Bab 18
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
“ Alhamdulilah..”
Ucapan syukur itu menakutkanku. Meskipun bilikku berada di tingkat atas namun keriuhan di bawah itu terbawa-bawa hingga ke bilikku. Hari ini, aku bakal menjadi tunangan orang lain. Seperti tahun-tahun sebelumnya, aku pernah merasakan suasana sebegini. Pedihnya, pinangan kali ini aku tidak rela.
Aku rasa terpaksa.
Pintu diketuk dan salam diucap. Aku yang sedari tadi resah menanti semakin gundah apabila ibu cikgu Zarul yang masuk bersama dengan ibu.
Aku menggigit bibir, menahan rasa di hati. Ibu Cikgu Zarul menghampiriku bersama senyuman manisnya sedangkan aku memaksa diri memaniskan muka. Tangan kiriku diraih lalu disarungkan sebentuk cincin yang cantik di jari manisku.
Airmataku gugur lagi.
Pipiku kanan dan kiri dikucup perlahan.
Bukankah itu merasmikan aku menjadi bakal menantu keluarga itu? Masalahku sekarang, aku ini tunangan siapa? Adakah aku mengharapkan menjadi tunangan kepada Cikgu Zarul atau bersedia saja menerima Syahmi yang baru saja kukenal itu?
Ah.. bisa gila kalau terus begini.
“ Hani.. majlisnya, sebulan ya..”
Aku menelan liur. Hampir-hampir pitam rasanya mendengar khabar yang bernada lembut itu namun membawa kesan yang mendalam kepada diriku.
Bersediakah aku dengan tempoh itu?
“ Eh.. tak terlalu cepat?” soal ibu bagi pihakku namun dalam tawa yang bahagia, seolah-olah ibu tidak tahu gelora di hatiku.
Ibu tunanganku itu tertawa.
“ Anak-anak yang rancang begitu..”
Aku mengetap bibir.
Kenapa sekali pun tidak ada disebut gerangan tunanganku yang sebenar? Perlukah aku bertanya kepada ibu tunanganku itu agar terlerai segala persoalan yang mengganggu benakku? Tidakkah nanti akan ada kekeliruan yang timbul dan aku juga nanti akhirnya yang akan menjadi mangsa.
Belum puaskah aku melukai hati si dia yang di sana?
“ Hani.. maaflah kalau anak ibu tergesa-gesa tapi rasanya, memang waktu yang tepatkan?” tanya ibu tunanganku itu dengan senyuman lebarnya.
Aku tersenyum kelat sedangkan di dalam hatiku tidak terkata pedihnya. Setelah beberapa kali merakam gambar detik bahagia keluarga di sana, aku ditinggalkan sendirian di bilikku.
Lama aku termangu merenung sebentuk cincin yang menandakan aku milik Zarul. Entah Zarul Syafi’e entah Zarul Syahmi. Hatiku bagai digaru ingin tahu tapi entah kenapa separuh hatiku enggan meneruskan niat itu. Sebulan itu bukan tempoh yang lama. Empat minggu saja dan aku bakal dinikahkan dengan ahli keluarga itu.
Kenapa kahwin paksa pulak jadinya?
Aku mengeluh berat. Kemudian aku menghempas seluruh tubuhku ke atas tilam yang empuk, membawa rasa yang tidak menentu itu. Biarlah solekanku tadi yang nampak kemas berubah menjadi kusut. Sekusut fikiran dan perasaanku sekarang.
Merakam semula detik pertemuan dengan Cikgu Zarul minggu lalu, kenapa sudahnya aku terjerat dengan ikatan lain tetapi dengan insan yang lain yang juga sebahagian daripada keluarganya jua? Aku percaya pada takdir tapi aku masih tertanya-tanya.
Inikah sudahnya pertemuanku dengan cikgu Zarul?
Aku terasa ingin menjerit semahunya.
Kenapa aku tidak diberi pilihan?
Aku bingkas bangun dan mencapai telefon bimbitku. Aku harus tahu kenyataannya sekarang.
Aku ini tunangan siapa?
Lama aku mendial nombor telefon cikgu Zarul hinggalah akhirnya ada suara di corong itu.
Hatiku resah jadinya.
“ Assalammualaikum Hani..”
Aku menelan liur.
Suara itu kedengaran mempesona. Aku gugup pula jadinya ingin meneruskan kata. Deru nafasnya menggetar perasaanku.
Aneh..
“ Waalaikumsalam..” balasku antara dengar dan tidak.
Lama kami diam sebelum suasana bisu itu kembali rancak dengan bicara cikgu Zarul.
“ Dah sihat?” soalnya.
Aku menggumam.
Tawa kecilnya menghias pendengaranku.
Aku tersenyum sendiri.
“ Cikgu dimana?” tanyaku perlahan.
“ Rumahlah sayang..” balasnya bersahaja.
Perasaanku terbuai dengan frasa itu. Benarkah aku ini sayangnya dan benarkah dia tunanganku?
“ Kenapa sunyi?” soalku.
“ Ibu dan walid balik kampung..”
Aku terdiam.
Fikiranku ligat membuat kesimpulan sendiri.
Bererti, cikgu Zarul tidak tahu akan adanya majlis meminangku dari keluarganya. Suaranya saja kedengaran polos.
Tega benarkah Syahmi mengkhianati cikgu Zarul?
Aku menggigit bibir. Ada airmata lagi di tubir mata. Aku puas merasakan kehilangan dan kali ini, aku tidak mahu menyeksa perasaan cikgu Zarul lagi dan aku tidak bersedia kehilangannya.
Tapi kenapa Syahmi ingin mendera perasaanku sedangkan dia tidak tahu menahu kisahku dulu bersama cikgu Zarul.
“ Kalau ditakdirkan kita boleh bersama, cikgu mahu perjuangkan tak?” tanyaku dengan suara mendatar, tanpa segan dan silu.
Biarlah hari ini aku berterus-terang. Terlanjur basah, biarlah mandi.
“ Kenapa Hani tiba-tiba saja ingin tahu?” soalnya perlahan.
Aku menghela nafas.
“ Sebab saya nak sangat tahu jawapannya..”
Cikgu Zarul diam, membuatkan aku semakin gundah dengan responnya.
“ Hani dah boleh lupakan arwah?” soalnya berhati-hati.
Aku terdiam.
Bagaimana mungkin aku bisa melupakannya kerana dia pernah hadir dalam hidupku.
“ Cikgu.. masih inginkan saya tak?” tanyaku.
Cikgu Zarul ketawa.
“ Hani.. kenapa ni?” soalnya seperti mendesakku untuk meleraikan teka-teki yang kureka sendiri.
“ Keluarga cikgu datang meminang saya.. dan abah dah terima..” luahku akhirnya.
“ Apa?” suara cikgu kedengaran seperti terkejut.
Bukankah ini bererti dia langsung dibelakangkan?
“ Hani terima?”
Aku terasa ingin menangis.
“ Saya tak ada pilihan lain, cikgu…” balasku mendatar. Rasanya, aku sudah tidak tahan menyimpan airmata, makanya dengan senang saja ia menitis. Aku tidak peduli lagi dengan siapa aku berbicara kerana aku yakin cikgu Zarul perlu tahu hal sebenar.
Cikgu Zarul diam.
“ Di jari manis saya ini, dah tersarung cincin…” sambungku.
Cikgu Zarul masih tidak membalas.
“ Saya tunangan siapa cikgu?” tanyaku lagi. Kali ini kedengaran lebih mendesak dirinya.
“ Hani.. saya tak tahu langsung hal ini..”
Aku menangis semahuku.
“ Saya tak ada minta ibu dan walid hantar rombongan pun sebab saya sendiri belum melamar Hani secara rasmi..” balasnya seperti memujuk.
Aku menahan tangis dari terus menitis.
“ mungkin Syahmi terlebih dahulu ambil peluang..” jawabku. Sengaja menggunakan kata yang lebih lembut sedang aku ingin memberitahunya, mungkin Syahmi ingin ambil kesempatan atas kesilapanku melukakan hati abangnya.
Beginikah cara Syahmi menyayangi abangnya?
Sayangnya, Cikgu Zarul tidak lagi mengulas apa-apa.
1 ulasan:
Sedih... naper Syahmi buat Hani camtu? Cikgu Zarul tak tau pun family dia gi rumah Hani meminang Hani... confuse gak ni... kenapa diorang buat Hani mcm tu?
Catat Ulasan