujuk..  manis semacam..” balasku.
“Aku bimbang betul, kau tau tak..”
Aku ketawa.
“ Kalau kau tak nak aku buat betul-betul, kau terima sajalah. Belajar suka benda yang aku suka. Bermula dari benda pertama aku beri kau ni..”
Dia tanpa kuduga, kembali dekat. Hela nafasnya, kedengaran di sisi. Aku mati kata dan menanti debar.
“Kau nak beri sesuatu yang istimewa lagi selepas yang ini?” bisiknya, meluruhkan jiwaku.
Mengusik hati wanitaku.
Bersahaja walaupun aku tahu, dia sekadar mengusik. Bagai terbawa-bawa suatu rasa. Rasa yang terlalu sukar untuk aku gambarkan dengan kata-kata.
Hanya hati yang rasa.
Aku dan Azmi berpandangan.
Dari sepasang anak mata ke anak mata yang lain.
“ Lisaaaa…”
Laungan suara mama, kedengaran dari dalam rumah. Aku tersedar akan saat itu sebelum aku bergegas masuk ke dalam rumah semula. Tawa Azmi kubawa bersama sebelum aku berlalu meninggalkan dia di luar. Dia rasa bahagia saja dengan responku kerana usikannya yang bagiku, keterlaluan. Aku cuba untuk tidak terasa walaupun itu mengusik jiwa kerana kami memang suka mengusik dengan gurauan yang ‘daring’ sebegitu. Aku berlalu menuju ke meja makan dengan senyuman.
Gila betul Azmi ni!
Berani dia usik aku dengan cara memikat begitu.
Aku menatang dulang yang berisi minuman panas dan juga kek coklet moist kegemaranku yang disediakan mama. Aku meletakkannya di atas meja, berhampiran dengan kolam kecil itu. aku menuangkan minuman itu untuk Azmi dan aku kemudian menghulurkan kepadanya. Aku kemudian duduk sambil memegang sama cawanku pula. Aku memandang kocakkan air di dalam kolam itu dek renangan ikan-ikan peliharaan abah.
“ Seronok seminar hari tu?” soal Azmi, kali ini membuka topic perbicaraan tentang kerjaku.
Aku sekadar mengangkat bahu.
“ Biasa saja pun..”
“ Tak ada kenalan?”
Aku tersentak dengan pertanyaan itu. Azmi ni boleh agak aku bertemu dengan seseorangkah?
Aku mengalihkan posisi duduk, bertentangan dengannya. Aku meletakkan cawanku dengan cermat.
“ Actually… adaa..”
Azmi memfokus pandangan.
“ Siapa lagi handsome? Dia atau aku?”
Aku tergelak kecil dengan soalan selambanya. Aku mengusap-usap dagu yang kononnya aku sedang berfikir untuk membuat perbandingan.
Azmi tidak mengalihkan pandangannya. Dia bagai serius sekali dengan pertanyaan itu.
“Perlukah kita buat perbandingan?”
Dia mengangguk. Serius benar.
Aku lain rasa.
“ Well.. entahlah. Aku belum pandang dia dengan pandangan hati..” jawabku perlahan.
Azmi tersenyum nakal.
“ Kalau aku? Kau dah pandang dengan hati?”
Aku membuat muka menyampah.
“ Perlukah aku jawab soalan kau tu?”
Azmi ketawa besar.
Dia suka sekali menyakat dengan soalan yang aku rasa malas benar hendak menjawab. Soalan tak masuk akal dan tak ada kena-mengena dengan aku.
“ kau memang suka sangat tau buat aku macam ni kan? Kau tanya soalan yang entah apa-apa. Eeeeiii!!”
Aku geram benar dengannya.
Dia masih ketawa. Namun sudah tidak semegah tadi.
“ eeih cik abang, perlahan sedikit suara tu, nanti orang rumah keluar pulak..” tegurku seraya memberi isyarat mahu mencubitnya jika dia masih mahu meneruskan.
Dia mengangkat kedua belah tangannya menandakan dia mengalah. Tapi senyuman itu masih lagi ada bersama tawa yang masih tersisa.
“ Tapikan beh.. dia serius ajak aku berkawan..” aku menyambung akhirnya kerana aku sebetulnya memang memerlukan seseorang untuk meringankan beban yang aku rasa tentang kehadiran Dzul dalam ruang hidupku.
Azmi menyudahkan senyumnya.
“ serius yang macamana?”
“dia ajak jumpa keluarganya di sana..”
“ dia orang Sabah?”
Aku mengangkat bahu.
“ tak pastilah pulak sebab aku tak banyak pun tanya soal peribadinya. Lagipun, aku ke sana untuk bekerja. Bukannya nak bersuka ria..” tambahku lagi.
Dia diam.
“ Kau rasa, aku perlu cuba?”
Dia mengangkat bahu.
Aku mengeluh.
“ Aku rasa, aku nak baliklah ‘Eisy.. Dah jam 11 malam ni..” Azmi bersuara meminta diri, dengan tiba-tiba. Walaupun aku berat hati melepaskan dia pergi tapi aku perlu benarkan jua meskipun kisahku belum habis aku kongsikan. Tiba-tiba saja dia hendak pergi tanpa menyudahkan aku berkongsikan cerita dari topic yang dia bangkitkan malam itu.
Aku beriringan dengannya menuju ke keretanya. Dia menghentikan langkah di sisi pintu kereta.
Aku dan dia berbalas pandangan.
Jadi kekok dengan tiba-tiba. Sudah lama aku tidak buat semua ini sejak aku pasrahkan diri izinkan ‘dia’ pergi dari hidupku.
“ Terima kasih untuk hari ini..” luahku akhirnya kerana aku tidak mahu tenggelam dengan suasana itu.
Azmi mengangguk.
“ dah lah.. masuk dulu..” arahnya kepadaku.
Dia mengisyaratkan aku untuk pergi dulu masuk ke dalam rumah. Wajahnya jelas ada rasa prihatin dan bertanggungjawab. Ada kerisauan dan juga rasa melindungi. Aku tidak membantah dan berlalu jua hingga ke pintu utama. Kulihat Azmi sudah masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjinnya. Dia memasang lampu kereta dan kemudian dia mengangkat tangan menandakan dia sudah mahu bergerak pulang. Aku membalas sama sebelum dia hilang dari pandangan. Aku kemudian berpaling dan menutup pintu utama.
Pintaku saat itu, semoga Allah jaga dia dalam perjalanan pergi dan pulangnya. Lindungi dia, walau kemanapun tujunya.



1 ulasan:

Anor berkata...

akhirnya ada juga sambungannya.