BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 11 Ogos 2011

Bab 12- Sayang sudahlah


Bab 12
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

Hari ini hari pertama kuliah bermula. Subjek utama pula subjek Kajian Bahasa dan Perkembangannya. Nota-nota sudah pun tersedia memandangkan kami hanya perlu membayar untuk mendapatkan nota tersebut. Pagi yang indah dan cerah itu, aku duduk berhampiran dengan Mizaa yang nampak sopan dengan baju kurung merahnya.
Aku melirik Mizaa yang sedang mencatat sesuatu sebaik saja pensyarah kami mula bersuara.
“ Hani.. senang tak subjek ni?” Mizaa bertanya bersama kerisauannya.
Aku mengangkat bahu.
“ kita baru belajar hari ini, kita pelajari dan nanti kita nilai.., okey..” balasku, memujuk teman baikku itu.
Begitulah Mizaa.
Semangat belajarnya memang membara tetapi selalu saja pesimis sebelum menghadapi sesuatu.
“ Awak bolehlah.. Ada tempat mengadu nanti..” balasnya, namun kedengaran tergantung dan seperti inginkan aku yang melengkapkan maksudnya itu.
Aku mengerutkan dahi.
“ Cikgu Zarul..”
Aku menelan liur dan menjelingnya.
Malas rasanya mahu melayan karenahnya yang tak sudah-sudah mengusikku dengan Cikgu Zarul itu. Setiap detik bila teringat dia, aku hanya terbayang saat-saat aku menjadi subjek utama gurauannya.
Tidakkah itu menyakitkan?
Aku cuba mengembalikan fikiran yang kian diusik kenangan semalam itu untuk kembali fokus kepada syarahan pensyarah di hadapan. Isu bahasa yang kini diperbincangkannya. Dari asal usul bahasa, definisi, jenis-jenis bahasa, bahasa asli, bahasa yang diubah, bahasa yang mempunyai pelbagai makna dan banyak lagi. Isu ini menarik perhatianku dengan sesungguhnya. Ditambah lagi dengan cara penyampaian pensyarah yang begitu menarik dan berpatutan.
Sesekali aku mengangguk, mengerutkan dahi ketika menerima kenyataan yang disampaikannya.
“ Hmm.. Hani, nanti saya copy notes awak ya..” Mizaa mengangguk konsentrasiku.
Aku mengangguk saja namun mataku masih tidak lepas memandang pensyarah di hadapan. Hinggalah keadaan itu terganggu lantaran masa kuliah tamat. Berebut aku dan Mizaa keluar dari bilik kuliah dan bergegas menuju ke kafe kerana perut masing-masing sudah berirama minta didiamkan.
Order apa?” soal Mizaa.
Aku menggumam sebelum menjawab.
“ Revive dan mee mamak ya..” pesanku kepadanya yang sudah bersedia berlalu menuju ke kaunter makanan, sebelum meninggalkan aku sendiri di meja yang telah kami pilih untuk menikmati sarapan pagi yang lewat itu.
Sementara menunggu Mizaa kembali, aku meneliti semula nota yang kusalin tadi. Hinggalah di satu ketika, aku tersentak dengan sapaan seseorang.
“ Seorang?”
Aku segera menoleh si gerangan.
Aku tersentak lalu menggeleng. Abang senior semalam yang menegurku. Dalam keterlewatan masa itu, aku sempat memandang senyuman manisnya.
“ Saya dengan kawan..” balasku setelah agak lama dia menanti jawapan untuk soalan yang mudah benar itu.
Dia dengan selamba menarik kerusi dan duduk bertentangan denganku. Hatiku sudah dipagut resah kerana seolah-olah terasa, Mizaa lama benar membuat pesanan.
“ Belum kenal dengan abangkan?” tanyanya perlahan.
Aku menelan liur.
“ ya..”
Dia ketawa kecil. Menampakkan pesona di wajahnya yang nampak masih muda dan menarik itu.
“ Syafiq..”
Aku mengangguk saja lalu kami membisu lagi. Sesekali berbalas pandangan dan sesekali juga aku terpaksa membuang pandangan ke arah lain kerana sepasang matanya seperti menyimpan sesuatu.
“ Hani.. boleh saya berkata jujur?” tanyanya dengan tiba-tiba.
Aku berdebar-debar dengan tiba-tiba.
“ Saya minta maaf sebab tolong cikgu Zarul kenakan awak. Saya dan Cikgu Zarul memang rapat. Apa sahaja yang cikgu rancangkan, saya memang akan turut serta…”
Aku menelan liur. Pengakuan berani matinya itu membuatkan aku resah. Resah dengan penerimaan hati sama ada bersedia untuk memaafkannya ataupun biarkan saja waktu yang berlalu menjernihkannya.
Aku duduk bersandar namun pandangan mataku tertuju kepada Mizaa yang sedang menuju ke arah kami. pandangannya seolah-olah sedang tertanya-tanya namun aku senang membalasnya dengan sekadar mengangkat bahu sahaja. Tidak lama, Mizaa menarik kerusi dan duduk bersebelahan denganku bersama makanan yang kami pesan. Meskipun suasana antara kami berubah tegang lantaran tiada seorang pun yang bersuara lagi, makanya aku senang memulakan makan kerana tidak selesa dengan situasi itu.
Syafiq di hadapanku itu mengeluh.
“ Nampaknya, kedatangan saya bukan tepat.. kan?” tanyanya lagi, meraih perhatianku.
Aku terpaksa jua menghentikan makan.
“ Saya okey dengan semua itu…” balasku bersahaja.
Matanya bersinar meskipun deheman Mizaa kedengaran mengusik suasana.
“ So.. bolehlah kita kawan..” cadangnya dengan bersungguh-sungguh.
Aku ketawa kecil.
“ Kalau saya dan awak ikhlas, insya Allah persahabatan antara kita akan terjalin..” jawabku dengan tenang kerana aku yakin pada kesungguhannya dalam berkata. Walaupun aku baru kenal dengannya namun aku tahu kesungguhan itu dari caranya cuba menjernihkan keadaan yang dicipta oleh Cikgu Zarul.
Syafiq tersenyum.
“ So.. ini best friend saya, Mizaa..” perkenalku kepadanya kerana sedari tadi Mizaa cuba memberi isyarat agar aku memperkenalkannya kepada abang senior itu.
Mizaa tersengih.
Syafiq sekadar mengangguk-angguk.
“ So… saya pergi dulu and enjoy your meal..”
Aku mengangguk saja sambil melihat dirinya yang sudah bersedia berdiri di hadapanku.
“ Ada kelas?” soal Mizaa, cuba menceriakan suasana.
Dia mengangguk dan kemudian berlalu meninggalkan kami berdua. Bersyukur benarku kerana akhirnya lepas dari perasaan kurang senang dengan kehadiran pelajar senior itu ketika kami makan.
Sedangku asyik menikmati makanan kegemaranku itu, Mizaa terus menyiku.
“ Kenapa?” soalku dengan geram.
Mizaa menunjuk ke arah sesuatu. Mataku pantas memandang ke arah yang dimaksudkannya itu.
Jantungku seakan berhenti saat melihat senyuman cikgu yang sedang berdiri berhampiran kaunter kafe itu. Aku segera menunduk, menyembunyikan wajah dan juga getaran di dalam hati yang kian terasa.
“ Hani.. Cikgu nampak kita..” bisik Mizaa di sisiku.
Aku terus berpura meneruskan makan seolah-olah aku lapar benar saat itu hinggalah sampai ketika, guru muda itu berdiri di hadapanku tanpa bunyi.
“ Hani..”
Aku mati kata lagi!

1 ulasan:

cactaceous opuntia berkata...

uik..syafiq pn...?huu..mkn misteri