BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 26 Julai 2011

Bab 7- Sayang sudahlah

Bab 7
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

            “ Hai..” sapa seseorang di belakangku. Aku segera menoleh lantaran ingin tahu si gerangan. Aku yang masih menanti giliran untuk mengambil makanan terpaksa membantutkan niat. Selepas bacaan habis, doa terus dipanjatkan dan tetamu pula dipelawa menikmati jamuan.
Rupanya lelaki yang kulihat tadi.
“ Hai..” balasku perlahan.
Dia menggaris senyuman.
“ Saya Syahmi..”
            Hai.. aku tak tanya pun!
            “ Zarul Syahmi..”
            Aku tersentak.
Selama aku mengenali Cikgu Zarul, aku tak pernah pula mendengar cerita mengenai lelaki yang bernama Zarul Syahmi ini.
            “ Dah puas menelah saya?”
            Aku mengalih pandangan. Soalan itu mengusik tasik hatiku.
            “ Bakal adik ipar..” sindirnya selamba.
            Aku menelan liur.
Caranya bercakap seperti sedang ingin menghukum aku dengan kesalahan yang aku sendiri tidak tahu. Kalau setakat peristiwa kecil itu, aku sudah lama meminta maaf kepadanya.
            “ Kenapa macam masih menyimpan dendam?” soalku berterus-terang.
            Dia tertawa kecil.
            “ Pasal awak langgar saya dulu, itu perkara kecil..”
            Jawapannya seperti tergantung.
            “ tapi hal ini yang membuatkan saya terkilan kepada awak..”
            Kenyataan itu terbiar begitu saja kerana dengan tiba-tiba saja Cikgu Zarul sudah datang menghampiri kami.
            “ Dah kenal?” tanyanya.
            Aku pantas menggeleng.
            “ Mi.. ni Hani..” perkenal Cikgu Zarul.
            Zarul Syahmi itu sekadar tersenyum.
            “ Yang ini adik saya, Zarul Syahmi..”
            Aku tidak berkutik.
            Hening seketika suasana kerana aku dan Syahmi saling berpandangan. Aku ingin dia menghabiskan kata sebelum berlalu tapi sayangnya Cikgu Zarul terlebih dahulu memintaku pergi menikmati jamuan di dapur pula.
            Dia menarikkan kerusi di meja makan untukku duduk. Makanan pula sudah awal terhidang oleh pembantu rumahnya.
            “ Makanlah..” pelawanya ketika dia turut sama menjamah makanan. Aku tidak membantah. Anehnya, saat itu aku terus-terusan memikirkan kata-kata Zarul Syahmi itu. Aku ingin tahu benar maksudnya.
            Mengapa pula dia terkilan?
            “ Fikir apa?” soal Cikgu Zarul kepadaku ketika dilihatnya aku sekadar menguis-nguis makanan di hadapanku.
            Aku memandangnya sesaat dan kemudian terus menggeleng-gelengkan kepala. Aku tidak berniat mahu bercerita tentang layanan adiknya terhadapku kerana aku menghormati dia sebagai cikguku. Tambahan lagi fikiranku semakin bercelaru memikirkan kata-katanya.
            “ Hani..” panggil Cikgu Zarul.
            Aku membalas pandangan. Sinar di matanya mengundang resah yang menggila. Apakah cerita yang disimpannya di sebalik mata yang bening itu?
            “ Lama kita tak jumpa..kan?” tanyanya bersama senyuman.
            Aku mati kata.
            “ Masa memang mendewasakan kita…” tambahnya lagi.
            Aku menelan liur.
            “ Oh ya Hani.. Saya ada sesuatu untuk awak. Hadiah yang sepatutnya sudah saya berikan kepada awak 5 tahun dulu..” khabarnya kepadaku dengan wajah ceria meskipun setiap patah perkataannya tidak kusambut.
            “ Saya naik ke atas sekejap..” pintanya dan segera berlalu tanpa menunggu persetujuanku sama sekali.
            Aku melepaskan keluhan. Kian resahku jadinya dengan apa yang aku lalui saat ini. Tanpa kuduga, Zarul Syahmi pula masuk ke dapur setelah kelibat Cikgu Zarul menghilang. Dia seperti ingin mengambil peluang untuk berbicara denganku.
            Dia menarik kerusi di hadapanku dan duduk. Aku semakin rasa meluat dengan tingkahnya walaupun aku sedar dia adalah tuan rumah.
            “ Apa maksud dengan kata-kata awak tadi?” tanyaku dengan dingin.
            Zarul Syahmi tersenyum sinis.
            “ Jujur dengan saya.. pernah tak abang saya meluahkan perasaannya kepada awak?” tanya serius dan bersungguh.
            Aku merasa ingin pitam mendengar soalan yang tiba-tiba itu. Bagiku, sudah lama kisah itu berlalu dan sekarang, kenapa ia diungkit lagi? Aku sendiri punya hak untuk menerima atau menolak pilihanku dan seharusnya semua orang menghormati keputusanku itu.
            “ Apa hak awak untuk tahu?” soalku dengan suara yang agak tertahan dari meninggi. Hatiku rasa sakit kepadanya yang seolah-olah tidak tahu menghormati aku sebagai tetamu di rumahnya.
            Wajahnya sudah berubah tegang.
            “ Kerana jawapan awak lima tahun dulu hampir meragut nyawa abang saya..”
            Aku terkejut besar.
            “ Apa maksudnya?” tanyaku dengan tergesa-gesa. Aku ingin tahu kisah selanjutnya tentang khabar yang cuba disampaikan oleh adik Cikgu Zarul itu. Cerita ini, aku tidak pernah tahu.
            “ Abang Zarul dulu menanggung derita sakit buah pinggang sebelah.. sejak awak menolak dirinya, dia nekad untuk tidak terus berjuang meneruskan hidup sekalipun untuk ibu dan walid kami..”
            Aku tersentak.
            “ Kerana bagi abang, hidup tidak ada maknanya tanpa awak..” sambung Zarul Syahmi dengan sedikit beremosi.
            Aku menelan liur.
            Benarkah apa yang kudengar atau dia sekadar mereka cerita saja?
            “ Airmata ibu dan banyak tumpah kerana abang Zarul..” dia berhenti seketika sebelum menyambung kata. “ dan abang begitu kerana awak, Hani..” suara Syahmi semakin perlahan.
            “ Ibu dan walid berulang kali memujuk abang.. hinggalah kata-kata walid abang jadikan azam.. percaya pada jodoh yang TUHAN tentukan.. Jika ada, pasti berjumpa..”
            Aku merasa sebak. Sehebat inikah yang Cikgu Zarul alami sejak aku menolak untuk menjadi pasangan hidupnya 5 tahun dulu? Aku bukan apa. Dulu perasaanku kepadanya terbenteng kerana statusnya sebagai pensyarahku meskipun aku sedar cinta itu buta. Aku pantas menerima huluran cinta Syafiq walaupun aku tahu Cikgu Zarul terlebih dahulu menyimpan perasaan terhadapku.
            “ Alhamdulilah.. TUHAN panjangkan umur abang Zarul.. Abang dapat meneruskan hidup dengan hanya sebiji buah pinggang..”
            Aku terdiam benar dengan kenyataan itu.
            “ Janganlah buat abang saya semakin menderita dan lelah menunggu awak, Hani..” suaranya seperti mengharap dan membuatkan aku semakin tertekan.
            Kenapa lama benar Cikgu Zarul ni?
            “ Lainlah kalau awak ingin merasai kehilangan lagi…” sambungnya dengan perlahan tapi kedengaran biadab sekali. Tidakkah dia tahu, aku pernah merasakan keperitan ditinggalkan dalam kenangan pahit dan menyedihkan? Aku sendiri tidak ingin hidup di dalam memori itu, kenapa pulak aku ingin dia berulang. Soalan itu terlalu bodoh. Bodoh sehingga mencalar lagi luka lama yang barukan sembuh.
            “ Awak tak tahu.. erti kesedihan yang saya simpan seorang..” jawabku dengan nada mendatar. Mataku sudah berkaca, seperti ingin jatuh saja saat itu tapi kuusahakan bertahan. Meskipun Zarul Syahmi rasa bersalah melihat gadis pujaan abangnya nampak sayu tapi dia hanya inginkan abangnya mengecapi bahagia.
            “ tak siapa yang tahu…”
            Saat itu juga aku menangis. Menangis semahuku kerana tasik hatiku yang surut kini pasang lagi dengan kesedihan. Aku tak bodoh untuk membuat orang yang aku sayangi menjadi derita. Aku tak akan pernah melakukan itu. Cikgu Zarul sendiri tidak bersungguh-sungguh menyatakan hasrat hatinya kepadaku lantas bagaimana mungkin aku yakin dengan kata-katanya?
            Bahuku disentuh perlahan namun aku tidak menoleh.
            “ Hani kenapa?”

            Suara itu bukan lagi suara Zarul Syahmi tetapi suara Cikgu Zarul. Suaranya kedengaran cemas. Apabila aku menoleh, Syahmi sudah hilang.
            “ Awak nak pulang sekarang?” tanyanya lagi di sebelahku namun aku lebih senang mengawal esakan. Cikgu Zarul sudah duduk di sebelahku. Dia mengangkat daguku untuk memandang wajahnya yang sudah mula risau. Melihat bening mata itu semakin membuatkan aku serba-salah dan bersalah yang sesungguhnya.
            “ Awak nak saya hantar?”
            Tangisan bukannya semakin reda tetapi makin mencurah airmata. Sekejam itu diriku kepada dia yang menaruh harapan? Itu jugakah yang aku lakukan terhadap arwah Syafiq meskipun aku tahu hatiku telah tersakiti?
            Mungkin kerana tiada jawapan dariku itu maka dengan pantas saja Cikgu Zarul menarik tanganku dan membawaku keluar rumah melalui pintu belakang di dapur rumahnya. Di satu kawasan, agak tersorok dari pandangan tetamu yang lain.. Cikgu Zarul menarik aku ke dalam pelukannya.
            Aku serta-merta terkaku.
            “ Jangan buat saya susah hati, Hani..” pujuknya dengan perlahan dan saat itu aku rasakan seperti disayangi olehnya walaupun akalku sedar benar saat itu. Airmataku bukan semakin berhenti malah semakin deras. Hatiku rawan benar saat itu. Fikiranku melayang terkenang Syafiq tetapi hatiku terusik kerana Cikgu Zarul.
            Aku cuba menolak pelukannya kerana aku rasa lain detik itu. Aku mengesat airmata dengan kedua belah tanganku. Aku memandang tepat kepada Cikgu Zarul yang nampak seperti kebingungan dengan sikapku itu.
            “ Benarkah saya telah melukakan hati cikgu?” soalku dengan suara mendatar.
            Cikgu Zarul termangu.
            Apakah yang menyebabkan Hani berkata begitu?
            “ Kenapa tanya saya soalan itu, Hani?” balasnya. Wajahnya nampak berubah gelisah dan tidak tenang seperti tadi. Simpatiku bercambah mengenangkan saat lima tahun dulu, dia menderita sendiri tanpaku.
            “ Jawablah, cikgu..” pintaku dengan mengharap.
            Kudengar Cikgu Zarul mengeluh. Aku cuba untuk menyelami dasar hatinya tapi dia pantas merubah ombak perasaannya.
            Dia menarik kedua belah tanganku dengan berani, memegangnya erat hinggaku rasakan debar kencang di dalam dada.
            Aku menggigit bibir.
            “ Ya.. Hani, awak pernah..”

1 ulasan:

cactaceous opuntia berkata...

err..snanye zarul pernah berterus terang ke x?ape yg membuatkan hani pilih syafiq rather than zarul...pas tu npe syafiq tergamak menduakan hani?huuu