Bab 18
“ pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”
Sinaran matahari sudah menerjah masuk ke ruang kamar melalui jendela. Terasa di hujung kakiku seperti ada yang menggerak-geraknya. Aku cuba untuk membuka mata yang sememangnya masih berat lantaran kelewatan tidur dari waktu yang biasa. Aku terlihat di hujung kakiku itu, Kheir Zanky sedang tersenyum manja.
“ Bangunlah Hanim.. dah meninggi hari ni..” suara Kak Leeya tiba-tiba kedengaran memecah gegendang telingaku. Aku menggeliat dengan sesungguhnya. Kheir pula duduk di sebelahku bersama senyuman manjanya. Dia mencium pipiku dengan manja sekali. Berlainan benar lagaknya, seolah-olah dia menginginkan sesuatu dariku.
“ Ada apa ni?” soalku padanya.
Kak Leeya mengambil tempat, duduk di sebelahku.
“ Adik dah janjikan dengan dia nak bawa pergi makan ice-cream semalam..” Kak Leeya cuba mengingatkan kepadaku tentang janji yang entah bila aku meterai dengan anak buah kesayanganku itu.
“ Betul?” soalku pada Kheir.
Dia yang kurasa hanya memahami sedikit dengan butir bicaraku itu sekadar mengangguk.
Aku mengajukan pandangan ke jam dinding. Terkejut benarku melihatnya kerana jarumnya saja menunjukkan hampir ke satu petang.
Aku menoleh Kak Leeya hanya berada di sebelahku. Senyum perlinya menggaris wajah.
“ Siapa suruh balik lewat…”
Aku memuncungkan bibir. Menarik muka mendengar kata-katanya yang selalu saja membuat aku merajuk.
Dia memukul bahu kiriku dengan perlahan bersama tawanya melihat reaksiku itu.
“ Edry dah tunggu adik di bawah tu. Dia kata adik ada date dengan dia hari ini. Kebetulan sekali, bawa Kheir. Senangkan? Akak nak balik kampong dengan abang kamu dan baby kecil akak..” terus-terang saja Kak Leeya berkata membuatkan aku terkejut lagi dengan khabar yang dibawanya. Bergegasku menuju ke bilik air setelah mencapai tuala.
Aku mandi tidak lama seperti selalu. Kalau aku membuang waktu, ummi pasti akan marah lagi seperti hal semalam. Aku tidak mahu ummi mengatakan aku tidak menghormati tetamu yang hadir ke rumah.
Aku terus mencapai pakaikanku dan bersiap ala kadar. Kupakai T-shirt merah dan kusarung cardigan hadiah ulang tahunku dari walid tahun lepas. Aku merias wajahku sedikit dan menyikat rambut. Aku mencapai tudung dan menyarungnya lagi. Usai berpakaian, aku mengambil beg tangan dan telefon bimbit lalu bergegas turun. Sambil turun, aku meneliti telefon bimbitku.
Alamak! 19 miss called? Semuanya Edry?
Seriusnya, aku memang tidur mati lagaknya.
Aku menghampiri dapur melihat kelibat ummi setelah meletakkan beg tanganku di atas kabinet berhampiran ruang tamu. Kulihat ummi sedang sibuk menyediakan makan tengahari bersama Kak Leeya. Aku berdehem sebelum mendekati mereka.
“ Hmm.. baru nampak..” ummi melancarkan serangannya.
Aku tersengih.
Ummi menyuakan piring kepadaku dengan menyuruhku meletakkan di atas meja makan. Memang banyak sekali menu hidangan tengahari ini. Macam-macam masakan ada. Ada lauk rebus, makanan laut kegemaranku, sambal dan banyak lagi.
Waw! Memang hebat.
“ Panggil walid, Edry dan abang Hisyam kamu di luar tu. Entah apa yang dibincang mereka dari tadi..” arah ummi yang tiba-tiba saja ada disebelahku.
Tanpa banyak alasan, aku menurut. Aku melilaukan mata di muka pintu utama tapi masih tidak kelihatan. Aku menyarung selipar dan menuju ke garaj kereta.
Nah! Mereka semuanya ada di situ.
Aku berdehem. Semua wajah memandangku.
“ Ummi panggil, makan..” khabarku dengan sopan. Mereka pantas bersedia untuk beredar untuk masuk ke dalam rumah kecuali Edry. Dia lebih selesa membiarkan walid dan abang Hisyam masuk dulu. Pandangan matanya sukar kubaca namun aku tahu ada sesuatu yang ingin diucapnya padaku. Lantas, aku hanya kaku di situ dan membuang pandangan.
“ Betul-betul tak dengar atau sengaja tak jawab?” soalnya padaku dalam nada bersahaja walaupun saat itu dia sudah ada dekat di hadapanku.
Aku mengetap bibir.
“ Jujur.. saya memang tidur mati..” balasku tapi menunduk saja.
Dia kudengar mengeluh.
“ Sorry..” pintaku bersungguh-sungguh sambil memandang jauh ke dalam anak matanya. Tapi dia tiada reaksi membuatkan aku semakin rasa bersalah. Kalau hendak difikirkan, aku memang tidak ada berjanji untuk bertemunya di hari cutiku ini tapi entah mungkin kalau aku menjawab panggilannya, keadaan ini tidak akan terjadi.
Sudahnya, aku hanya mematung di situ menanti dia yang bersuara. Sayangnya, tiada tanda-tanda. Kalau makin lama begini, Kak Leeya dan ummi mesti curiga.
Ah.. mahu tidak mahu, aku menarik tangan kanannya dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.
Anehnya, dia membalas genggaman tanganku dengan erat. Aku mengerlingnya tapi wajahnya serius. Tiada pilihan, aku beriringan saja bersamanya. Sampai di meja makan, cepat-cepat aku melepaskan tangannya walau aku tahu, hampir kesemua mereka sempat melihatnya.
Tak dapat aku bayangkan betapa segannya aku dengan keadaan itu dan dengan teragak-agak aku duduk di sebelah Kak Leeya yang sedang tersengih nakal. Ummi dan walid hanya bersikap selamba saja.
Aku mengisyaratkan Edry untuk duduk di kerusi kosong di sebelahku dan dia sempat menjeling sebelum melaksanakan arahanku. Aku mengambil kesempatan dengan mencubit lengannya dari bawah meja kerana khuatir akan diketahui walid dan ummi.
“ Sakitlah..” bisiknya di sebelahku.
“Padan muka..” balasku. Geram benar hatiku yang nyata sebenarnya dia hanya mengusikku dengan berpura-pura merajuk.
“ Apa lagi ni Edry, Hanim?” soal ummi pula, tiba-tiba bersuara.
Sudahnya, aku dan Edry diam dan saling berpandangan.
“ Tak ada apa-apa ummi..” balasnya bersahaja.
Ummi? Edry panggil ummiku itu ummi?
Ini tak boleh jadi! Dalam keadaan tidak senang itu, aku menghulurkannya pinggan jua kerana aku tidak mahu dileteri ummi jika aku berlaku tidak sopan pada tetamu.
Dia menyambut dengan senyuman nakalnya dan membuatkan aku menyampah dengan wajahnya sebegitu.
Dia makan dengan berselera saja seolah-olah sudah biasa dengan keluargaku itu. Sesekali dia menyahut ajakan walid dan abang Hisyam yang membawanya berborak.
“ Hari ini, nak bawa Hanim pergi mana?” soal walid, yang nadanya sudah berubah serius.
Aku memperlahankan suapan, menanti dia menjawab pertanyaan walid dengan berdebar-debar.
“ Ed ingat, nak bawa Hanim jalan-jalan dan mungkin nak pergi tengok cincin..” jawabnya sopan.
Aku hampir tersedak mendengar jawapannya. Kak Leeya cepat saja menghulur air minum kepadaku dan dengan rakus, aku menyambutnya.
“ Hanim tak ada cerita pun..” walid menjawab.
Aku menelan liur. Aku takut walid akan mengatakan aku membelakangi mereka pulak nanti.
Edry memandangku sebelum meneruskan kata. Seleraku sudah lama hilang saat dia memberitahu walid tujuannya membawa aku keluar saat itu.
“ Insya Allah.. kalau tak ada apa-apa halangan, mungkin lusa keluarga saya datang.. buat rancangan dulu..”
Aku terdiam lagi. Tidakkah dia tergesa-gesa membuat rancangan tanpaku dan sedangkan aku sendiri tidak tahu-menahu dengan rancangannya ini?
Walid dan ummi, masing-masing memandangku tanpa suara. Seolah-olah menanti aku membuat penjelasan.
“ Adik lupa pada kami, tak?” soal ummi.
Aku mengetap bibir. Sudah agak dengan pertanyaan itu. Aku memandang Edry, berharap dia yang akan membantu aku menjawab soalan ummi yang sudah tegang itu.
“ Sebenarnya ummi, Hanim tak tahu.. saya nak lamar dia surprise depan emak dan bapa saya pada waktu hari itu nanti..” dia bersuara, membela aku di mata keluargaku sendiri.
Aku menghela nafas.
Syukur, ummi sudah kembali tenang dan wajah walid juga begitu tapi tidak hatiku.
0 ulasan:
Catat Ulasan