BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 15 April 2011

Bab 19-perwiraku

Bab 19
“ Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Lenguh rasanya kakiku, melangkah dari satu ruangan kedai ke ruangan yang lain. Sudah banyak kedai emas yang kami masuki tapi sekalipun keputusan belum dibuat untuk memilih yang mana satu. Sebenarnya, aku sedang melancarkan mogok. Ummi tidak benarkan Kheir mengikut aku dan Edry bersama-sama. Kata ummi, dia mahu kami cepat membuat keputusan kerana majlis akan dirancang dan keluarga terdekat saja akan diundang untuk majlis merisik itu.
“ Dah lah.. dari satu kedai ke kedai yang lain, muka awak merajuk terus..” Edry mula bersuara saat kami berhenti di hadapan kedai emas lagi.
Aku sekadar memandangnya sekilas. Sengajaku mempamer wajah tegang melihatnya supaya dia tahu, selain dari sebab ummi tidak membenarkan Kheir ikut bersama, dia juga antara penyebab mengapa aku begini.
Dia menarik tanganku.
“ Kenapa?” soalnya seakan-akan memujuk. Masalahnya, aku bukan jenis yang makan pujuk. Tiada pilihan lain, aku mengajaknya masuk saja ke kedai emas itu. Sayangnya, dia menarik semula tanganku dan memintaku kembali semula ke kereta. Wajahnya sudah berubah serius daripada berseri sebelum kami sampai ke tempat ini.
Aku hanya masuk ke dalam kereta tanpa banyak suara. Dia terus memecutkan keretanya di lebuhraya tanpa menolehku langsung.
Aku menghela nafas berat.
“ Apa lagi yang awak fikirkan?” soalnya, kali ini dengan nada yang keras.
Aku mengetap bibir dengan kuat. Aku paling tidak suka ditanya dengan nada yang kasar sebegitu.
“ kenapa tiba-tiba saja awak pilih saya?” soalku, berterus-terang. Aku ingin dia menjawab segala pertanyaan yang membelenggu hati dan pikiranku ini.
Dia tiba-tiba, tanpa isyarat terus menghentikan kereta di pinggir jalan. Aku terkejut dengan tindakan drastiknya yang tidak mementingkan nyawaku dan juga dirinya.
“ kita keluar dan saya explain..”
Mungkin lantaran rasa sakit hati dengan sikapnya itu, makanya aku menurut sahaja kemahuannya. Aku menghempas daun pintu kereta BMW series putihnya itu dengan kuat. Kemudian berpeluk tubuh dan bersandar di sisi keretanya. Dia terus saja menapak di hadapanku. Tangan kanannya diletakkan di sisi kiriku. Sengaja benar dia mendekatkan wajahnya untuk melihat reaksiku yang sebenarnya sudah lama gundah dengan tingkahnya itu. Aku hanya mampu mengalihkan wajah kerana, seraut riak mempesona itu, sesungguhnya sedang menggetar hatiku.
“ Katakan, ayat apa yang boleh membuat awak faham dengan kehendak di jiwa ini?” bisiknya di sisiku.
Aku hanya membisu.
“ KAtakan, kenapa hati ini ingin sekali berdampingan dengan awak?”
Aku diam lagi.
“ Katakan, bukti apa yang harus saya tunjukkan untuk menyakinkan kesungguhan hati ini?”
Aku tiada jawapan.
“Katakan, kenapa harus saya menolak bila hati ini sudah memilih awak?”
Hela nafasnya hangat menyentuh pipi kiriku. Aku hanya bisa menelan liur. Pertanyaan demi pertanyaan itu meruntuhkan benteng hatiku. Aku hampir-hampir tidak percaya dengan apa yang dipersembahkannya melalui kata-kata tapi aku tiada kuasa menafikannya.
Aku menolak dadanya untuk menjauhkan dia dari terus dekat di depanku. Aku tidak selesa dengan tingkahnya yang aku rasakan mencuba terus menggoda hati wanitaku. Tetapi, dia pantas saja menggapai tanganku yang menolak dadanya itu. Menggenggamnya seerat-eratnya seolah-olah aku akan pergi meninggalkannya.
“ Edry.. katakan pada saya.. jatuh cintakah sudah saya pada awak bila setiap kali awak dekat, saya merasakan getaran yang sama seperti yang awak rasa?” bagai orang bodoh aku menanyakan dia soalan itu. Meskipun nadanya sudah berubah sayu tapi aku tidak tahu menyimpan perasaan. Anak matanya bersinar, tapi aku segan sekali menikam pandangan pada anak matanya itu. Yang aku tahu, aku ingin menangis, aku ingin dia tahu kenapa hatiku tidak selesa seperti dulu.
Tanpaku mahu, airmataku menitis. Malunya, tapi aku tidak ada daya menahan.
“ Hanim.. jadikan saya perwira dalam hati awak..” pintanya bersungguh-sungguh sambil mengesat airmataku dengan perlahan. Suaranya perlahan tapi kedengaran indah di pendengaranku.
Aku menelan liur tanpa memberi sebarang ulasan dengan kata-katanya itu. Dia menarik tangan kananku ke dadanya.
Aku mengetap bibir.
Dia mencapai sesuatu di dalam poketnya. Dia menghulurkan di tapak tanganku satu kotak kecil berbentuk hati, berwarna merah darah.
Cincin dikeluarkan dari kotak itu.
Aku terpaku lagi tanpa suara.
Jari manisku tersarung cincin itu.
“ Jadi ibu untuk anak-anak saya?”

2 ulasan:

Unknown berkata...

Uit.. Bila masa pulak Edry beli cincin.. Huhu....

Hani Zaidah berkata...

Hai... eer, paham2 je lah