Bab 8
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
“ Hani…”
Panggilan ummi tidakku sahut kerana sebaik saja tiba ke rumah, aku pantas berlari-lari anak menaiki anak tangga untuk masuk ke bilik. Terus saja kukunci dan merebahkan diriku di atas katilku. Kali ini aku menyambung tangis. Meskipun sepanjang perjalanan pulang Cikgu Zarul puas memujuk hatiku tapi apakan daya, benteng hatiku dilanda badai gerimis. Sedihnya bukan kepalang.
“ Siapa yang hantar Hani tadi?” soal ummi lagi dari luar.
Hatiku kian merintih. Tangisan semakin deras.
“ Ummi… Hani kurang sihat, tinggalkan Hani dulu..” pintaku dengan suara mendatar dari dalam bilik tidurku. Aku berharap benar ummi akan membiarkan aku bersendirian saat ini. Aku belum bersedia berkongsi cerita dengan sesiapapun termasuk ummi. Lama keadaan sunyi kerana aku yakin ummi pasti sudah meninggalkanku.
Maafkan Hani, ummi..
Aku mengesat airmata.
Khabar yang disampaikan oleh adik Cikgu Zarul bagai menghempap seluruh hidupku dengan bala yang tertunda. Aku mengeluarkan sesuatu dari beg tanganku. Kotak baldu berwarna biru itu kubuka.
Menyinar kilauan permatanya.
Inikah yang Cikgu Zarul ingin berikan kepadaku dulu?
Aku menggigit bibir.
Tidak keterlaluan kalau aku katakan, Cikgu Zarul memang bersungguh-sungguh kepadaku.
Tapi.. kenapa terlewat benar?
Aku bersandar di kepala katil.
Fikiranku jauh memikirkan Cikgu Zarul.
Sebegitukah yang dialaminya sejak aku menjauh? Silapnya aku juga kerana meninggalkannya sebegitu saja.
Aku mengeluh.
Bagaimana aku ingin menghubunginya kalau sememangnya aku sudah tidak ada sebab lagi?
Aku mengambil telefon bimbitku. Aku menaip sesuatu di atasnya meskipun hatiku berbelah bahagi jadinya.
‘ Betulkah cikgu suka saya?’
Lama kumenunggu pesananku berbalas.
‘ Sayang..’
Aku mengetap bibir saat menerima balasan daripadanya.
‘ Betulkah sya mlukakn hati cikgu?’
Aku sengaja bertanya lagi soalan itu kerana aku benar-benar tidak dapat menerima kenyataan.
‘ cerita lama. Jgn dkng..’
Simpatiku menggunung.
Tambahan lagi saat aku terkenang kebaikan yang dicurahkannya kepadaku 5 tahun dulu. Bermula di hari pertama minggu orientasi di maktab perguruan sehinggalah hari terakhir aku meraikan kejayaanku. Tidak terhitung jasa dan kebaikannya itu. Manusia biasa sepertiku, tidakkan mungkin mampu membalas segala jasa-jasanya.
TUHAN… KAU tunjukkanlahku jalan.
1 ulasan:
uuu..mmg serba salah lah..tngok reaksi hani cm ni...mmg die suka zarul ke?huu
Catat Ulasan