BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 14 Ogos 2011

Bab 15-Sayang sudahlah


Renungan mata yang tajam di hadapanku itu membuatkan aku tidak jadi meneruskan kata. Jujur saja aku katakan,aku terkejut benar dengan kehadirannya yang curi-curi mendapatkan peluang untuk bertemu denganku di saat aku ingin pulang semula ke asrama. Sudahlah lorong samar-samar sahaja. Tahu-tahu ada sepasang tangan merentap tanganku dan mengheretku dengan tergesa-gesa berhampiran dengan taman kecil yang agak terlindung dengan pandangan orang lain. Kalau bukan aku, orang lain juga pasti akan meronta minta dilepaskan kerana itu memang menakutkan.
Nafasku terasa ingin berhenti saja.
Wajah tegang itu mengundang resah di hatiku. Aku sepertinya kali ini tidak merasa selamat bila bersamanya lagi.
Kedua belah tanganku ditariknya lagi. Kali ini, dia benar-benar ingin aku membalas tentangan matanya.
“ Kenapa khianati saya, Hani?”
Aku menelan liur.
Benarkah aku telah mengkhianatinya?
“ Saya buat apa cikgu?” soalku perlahan, cuba mengawal suara sedangkan hatiku benar-benar resah dengan kedatangan Cikgu Zarul yang tiba-tiba saja.
Cikgu Zarul mengeluh seraya tanganku dilepaskannya. Walaupun aku sedar perubahan di wajahnya namun aku harus sedar bahwa ini adalah keputusan yang aku buat.
“ Saya yakin Hani tahu isi hati saya..”
Aku terdiam seribu bahasa.
“ Kenapa pilih dia dan bukan saya, Hani?” suaranya kedengaran lirih dan mengusik hatiku. Membuatkan aku serba-salah jadinya dengan keputusan yang sudah kubuat.
“ Saya yang dulu menyatakan hasrat hati. Salahnya, Hani yang menolak..”
Semua luahannya membuatkan aku tidak mampu menjawab.
“ Jawablah.. biar saya tahu kenapa saya tidak mendapat tempat di hati awak, Hani..”
Aku terasa ingin menangis saat itu juga. Dia seperti ingin menghukum aku dengan keputusanku memilih Syafiq berbanding dirinya.
Bagaimana mungkin aku boleh memilihnya sedangkan dia adalah guruku sendiri? Sanggupkah aku bersoal-jawab nanti dengan insan di sekelilingku dengan hubungan antara aku dan Cikgu Zarul jika sekiranya benar terjalin?
Aku tidak ingin menjadi perhatian mana-mana.
Kesedihan dan rasa bersalah itu tidak dapat aku tahan jua. Airmata gugur jua di hadapan insan yang telah aku lukakan hatinya.
Maafkan Hani.., Cikgu!
“ Untuk apa airmata itu Hani sedangkan awak tahu semuanya sudah terlambat..”
Deraian airmataku semakin deras. Persoalan demi persoalan yang diajukannya menyentap tangkai hatiku.
Benarkah sudah terlambat?
“ Saya tak akan mengkhianati Syafiq..”
Aku mengawal esak.
“ Sejauh ini saya berusaha menambat hati awak, Hani.. tapi kenapa sedikit pun awak tidak memberi saya peluang?” soal Cikgu Zarul seperti sedang mendesakku. Memang benar pengakuan Cikgu Zarul itu tapi apakan daya. Aku belum bersedia. Lantaran itulah, lamaran Syafiq kuterima kerana kau benar-benar ingin menutupi rasa.
“ Benarkah tidak ada ruang untuk saya bertapak di hati itu, Hani?”
Aku terasa ingin mati mendengar luahan itu.
Sebegitukah dalamnya perasaan Cikgu Zarul terhadapku?
Sayangnya, aku tidak boleh mengubah keputusanku lagi kerana aku hanya akan membuat banyak insan patah hati.
Tapi, tidak mengapakah kalau hanya Cikgu Zarul yang terluka?
“ Kebisuan itu menjawab segalanya.. Hani..”
Aku menggigit bibir.
“ Semoga bahagia..”
Aku tidak bersedia menghalangnya pergi mahu pun ingin memohon kemaafan di atas kesalahanku mencalar kejam sekeping hatinya. Aku tidak mahu mencipta sengketa tapi aku tidak bersedia menjalin hubungan dengannya. Lantaran Syafiq menghulur salam di hatiku, segera saja kusambut kerana aku ingin menyimpan rasa yang hadir untuk Cikgu Zarul jauh ke dasar hatiku yang paling dalam.
Aku tidak mahu perasaan itu bersemi. Biarlah jikalau ada jodoh, pasti perasaan itu akan mekar kembali. Aku tidak mahu menabur janji kerana bimbang aku sendiri yang akan memungkirinya.
Di dalam kesunyian malam itu, aku hanya mampu melihat hati yang terluka itu melangkah pergi. Lalu aku, terduduk di situ menerima kehilangannya tanpa rela.
Airmata ini, semakin deras lagi mengalir.
Maafkan Hani.. Cikgu!

1 ulasan:

blinkalltheday berkata...

hani,hani..pttnye pilih cikgu zarul..pasni dah xde tringat dah,kan?nk masa skrg plk..cepat smbung ye..