BAB 25
SETIA PADA DIA
“Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Penantian hujan teduh yang cukup lama. Makin
menunggu bagai semakin lebat hujan yang menimpa bumi. Aku hanya tahu diam dan
tidak berbuat apa. Hendak salahkan hujan berhenti aku menolak turunnya rezeki.
Kalau hendak hubungi abah, mungkin abah sudah lena. Kalau hendak hubungi
Soleha, kasihan juga kerana dia juga perempuan sepertiku.
Tok tok tok!
Terkejut aku dengan ketukan di cermin
sebelahku yang bertalu-talu. Ternampak Azmi yang kebasahan, segera aku membuka
pintu yang kukunci dan beralih ke tempat penumpang sebelah lalu membiarkan dia
masuk. Tidak sangka juga dia akan datang lantaran aku yang bagai jual mahal dan
tidak bersungguh-sungguh meminta tolong kepadanya. Dia sempat melambaikan
tangan kepada kereta yang menghantarnya kepadaku sebelum dia mencapai tisu dan
mengelap mukanya yang tertimpa hujan.
Habislah kerusiku!
Dia memandangku dan aku membuang pandangan.
Tidak rela mata saling bertentangan kerana aku bimbang tidak dapat menyimpan
marah yang ada atas rasa terkilan yang aku sendiri tidak mengerti mengapa
tiba-tiba saja menguji kesabaran diri. Jelasnya, aku masih terasa dengan
tegurannya. Aneh, dia tidak memujuk tapi terus memandu keretaku menuju terus ke
rumah tanpa banyak bicara. Dia segera memakirkan kereta dan keluar. Hanya aku
yang termangu di dalam sehinggalah akhirnya aku keluar jua dan berkira-kira
mahu menuju ke pintu utama.
“Sampai bila nak diam ni?” soalnya
akhirnya.
Aku mematikan langkah tapi enggan menoleh.
“Masuklah dulu. Pergi mandi..”jawabku dan
terus berlalu. Azmi pantas mengekoriku dan menarik lenganku.
Dia memaksaku memandangnya.
Mataku berkaca.
“’Eisy,. Tak ada niat pun aku nak buat kau
sedih..” Azmi mula memujuk perlahan. Sayangnya, nadanya semakin membuat aku
sedih pula.
Tanpa isyarat, aku menangis lagi.
Azmi diam.
Dia menarik tanganku dan mengajak masuk ke
dalam rumah. Untung saja abah dan mama tidak menungguiku. Dia mengunci pintu
rumah dan kembali memandangku.
“Im sorry sayang. Please..”
Aku menarik lenganku dan mengesat airmata.
“ Masuk tidurlah. Esok aku hantar kau..”
bicaraku mendatar dan terus menuju ke tangga.
Azmi hanya mengeluh.
Dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk kerana dia
memang gagal kalau dalam bab begini. Sumpah tidak ada niatnya walau sedikit pun
untuk melukakan hati ‘Eisy. Dia hanya bimbang.
Salahkah?
Dia hanya memandang sepi gadis yang sedang
menaiki anak tangga itu.Dia kedinginan dan hendak tak hendak dia berlalu juga
menuju ke bilik yang menjadi tempatnya beradu semalam. Hari ini, dia bermalam
lagi di sini. Mungkin ada penentuan takdir yang sedang terancang buatnya. Dia
mencapai tuala yang tersidai dan segera membersihkan diri seperti yang dipinta
oleh gadis itu. usai membersihkan diri, Azmi berbaring sepi dengan telefon
bimbit di tangannya.
Sudah ke pukul 1 pagi.
Dipandangnya status aplikasi Whatsapp ‘Eisy
yang masih lagi aktif. Dikuatkan niat untuk menyapa.
‘sayang’
Click!
Masuk pesanan lagi lewat tengah malam ini.
Baru saja hendak melayan kehendak mata, aku memeriksa telefon bimbit lagi. Aku
bimbang sebenarnya dengan keadaan esok walaupun aku sudah diberi kebenaran
menyambung cuti yang telah aku pohonkan.
Azmi rupanya.
Terkenang akan kesungguhannya membantuku,
aku terus berlembut hati. Apalah salahnya aku menerima saja tegurannya sebagai
peringatan buat diriku. Lagipun, itukan nasihat kawan yang paling aku sayang.
Segera aku mendial nombornya.
“Assalammualaikum..” sapaku, membuka
bicara.
Azmi di talian kudengar berdehem.
Aku tergelak kecil kerana aku tahu pasti
Azmi terkejut dengan aku yang tiba-tiba saja menelefonnya. Kalau aku mahu
berbicara, apa salahnya aku membalas saja teksnya dan terus saja bertemu
dengannya yang hanya berada di tingkat bawah?
“Dah mandi? Tak dingin? Tak ada tanda nak
demam?” soalku bertalu-talu tanpa henti.
“ ‘Eisy, mana satu nak jawab dulu ni?”
tanyanya kembali.
Aku sekadar tergelak manja.
“Alhamdulilah, okay. Cuma kalaulah ada
minuman panas, elok lagi nii..” balasnya bersahaja namun ada maksud lain di
situ.
Aku memandang jam di dinding. Sudah lewat
benar kalau aku hendak turun ke tingkat bawah lagi. Tambahan lagi, aku sudah
selesa benar dengan baju tidurku ni. Rasa malam hendak menyarung jubah. Nasib
jugalah baju tidurku berlengan panjang kerana cuaca bagai dingin benar.
“nak juga malam ni?” soalku yang sudah
berkira-kira hendak mengambil tudung.
Dia menggumam.
“tunggu aku di bawah yaa..” pesanku sebelum
mematikan talian dan berniat untuk menunaikan saja kemahuannya yang kecil saja
itu. Usai mengenakan tudung, segera aku menuruni anak tangga dan mendekati dia
yang sudah menungguku. Aku mengajaknya ke dapur dan menjemputnya duduk dulu
untuk menunggu aku yang baru saja hendak membancuh milo buatnya.
Aku meletakkan cawan sederhana besar di
depannya dan duduk bertentangan dengannya. Dia segera meneguk minuman yang
suam-suam panas itu dengan sedikit cepat. Dia meletakkan semula di atas meja
dan bersandar.
Dia memandangku dengan pandangan yang sukar
aku tafsirkan. Sesekali mengusik rasa di hatiku yang sudah lama tidak berkocak.
Mengapa dengan Azmiku ini?
“Comel ‘Eisy. Pertama kali aku tengok kau
sesimple ini..”luahnya, sekadar kedengaran bicara aku dan dia.
Aku tersenyum kecil.
“Sebab nak tolong buatkan kau milo saja pun
dan dah nak naik semula ni..” balasku dan segera berdiri untuk melintasi dia
dulu.
Dia menarik lenganku dan membuatkan aku
terpaksa berhenti melangkah. Deru nafasnya jelas di sisi, dekat dan membuai
rasa. Tidak mampu untukku menafsir rasa yang aku ada dek pendekatannya ini.
“Maafkan aku ‘Eisy..”
Aku mengigit bibir.
Perlukah dia ulangi permintaan ini?
Aku beranikan diri memandangnya. Anak mata
yang memancarkan kesungguhan di balik suramnya cahaya di malam hari. Aku
tersentuh.
“Tak apalah..” balasku perlahan.
Dia melepaskan lenganku.
“ dahlah, masuk tidur..”
Aku mengangguk seraya beriringan dengannya
sehingga masing-masing langkah mati di depan tangga. Dia masih memandang
sehingga aku yang terpaksa membuang pandangan kerana terasa agak canggung
dengan situasi itu.
“ Esok aku hantar kau yaa..”
Dia mengangguk.
“uniform tak ada ‘Eisy..” adunya
manja-manja, tapi berbisik saja.
Ah.. Azmi!
“Pukul berapa esok?” soalku.
“Ermm.. esok aku tak masuk kerjalah pagi
nanti..” putusnya bersahaja.
“Kenapa?”
“Saja..”
Aku menjeling mendengar jawapan selambanya.
“dahlah, dah lewat sangat. jumpa esok
yaa..” ucapku dan segera menaiki anak tangga tanpa menunggu dia membalas
kata-kataku. Aku rimas sebenarnya dengan perasaanku sendiri. Aku tidak mahu
salah menilai. Aku memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke bilikku dengan
perlahan.
Aku bersandar setelah pintu kututup rapat.
Mengapa semakin dekat aku dan Azmi?
0 ulasan:
Catat Ulasan