Prolog
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
Kelopak mawar berguguran jatuh di atas pusara yang tanahnya masih merah. Suara esak tangis yang tadinya kedengaran nyaring kini berubah sendu dan perlahan. Belum nampak tanda-tanda mahu surut dan diam. Mentari yang menyinar garang berselang-seli pancaran cahayanya dek lindungan awan yang berubah hitam. Itu tandanya gerimis mahu turun membasahi bumi tercinta. Meskipun sesekali kedengaran dentuman guruh dan kerlipan kilat memancar, sekalipun hati masih belum tega melangkah meninggalkan pusara. Sebak di dada, luka di hati dan pedih membara menjadi satu perasaan yang terlalu sukar untuk dihakis detik ini.
Hatiku merintih.
Hatiku berkata-kata tapi aku tahu jasad yang sudah dikebumikan itu tidak akan lagi mendengar dan tidak lagikan bersuara kerana rohnya sudah kembali pada yang kuasa.
“ Syafiq…” panggilku untuk terakhir kali sebelum tanganku ditarik perlahan oleh ummi yang nyata wajahnya tergaris duka jua.
Penyesalanku belum sudah.
Inikah balasan atas kebodohanku sendiri?
“ Sudahlah Hani.. baliklah.. Doakan rohnya tenang di sana..” pujuk ummi lagi lantaran melihat aku yang masih kelihatan termangu di pusara itu.
Hadirin yang datang sebentar tadi sudah lama berganjak pergi meninggalkan kami berdua. Setelah talqin dibaca dan sesudah doa diaminkan, mereka tegar berangkat meninggalkanku di sini.
Aku mengesat airmata yang semakin deras. Aku sudah mencuba untuk tidak membiarkan airmata jatuh tapi aku tidak dapat menahan kesedihan ini.
Aku nekad.
Biarlah yang terjadi hari ini hingga di sini saja. Bukanlah aku tidak rasa bersalah atas apa yang terjadi tapi aku percaya takdir ini mendewasakan jiwaku yang sedang diuji ini. Biarlah rahmat Tuhan datang melimpah menjadi petunjuk untuk kesudahan sisa waktu nyawaku yang masih bernafas selagi aku mampu menabur bakti untuk ummi dan abah yang kini tinggal bersamaku.
Maafkan aku, Syafiq.. mungkin ini takdir cinta kita yang tinggal kenangan saja, pesanku di angin lalu dan bangun meninggalkan pusaranya. Aku sendiri tidak tahu mengapa arwah tega membunuh diri lantaran aku tidak lagi termakan pujukannya. Aku sendiri yakin dia tahu aku sayang padanya tapi mengapa dia meragukan lagi? Sedang dia tahu, setiap kali aku akal warasku memikirkan dia, ia membuat perhitungan debaran di dalam dada?
Subhanallah.. aku amat mencintainya keranaMU..
Aku melangkahkan kaki dengan hati yang berat. Semoga Tuhan mengampunimu dan menempatkanmu bersama hamba-hambaNya yang mukmin. Meskipun gerbang bahagia yang kita rancang tidak kesampaian, ingatlah.. sayang ini kusimpan sekalipun ia sudah basah dengan lautan kekecewaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan