BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 17 Mac 2011

Bab 11-selendang biru

Dari deretan rumah kayu hinggalah ke rumah dibina dari batu masing-masing mempunyai kehidupan berkeluarga yang sederhana. Dalam erti kata lain memang mencukupi keperluan seharian mereka. Meskipun pekerjaan mereka hanya bertumpuan di kawasan perkampungan ini juga namun masih mampu menanggung kebajikan keluarga mereka hinggalah di sebuah rumah yang hampir usang, kunjungan kami berubah hambar. Keluarga ini kalau tidak keterlaluan bolehlah aku katakan susah. Hendak makan pun si ibu mesti berusaha bekerja mengambil upah yang dibayar tunai saat itu juga. Walaupun hanya ada dua orang anak kecil saja yang masih dalam jagaannya namun sungguh menyedihkan kerana keperluan mereka jarang sekali mencukupi.
Aku bertanya serba-sedikit asal terjadinya perkara ini sambil mencatat sesuatu di dalam buku tugasan yang aku bekalkan dari pejabat. Segala yang dikatakannya kuisi penuh di dalam kertas agar laporan ini dapat dipertimbangkan secepatnya oleh pihak kami supaya bebanannya ringan.
Hatiku sememangnya sedih tapi aku mencuba untuk berlaku professional untuk tidak melihatkan rasa simpati itu di hadapan keluarga itu. Menurut kata Tok Salim, dia tidak tahu akan adanya keluarga yang susah begini di dalam kampung ini. Mungkin juga kerana Tok Salim belum lagi mengadakan lawatan ke sekitar kampungnya sehinggalah kami yang menemui permasalahan ini. Selesai menulis laporan dan membuat penyeliaan, kami memohon pulang semula ke rumah Tok Salim. Laporan harus segera dicetak dan dihantar secara online kepada penguasa agar ada tindakan yang selanjutnya.
“ Berapa lama proses diambil?” soal Tok Salim sewaktu kami menaiki anak tangga bersama-sama.
Izzah terlebih dahulu menjawab.
“ Ikut keadaan Tok.. Banyak hitam putihnya..” jawabnya ramah.
Tok Salim mengangguk faham dengan penjelasan yang ringkas itu. Aku sekadar tersenyum bila pandangan Tok Salim singgah ke wajahku. Kami bertiga menuju ke meja makan terus setelah disambut pulang oleh Mak Siah untuk menikmati makan tengahari. Bagaikan faham dengan keadaan perutku yang sudah berkeroncong kuat minta diisi. Tanpa segan silu, aku mengambil tempat duduk di sebelah Mak Siah dengan muka selamba.
“ Cuci tanganlah dulu…” nasihat Mak Siah kepadaku.
Aku tersengih malu dengan kegelojohanku itu. Masakan tidak? Nampak saja makanan kampung istimewa masakan Mak Siah, aku sudah kecur liur menahan rasa untuk menerkamnya. Hari ini menu Mak Siah ada ikan bakar, sambal tahai pedas, sayur pucuk bersantan, ikan salmon tumis, nasi ayam dan ayam masak merah berkacang panjang!
Selama berada di sini, makan minumku tidak lagi terjaga seperti di rumahku. Agak-agak, berat badanku naik!
Aku kembali semula ke tempat duduk dengan pantas kerana tidak mahu didahului Izzah. Tapi sikapku yang tadinya teruja itu berubah saat terpandang Ustaz Syah itu ada di meja makan. Dengan berat hati aku duduk semula di tempatku tadi. Sebelahnya sudah diisi oleh ustaz muda itu. Dia memberikan senyuman mesranya kepadaku. Hatiku rasa tidak selesa dengan panahan indah itu. Seolah-olah meronta agar dijaga dengan baik.
Aku tersenyum jua bila pandanganku singgah.
Semua hidangan Mak Siah kupandang dengan rasa tertahan. Segan di hadapan jejaka itu. Izzah pula seolah-olah faham dengan keadaanku itu lantas menyedukkan segala makanan yang ada. Itu satu peluang yang baik dan aku tidak menolak. Aku menyimpan senyum dengan tingkahku yang mengada-ngada itu.
Dalam hati aku berterima kasih kepadanya. Aku makan masakan tengahari Mak Siah dengan berselera sekali. Memang benar-benar memikat seolah-olah aku lupa akan adanya insan di sekelilingku.
“ Lilah..” panggil Mak Siah.
Aku memandang dan menghentikan suapan. Meskipun pandanganku tertumpu kepada Mak Siah saat ini tapi aku resah dari ekor mata ini terpandang ‘dia’ mengajukan pandangannya jua kepadaku.
“ Kenapa mak?” soalku sopan.
Tok Salim pula yang kedengaran berdehem.
Aku menjadi kurang senang dengan reaksi itu. Seolah-olah aku dibeban rasa silap yang menggunung.
“ Malam ini, jadi kamu balik semula ke bandar?” soalnya risau.
Aku mengetap bibir. Cepatnya sampai berita aku akan balik hari ini. Aku memandang Izzah yang hanya mempamer wajah selambanya itu. Aku yakin, ini pasti kerja Izzah.
“ Jadi mak..” jawabku teragak-agak.
Mak Siah makin galak menatapku.
“ Siapa teman?”
“ Pemandu ummi yang ambil.. ummi saya dah pesan..” sahutku lagi.
Tok Salim pula yang memberi reaksi.
“ Tak apalah.. malam nanti biar Syah saja hantar..” arah Tok Salim serius tanpa memandangku. Di wajah tuanya tergambar rasa risau yang tidak terluahkan. Aku jadi serba-salah dengan arahan itu.
“ Err.. tak apalah tok.. saya balik dengan pemandu saya saja..” jawabku sopan, cuba membeli jiwanya agar beralah dengan keputusanku.
Sayangnya, Tok Salim hanya diam.
“ Orang tak sudi, tak apalah ayah..” tiba-tiba ustaz muda itu bersuara. Nadanya menyindir dan seolah-olah menampakkan kesombonganku menolak arahan Tok Salim itu. Aku terasa hati dengan kata-katanya. Aku menyudahi makan meskipun perutku masih minta diisi. Raut wajah berubah seiring dengan rasa hati.
“ Saya bukan tak sudi tapi tak bersedia menyusahkan lagi..” dengan suara mendatar, aku menjawab.
Tanpa menunggu jawapan, aku berlalu meninggalkan meja makan dengan hati terluka.

0 ulasan: