BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 19 Ogos 2011

Bab 22- Sayang sudahlah..


Bab 22
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

            Tanganku menjadi seram sejuk. Menanti resah di dalam bilik pengantin dengan hati yang gundah membuatkan aku semakin terseksa. Menanti suamiku untuk upacara membatalkan air sembahyang. Ketukan pintu dan suara yang kedengaran saling berbisik di ruang bilikku itu menghentikan penantianku.
            Suamiku sudah menapak masuk dan kini berdiri di hadapanku yang sedang menunduk. Menggeletar jemariku menahan rasa marah kerana ditipu sebegini jauh.
            Daguku disentuh perlahan untuk memandang wajahnya.
            Aku menjadi degil dengan mengalihkan pandangan mata ke arah lain. Ciumannya hangat di dahiku, menyiram rasa dingin di hati tapi aku tidak dapat menolak perasaan yang lain untuknya.
            Jari manis kananku disarungkan sebentuk cincin. Cincin yang kupilih sewaktu keluar membeli barang hantaran bersama cikgu Zarul.
            Perasaanku berbaur mengenang saat itu.
            Suamiku disuruh duduk bersebelahan denganku untuk sesi bergambar berdua. Aku kekok benar dengan suasana itu. Tetapi, atas permintaan semua aku memaniskan muka menerimanya. Berulangkali detik itu dirakam hingga tanpa kuduga, tangan suamiku itu sudah berani menjalar, memaut pinggangku.
            Aku terkaku.
            Tidak memandangnya dan tidak jua berani menoleh. Ada perasaan lain yang kurasa saat sentuhan itu terjadi. Getaran itu seperti mencambah rasa sayang kepadanya.
            Tapi, untuk apa kalau hadirnya kali ini untuk menyeksa jiwaku kerana peristiwa 5 tahun lalu?
            Suamiku itu kemudian beralih duduk dari berdua denganku dengan duduk di sofa berwarna merah jambu tidak jauh dari situ.
            “ Hani duduklah ya.. “ pesan ibu dengan suara yang kedengaran nakal saja di pendengaranku, mahupun jua pada pendengaran suamiku itu. Berduaan begitu membuat aku menjadi kian tidak menentu. Bergerak sedikit seperti terasa diperhatikan dan salah tingkah. Renungan itu menyeramkanku dan bermacam-macam sudah yang bermain di fikiranku.
            Aku menggigit bibir.
            Kedua belah tanganku kugenggam erat. Seperti sedang menyimpul rasa dendam dan marah terhadapnya. Bayangkan saja di hari yang sepatutnya membahagiakanku, aku harus menyimpan rasa ini pula?
            “ Kenapa wajah isteri abang masam ni?” soal suamiku yang berada nun jauh di sana. Namun suaranya jelas dan menyentuh sang hatiku seperti masa-masa lalu. Wajahnya nampak polos, seolah-olah tidak bersalah menyeksa perasaanku bermula saat pertemuan dulu hinggalah detik yang menyatukan kami.
            Mengenang sikapnya yang hipokrit itu, aku menjadi sedih.
            Beginikah caranya memulakan hidup baru denganku?
            Entah kenapa, perasaanku berubah sayu. Lantas aku membelakanginya dan berpaling melarikan pandangan wajah, menyembunyikan tangis dari dilihatnya. Aku merebahkan tubuh yang masih lengkap dengan pakaian nikah itu dengan berbantalkan lengan.
            Saat itu, aku menangisi segalanya lagi agar perasaan ini berkurangan. Aku bukan kecewa tapi aku merajuk. Aku bukan merasa bahagia tapi aku rasa tidak puas hati dengan caranya.
            Tanpaku sedar, bahuku disentuh perlahan.
            Deru nafasnya kedengaran di sisiku. Sayangnya hatiku degil untuk menoleh kepadanya.
            Kenapa dia memaksa aku meluahkan segalanya untuk membuktikan sayangku padanya sedang sepatutnya biar dia yang merasakan hangatnya kasihku yang sudah berputik buatnya?
            Adilkah dengan cara menyeksa jiwaku ini, barulah dia boleh memilikiku?
            “ Sayang, kenapa?” soalnya dalam suara gemersik, menyebabkan airmataku semakin deras mengalir.
            Suamiku itu berusaha menarik tanganku dan memaksaku memandangnya jua. Dalam keterpaksaan, aku menurutinya.
            Wajah itu merubah seluruh isi hatiku kini. Pesonanya, ketulusannya, cintanya.. kini mula membara lagi di hatiku. Renungan matanya yang bersinar itu kubalas jua. Berani sekali dia menyentuh pipiku tanpa izin meskipun telah menjadi miliknya.
            Ciumannya sekali lagi singgah ke dahiku. Beralih ke pipi dan akhirnya, jatuh ke bibirku pula. Tersedar dari keterlekaanku itu, aku memalingkan wajahnya ke arah lain, takut tersasar kata hati dan berubah pendirian.
            Maaf suamiku, di hari pertama bergelar isterimu aku sudah membuatmu susah hati.

0 ulasan: