BAB 21
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Aku menaiki anak tangga setelah selesai
menggosok baju uniform tentera Azmi.kadang tersenyum sendiriku dengan tingkah
kami ini. Dah macam suami isteri pun ada.kawan baik yang melampau layanan cara
kami ini.
Entahlah.
Sekiranya Allah sudah tetapkan sesuatu yang terbaik
buat aku dan dia, mungkin aku akan perlahan-lahan belajar untuk mencuba. Cuma
aku tertanya-tanya.
Apakah yang akan jadi sekiranya kami mula bersentuhan
hati dan apakah akan terjadi sekiranya jodoh tidak kesampaian? Masih bolehkah
aku seakrab ini dengannya atau perlukah kami layan rasa kecewa dan menjauh
pulak akhirnya?
Aku takut persahabatan kami berubah.
Aku tidak pernah inginkan dia jauh. Bagiku, dia lebih
memahami apa yang kurasa selama ini. Dalam rasa yang berbaur itu, aku memulas
tombol pintu bilikku di tingkat atas. Aku menutup dan menguncinya kerana ada
tetamu di rumah. Sudah kebiasaanku jika ada yang bermalam di rumah, aku akan
mengunci pintuku. Jika tiada, sengaja kubiarkan tertutup rapat sahaja. Kerana
aku bimbang kalau-kalau tidak sempat mengenakan tudung. Aku kemudian
menanggalkan tudung dan mengganti jubahku dengan baju tidur. Seketika ke bilik
airku dan kemudian barulah aku melabuhkan badan di katilku.
Nyaman pulak rasanya!
Aku mengiring ke kanan dan memandang sepi lampu
tidurku. Banyak sebenarnya yang bermain di fikiran. Dalam rangka kiranya, aku
ingin selepas hadir seminar yang bolehlah bercuti sekaligus merehatkan minda.
Penat benar rasanya hadapi kehidupan ini. Puas
kuberusaha mencari hikmah dari perpisahanku dengan ‘dia’ tapi belum jua kudapat
leraikan setia yang kujaga.
Mengapa kuat benar penangan cintanya?
Aku memejam mata.
Terbayang sejenak susuk tubuhnya.
Senyumnya.
Terngiang bisik suaranya.
Astaghfirullah!
Mengapa masih aku menunggu ‘dia’ yang mengkhianatiku?
Mengapakah aku ini masih lagi berharap dia kembali sedangkan segalanya sudah
berlalu?
Kukira, sudah bahagia dia dengan pilihannya. Silapnya
aku, kerana terlalu memberi hati dan rasa.
Ah!
Aku kemudian mengambil telefon bimbitku. Mungkin ada
banyak pesanan yang masuk kerana sejak Azmi datang, aku tidak lagi memeriksa
telefon bimbit yang segaja aku simpan di bilik.
Eih?
Ada pesanan dari Azmi?
Aku membuka dan membaca.
‘thanx utk mlm ni’
Aku tersenyum.
Aku mematikan lampu tidur dulu sebelum aku membetulkan
pembaringanku. Aku menarik selimut sehingga ke paras dada sebelum aku membalas
pesanannya.
‘tdurlh. Dh jauh mlm..’
Kumasih lihat dia ingin membalas. Lucunya aku dan dia
serumah tapi begini pulak!
Sah-sah bagai bercinta!
‘dh gosok bju tdi?’
‘ya’
‘thanx syg’
Aku menggaris senyum.
Kenapa Azmi suka menyentuh hatiku ini? Kalaulah aku
dan dia tiba-tiba jatuh hati bagaimana nantinya? Aku tidak tahu apa yang sedang
aku khuatirkan sebenarnya. Pasti juga nanti aku dan Azmi ini disindir-sindir
nantinya kalau kami bersama kerana kami dulu bertengkar semasa zaman sekolah
lebih sangat!
Aku tersenyum kecil teringat akan kenangan kami. Kalau
dikenang semula, sah-sah Azmi tergelak sakan dan melampau. Kenapalah dulu aku
tu berani sangat? boleh dikirakan aku dulu bukan seseorang yang suka dekat
dengan lelaki. Habis-habis pun aku hanya mula bertolak-ansur dengan persepsiku
setelah aku mengenali Azmi dengan lebih rapat dan mula menjadikan dia sahabat.
Sejak itulah aku mula memberi ruang dan kepercayaan kepada lelaki sehinggalah
akhirnya aku membuka hati kepada ‘dia’ yang pernah kurancang membina hidup
bersama.
Tidak bersyukurkah aku dengan ketentuan Allah selama
ini?
Aku beristighfar.
Lewat ini, aku seringkali dibayang-bayangi ‘dia’.
Mungkin kerana kehadiran Azmi yang membawa aku satu rasa bahagia yang pernah
aku kongsi dengan ‘dia’.
Ah.. susahnya lepaskan ‘dia’!
Ya Allah, berilah aku hati yang redha dengan segala
ketetapanmu. Buanglah perasaan ini dan gantikan yang baru. Temukan aku dengan
seseorang yang tidak akan membawa duka dalam hidupku.
Aku pasrah lagi
dengan hidup ini!
0 ulasan:
Catat Ulasan