BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 7 April 2011

Bab 15-perwiraku

Bab 15
“ Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Pintu bilikku dikuak. Aku dan Kak Leeya yang tadinya leka dengan penampilanku terus mengajukan pandangan ke situ.
        Ummi!
        Muka ummi sangat serius dan tidak seperti selalu.
        “ Kenapa ummi?” soalku pada ummi tapi aku masih lagi leka disolek oleh Kak Leeya. Sebenarnya aku bolehlah dikatakan sudah bersedia untuk pergi tapi Kak Leeya masih belum puas hatid dengan penampilanku. Hari itu aku mengenakan baju kurung sutera bewarna ungu dan dipadankan dengan bunga mawar berwarna merah jambu. Manis sekali warnanya dan kupadankan lagi dengan tudung.
        “ Pernah tak ummi ajar biarkan tetamu tunggu lama?” ummi memulakan peranannya. Aku mengamati maksud pertanyaan ummi yang kurasakan berlainan. Tetamu mana pulak?
        Hah! Pasti Edry yang  ummi maksudkan.
        “ Err.. siapa?” soalku pura-pura polos.
        Aku sudah berdiri memandang diri ke dalam cermin. Kenapalah Kak Leeya buat aku begini? Bukanlah nak perasan tapi aku nampak ladies sangat dan cantik dari selalu!
        “ Kawan adik. Dia walid jemput tu masuk dalam rumah..” ummi menjawab tapi nadanya bagai berbaur pertanyaan lain. Pasti walid berkenalan sudah dengan pemuda itu.
        Aku memandang Kak Leeya, mengharapkan dia akan membantuku keluar dari kemelut perasaan ini. Aku benar-benar keberatan untuk memperkenalkan dia kepada walid dan ummi secepat ini. Aku mempunyai pegangan dan prinsip sendiri. Aku hanya akan memperkenalkan kepada walid dan ummi orang yang istimewa dalam hidupku saja.
        “ Jangan bingung macam tu. Cepat turunlah..” arah Kak Leeya sambil menolak aku perlahan di samping ummi.
        Aku menjeling Kak Leeya setajamnya kerana aku tidak suka dengan cara kak Leeya mendekatkan aku pada pemuda yang suka membuai perasaanku dengan sesuatu yang tidak-tidak itu. Mahu tidak mahu aku mempercepatkan langkah menuruni anak tangga.
        Mataku tertancap pada sebatang tubuh yang sedikit tinggi di sisi walid. Dia mengenakan baju melayu yang kebetulan saja serona dengan bajuku.
        Bagai dijanji-janji gamaknya!
        Aku berdehem sambil mendekati mereka. Walid dan dia berpaling mendengar suaraku itu.
        Walid tersenyum tapi tidak pemuda itu. Pandangannya tajam, menembusi benteng hati. Lagaknya seperti dipukau tapi yang aku tahu aku tidak pernah belajar ilmu itu. Dia nampak sopan dan menawan dengan penampilan yang bersahaja itu.  Aku sendiri merasa segan bila berpandangan begitu sedangkan di antara posisi aku dan dia, walid ada sebagai paksi pertemuan itu.
        Walid berdehem dan suara itu mematikan babak pandang-pandang dan jeling-jeling antara kami. Aku sekadar membuang pandangan kepada ummi.
        “ Dah nak pergi?” soal walid.
        Aku hanya mengangguk.
        “ Walid benarkan?” soal Kak Leeya pulak bagi pihakku. Kak Leeya ini suka masuk watak dan wataknya hanya akan menghumban aku ke dalam situasi mencemaskan perasaan dan suasana jalan hidupku.
        Walid mengangguk-angguk sambil menepuk-nepuk bahu Edry di hadapanku bersama senyumannya.
        “ Edry dah minta izin pada walid..” balas walid bersahaja.
        Aku tanpa ada pilihan lain terus meminta diri setelah bersalaman dengan ummi dan walid. Sempat lagi Kak Leeya mengisyaratkan ibu jari kanannya apabila Edry menuruti caraku itu.
        Aku hanya dapat menjeling Kak Leeya yang sudah mekar bersamanya senyuman nakalnya. Sebal aku dengan sikapnya yang suka sangat menyakat aku. Padahal Kak Leeya sendiri maklum aku amat janggal sekali bila bergaul dengan lelaki.
        Tanganku ditarik, digenggamnya erat setelah kami keluar menuju halaman rumah untuk mendapatkan keretanya. Aku terasa bagai ada aliran arus eletrik menyengat tangkai hati. Selamba saja riaknya yang mempesona itu tapi aku menahan getaran.
        Aku memboloskan diri di dalam keretanya tanpa suara. Bersahaja benar dia memandu keretanya sedangkan aku di sebelah merasa resah gelisah kerana destinasi kali ini adalah rumah keluarganya. Apa yang ingin dia katakan pada keluarganya nanti sedangkan aku sendiri tidak tahu kemana arah perhubungan yang entah kawan atau entah lawan.
        “ Kenapa resah?” tanyanya memula bicara. Nadanya seakan berbisik, seperti hanya ingin aku yang mendengar suaranya sedangkan di dalam kereta itu hanya ada aku dan dia.
        Aku diam tanpa kata. Berat sekali untuk menjawab soalan itu sedangkan aku yakin dia tahu apa jawapku. Aku terseksa dengan kemelut perasaan yang menggila ini. Betul-betul aku tidak faham situasi apa yang membuat aku segan dan kurang senang bila bersama dengannya.
        Apakah ada cerita yang dia sembunyikan untukku?
        “ Cantik sangat.. ayu..” pujinya sambil mengerling aku sekilas.
        Aku sekadar tersengih. Kalau aku terus-terusan kaku, aku akan nampak bodoh di matanya.
        “ Pujian biasa.. tak ada bezalah dengan orang lain..” selamba aku menjawab, mengusik dia untuk aku lihat reaksinya terhadap jawapanku itu.
        Nyata sekali dia diam. Mungkin tidak menyangka aku membalas kata-kata yang sepatutnya terus membuat aku terdiam. Sesekali aku mengerlingnya kerana lama sekali dia mengambil waktu untuk membalas kata-kataku itu.
        “ ramai orang tak nanti?”
        Dia mengangguk.
        Aku menelan liur.
        Ummi, adik tak selesa!
        “ Takut?”
        Aku mengangguk. Tersangat takut. Takut untuk berdepan dengan keluarga dia yang entah bagaimana caranya menerima kehadiranku nanti.
        “ Semua okey.. percaya saya..” balasnya bersahaja dan tenang.
        Aku mendengus.
        “ Saya tak biasa, dan bukan siapa-siapa awak pun..” balasku tapi antara dengar dan tidak. Aku teragak-agak sebenarnya untuk meluahkannya kerana cara itu akan membuatkan aku mendapat kepastian kemana arahnya hubungan kami itu.
        Dia ketawa pula. Mungkin cuba mengubah mood kelam yang aku bawa.
        “ Tak sudi?” selamba dia bertanya.
        Aku memandangnya tepat demi saja mendengar pertanyaan itu. Aku pantas mencubit tangan kirinya dengan kuat.
        Dia mengaduh.
        “ Eh.. tengah drivinglah ni..”
        Aku menjeling.
        “ Kalau saya tak sudi, saya tak ada sebelah awak sekarang..” balasku, sedikit beremosi. Kulihat dia masih cuba mengurut tangannya yang sudah berbekas merah itu. Sungguhpun aku kasihan tapi aku puas hati. Sebenarnya, itu hanya untukku menutup kekalutan yang ada singgah dibenakku.
        Dia memandangku seketika dengan muka yang kasihan!
        Eee..geramnya!
        Lantas aku mengurut-urut tangannya perlahan dan dia tersengih. Aku pantang sekali dengan muka yang begitu  kerana dalam keras-kerasku, aku paling tidak suka ditunjukkan muka yang kasihan kerana aku yang menyakiti pada mulanya.
        Dia ketawa nakal dan mengenyit matanya. Menyedari tingkahnya yang hanya untuk mengusik itu, pantas aku matikan hasrat.
        “ Hanim..” panggilnya tapi kali ini nadanya membuai jiwa.
        Aku menoleh.
        “ Awak.. sungguh mempesona..”
        Aku kehabisan kata untuk berdebat.

0 ulasan: