Bab 10
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
Petang itu, semua siswa-siswa dikumpulkan di hadapan dewan besar berhampiran dengan GYM maktab. Kami diarahkan memakai baju sukan rasmi yang telah diberikan kepada kami sebelum ini. Penerangan disampaikan dengan jelas, tentang aktiviti yang akan kami laksanakan petang itu. Sayangnya, tumpuanku hilang di situ. Tanganku sudah seram sejuk lantaran gementar dengan khabar AJK tadi. Mataku meliar mencari cikgu itu di kelompok pensyarah yang lain.
Lega..
Dia tak ada!
“ Cari saya?”
Bisikan seseorang di sebelahku itu mengejutkan sekeping hatiku. Kerana ingin tahu, aku terus menoleh.
Aku menggigit bibir.
“ Apa aktivitinya?” soalnya lagi. Namun aku, terus membisu. Aku terkejut benar dengan kehadirannya yang tiba-tiba itu sedangkan hatiku sudah lega sebelumnya kerana tidak nampak kelibatnya di kelompok pensyarah yang lain. Alih-alih, dia sudah terpacak di sebelahku!
Mizaa di sisi sekadar tersengih.
“ Hani dan Cikgu Zarul, ini sampulnya..” salah seorang AJK Sukan Minggu Orientasi memberikan sepucuk sampul surat kepada Cikgu Zarul. Rupanya, aktiviti Treasure Hunt.
“ Lokasi macam biasa, masuk hutan kecil di belakang GYM..”
Aku tersentak.
Takkan hari senja begini masuk hutan?
“ Arahan tadi dah dengar, kan?” soal AJK itu inginkan kepastiaan.
Jawapan apa lagi yang kuada selain terpaksa mengakui juga sedangkan hal sebenarnya, tidak begitu. Bagaimana mungkin aku boleh mendengar penjelasan tadi sedangkan hati dan fikiranku di selubungi resah gara-gara cikgu itu.
“ Masa permainan hanya 1 jam 30 minit dan sila kembali ke tempat asal sebelum jam 6 petang. Sekiranya tersesat, tunggu bantuan..” terang AJK itu lagi sebelum meninggalkan aku berdua dengan Cikgu Zarul.
Aku termangu.
“ Shall we?” tanyanya dengan perlahan sedangkan siswa-siswa yang lain sudah pun bergegas masuk ke laluan hutan kecil itu.
Tiada pilihan lain, aku hanya mengangguk. Dengan hati yang berbelah bahagi, aku mengikuti langkahnya yang bersemangat untuk memulakan aktiviti.
Cikgu Zarul memandangku.
“ Kenapa tak senyum?” soalnya seraya memberikan kepadaku isi sampul yang diberikan itu. Pertanyaannya tidakku jawab kerana itu bukan soalan tetapi lebih kepada sindiran.
- Menuju ke sungai, dapatkan bendera merah.
Itu arahan pertama permainan itu.
“ Sungai?” tanyaku kepada Cikgu Zarul.
Dia mengangguk.
“ Anak sungai..”
Aku mengetap bibir.
“ Cikgu tahu tempatnya?” soalku kerana aku bertekad untuk segera menamatkan permainan meskipun lokasi bendera kecil yang dicari ada 7 kesemuanya.
Cikgu zarul menggaris senyuman.
“ Mestilah..” balasnya dan mengajakku untuk berlari-lari anak sedangkan pemain yang lain sudah menghilang. Bermula dari laluan kecil hutan itu, hinggalah menyusuri pelbagai pokok, pohon dan pemandangan lain, anak sungai itu belum juga ditemui. Langkahku sudah semakin perlahan. Penatnya tidak terkata.
“ Betul cikgu tahu?” soalku akhirnya bila langkah semakin perlahan. Perasaanku sudah lain kerana tiada seorang pun yang ada kecuali kami berdua.
Cikgu Zarul menggaru-garukan kepalanya.
“ Macam dah lain..” jawabnya menakutkan aku.
Aku sudah merasa hendak menangis dengan jawapan itu. Jujur saja, aku benar-benar takut memasuki hutan walaupun sekadar hutan kecil. Bunyi-bunyi serangga menyeramkan dan paling aku takuti adalah spesis binatang yang melingkar.
U....
“ Janganlah main-main cikgu.. Saya takut..” luahku akhirnya dengan rasa bimbang. Hari sudah semakin senja dan gelap. Jangankan bayang bendera, anak sungai pun tidak kelihatan langsung.
Cikgu Zarul mematikan langkahnya di hadapanku.
“ Saya tak main-main..” jawabnya bersungguh-sungguh.
Aku menggenggam kedua belah tanganku. Sudahlah telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa, dalam keadaan begini.. kepada siapa hendak meminta bantuan.
“ Jangan kata kita tersesat..”
Cikgu Zarul hanya mengangkat bahu.
Aku mengeluh hampa.
Di atas batu besar itu, aku hanya duduk dan berputus asa. Sedangkan Cikgu Zarul hanya berpeluk tubuh dengan gayanya yang tersendiri. Sudahlah kawasan kian menggelap, panas dan bermacam-macam bunyi serangga sudah mula kedengaran.
Aku semakin berdebar-debar.
Aku memandang Cikgu Zarul tidak jauh dariku. Teragak-agak jugaku jadinya tapi apa daya, rasa ini kian menyeksa.
“ Cikgu… saya takut..” luahku.
Cikgu Zarul tidak berkata.
Aku meliarkan mata memandang sekeliling. Bermacam-macam bunyi sudah kedengaran membuatkan aku semakin keresahan.
Bunyi itu makin lama makin kuat. Melihat Cikgu Zarul yang hanya selamba itu, aku terpaksa bergerak sendiri menghampirinya. Aku tidak punya pilihan lain kecuali terpaksa berdiri dekat benar kepada cikgu muda itu.
Dia melepaskan tawa kecil dan aku terasa hati.
Aku memang benar-benar takut!
“ Muka tu..” usiknya.
Aku menggigit bibir.
Kalau aku menangis juga saat itu, dia juga yang susah. Tak pasal-pasal nanti dia dituduh macam-macam pula.
“ Saya tak main-mainlah..” marahku.
Cikgu Zarul sekadar tersengih.
“ Jangan marahlah cik adik..” usiknya lagi.
Aku menjeling.
“ Boleh saya pegang tangan awak?” soalnya dengan tiba-tiba.
Hampir luruh seluruh jantungku mendengar pertanyaan itu. Tambahan lagi suaranya gemersik dan membuai-buai. Aku kian berdebar.
Aku resah dalam menanti. Dia seperti sengaja meletakkan aku dalam situasi serba-salah dan ketandusan jawapan. Mungkin kerana tiada jawapan, maka dengan beraninya dia menggenggam tangan kananku.
Aku tersentak.
Debar di hatiku bertalu-talu tapi insan di sebelahku hanya bersahaja, seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Sesekali aku mengerlingnya yang nampak tidak ada tanda-tanda mahukan keadaan ini berlalu cepat kerana dia langsung tidak berusaha untuk mendapatkan bantuan langsung kepada siswa yang menjadi AJK itu.
“ Hmm.. nama awak siapa?” soalnya memecah keheningan senja.
“ Hani Aqilah..”
Dia mengangguk namun genggaman di tanganku kian erat.
“ Jurusan apa?”
“ Bahasa..” balasku sepatah kerana aku benar-benar tidak ada mood untuk bercerita. Bukan begini perkenalan yang kumahu. Di tengah-tengah hutan yang kian menggelap, di kelilingi serangga yang entah.
Zzzzzzzaaapp!
Aku terkejut mendengar bunyi yang tidak jauh dariku itu. Lantas, tanpa berfikir panjang aku terus memeluk tangan Cikgu Zarul. Cikgu Zarul nampak terkejut tapi aku tidak peduli.
“ Cikgu, tolonglah… saya dah takut separuh mati..” rayuku bersungguh-sungguh sambil memegang tangannya.
Peduli apa kalau dia hendak melabel aku pelajar apa pun aku tak kisah yang penting, aku nak keluar dari hutan ini dan lari dari ketakutan ini.
“ okey..” balasnya, seperti memujuk.
Pantas saja dia membawa aku bergerak dari situ walaupun aku tidak yakin dengan kebolehannya membawaku pulang ke tempat asal. Tapi aku tidak punya pilihan melainkan terpaksa bergantung harap saja kepadanya. Hinggalah di satu penjuru kami akhirnya ditemui oleh AJK Orientasi tadi dengan beberapa orang kawannya. Mereka langsung tidak mengulas apa-apa atau bertanya apa-apa pun keadaan tentang kami seolah-olah ianya dirancang pula.
Tanganku segara kutarik meskipun aku tahu mereka sempat melihatnya.
“ Kenapa boleh tersesat, cikgu?” soal pelajar senior itu kepada Cikgu Zarul namun nadanya kedengaran seperti disindir.
“ Kamu sengaja ubah petanda yang pertamakan?” balas Cikgu Zarul dengan penuh makna.
Anggukan mereka menjawab segalanya.
Aku terasa seperti diperbodohkan dan aku sedar sekarang, Cikgu Zarul sedang mempermainkanku.
Matanya dan mataku saling berpandangan.
2 ulasan:
hani,sweeeeeeeet sgt ckgu zarul..hope diorg kawennti..plis hani..
ow..ade yg membantu dlm rncgn ni eh..senior2 hani ni tw dah ke yg cikgu zarul suke kt hani?huu
Catat Ulasan