BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 19 Ogos 2011

Bab 23- Sayang sudahlah..


Bab 23
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

            Sejak tadi, setelah dinikahi dan sah menjadi isteri, aku masih belum berkata sepatah pun kepada suamiku itu meskipun lama kami ditinggal berduaan di bilik pengantin. Walaupun puas suamiku itu memujuk dan menenangkan hatiku, aku masih lagi terasa tidak disayanginya.
            Yang pasti, aku terasa hati dan merajuk. Rajukku yang bukan sekejap.
            Dia sengaja meluangkan waktunya untuk menguruskan perkahwinan yang mati-matian aku sangkakan bakal berkahwin dengan Syahmi sedangkan setiap saat dan detik itu aku memohon kepada TUHAN agar menjadi miliknya dan bukan kepunyaan Syahmi. Setiap detik itu aku terseksa saat mengenang hakikat bahawa aku dan dia tidak mungkin akan bersatu. Setiap ruang dalam saat itu aku ingin meluahkan kata-kata sayang padanya agar dia mampu menjernihkan segalanya tapi hatiku tidak boleh begitu lantaran aku masih memikirkan aku tidak mungkin menjadi kepunyaannya.
            Namun begitu, hari ini menjawab segalanya. Tunanganku itu sebenarnya cikgu Zarul. Bakal suamiku yang sebenarnya itulah cikgu zarul. Insan yang berjabat tangan dengan tok imam itu Cikgu Zarul dan pengantin lelaki hari ini adalah cikgu Zarul.
            Aku benar-benar terasa diperbodohkan!
            “ Hani.. Hani sayang abangkan..”
            Aku yang sedang cuba membuka tiara dan tudung itu tidak berpaling dan menyambut kata-kata itu. Memang aku sayang tapi bukan minta dilukakan sebegini. Aku sempat mengerlingnya yang sudah kemas berbaju biasa dan duduk di sofa itu, memandang ke arahku.
            Aku menghela nafas.
            Malaslah benarku hendak menjernihkan segalanya sekarang.
            Aku terus memandang diriku ke dalam cermin dan masih lagi meneruskan usaha membuka tiara yang sudah tersangkut dengan jarum kecil. Tanpa kuduga, ada sepasang tangan memeluk pinggangku, hangat deru nafasnya terasa di telingaku. Sengaja dagu itu diletak di bahu kananku.
            Aku terkejut kecil dengan tingkah itu.
            “ Cikgu.. janganlah..” luahku akhirnya, mematikan niat meneruskan usaha membuka tudung lantaran suamiku itu mula menyentuh diriku tanpa izinku. Berulang kali aku menolak tangannya sedangkan dia semakin mengeratkan lagi pelukan itu.
            Sudahnya, aku mematikan saja pergerakanku.
            “ Abang dah jadi suami Hanikan.. panggil abanglah..” pujuknya Cikgu Zarul atau lebih tepat lagi kini, sebagai suamiku. Seseorang yang benar-benar kuharapkan menjadi pendampingku. Seseorang yang telah mencuri tempat di hatiku dan seseorang yang telah memporak-perandakan perasaanku selama aku masih tercari-cari kebenaran siapa dia tunanganku dulu.
            Sampai benar hatinya tidak berterus-terang.
            “ Hani… marah abang kenapa?” suaranya begitu mempesonaku saat terdengar perlahan dan menggetar jiwa. Walaupun sesungguhnya itulah yang membahagiakanku tetapi aku tidak berpuas hati lagi kepadanya.
            Aku terkilan kerana dia mendera jiwaku.
Pantas aku menolak tangan dan berpaling memandang wajah tampan sang suami itu. Bening itu berubah sudah, terpancar cinta dan gembira. Hatiku sendiri tidak bersedia menafikan rasa yang sama tapi aku ingin dia menjelaskan kenapa dia melakukan semuanya?
Kenapa dia sembunyikan pinangan itu dari siapa?
Kenapa dia tidak mengaku bahawa dialah yang akan menjadi suamiku dan bukannya Zarul Syahmi!
            Mati-matian aku menyangka, aku bakal menjadi isteri kepada Syahmi lantaran terkenang akan ugutannya sewaktu aku ditahan di rumah sakit. Keluarganya juga tidak menyatakan aku ini tunang siapa kerana mereka hanya mengatakan tunangan kepada Zarul.
            Bukankah Syafi’e dan Syahmi juga bernama Zarul?
            “ Kenapa buat saya begini?” soalku dengan suara perlahan. Jujur saja, aku merasa sedih. Sayangnya, aku penat benar menangis.
            Kenapa cintaku kepadanya lebih kepada airmata?
            Zarul hanya membalas pandanganku.
            “ Hani.. abang can explain it all but please dear.. Jangan sedih di hari bahagia kita..” jawabnnya dengan bersungguh-sungguh. Seperti sedang ingin meraih kembali tempat di hatiku yang menyayanginya dengan bersungguh itu. Seakan ingin menjernihkan keadaan yang sudah semakin keruh kerana hatiku menyimpan rajuk kepadanya.
            Aku menghela nafas.
            “ You may hurt me with the truth but don’t satisfy me with the lie, teacher..” balasku dan terus berlalu menuju ke bilik air. Meninggalkan dia sendirian memikirkan kata-kataku itu. Walaupun maksudnya jujur tetapi sinis sekali nada yang kugunakan. Berkata kasar kepada suami saja aku pasti mendapat dosa inikan pula aku menyakiti hatinya. Sengajaku menyebut perkataan ‘teacher’ itu demi menyedarkannya bahawa aku ingin mencipta jurang dengannya dan menjauh.
            Sungguhpun seluruh dunia bertanya kepadaku adakah aku masih menyayangi suamiku itu, pastilah aku akan mengatakan ya dialah tempatku berlindung, mencari redhaNya dan syurga bersama. Sekalipun seisi alam ingin aku meninggalkan dia, aku tidak berganjak dari tidak memaut tangannya dengan erat. Sekalipun anak sungai berubah, sekalipun bunga sudah melayu, sungguhpun langit biru menghitam aku tetap ingin bersamanya jua.
            Aku belum mahu ditinggalkannya dan meninggalkannya.
            Aku menadah tangan, menanti air yang mencurah-curah penuh di tangan. Lantas penuh, kulempiaskan ke wajah. Membersihkan bekas solekan dan mengembalikan kesegaran di mukaku yang semakin mendung.
            Beberapa detik setelah berlama di bilik air itu, aku pun melangkah keluar. Hatiku tiba-tiba saja hairan bila tidak lagi terpandang kelibat suamiku. Telingaku seperti mendengar suara erangan yang tertahan. Pantas saja aku mencari ke arah itu dengan perasaan cemas. Aku tercari-cari di ruangan bilik itu hinggalah aku ternampak dia yang sudah terbaring tidak berdaya.
            Ya ALLAH.. aku benar-benar ingin meraung!

0 ulasan: