BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 19 Ogos 2011

Bab 20- Sayang sudahlah..


Bab 20
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

            Aku merenung jauh ke luar jendela. Menghayati sisa-sisa dingin malam yang sudah menyepi tanpa bintang. Hatiku resah menghitung hari, menanti detik untuk diijabkabulkan. Malam pun seakan mengerti, kesedihan dan kesepian yang kusimpan sendiri. Sungguh menyedihkan sekali, impianku tidak seindah yang kuharapkan. Ikatan bersama Syafiq, putus sebegitu saja. Ikatan kali ini pula, seakan mengheret aku ke  lembah derita.
Sejauh manakah aku mampu menghadapi takdir ini?
Hatiku kian tertanya-tanya.
Benarkah aku tidak mampu mengubah semuanya dan menjernihnya segalanya yang keruh atas kesilapanku di tahun-tahun yang lalu? Sungguhkah aku insan yang tidak berdaya?
Aku terasa benar-benar tidak ingin memekarkan perasaan buatnya sedangkan dia sendiri nampak tidak mahu mempertahankan cintanya yang pernah bersemi untukku.
Berubah hatikah sudah cikgu Zarul?
Aku mengeluh.
Kali ini entah yang ke berapa kali pun aku sudah tidak terhitung. Beban kupendam ini sungguh berat tapi aku tidak tega mengongsikannya bersama ibu mahupun abah.
Kalau hendak bicara kepada adikku, umurnya pulak kecil. Kalau hendak berbincang dengan Syahmi pula, dia lebih senang diam dan membiarkan arus waktu menguasai segalanya. Berharap kepada cikgu Zarul pula, aku sendiri dapat merasakan kebahagiaanku lari menjauh dari takdir hidupku.
Kejamkah aku dulu kepadanya?
Hatiku diketuk pilu.
Kenapa aku seperti ingin menyalahkan takdir lagi?
Aku berdiri membelakangi jendela itu dan bersandar di balik dinding itu. Hatiku tertanya-tanya, tidakkah cikgu Zarul mahu menghargai cintaku yang sudah ada untuknya? Aku sedar kini, cintanya hebat benar kerana menyentuh hatiku dengan rasa pilu yang terlalu. Aku ingin kongsi rasa ini dengannya. Bukan dengan Syahmi dan bukan dengan sesiapapun.
Aku terduduk jadinya.
Airmataku gugur lagi.
Setiap kali aku di sisinya, aku terdiam seribu bahasa sedangkan hati bergetar sejuta rasa buatnya. Meskipun aku tahu dan sedar diriku sukar menyatakan rasa yang ada buatnya.
Aku sayang padanya.
Bibirku kuketap dengan kuat. Jemariku yang tersarung cincin tanda itu kurenung dengan mata yang berkaca.
Kenapa hatiku seperti menafikan yang diriku bukan tunangan Syahmi?
Aku membawa jemariku ke dada. Aku memeluk tubuhku dengan rasa yang gundah dan resah.
Cintaku makin mekar buat cikgu Zarul.
Kenapa tiba-tiba saja aku tidak mendapat peluang membalas cintanya dulu?
Sudahnya aku membuat tindakan nekad. Aku berdiri dari tempatku duduk dan terus mencapai telefon bimbitku. Aku mahu cikgu Zarul tahu dia telah mendera seluruh perasaanku ini.
“ Cikgu…” panggilku perlahan saat suaranya menjawab panggilan itu.
Aku menggigit bibir.
Tiba-tiba saja hilang kekuatan untuk meneruskan kata.
“ Hani.. Hani menangis lagi?” soalnya, membuatkan hatiku semakin meraung dengan sikapnya yang bersahaja.
Aku mengetap bibir.
“ Saya… sayang awak..” akuiku meskipun hatiku berdebar-debar menanti jawabnya. Walaupun mukaku diserbu panas namun aku ingin meluahkan perasaan ini jua kepadanya.
Kenapa cikgu Zarul diam?
“ Hani..” suaranya kedengaran perlahan memanggil-manggil namaku. Menyentuh hatiku dan melukakan sanubariku.
Aku membiarkan airmata gugur lagi dan kali ini aku menahannya dari diketahuinya.
“ Hani.. Hani akan menjadi seorang isteri minggu depan..” luahnya tanpa memikirkan perasaanku.
Aku memang tidak lupa hakikat itu.
Masalahku sekarang, di dalam keluarganya nanti, aku isteri siapa? Betapa benar aku ingin dia mengatakan kepadaku bahawa aku inilah bakal isterinya.
“ Janganlah keruhkan keadaan..”
Aku terdiam seribu kata.
Harapanku punah jua bila menyedari cikgu Zarul memang tidak ingin meneruskan segalanya yang tertangguh dulu.
“ Kenapa rasa sayang awak kepada melukakan hati saya?” soalku tidak berpuas hati. Tidak lagi ada panggilan cikgu kerana aku ingin menyelami maksudnya.
Kusempat mendengar cikgu Zarul mengeluh.
“ Saya ingin membuat Hani bahagia..”
Aku ketawa sinis sedangkan hatiku kian sedih.
“ Buat bahagia dengan biarkan saya terus menangis begini?” soalku marah.
“ Saya terpaksa Hani.. demi menjaga hati orang yang saya sayangi..”
Aku semakin rasa jauh darinya.
“ Keputusan awak memang tepat..” balasku.
Cikgu Zarul diam.
“ Termasuk melukakan hati ini..” sambungku dan pantas mematikan talian. Walaupun aku rasa malu dengan tindakan nekadku meluahkan isi hati yang sudah terlewat tapi ingin cikgu Zarul tahu dia telah menyeksa jiwaku.
Telefonku berdering lagi.
Aku sekadar memandang sepi. Panggilan itu dari cikgu Zarul. Lantaran tidak tahan dengan rontaan telefon itu, dengan kasar aku mengambilnya dan melemparnya ke dinding hingga hancur berderai semuanya.
Sama seperti sekeping hatiku yang sudah hancur ini dan berkecai dek sikapnya yang tidak ingin memberiku rasa bahagia.
Lamaku pendam tapi sayang perasaan itu aku terpaksa padam. Jujur saja aku katakan, lima tahun dulu hatiku ini memang diketuk dengan rasa cintanya. Katakan padaku, silapkah aku menolak cintanya sedangkan aku hanya ingin mengharapkan pandangan insan lain kepadaku tidak serong?
Dia guruku dan aku pelajarnya.
Wajarkah kami bercinta?
Aku tahu cinta itu buta tapi butakah hatiku menilai ketulusan hatinya? Kalau dia benar-benar cinta, kenapa dia tidak menantiku? Benarkah kerana keegoanku memendam rasa makanya dia lebih senang membiarkan semuanya berlalu?
Aku memilih arwah Syafiq kerana kedatangannya tepat pada waktunya. Jasadku ada bersamanya tapi hatiku bukan untuknya. Aku melakukan semuanya ini kerana aku tidak mahu menyemarakkan perasaan yang ada buat dirinya.
Katakan padaku, siapa yang tidak terpesona dengan peribadinya?
Aku sendiri hampir gila, seperti ingin memeluknya setiap kali dia hadir di sisiku. Aku sendiri ingin meluahkan isi hati saat dia ingin memilikiku dulu tapi aku terpaksa tangguhkan segalanya kerana aku mengharap takdir akan melengkapkan kisah kami.
Sudahnya, inikah yang harusku terima?

0 ulasan: