BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 24 Julai 2011

Bab 2- Sayang sudahlah

Bab 2
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

Pagi kini menjelang lagi, hari ini aku harus memberikan masaku seharian di sekolah memandangkan hari ini adalah hari perasmian minggu Kokurikulum sekolah. Sepanjang minggu lepas, banyak perancangan sudah diatur dan hari ini hanya tinggal untuk dilaksanakan saja lagi. Meskipun penat dan agak kelam-kabut tapi aku tiada pilihan melainkan terpaksa turun padang juga atas desakan Cikgu Humairaa. Katanya, walaupun aku bukan bahagian pengurusan kokurikulum, tapi kehadiranku amat diharapkannya.
“ Maaf..” pintaku setelah terlanggar bahu seseorang yang tidak aku kenali tanpa sengaja.
Dia memandangku lama tanpa kerdipan.
Aku digamit resah.
Besar sangatkah kesilapanku hinggakan dia mempamer reaksi sebegitu?
“ Okey..” jawabnya ringkas dan terus menyambung kerjanya.
Aku tersentak dengan tingkahnya yang bagaikan tidak tahu menghargai kehadiran orang lain. Malas mahu mencipta sengketa, aku berlalu menuju ke dewan besar. Suasana pulak agak sesak dengan kehadiran tenaga pengajar dari sekolah-sekolah yang lain kerana kali ini, sekolah kami menjadi tuan rumah bagi satu acara besar seluruh sekolah seperti tahun-tahun yang sudah.
Aku tercari-cari bayangan Cikgu Humairaa di sebalik keramaian orang itu. Hinggalah di satu sudut, aku ternampak Cikgu Humairaa melambai-lambaikan tangan. Dengan pantas saja aku mendekatinya.
“ Kenapa lambat?” soalnya sewaktu aku menghulurkan tangan, bersalaman dengannya.
“ Biasalah…” aku sekadar menjawab begitu kerana aku yakin Cikgu Humairaa tahu alasanku. Pastilah kerana tersepit dengan kesesakan lalu lintas di pagi hari kalau terlewat bangun.
Cikgu Humairaa menjeling.
“ Hmm.. sudahlah. Baik Hani tolong akak menanda kehadiran guru wakil sekolah-sekolah ni..” balasnya sambil memberikan aku senarai nama guru-guru yang akan datang menghadiri majlis hari ini.
Aku menerima kertas itu tanpa banyak alasan dan berlalu menuju ke meja penyambut tetamu berhampiran pintu masuk utama dewan sekolah.
Aku melihat jam di tangan.
Masih ada 15 minit lagi sebelum yang dijemput hadir.
Aku meneliti satu persatu nama guru-guru yang akan datang, nama sekolah dan juga jawatan mereka sekali.
“ Assalammualaikum..”
Konsentrasiku terbantut dengan sapaan salam itu.
Aku mendongak.
Aduhai…
“ Waalaikumsalam…” teragak-agak aku menjawab salam itu kerana yang hadir di hadapanku ini adalah bekas pensyarahku ketika di maktab perguruan dulu.
Cikgu Zarul Syafi’e namanya.
“ Nak melapor diri..” beritahunya kepadaku dengan sopan, bersama senyuman yang nampak ikhlas.
Aku menyuakan kertas senarai itu kepadanya dengan kekok. Lama Cikgu Zarul mencari namanya sebelum menanda kehadirannya di atas kertas itu.
Dia memandangku semula.
“ Dah lama mengajar di sini?” soalnya cuba mengajak bercerita.
“ Tak juga..” balasku sopan.
Cikgu Zarul masih bergaya seperti dulu.
“ Okeylah.. ada jodoh, kita pasti jumpa lagi..” katanya sebelum berlalu meninggalkanku kerana dia dinanti oleh wakil-wakil yang lain untuk menanda kehadiran.
Aku sekadar mengangguk.
Siapa boleh lupa kepada Cikgu Zarul itu?
Sewaktu di maktab dulu, pensyarah kami inilah yang paling hangat diperbualkan. Almaklumlah, pensyarah muda yang sudah ada segalanya. Ada rupa, harta, kelulusan, kereta mewah, hidup sendiri kecuali satu.
Dia masih lagi eligible bachelor.
Tak tahulah masa ini sebab dah lama pun aku meninggalkan maktab itu sejak aku lulus dulu. Walaupun dulu aku dan Cikgu Zarul bolehlah dikatakan rapat tapi kami tidak pernah bertukar nombor selepas majlis konvokesyen dulu.
Ayatnya seperti yang kudengar lagi hari ini.
Ada jodoh, kita berjumpa lagi.
Aku tersenyum sendiri.
Siapalah agaknya Cikgu Zarul tunggu dulu itu. Bukannya aku tak pernah mendengar cerita yang siswi banyak menaruh minat kepadanya. Ada juga yang tak kurang mencuba nasib tapi ditolaknya dengan baik.
Aku memerhati langkahnya sehingga dia duduk ke tempat yang disediakan. Tanpa kuduga, dia menoleh semula ke tempatku dan sempat mengenyitkan mata.
Aku tersentak.
Cepat-cepat aku melarikan pandangan ke guru-guru yang ada di depanku. Rasa bagai nak mati ada juga dengan tingkahnya. Berdebar-debar di dalam hati. Hairan pun ada juga. Dulu, Cikgu Zarul tidak senakal ini.
Bahuku disentuh perlahan.
Sekali lagi aku tersentak.
“ Kenapa?” soal Cikgu Humairaa yang entah bila dia ada di sebelahku.
Aku memandangnya sekilas lalu menggeleng-geleng kemudian.
“ Dah ramai yang hadir?” sambungnya.
Aku meneliti senarai di hadapanku.
“ Nampaknya hampir semua..” balasku kemudian.
“ Baguslah.. majlis sekejap lagi nak mula ni..”
Aku sekadar mengangguk-angguk.
“ Akak nak ke depan dululah..”
“okey..”
Aku memerhati lenggok Cikgu Humairaa sebelum pandanganku sekali lagi jatuh kepada bekas pensyarahku itu kerana langkah Cikgu Humairaa mati tidak jauh di situ. Aku tidak mengharap dia memandangku juga tapi aku tidak sempat mengelak sebelum sekali aku aku terpana dengan senyuman menawan di bibirnya.
Ah!

0 ulasan: