Bab 27
“Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”
“ Malam ini turut operasi?” Edry bersuara di belakangku ketikaku leka membancuh minuman petang.
Aku mengangguk saja untuk menjawab pertanyaan itu.
“ Untuk saya tak ada?” tambahnya sambil menunjuk pada cawan yang kini sudah berada di tanganku.
Aku menggeleng.
“ Bancuh sendiri..” balasku bersahaja seraya duduk di mejaku. Aku berpura-pura meneliti fail laporan yang dihantar kepadaku sedang hati dan akalku tidak di situ. Keduanya resah kerana sepasang mata itu masih memandangku.
“Tak nak bancuh tak apa..” balasnya nakal seraya mengambil cawan yang sudah ada di tanganku. Tanpa lagak orang berdosa, dia selamba saja meneguk minumanku itu seolah-olah itu miliknya. Aku hanya mampu memendam rasa hati dengan sikapnya yang semakin mengada-ngada itu.
“Tak malu!” marahku.
Dia tersengih.
“ Bukan tak biasa..”
Aku menjeling. Dia menghulur cawan itu semula namun aku enggan menyambut.
“ Janganlah amalkan.. manalah tahu orang tu tak ikhlaskan..” balasku bila dia masih lagi tegak berdiri di hadapanku bersama cawan itu. Mahu tidak mahu aku mengambilnya jua tapi dengan jiwa memberontak.
“ Beritahu saya bagaimana caranya kita nak buktikan seseorang itu ikhlas?” soalnya pula semakin serius.
Aku mencebik. Malas rasanya hendak berbual dengannya.
“ Hanim, saya tanya ni..”
Aku mendengus.
“ Hal peribadi, kita cerita di luar. Sekarang kita bertugas, okey!” balasku sedikit kasar.
“Macamlah awak mahu kalau saya bawa berbincang..”
“ Dah tak ada yang hendak kita bincangkan. Kenapa kita hendak kusutkan lagi keadaan?” sambungku lagi, kali ini nadanya semakin bertambah kasar.
Adakah Edry tidak memahami maksudku itu?
Aku sudah penat untuk terus-terusan memperbaiki semuanya.
“ Hanim, senang sangatkah kita nak lupakan semuanya?”
Aku berpeluk tubuh, membalas tentangan matanya yang sudah berubah tajam.
“ Saya yang sepatutnya tanya awak soalan itu. Senangkah nak lupakan semuanya?” balasku.
Apakah Edry mengerti maksudku? Adakah dia sudah melupakan kisah lalunya?
Nyatanya, dia hanya diam. Tidak membalas.
Ah.. aku boleh saja membuat kesimpulan bahawa dia memang tidak mampu menghapuskan kenangan itu.
“ Awak nak saya lupakan sesuatu yang pernah menjadi sebahagian dari hidup saya?” tanyanya bagai orang bodoh.
Aku mendengus kasar.
Aku bukan memintanya begitu. Aku Cuma mahukan dia ikhlas dengan hubungan yang pernah kami ikat dulu. Bukan atas dasar sesuatu yang mendorongnya untuk meneruskannya. Aku malas hendak memperdebatkan hal ini lagi. Bagiku segalanya sudah berakhir meskipun sekeping hatiku ini tidak menginginkannya. Lantaran itulah, aku memilih untuk beredar dari ruangan itu. Aku rasa lemas dengan keadaan itu.
“ Hanim!” panggil Edry, mematikan langkahku bila tanganku sudah ditarik. Dengan selamba dia menolak aku ke dinding dan menghalang jalanku dengan kedua belah tangannya.
Aku menelan liur.
Benar-benarku tidak menduga dia akan melakukan ini lagi padaku. Hangat deru nafasnya menyapa pipiku. Debar ini semakin meresahkan.
Aku takut, akan ada mata lagi memandang kami. Aku mengalihkan pandangan bila anak matanya cuba menikam anak mataku.
“ Sampai bila kita begini?” bisiknya di sisiku.
Aku menggigit bibir.
“ Kenapa hendak sembunyikan lagi keinginan hati?”
Aku menahan diri dari bersuara.
“ Kenapa nak seksa saya?”
Aku tidak menjawab.
“ Katakan Hanim, apa yang boleh saya lakukan untuk membuat awak kembali lagi kepada saya?” bisiknya lagi, kali ini separuh merayu dan sayu.
Aku menelan liur dengan payah. Pertanyaan demi pertanyaan itu merobek ketenangan hati dengan kuat. Hatiku diremuk sedih. Sedih lagi dengan kekalahan pada kata hati.
“ Saya pilih awak bukan kerana awak bayangan dia tetapi kerana hati ini memang memilih awak, Hanim..” dia bersuara lagi, bagai memujuk.
Airmataku pula sudah ada dihujung mata. Hanya menunggu saat-saat untuk menitis sahaja.
“ Berapa kali lagi awak ingin saya katakan?”
Tanpa sanggup menahan rasa sebak, di hadapannya aku menangis lagi. Aku benar-benar tewas dengan hatiku sendiri. Aku takut kehilangan tapi aku tidak mahu disayangi dengan bayang-bayang. Tahukah Edry maksudku menolaknya kali ini?
Dia memberanikan diri mengesat airmataku yang jatuh itu dengan perlahan. Dan aku hanya mampu menunduk.
“ Tolonglah saya.. jangan tambah luka..” aku merayunya seraya menolaknya untuk memberikan aku ruang pergi dari kancah kesedihan itu.
Dengan hati patah, aku memilih untuk meninggalkannya lagi. Saat itu, aku hanya mampu mendengar hela nafasnya yang berat.
Maaf Edry, tidak tahu kenapa hati ini keras sekali.
0 ulasan:
Catat Ulasan