BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 21 Ogos 2011

Bab 25- Sayang sudahlah..


Bab 25
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi

            Ya TUHAN.. aku adalah hambaMu yang lemah. Segalanya aku ingin meminta belasMu. Aku tidak berdaya menyembunyikan rasa. Sesungguhnya, aku takut akan berhadapan lagi pada kehilangan. Bertahun aku menyimpan perasaan, berilah aku peluang menikmati saat bahagia bersama si dia yang bakal membawaku ke syurgaMu. RedhaMu pada redhanya sedang aku isteri yang berdosa. Aku telah mengusik tasik hatinya dengan kedegilanku memberi maaf.
KAU uji aku dengan ujian berat sebegini TUHAN di awal perkahwinanku.
            Ya Allah.. dimana harus kumencari segala kekuatan itu di saat hatiku sudah merapuh?
            Kali ini aku menangis lagi.
Mengalir bersamanya airmata duka, sesal, kesal dan terkilan kerana terlalu mengikut perasaan. Seharusnya aku menghargai saat bahagia bersama Zarul tetapi kenapa aku mensia-siakannya?
            Dalam sujud aku mengirim doa, dalam menyesal aku menghambur tangis.
Selesai mengabdi diri kepadaNya, aku melangkah longlai dari surau di hospital itu. Aku terpandang Syahmi yang masih duduk menanti di luar bilik bedah. Jujur saja aku katakan, aku takut menunggu di sana. Pantas aku mengatur langkah, menjauh dari situ.
            Tanpa kutahu, Syahmi sudah menyaingi langkahku. Aku sengaja memperlahankan langkah agar beriringan dengannya. Hingga di satu ruang, aku mematikan langkah. Memandang kegelapan langit malam yang suram tanpa bintang-bintang. Suasana itulah yang kurasakan di hatiku. Sesuram ratapan di jiwaku.
            “ Hani..” panggil Syahmi.
            Aku tidak menyahut.
            Sayup-sayup suara itu mencelah kedinginan malam. Hatiku risau, risau dan terus risau.
            “ Maafkan saya kerana melukakan awak sebegini..” Syahmi memulakan bicara.
Dia bersahaja bersandar di balik dinding itu, nampak menawan seperti Zarul.
            Ya Allah.. rinduku pada Zarul yang sedang bertarung di bilik bedah itu.
            “ Saya yang merancang semuanya sehinggalah pada hari awak membocorkan segalanya. Pada hari rombongan dihantar dan pinangan diterima, awak telah memaklumkan kepada abang Zarul..” sambung Syahmi dengan serius. Kata-katanya menarik perhatianku untuk memandangnya.
            Aku berpeluk tubuh.
            “ Saya teruk dimarahi abang Zarul, Hani..”
            “ Kenapa?” soalku.
            “ Sebab saya dah potong jalan..” sambung Syahmi dan ketawa kecil.
            Di bibirku tergaris jua senyuman kecil.
            “ Tapi jujur saya kata, saya memang janji nak satukan awak dengan abang Zarul dan akhirnya, alhamdulilah.. tercapai..” tambahnya lagi dengan senyuman meleret.
            Aku terus menghela nafas.
            “ Tapi, kenapa dengan cara begini?” soalku perlahan.
            Syahmi tersenyum.
            “ Sekurang-kurangnya, awak akan menghargai abang saya tu..” selamba saja Syahmi menjawab pertanyaanku.
            Mendengar jawapannya yang ringkas dan padat itu, aku terus mati kata. Setiap barisnya menusuk jauh ke dasar hatiku.
            Benarkah aku tidak pernah menghargai Zarul?
            “ Itu kisah lama mi..” aku mula bersuara.
Ingin meluahkan apa yang tersimpan kemas di hati kecilku. Aku ingin dia tahu apa yang tersemat di dalam dada ini agar dia tidak lagi bersangka buruk terhadapku.
            Aku berpaling tubuh memandang semula ke langit yang gelap.
            “ Saya sayang Zarul sepertimana sayang yang dia ada untuk saya..” sambungku, dengan pengakuan yang aku sendiri tidak kuat meluahkan kepada diri Zarul dari bibirku sendiri.
            Syahmi mendekat, berdiri di sebelahku.
            Aku sempat mendengar dia menghela nafas yang berat.
            Aku menggigit bibir, menahan rasa lagi di hati.
            “ Waktu tu Hani.. kami betul-betul hampir kehilangan abang Zarul.. dia sengaja menempah maut kerana awak tidak menyayanginya..” balas Syahmi mengusutkan lagi hatiku yang sudah hampir kecundang dengan rasa yang tidak menentu.
            “ Bukan niat saya, Syahmi.. saya terpaksa..” ujarku sambil memandang tepat ke wajahnya. Suaraku sudah kedengaran lain, seperti sedang menahan rasa marah yang mula singgah ke tangkai hati. Tapi, aku masih ingin menghormatinya.
            Tawanya kedengaran sinis sekali.
            “ Saya tak tahu bagaimana awak sayang abang Zarul.. Entah kenapa, yang terjadi hari ini seperti mengulang semula peristiwa dulu..” luahnya dengan suara yang lirih.
            Hatiku berdegup kencang.
            “ Maksud awak?”
            Wajah Syahmi nampak berubah, kali ini tergaris bimbang dan resah.
            “ Sama seperti ketika abang tahu awak tidak menyayanginya..”
            Aku terkesima mendengar tuduhan yang menyakitkan hatiku itu. Tanpaku sedar aku telah terduduk di situ, hilang kekuatan mendengar andaian Syahmi yang semakin membuatkan aku diterpa rasa bersalah. Aku hanya menyimpan rajuk padanya tapi bukan tidak menyayanginya. Aku tidak tahu bagaimana caranya meluahkan apa yang ada di hati.
Tidak cukupkah kalau dia saja yang merasakannya?
Lama aku termangu di situ sambil memeluk lutut. Jiwaku tidak tenang lagi, hatiku semakin gundah semula. Fikiran memikirkan Zarul yang masih di bilik itu meskipun pada semua orang Zarul hanya menghadapi masalah kecil yang boleh diselesaikan segera. Orang lain boleh saja menganggap pembedahan yang Zarul hadapi itu kecil dan pasti selamat tapi hatiku seperti sedang mengandaikan sesuatu yang mungkin..
Ah!
Aku pantas berdiri dari situ dan bergegas menuju ke bilik pembedahan itu tanpa mempedulikan Syahmi yang melaung-laungkan namaku. Aku bimbang Zarul tidak bertahan kerana mungkin dia menyangka aku tidak menyayanginya. Di hatiku ini tersimpan rasa yang hebat buatnya.
Serta-merta hatiku gundah kerana tempoh yang dijanjikan doktor bedah lewat dari yang sepatutnya.
Ya Allah..
Aku ingin menangis lagi tapi aku tidak tahu bagaimana menyembunyikannya. Aku sengaja tidak mengkhabarkan masalah ini kepada kedua belah keluargaku kerana bimbang mengeruhkan hubungan di antara keluargaku dan keluarganya. Sayangnya, aku tidak ada bahu untuk meluahkan tangis seperti masa-masa sedihku di bahu ibu.
Aku mundar-mandir dalam resah menunggu detik yang kian pantas berlalu. Di hati kecil, aku tidak putus-putus berdoa agar Zarul selamat. Aku mahu menyayangi, mencintai dirinya setulus hatiku tanpa marah-marah lagi dan tanpa rajuk-rajuk lagi. Aku tidak mahu dia terbeban dengan tingkahku yang tidak sudah-sudah memberikan rasa susah di hatinya.
            Aku berjanji tidak akan mengulangnya lagi.
            Berilah aku kesempatan lagi, TUHAN.
Tiba-tiba pintu bilik bedah itu dikuak. Tanpa menunggu aku pantas menghampiri doktor itu untuk mengetahui bagaimana keadaan suamiku itu. Hatiku berdebar-debar dengan tiba-tiba.Wajah doktor itu nampak keruh saja.
Adakah…
“ Puan Hani..” suara doktor itu kedengaran sayup-sayup di gegendang telingaku. Aku takut mendengar apa yang ingin disampaikan doktor itu tapi aku kesuntukan rasa untuk mengetahui keadaan Zarul.
Mata doktor itu seperti sedang berbicara, ingin menyampaikan sesuatu.
Ya Allah.. aku benar-benar mahu membalas cintanya.
Pilunya sang hati lagi bila keadaan berubah sunyi.
Tidakkah doktor itu mengerti bahawa aku resah lama menanti?
Kenapa berat sekali bagi doktor itu bersuara, menyampaikan keadaan suamiku?
Mata doktor iti kupandang sepi. Bicaranya tidak terluahkan dan wajah keruh itu seperti memberiku jawapan.
           Di bahu Syahmi aku menangis lagi.

0 ulasan: