BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 19 Ogos 2011

Bab 21- Sayang sudahlah..


Bab 21
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

            Halaman rumahku sudah riuh-rendah dengan bermacam-macam suara. Khemah-khemah sudah terpacak teguh di halaman. Kemesraan keluarga yang jarang sekali bertandang ke rumah nampak mesra dan sibuk menguruskan segalanya. Seharusnya aku merasa bahagia melihat suasana begini.
Sebagai pengantin, ini satu penghargaan besar dari keluarga. Sayangnya, aku tidak merasakan pada majlis kahwin paksa ini. Aku sendiri tidak tahu apa nanti maknanya perkahwinan ini.
“ Hani, sudah-sudahlah menjenguk keluar jendela tu…” tegur ibu yang sudah ada di muka pintu.
Aku sekadar menggaris senyuman paksa.
Hati ini, ibu tidak tahu..
“ Jangan risau, semua okey..” sambung ibu sambil mempelawa penyolekku untuk mempersiapkan aku untuk majlis akad nikah dulu sebelum bersanding di malam hari. Dengan berat hati aku menghampiri penyolek itu, demi sebuah senyuman ibu dan kebahagiaan keluargaku.
Ibu pula sesekali memerhari ruang kamar pengantinku yang sudah siap dihias.
“ Ibu Zarul telefon tadi, nak pastikan Hani sudi kahwin dengan anak lelakinya..” khabar ibu dengan suara yang penuh ceria.
Aku membuka mata yang sedari kupejam kerana sibuk disolek.
“ Hani sudi sangat ibu, kalau Hani kahwin dengan Zarul..” balasku dengan perlahan.
Ibu ketawa kecil.
“ Hani.. Hani.. memanglah Hani akan kahwin dengan Zarul..” balas ibu.
Aku memejam mata semula.
Zarul yang mana ibu?
Dalam sesibuk waktuku itu, telefon bimbitku yang baru pulak berdering menandakan ada pesanan yang masuk. Ibu pantas menghulurkan kepadaku.
Pesanan dari cikgu Zarul.
‘ Selamat pengantin baru..’
Membaca pesanannya itu, hatiku meruntun sedih. Tega dirinya mengucapkan ungkapan itu di hari yang tidak membahagiakanku?
Sampai benar hatinya.
“ Dah, pakai baju ni..” suruh ibu seraya diberinya kepadaku sehelai baju pengantin itu.
Tanganku terhenti, seakan tidak ingin menerima huluran itu. Baju itu mengingatkan aku kepada cikgu Zarul. Pandangan ibu tidak sukar untukku baca. Pastilah ibu hairan melihat aku termangu.
Tanpa menunggu waktu yang lama, aku mengambilnya dan nekad menyarungkan ke tubuhku.
Aku tidak mahu ibu kecewa.
Sepasang baju pengantin itu kini sudah tersarung ke tubuhku. Penyolek upahan ibu sudah sedia mengenakan tudung dan tiara di kepalaku. Dengan perasaan berbaur aku lalui semuanya.
Aku benar berharap akan ada keajaiban.
Pintu bilikku diketuk perlahan. Terjengul wajah insan yang sudah lama menghilang dalam hidupku.
Mizaa.
Demi saja nampak dirinya, aku terus menerpa memeluknya dengan erat. Seolah-olah di antaraku dan dirinya tidak pernah wujud sengketa. Aku ingin menangis di dalam pelukannya. Aku ingin meluahkan isi hatiku yang memendam rasa tapi aku tidak sampai hati membicarakan semuanya di hadapan ibu, di hari bahagia yang keluargaku nantikan.
“ Pihak lelaki dah sampai..” ucap Mizaa kepadaku sambil mengesat airmata yang hampir menitis.
Aku menelan liur dan membuang pandangan.
“ Hani sudahlah.. Jangan ada airmata lagi..” pujuk Mizaa.
Aku melepaskan tautan tangannya dan tanganku. Sayangnya, Mizaa meraihnya kembali. Dia tersenyum, seakan memberikan aku kekuatan untuk meneruskan semuanya.
“ Saya akan jadi isteri..” bisikku dalam langkah menuju ke ruangan aku bakal dinikahkan nanti.
“ Tahniah..” balas Mizaa yang nampak cantik di balik baju kurungnya yang serona dengan keluargaku. Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu dan abah. Pastilah mereka yang menjemput Mizaa bagi pihakku. Sejak aku ditunangkan kali kedua ini, aku lupa benar pada Mizaa lantaran sengketa dulu di antara kami berdua belum terlerai. Namun hari ini aku ingin memulakan segalanya. Menjernihkan yang keruh dan meleraikan yang terkusut.
Dalam debar aku meneruskan langkah.
Bakal suamiku sudah duduk di hadapan imam yang bakal menikahkanku. Aku ingin benar melihat bakal suamiku itu.
Benarkah itu Syahmi?
Lantaran tidak bersedia menerima kenyataan, aku lebih senang menunduk. Jiwaku semakin terdera namun aku tidak lagi berdaya menenangkannya. Biarlah aku berserah saja. Aku yakin TUHAN tidak akan menguji aku melebihi batas mampuku.
Aku menggigit bibir.
Khutbah nikah telah dibaca, dengan jelas dan lancar. Jujur saja, aku benar-benar tidak dapat menyembunyikan luka di hati tapi aku senang berlindung dari pandangan orang lain dengan memandang jemariku yang sudah cantik diinai.
“ Pihak perempuan dah sedia dinikahkan?” soal tok imam melalui pembesar suara.
Soalan itu kedengaran senang tapi suaraku tersekat di kerongkong. Aku tetap tidak ingin melihat ke arah itu kerana bimbang terpandang bakal suamiku.
Aku mengangguk saja lantaran hadirin mula berbisik melihat aku lama berdiam.
Sesungguhnya, hanya jasadku yang ada di situ. Fikiranku melayang memikirkan nasibku setelah menjadi isteri orang.
Aku menggenggam jemari dengan perasaan resah.
Tiba-tiba saja, saat aku ingin mendengar nama yang bakal menjadi suamiku itu tidak kedengaran lantaran pembesar suara tidak berfungsi dengan baik. Namun, akad tetap diteruskan jua. Semakin membuat aku resah dalam menanti.
“ Saya terima nikahnya Hani Aqilah binti Haji Amran dengan mas kahwinnya $100 tunai..”
Suara itu terdengar lancar pula dan sekaligus dihakimi para waliku dengan ungkapan sah. Hanya dengan sekali lafaz itu!
Pantas aku mendongak, melihat si dia yang sudah merebut statusku menjadi isterinya pula. Sah kini aku menjadi sebahagian dari keluarga si dia yang menempah cinta di hatiku.
Senyuman itu mencalar sekeping hatiku yang sememangnya sudah luka.
Sudah kuduga.
Ya ALLAH.. besar sungguh ujianMu untukku.

0 ulasan: