BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 27 April 2011

bab 23-Perwiraku

Bab 23
“Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Sesampainya di rumah, Edry mengarahkan aku keluar dari kereta dengan tergesa-gesa. Dia mempamer wajah tegang sementelah selama di dalam kereta, aku melepas tangis kecewa dengan rahsia yang disimpannya dariku.
Aku mengesat airmata dan mengikut saja tingkahnya. Bukannya dia tidak memujuk sepanjang perjalanan pulang tapi fikiranku beku lagi. Belum bersedia menerima segala penjelasan. Aku takut terpedaya kerana sekeping hati ini terkilan!
“ Walid!” Edry bersuara, memanggil walid sebaik saja menapak masuk ke dalam rumahku. Pegangan tangannya kejap dan aku tidak bisa meleraikannya.
“ Kenapa ni?” soal ummi yang tiba-tiba muncul dari ruangan dapur. Walaupun pandangan ummi nampak hairan namun aku masih tidak berganjak dari sisi Edry. Walid pula segera saja muncul di sebelah ummi.
“ Ada apa?” tanya walid.
Edry memandangku sekilas sebelum meneruskan kata.
“ Kami nak kahwin hujung bulan ini..”
Aku pantas merentap tanganku dan terus saja berlari menaiki anak tangga. Tanpa menunggu jawapan ummi mahupun walid, aku lebih memilih mendiamkan diri di bilik. Aku menghempaskan daun pintu semahuku.
Aku benci pada Edry! Benci dengan sikapnya yang pentingkan diri sendiri. Aku rasa bodoh! Aku rasa tertipu. Kenapa pilih aku atas perasaan untuk orang lain. Bukan kerana aku tetapi kerana bayangan kisah silamnya. Mahukah Edry memberiku penjelasan mengapa dia melakukannya terhadapku? Mudah sekalikah aku untuk diperbodohkannya?
Aku memandang cincin di jemariku. Dengan segera aku melucutkannya dan melemparkannya ke dinding lalu hilang sekelip mata. Aku sudah tidak peduli lagi. Biarlah kalau Edry menganggap sekalipun aku memutuskan hubungan yang baru saja terbina ini, ya.. biarlah. Aku sudah tidak mahu menyimpan harapan. Takut aku akan lemas dalam anganku sendiri.
Pintu diketuk sebelum dikuak. Aku sempat mendengar deruan enjin kereta yang aku kenali. Meluat rasanya untuk menghantarnya pulang walaupun hanya dengan pandangan mata.
“ Kenapa ni adik?” ummi mula bertanya seraya duduk rapat di sebelahku, di atas katil tempatku beradu.
Aku memandang ummi sekilas dan kemudian mengesat airmata yang sedari tadi melimpah ruah. Kecewa dengan sikap Edry dan pasrah dengan keadaan.
“ Walid setuju ke ummi nak kahwinkan adik?” soalku dalam suara yang serak. Bekas menangis.
Ummi membalas pandangan. Wajahnya nampak keruh lalu dia menggeleng perlahan. Aku menghela nafas lega. Lega dengan jawapan walid bagi pihakku itu.
“ Ummi..” panggilku.
Aku menelan liur dengan payah. Aku tahu keputusan yang kuambil dan kubuat ini akan mendatangkan kesan dalam hidupku, bagiku, kedua belah pihak dan kedua buah keluarga.
“ adik nak putus..”
Apa pilihan lagi yang kuada?
“ Betul ni?” soal ummi yang mula kelihatan kurang senang dengan keputusanku. Wajahnya nampak tergaris riak susah hati. Tapi aku mohon, sesiapapun menghormati keputusanku.
“ Tak nak cerita pada ummi apa yang terjadi?” tambah ummi lagi.
Aku mengetap bibir dengan kuat. Aku Cuma berharap, aku diberi waktu untuk bersendirian dan bukannya diasak dengan pelbagai soalan yang memeningkan kepala dan membuatkan aku tidak yakin dengan keputusan yang aku buat.
Ummi masih tidak berganjak tapi aku sudah merebahkan diri. Aku memejam mata berharap ummi mengerti aku yang tidak lagi mahu diganggu. Kusempat mendengar keluhan ummi.
Maaf ummi, adik tak berdaya.
“ Ummi.. pulangkan ya cincin tanda itu..” pintaku penuh mengharap tapi membelakangi ummi. Aku tidak mahu memandang wajah ummi yang bersinar kecewa dengan keputusanku sedang aku sebenarnya memendam rasa dengan yang kulakukan walaupun separuh hatiku tidak rela kerana, aku mencintainya! Aku berusaha menahan sendu dari semakin menggila lantaran rasa pilu.
Jatuhlah airmata, bawalah sisa luka ini pergi dari sang hati.

0 ulasan: