BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 15 April 2011

Bab 20- perwiraku

Bab 20
“ Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

“ Betul adik nak terima risikan Edry?” walid tiba-tiba bersuara sebaik saja aku menikmati makan malam sendirian. Ummi entah dimana, mungkin di dalam bilik bacaan. Sunyi sekali rumah hari ini. Beginilah rumah. Setiap kali cuti awam, Kak Leeya akan pulang ke kampung abang Hisyam. Baby Kak Leeya atau lebih manja barangkali kusebut namanya Baby Dania Hanna selalu saja jauh dariku. Tambahan lagi cuti Isra’ Mikraj ini pasti keluarga abang Hisyam mengadakan makan-makan kecilan untuk mereka sekeluarga.
“ Walid tanya ni..”
Aku tersentak. Jauh sekali melayang fikiranku sedangkan walid masih ada di depanku. Entah bila pula walid duduk dan menarik kerusi aku tidak perasan. Mungkin leka berkhayal sambil menikmati makanan masakan ummi yang hampir berbulan-bulan aku tidak merasa.
“ Ya..” jawabku perlahan tapi sebenarnya aku malu sendiri. Entah kenapa aku suka menerima lamaran itu.
“ Bila nak buat majlis?”
Aku diam memikirkan.
“ Lepas kerja dua tiga tahun..” jawabku tanpa membuat sebarang perancangan.
Walid tertawa kecil.
“ Usia Edry berapa tu?” soal walid seakan-akan mengusik. Aku mengerutkan dahi, mencuba-cuba mengira usia bakal tunanganku itu. Antara percaya dengan tidak, aku kini dan dia adalah sepasang kekasih!
“ 29 agaknya..” balasku teragak-agak kerana aku tidak yakin dengan kiraan sebenar.
“ Hah.. adik pula?”
“ 25..”
Lalu aku tersengih dengan jawapanku sendiri.
“ Tahupun.. dah tu kenapa nak tunggu lama-lama baru buat majlis?”
Aku mengetap bibir.
“ Kita belum rancang lagi, walid..”
Mata walid terarah ke satu sudut, di antara jari jemariku. Agak lama  matanya menyorot ke situ. Aku meneliti.
Ah.. pasti cincin yang sudah tersarung di jari manisku ini. Aku sendiri tidak tahu bila dia membelinya sedangkan sepanjang bersama tadi, aku langsung tidak nampak dia singgah untuk membeli.
Apakah dia memang sudah merancang terlebih awal? Lantas tujuannya membawaku itu adalah untuk memilih cincin pertunangan pula?
“ Walid rasa, elok kita cepatkan saja majlisnya..”
Aku mengerutkan dahi. Lamaku merenung walid berharap walid akan menerangkan dengan lebih lanjut maksudnya kepadaku.
“Majlis apa walid” soalku, sudahnya walid tidak membuat sebarang ulasan lanjut.
“Pertunangan..”
Aku diam tanpa suara.
“ Kahwin, lepas adik tamat..” walid berkata lagi, dan kali ini nadanya serius benar. Aku tahu, kali ini aku memang tidak boleh menolak kerana sepanjang ini aku sudah banyak kali membantah aturan mereka.
Aku memandang ummi yang tiba-tiba ada di sebelah walid. Wajahnya nampak berseri. Lagaknya seperti mahu menerima menantu saja!
“ Ummi dah tengok majalah pengantin dalam bilik bacaan tadi. Banyak dah ilham ummi..” ummi memulakan bicara.
Mendengar saja bicara ummi, aku mempercepatkan suapanku. Kalau ummi sudah campur tangan, memang aku akan cepat tertekan. Semuanya mesti ikut kehendak ummi saja.
“Nak tema apa, adik?” soal ummi bahagia.
Aku mengangkat bahu.
“ Nak ummi yang aturkan?”
Aku mengangkat bahu lagi.
“ Ummi kali ini nak besar-besaran. Tinggal adik saja yang belum kahwin..” sambung ummi lagi.
Aku mempamer senyuman manis untuk ratu hatiku itu.
“ Kalau ummi sponsor, adik tak kisah..” balasku lalu tertawa nakal.
Ummi mengetap gigi. Aku tahu ummi geram dengan sikapku yang selalu saja suka mengusik ummi itu.
“ Kalau macam itu, okey. Ummi sponsor. Tapi, semua mesti ikut kata ummi..” balas ummi serius.
Aku mati kata. Tidak menyangka sekali ummi akan mengotakan usikan itu.
“ Hah adik, kenapa dah terdiam ni?” walid berkata selamba dan aku hanya terkebil-kebil.

0 ulasan: