BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 29 April 2011

Epilog-perwiraku

Epilog
“ Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Sebulan telah berlalu..

        Dewan utama, pusat latihan itu semakin dikunjungi para pegawai. Aku sedar aku sudah terlewat menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun penubuhan pusat latihan itu. Ini semua gara-gara kak Leeya yang sibuk mendandan aku. Yang aku tahu, malam ini ada pertandingan pakaian berfesyen. Dengar khabar juga, ada tari-menari.
Ah.. mungkin bagi yang berpasangan!
Aku sudah terpacak di depan dewan pintu utama. Aku menjadi segan bila pandangan mata tetamu dan para pegawai yang lain singgah padaku.
Aku tersenyum kelat. Sesungguhnya, aku tidak selesa dengan penampilan ini. Kak Leeya yang benar-benar inginkan aku begini. Sehelai gaun labuh berwarna hijau lembut kusarung ke tubuhku. Gaun ini belian Kak Leeya sendiri. Segala solekan di wajahku jua, dia yang meriaskan.
Aku tidak lama termangu di situ kerana ada tangan yang dihulurkan kepadaku. Antara mahu dan tidak dan demi menjaga air mukanya, aku menyambut.
Pastinya dia, bekas tunanganku.
Matanya tidak lepas memandangku. Dia menggenggam erat tanganku lagi. Sebenarnya, sejak peristiwa aku menolak untuk menjadi isterinya itu, aku dan dia sudah tidak bertegur sapa lagi. Tambahan lagi, aku sudah dipindah ke bahagian pejabat dan bukan bahagian unit Gerakan Khas.
Dan hari ini, dia kembali mendekatiku. Aku akui, dia juga semakin segak dengan penampilan kasual begitu. Aku hampir lupa, dia itu mempesonaku.
Dia mengajakku menuju ke lantai tari. Irama sudah berkumandang, bersama lagu Celion Dion.
Because you loved me.
Dia menyimpan kemas tangannya di pinggangku. Berdebar-debar dalam hatiku, sama seperti saat sang hati hangat mencintai dia. Panahan matanya menusuk jauh ke dalam anak mataku. Hampir tewasku dengan renungan itu.
Dia masih enggan bersuara berkata sesuatu sedangkan hatiku meronta-ronta ingin mendengar dia bersuara. Aku memang enggan memulakannya kerana aku ingin menguji kesungguhan hatiku.
Langkah sama dihayun, aku hanyut dengan irama dan panahan mata yang masih kurasakan bersinar cinta.
Untuk akukah sinar di mata itu?
“Pengumuman-pengumuman..”
Aku menolak tangan Edry untuk memberikan perhatian kepada pengumuman yang akan dibuat.
Edry sempat menghadiahkan senyuman tampannya sebelum aku terasa malu dengan senyuman itu.
“ Khas ditujukan kepada Inspektor Aleeya Hanim..”
Aku tersentak.
Kenapa ada pengumuman untukku pulak? Berdebar-debarku menanti. Aku mengerling insan di sebelahku, tapi dia berwajah selamba.
Aku melihat yang ingin membuat pengumuman itu  Ravi dan ah Sean.
“ Puan, Tuan Edry suruh sampaikan. Puan nak tak jadi isteri dia?”
Aku terkejut dengan khabar yang disampaikan oleh Ravi itu. Seisi dewan pastinya mendengar pengumuman itu. Aku terasa malu benar dengan keadaan itu.
Aku menoleh pada Edry yang bersahaja lagaknya. Seperti tidak bersalah saja, dia hanya menggaru-garu kepala. Sedangkan, saat ini, semua mata menanti aku memberikan jawapan.
Walid, ummi.. tolonglah adik saat ini.
Aku terus memandang Edry bersama rasa yang sendiri aku tidak tahu. Bibirku ketap dengan kuat kerana kelu untuk memberi jawapan.
“Puan, jawablah..” ah sean menyampuk, bersuara melalui mikrofon yang membolehkan semua tahu maksud Edry itu.
Edry tiba-tiba saja menarik kedua belah tanganku. Seisi dewan menanti apa yang dia ingin lakukan, termasuk jua aku.
Dia melutut di hadapanku.
Aku menjadi segan.
Ah sean pula bergegas menghampiri kami dan menyerahkan mikrofon kepada Edry.
Aku semakin berdebar-debar jadinya.
“ Well..”
Kata-katanya mati di situ. Aku semakin penasaran.
Dia sempat berdehem lagi.
“ Awak pernah kata, saya adalah perwira awak…”
Semua masih menanti.
“ Kali ini, boleh tak saya jadi perwira awak dalam erti kata yang sebenar? Perwira awak dan perwira untuk anak-anak kita?”
Aku terpana dengan kata-katanya. Tidak mampuku menjawab saat itu kerana aku sungguh terharu dengan ucapan itu. Seisi dewan bersorak dengan keberanian Edry yang melamar aku di hadapan semua pegawai itu.
Dia bangkit dari berlutut dan menyeluk sesuatu dari koceknya. Dia mengeluarkan kotak cincin lagi di tapak tangannya.
“ Ni cincin baru, okey..” dia berkata, dalam nada usikan. Aku termalu sendiri kerana teringat dengan cincin tanda yang pernah aku kembalikan kepadanya.
Dia menyarungkan cincin itu, di hadapan semua orang bersama janjinya untuk menjagaku.
“ Dah penat saya tunggu hilang rajuk awak, kita kahwin saja minggu depan ya..” pintanya dengan manja-manja yang membuatkan geram dengan lagaknya itu.
Aku memukul manja bahunya bila orang ramai sudah bertepuk tangan lagi, bersorak untuk kami. Apabila irama sudah kembali dimainkan, perhatian mereka beralih untuk meneruskan majlis makan malam itu.
Saat itu sempat dirakamkan dan kini menjadi gambar kesayanganku. Peristiwa itu, menjadi kenangan yang paling indah, hingga ke hari ini.
“ Abang akan selalu sayang awak..” Edry bersuara, berbisik di sisiku.
Dia kini menjadi suamiku. Perwira dalam hidupku, perwira untuk anak-anak kami dan perwira jua dihatiku.

Sekian.

1 ulasan:

Qwerty berkata...

waaa.
dah habis.
sweet sangat.
tapi tak puas lah.
huhuh.
=D